Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada perarakan Hari Kebangsaan, rakyat digalak zahir patriotisme di media sosial

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini menyeru rakyat di negara ini agar menghidupkan suasana sambutan Hari Kebangsaan yang akan disambut pada 31 Ogos ini dengan penuh semangat patriotik sekalipun negara sedang berdepan ancaman pandemik Covid-19.

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata walaupun tiada perarakan Hari Kebangsaan diadakan pada tahun ini, rakyat boleh meraikan sambutan secara kreatif dan berkongsi gambar atau video menerusi media sosial.

“Kita galakkan rakyat ambil gambar dan video dan kongsikan kreativiti mereka untuk mengekspresikan Hari Kebangsaan. Oleh kerana tiada acara seperti biasa, tidak bermakna kita tidak boleh menghidupkan semangat sambutan negara secara bersama,” katanya ketika menjadi tetamu program Malaysia Hari Ini yang disiarkan stesen televisyen TV3.

Menurut Saifuddin, sambutan Hari Kebangsaan tahun ini juga adalah serentak dengan ulang tahun ke-50 Rukun Negara yang dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 9 Julai lepas.

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini akan diadakan di Dataran Pahlawan, Putrajaya pada 31 Ogos dan seterusnya sambutan Hari Malaysia pada 16 September yang akan berlangsung di Sibu, Sarawak.

Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan berangkat ke Dataran Pahlawan bagi upacara menerima tabik hormat daripada pasukan kawalan keselamatan utama dan seterusnya menyampaikan titah diraja yang akan disiarkan secara langsung.

“Kebiasaannya tiada titah diraja pada Hari Kebangsaan tetapi kerana 50 tahun lepas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada masa itu mengisytiharkan Rukun Negara pada tarikh 31 Ogos, maka kita ambil bersempena ulang tahun 50 tahun itu untuk ucapan titah baginda,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata tema ‘Malaysia Prihatin’ yang dipilih bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini melambangkan Malaysia sebagai negara yang berbilang kaum dan bersatu padu, manakala ‘prihatin’ merujuk kepada aspek kebersamaan rakyat Malaysia terutamanya dalam berdepan suasana kebiasaan baharu.

“Untuk menjadi patriotik dan prihatin tidak perlu buat perkara besar-besar. Bantu bagi pelitup muka kepada teman, mengingatkan satu sama lain tentang penjarakan fizikal, kutip sampah tepi jalan, itu semua aksi-aksi prihatin. Tidak perlu jadi menteri untuk jadi patriotik,” katanya.

Saifuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020 berharap setiap stesen televisyen berusaha menghidupkan suasana sambutan itu bagi memastikan hari berkenaan diraikan bersama.

“Selalu kita tengok selain perarakan tentera akan ada juga aset-aset yang dibawa ke Dataran Merdeka tetapi kali ini takkan nak dibawa aset-aset itu ke studio … semuanya bergantung pada kreativiti stesen-stesen televisyen,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN desak Saifuddin letak jawatan, gagal tangani tiga isu

SHAH ALAM, 23 JULAI: KEADILAN menggesa Datuk Saifuddin Abdullah meletak jawatan susulan kegagalannya menangani tiga isu berasingan sepanjang bergelar menteri komunikasi dan multimedia.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata terbaharu isu permohonan lesen Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk menerbit filem di media sosial hari ini yang turut mendapat kritikan warga maya.

“Sebenarnya beliau sendiri mulakan pagi tadi di Dewan Rakyat. Jika soalan saya dan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi dijawab dengan jelas isu itu tidak berpanjangan.

“Saya rasa kenyataan terbaharu Saifuddin hanya sebagai jalan keluar meredakan kemarahan warga maya walaupun tidak memberi penjelasan berkenaan lesen Finas tidak diperlukan untuk pengguna media sosial TikTok, YouTube, dan sebagainya,” kata Pengarah Komunikasi KEADILAN dalam kenyataan hari ini.

