Categories
AGENDA NASIONAL

Harga barang naik, KPDNHEP lancar Op Pasar (Sayur 2)

KUALA TERENGGANU, 28 NOV: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melancarkan Op Pasar (Sayur 2) di seluruh negara mulai semalam.

Ia susulan laporan kenaikan harga barangan makanan itu yang didakwa mencapai tahap hingga 200 peratus di pasaran.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata setakat hari pertama, 43 premis dan 131 jenis sayur seperti sawi, kacang buncis, brokoli dan cili merah telah diperiksa meliputi semua peringkat rangkaian pengedaran iaitu pembekal, pemborong dan peruncit di seluruh negara.

“Kementerian tidak pernah memandang ringan keluhan pengguna dan peniaga terhadap kenaikan harga barang di pasaran kerana kami juga mempunyai keluarga, saudara-mara dan sahabat handai yang turut merasai tempias ini.

“Setakat semalam, KPDNHEP telah mengeluarkan 43 notis pengesahan maklumat bertulis dan 40 notis bertulis kepada peniaga bagi mendapatkan pengesahan sama ada wujud unsur pencatutan atau ambil untung berlebihan atas harga jualan sayuran,” katanya ketika ditemui pada program kempen keselamatan pengguna kerjasama Petronas dan KPDNHEP di Kuala Berang, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif yang juga merangkap Pengarah Urusan Petronas Dagangan Berhad Azrul Osman Rani.

Tambah Rosol lagi, bagi notis pengesahan maklumat bertulis, peniaga diberi masa dua hari untuk menjawab manakala untuk notis bertulis, tempoh lima hari diperuntukkan untuk mendapatkan maklum balas.

Pada masa sama, seramai 1,000 pegawai pemantau harga (PPH) ditugaskan untuk membuat pemantauan di 1,500 lokasi setiap hari bagi meninjau serta merekodkan perubahan harga sayur-sayuran di pasaran.

“PPH dan pegawai penguat kuasa kita memang turun padang setiap hari tanpa gagal untuk memantau harga barangan di lapangan dan sentiasa melaporkannya sekiranya berlaku perubahan harga,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata pihak Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd dijangka akan memberi maklum balas berhubung saranan kementerian kepada syarikat itu untuk menangguhkan sementara kenaikan harga roti esok.

Beliau berkata saranan itu disampaikan kepada syarikat berkenaan dalam satu pertemuan pada Jumaat untuk mendapatkan justifikasi mengenai perubahan harga itu.

“Walaupun begitu, kita juga sedang memikirkan mekanisme untuk membantu mereka (Gardenia (KL) Sdn Bhd) yang turut terkesan dengan peningkatan harga gandum yang membawa kepada kenaikan harga roti. Kita seboleh-bolehnya mahu mewujudkan situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak dan peniaga tidak perlu sampai tutup kilang sementara pengguna juga tidak terbeban dengan kenaikan harga walaupun 10 sen,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

34 peniaga dikesan jual kit ujian kendiri melebihi harga ditetap

KUALA BERANG, 18 SEPT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merekodkan 34 kes peniaga dan pengusaha farmasi menjual kit ujian kendiri COVID-19 melebihi harga ditetapkan.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan dijalankan pegawai penguat kuasa KPDNHEP terhadap lebih 1,800 premis sejak 5 Sept hingga semalam di seluruh negara.

“Hanya satu kes dikenakan kompaun RM250 mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Jumlah kesalahan yang dikesan ini tidak begitu membimbangkan.

“Pemeriksaan juga mendapati 185 peniaga dan pengusaha farmasi menjual di bawah harga kawalan, manakala 1,552 lagi menjual mengikut harga kawalan ditetapkan. Secara keseluruhan peniaga memberi kerjasama baik dalam mematuhi harga kawalan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses vaksinasi penduduk Hulu Terengganu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur, Jenagor, di sini hari ini.

Bermula 5 Sept lepas, KPDNHEP menetapkan harga runcit maksimum bagi setiap set kit ujian kendiri COVID-19 pada harga RM19.90, manakala harga borong pula ditetapkan RM16.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kenaikan harga ikan di seluruh negara, Rosol berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi mengeluarkan stok ikan sejuk beku Q’Fish di pasaran dalam masa terdekat.

“Memang kami dapat aduan dalam Facebook daripada pegawai dan secara terus kepada saya mengenai kenaikan ini, ikan selar dijual RM16 sekilogram, manakala ikan kembung pula hingga RM22 sekilogram. Ikan Q’Fish boleh menjadi alternatif kepada pengguna.

“Cuma masyarakat perlu dididik menangkis persepsi tidak tepat mengenai ikan Q’Fish ini kononnya ia tidak segar seperti yang dijual di pasar, sedangkan tidak benar kerana ia adalah ikan segar dari laut yang terus dibekukan,” katanya.

Q’Fish ialah ikan segar berkualiti yang disejukbekukan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sekiranya berlaku lebihan. Ia juga dijual dengan harga lebih murah kepada pengguna bagi memastikan bekalan tidak terjejas.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga roti Gardenia tanpa perisa kaya kekal

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Harga roti Gardenia masih kekal dan tiada kenaikan harga akan berlaku bermula 1 Jun ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid.

Sehubungan itu, beliau berkata masyarakat tidak perlu bimbang dan melakukan pembelian panik berikutan tersebarnya surat yang menyatakan bahawa akan berlaku kenaikan harga roti Gardenia.

“Pegawai saya telah memeriksa (kesahihannya) dan mendapati harga roti tidak naik sebaliknya kenaikan harga membabitkan produk lain syarikat itu seperti sapuan perisa kaya,” katanya hari ini.