Pagi tadi di Dewan Rakyat, Saifuddin memaklumkan penerbit filem sama ada agensi media arus perdana atau media individu yang menerbitkan filem di platform media sosial atau saluran tradisi wajib memohon Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran Finas.

Bagaimanapun selepas mendapat kritikan, beliau mengeluarkan kenyataan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta Finas) [Akta 244] perlu ditambah baik supaya bersesuaian dengan kehendak semasa.

Jurucakap Komunikasi, Seni dan Budaya KEADILAN berkata sepanjang bergelar menteri sejak Mac lalu, dua lagi tindakan salah dilakukan Saifuddin iaitu isu penarikan balik pelantikan Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen sebagai Ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia serta pembatalan penggunaan spektrum dalam jalur frekuensi 700MHz, 900MHz dan 2600MHz atau spektrum 5G.

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Malaysia, Singapura tingkat kerjasama di Tambak Johor

VIENTIANE, 20 FEB: Malaysia dan Singapura akan mempertingkatkan kerjasama di Tambak Johor yang mempunyai pergerakan manusia dan kenderaan yang tinggi, dalam usaha menangani penularan jangkitan Covid-19.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau telah mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan rakan sejawatannya Vivian Balakrishnan, berhubung Tambak Johor yang mengendalikan 250,000 pergerakan setiap hari.

“Saya berharap pegawai di kedua-dua negara akan berhubung dan mempertingkatkan kerjasama menangani penularan Covid-19 di Tambak yang mempunyai pergerakan tinggi.

“Kalau kita tidak buat betul-betul (kerjasama), ia akan ‘bocor’ (penularan jangkitan Covid-19). Oleh sebab itu, kita perlu menjaga Tambak secara bersama,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN-China mengenai Penyakit Koronavirus (Covid-19) di sini hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Menteri Luar China Wang Yi dan Setiausaha Luar Filipina, Teodoro Locsin.

Dalam mesyuarat itu, satu video yang menunjukkan sokongan negara-negara ASEAN terhadap China dalam memerangi penularan wabak Covid-19 di negara itu, telah dipertontonkan.

Saifuddin berkata anggota-anggota negara ASEAN turut menyatakan keyakinan, bahawa China akan berjaya menangani wabak Covid-19.

“Dalam perjumpaan hari ini, ASEAN turut menawarkan bantuan untuk membantu China, mengatasi masalah (itu),” katanya.

Saifuddin berkata mesyuarat hari ini menandakan satu komitmen antara negara-negara anggota ASEAN untuk berkongsi maklumat dan meningkatkan kerjasama, termasuk dalam bidang kesihatan dalam usaha memerangi virus itu.

Beliau berkata penularan wabak itu dijangka akan berlanjutan beberapa minggu lagi dan semua anggota ASEAN dan China setuju merangka strategi, untuk mengurangkan impak ekonomi negara anggota berikutan penularan Covid-19.

“Kita faham virus ini akan berlanjutkan beberapa bulan. Maka, kita perlu mengatasi (cabaran) ekonomi (dihadapi) negara-negara (ASEAN) khususnya dalam bidang pelancongan,” katanya.

“Kita perlu ada satu kesefahaman bersama khususnya dalam usaha menghadkan kemasukan pelancong. Tidak ada gunanya sebuah negara tegas manakala satu lagi tidak,” katanya.

Sementara itu, Wang Yi turut melahirkan penghargaan terhadap pemimpin dan rakyat ASEAN kerana bersama negara itu dalam menangani penularan wabak Covid-19.

“China menghargai persabahatan ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kumpulan kedua rakyat Malaysia di Wuhan akan pulang Selasa

VIENTIANE, 20 FEB: Malaysia akan membawa pulang kumpulan kedua rakyat Malaysia dari Wuhan, China pada Selasa depan susulan penularan wabak Covid-19 di negara itu.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata terdapat kira-kira 77,000 rakyat Malaysia di China namun beliau tidak memaklumkan jumlah yang akan dibawa pulang ke tanah air melalui kumpulan kedua itu.