Beliau mengulas mengenai satu surat syarikat Gardenia yang tersebar menerusi aplikasi WhatsApp yang memaklumkan terdapat perubahan harga produk bermula 1 Jun ini.

Perubahan harga berkenaan juga serentak dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh atau total lockdown sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri semalam.

“Peniaga, pengguna juga perlu bersama-sama berganding bahu dengan kerajaan dalam usaha mengurangkan penularan pandemik COVID-19 yang menyaksikan peningkatan jangkitan kes baharu setiap hari.

“Bagi masyarakat, kita ada pengalaman ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pertama dan pengalaman itu sangat berguna. Jangan lakukan pembelian panik kerana barangan keperluan termasuk pelitup muka dan cecair pensanitasi tangan sentiasa ada dan mencukupi,” katanya.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP akan memohon benarkan makan di premis

KUALA BERANG, 6 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengemukakan permohonan supaya aktiviti ‘dine-in’ atau makan dalam kawasan premis menjual makanan dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata permohonan itu akan dikemukakan kepada Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat.

Beliau berkata permohonan itu dibuat bagi membela kebajikan bukan sahaja pengusaha premis makanan dan peniaga trak makanan, malah pekerja, pembekal dan pemborong bahan makanan serta sesiapa sahaja yang terlibat dalam industri makanan.

“Bagi setiap satu premis yang dibenarkan ‘dine-in’, ia dapat membantu memulihkan ekonomi dan kehidupan sekurang-kurangnya lima individu yang terlibat dalam rantaian pembekal barangan dan bahan mentah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau jualan kedai runcit bergerak ‘Prihatin Mart’ di Dataran Kampung Langgar di sini hari ini.

Beliau berkata rata-rata pemilik premis dan trak makanan yang mengadu nasib mereka kepada KPDNHEP berjanji akan mematuhi segala tatacara operasi piawai (SOP) yang akan ditetapkan MKN sekiranya aktiviti itu dibenarkan.

Sementara itu, Rosol berkata KPDNHEP juga akan memohon supaya premis menjual pakaian dibenarkan beroperasi sepanjang PKP ini demi memastikan kelangsungan hidup peniaga dan pekerja terutama di musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut beberapa bulan lagi.

“Kita tahu sekarang ini kita dalam dilema antara ekonomi dan kesihatan. Lagipun kluster baharu banyak berlaku di kawasan tapak pembinaan, kawasan-kawasan perniagaan seperti restoran dan kedai makan, pasar malam dan premis jual pakaian tiada lagi kluster jadi kita harap MKN dapat pertimbangkan.

“Ini rintihan rakyat dari akar umbi yang terkesan dengan Covid-19,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP kesan pelitup muka murah di pasaran, keselamatan diragui

SUNGAI BESAR, 16 SEPT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan penjualan pelitup muka berharga semurah 50 sen di pasaran namun kualitinya tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan.

Sehubungan itu, Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid menasihati pengguna agar berhati-hati ketika membeli pelitup muka berharga jauh lebih murah daripada harga siling agar tidak terdedah kepada bahaya lain.

“Pelitup muka ini dijual dengan harga 50 sen dan penjual dakwa ia merupakan pelitup muka tiga lapis, bagaimanapun pemeriksaan mendapati bahan yang digunakan agak meragukan.

“Pelitup itu berdebu dan boleh menjejaskan kesihatan pengguna,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penutup program Kembara Pengguna dan Peniaga KPDNHEP Selangor di Sekinchan di sini hari ini.

Katanya pelitup muka terbabit sedang dianalisis oleh Jabatan Kimia bagi memastikan kualitinya dan tidak menolak kemungkinan satu peraturan akan dibuat agar hanya pelitup muka memenuhi piawaian yang ditetapkan sahaja boleh dijual demi menjamin keselamatan pengguna.

Kerajaan pada Ogos lepas menetapkan harga siling bagi pelitup muka RM1 sehelai.

Sementara itu mengulas mengenai program jualan Malaysia dan Kempen Beli Barangan Malaysia, beliau berkata kesedaran orang ramai didapati semakin meningkat dalam merancakkan semula ekonomi tempatan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Rosol juga berkata pengguna tidak perlu gusar ketika membeli barangan buatan tempatan kerana kualiti produk tempatan adalah setanding dengan kualiti barangan antarabangsa malah ada yang lebih baik.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tidak puas hati bil elektrik tinggi, pengguna boleh tuntut kepada TTPM

PUTRAJAYA, 16 JUN: Pengguna yang tidak berpuas hati dengan bil elektrik yang melambung tinggi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata langkah itu adalah alternatif selain penyaluran aduan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Tenaga.

“Isu bil elektrik yang tinggi semasa PKP memang dalam perhatian kita. Kita sedar ramai yang meluahkan rasa tidak puas hati.

“Buka fail di TTPM dengan bayaran fi RM5 dan kes akan diadili sebaiknya,” kata Rosol kepada Bernama di sini hari ini.

Menurutnya TTPM telah menerima dua tuntutan termasuk satu berkaitan kenaikan luar biasa bil elektrik yang difailkan pada 5 Jun lepas.

Isu kenaikan bil elektrik hangat dibincangkan oleh rakyat, khususnya menerusi media sosial, yang tidak berpuas hati dengan caj yang dikenakan kerana terlalu tinggi berbanding sebelumnya.

TTPM yang ditubuhkan pada 15 November 1999 menyediakan saluran alternatif kepada penggguna untuk membuat tuntutan ganti rugi berkenaan pembelian barangan atau perkhidmatan dengan kes boleh diselesaikan kurang daripada 60 hari.

Badan itu juga membolehkan pengguna memfailkan tuntutan tebus rugi terhadap pembelian barangan dan perkhidmatan yang tidak menepati apa yang diiklankan dengan amaun tidak lebih RM50,000.

– BERNAMA