“Kita ingin mengucapkan terima kasih (kepada Kerajaan China) atas bantuan yang diberikan untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan.

“Satu lagi trip (membawa pulang rakyat Malaysia) pada 25 Februari ini,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN-China mengenai Penyakit Koronavirus (Covid-19) di sini hari ini.

Pada 4 Februari, sejumlah 107 rakyat Malaysia telah dibawa pulang dari Wuhan, China dengan pesawat khas melalui misi bantuan kemanusiaan yang dilaksanakan kerajaan.

Mereka telah dibawa ke Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Nilai untuk menjalani pemantauan selama 14 hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada 18 Februari selepas tempoh kuarantin tamat.

Mesyuarat khas itu dipengerusikan bersama oleh Menteri Luar China Wang Yi dan Setiausaha Luar Filipina Teodoro Locsin.

Pada pertemuan bersama Menteri Luar China ketika mesyuarat khas hari ini, Saifuddin berkata beliau turut memberi jaminan bahawa pejabat perwakilan Malaysia di China akan beroperasi seperti biasa.

Sementara itu, Saifuddin berkata larangan perjalanan sementara rakyat China dari Wuhan, Hubei masih diteruskan.

“Kita lihat perkembangan terkini di China dari semasa ke semasa. Sebarang pengumuman akan dibuat melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia, United Kingdom terokai bidang kerjasama baharu

PUTRAJAYA, 11 FEB: Malaysia dan United Kingdom (UK) sedang meneroka bidang kerjasama bukan tradisi meliputi pembaharuan kerajaan, membanteras rasuah dan menangani isu hak asasi manusia untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala, kata Datuk Saifuddin Abdullah.

Pada sidang akhbar bersama Setiausaha Luar UK Dominic Raab, menteri luar berkata Malaysia juga berharap untuk melihat lebih banyak kerjasama parlimen dan antara rakyat.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hubungan dua hala semakin berkembang merangkumi perdagangan dan pelaburan, pertahanan, minyak dan gas, latihan, pendidikan, budaya, teknologi hijau, tenaga boleh baharu dan pelancongan; tetapi di bawah pentadbiran baharu, terdapat satu dimensi kerjasama baharu.

“Ia melangkaui kerjasama tradisi,” katanya selepas mengadakan pertemuan selama sejam dengan Raab di Wisma Putra, di sini hari ini.

Raab berada di Malaysia untuk mempromosikan UK sebagai destinasi perniagaan terbuka dan peneraju perubahan iklim, menjelang Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26) pada 2020.

Saifuddin berkata Malaysia sentiasa menghargai UK sebagai rakan dialog penting, rakan perdagangan dan ekonomi serta sumber pelaburan penting.

“Malaysia sentiasa mengalu-alukan dan menggalakkan lebih banyak pelabur UK memanfaatkan potensi pelaburan di Malaysia. Kami juga menggalakkan pelabur menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk ke wilayah ASEAN,” katanya.

Malaysia turut maklum mengenai hasrat UK untuk menjadi Rakan Dialog ASEAN susulan keluarnya negara itu dari Kesatuan Eropah dan berharap UK akan mengemukakan permohonan secara rasmi kepada Sekretariat ASEAN, kata Saifuddin.

Beliau turut menyuarakan harapan UK akan meningkatkan import kelapa sawit dari Malaysia selaras komitmen berterusannya terhadap pelaksanaan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) menjelang 2020 serta peraturan dan standard antarabangsa yang lain.

Sementara itu, Raab berkata perbincangan hari ini turut menyentuh mengenai keupayaan UK untuk menyokong cita-cita Malaysia dalam reformasi pendidikan, pertumbuhan mampan dan perubahan iklim.

“Pertumbuhan mampan sesuatu yang sangat menarik kerana kedua-dua negara menghadapi cabaran perubahan iklim global, tetapi kita juga perlukan inovasi serta teknologi dan usahawan untuk mencari kaedah penyelesaian menangani isu itu,” katanya.

Mengenai kemungkinan perjanjian perdagangan bebas Malaysia-UK, Raab berkata UK sedang berunding dengan Malaysia berhubung prospek untuk terlibat dalam perdagangan yang adil menerusi Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), turut ditandatangani Malaysia.

Beliau berkata UK juga akan terus bekerjasama dengan Malaysia untuk membanteras penghantaran secara haram sisa sampah plastik dari UK selain menggalakkan kepelbagaian biologi dan mencegah penebangan hutan.

“Saya sudah menerangkan mengenai sokongan kami terhadap usaha Malaysia untuk membersihkan laut dengan mengurangkan penggunaan plastik dan bahan buangan marin,” tambah Raab.

Selain itu, Saifuddin dan Raab turut berbincang perkara berkaitan perdagangan dan pelaburan, kedaulatan undang-undang, nasib Rohingya, Laut China Selatan dan COP26.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Usaha tangani koronavirus tiada kaitan dengan kaum

SHAH ALAM, 31 JAN: Rakyat Malaysia digesa berhenti mengaitkan usaha kerajaan menangani wabak koronavirus 2019 dengan isu perkauman, kata menteri luar negeri.

Datuk Saifuddin Abdullah berkata isu terbabit timbul susulan jangkitan itu berasal dari China, lapor Malaysiakini.

“Koronavirus kebetulan datang dari China, sebelum ini kita ada ebola dari Afrika dan jangkitan lain dari benua yang lain tetapi tidak pernah timbul isu perkauman.

“Sebab itu saya harap kita sebagai rakyat Malaysia boleh hentikan isu perkauman ini,” katanya kepada media pada majlis Tahun Baru Cina di Kuantan, Pahang semalam.

Sehingga semalam, jumlah kematian akibat wabak itu di China meningkat kepada 213 dengan 9,692 kes dilaporkan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Nadma sedia bawa pulang rakyat Malaysia di Wuhan

KUANTAN, 31 JAN: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersiap sedia untuk membawa pulang 80 rakyat Malaysia di Wuhan, China susulan wabak koronavirus 2019 di sana, kata menteri luar negeri.

Datuk Saifuddin Abdullah berkata keputusan dibuat Kabinet pada 29 Januari lalu, yang memberi keutamaan kepada keselamatan rakyat di sana memandangkan situasi penyakit itu belum melegakan.

Katanya, mereka akan dibawa pulang menggunakan pesawat komersial secepat mungkin, namun pengumuman tarikh dan penerbangan yang boleh digunakan hanya dibuat selepas perkara itu dimuktamadkan.

“Pesawat itu juga akan membawa pasukan perubatan dan mereka (yang dibawa pulang) akan diperiksa di China sebelum sekali lagi diperiksa setibanya di Malaysia yang jika perlu, akan dikuarantin untuk beberapa ketika sebelum dilepaskan.

Datuk Saifuddin Abdullah. Foto BERNAMA

“Buat masa ini, Kementerian Luar sedang berbincang dengan Kementerian Luar China mengenai beberapa perkara sebelum proses membawa keluar dimulakan kerana seperti diketahui kawasan itu sudah ditutup,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2020 Parlimen Indera Mahkota di sini semalam, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Semambu Lee Chean Chung.

Saifuddin berkata kerajaan China dilihat akan memberikan kerjasama baik kepada usaha membawa pulang rakyat Malaysia, seperti dilakukan negara itu kepada Jepun dan beberapa negara yang mahu membawa keluar rakyat mereka.

Beliau menjelaskan rakyat Malaysia di China ialah seramai 35,000 orang dengan di Hubei seramai 115 orang.

“Walaupun terdapat 115 orang di Hubei, namun hanya 80 yang berada di Wuhan kerana mereka yang lain sudah pulang bercuti di Malaysia, selain ada yang bercuti di wilayah lain di China,” katanya.

Saifuddin menjelaskan Kedutaan Malaysia di Beijing juga membuka bilik operasi 24 jam sejak seminggu lalu dan berhubung dengan rakyat Malaysia yang berada di China.

Beliau berkata sebagai tanda solidariti kepada China, Malaysia akan menghantar bantuan 10 juta sarung tangan getah yang diperlukan petugas perubatan di sana.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kedutaan Malaysia di Beijing tubuh Pasukan Respons Kecemasan

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Beijing menubuhkan Pasukan Respons Kecemasan (ERT) bagi memantau serta memberi laporan berterusan dan terkini berhubung perkembangan wabak 2019 novel koronavirus di China, kata menteri luar.

Datuk Saifuddin Abdullah berkata ERT juga berperanan untuk menghubungi rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan atau Pejabat Konsul Jeneral di seluruh China bagi memastikan kesihatan dan kebajikan mereka sentiasa terjaga.

“Mereka (kakitangan kedutaan Malaysia) bekerja sepanjang masa tanpa mengenal penat lelah walaupun di sepanjang cuti Tahun Baru Cina demi rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Saifuddin berkata usaha seluruh pegawai dan kakitangan Kedutaan Malaysia di China untuk membantu rakyat Malaysia akan berterusan selagi jangkitan koronavirus masih belum dibendung sepenuhnya.

Kerajaan Malaysia merakamkan penghargaan kepada pihak Kedutaan dan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di China atas segala usaha dan komitmen tinggi yang ditunjukkan dalam usaha menangani dan membantu rakyat Malaysia berhadapan koronavirus, katanya.

Saifuddin berkata beliau menghargai segala pengorbanan yang dilakukan semua pegawai dan kakitangan Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Beijing dan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Guangzhou, Hong Kong, Kunming, Nanning, Shanghai dan Xi’an.

Hari ini kerajaan Malaysia mengambil keputusan untuk menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei di kelilingnya berkuat kuasa serta merta.

Menurut kenyataan akhbar Pejabat Perdana Menteri semua kemudahan imigresen itu meliputi eNTRY (kemudahan tanpa visa), Visa Semasa Ketibaan, e-visa dan visa manual.

Setakat ini, KKM mengesahkan empat warga China yang memasuki Malaysia melalui Johor dari Singapura positif koronavirus.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Koronavirus: Kedutaan Malaysia terus berhubung dengan rakyat di Wuhan

PUTRAJAYA, 26 JAN: Kedutaan Malaysia di Beijing dan Konsulat Jeneral di Xi’an, China, sentiasa berhubung dengan 49 rakyat Malaysia di Wuhan bagi mendapatkan perkembangan mereka susulan wabak 2019 Novel Koronavirus di Wuhan, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, setakat ini tiada keperluan untuk membawa kesemua mereka pulang ke negara ini.

“….buat masa ini kita bergantung kepada tahap kritikal keadaan, jadi buat masa ini belum ada cadangan (membawa pulang) rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat penyelarasan kluster 2019 novel koronavirus (2019 nCoV) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di sini hari ini.

Beliau turut meminta rakyat Malaysia yang berada di China, khususnya di Wuhan agar menghubungi pejabat kedutaan atau konsulat berhampiran bagi membolehkan kerajaan memantau keadaan mereka di negara itu.

“Kita juga nak nasihatkan rakyat Malaysia yang balik dari China sekiranya rasa tidak sihat dan sebagainya supaya mendapatkan rawatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata buat masa ini, koronavirus tersebut dikategorikan sebagai jangkitan kluster di Malaysia kerana hanya membabitkan sekelompok kecil pelancong dari China.

“Buat masa ini, kes tersebut hanya membabitkan rakyat China dan tiada jangkitan dalam kalangan penduduk Malaysia.

“Status di Malaysia dikategorikan sebagai kluster, masih belum menjadi wabak kerana wabak bermaksud penyakit itu berada di mana-mana seperti di Wuhan,” katanya.

Mengenai prosedur pengesanan virus terhadap pelancong China, beliau berkata jika individu itu mempunyai simptom dan didapati positif virus tersebut mereka akan terus dirawat di hospital.

“Namun jika mereka positif tetapi tiada simptom kita akan letakkan mereka di bawah pemantauan selama dua minggu untuk tindakan seterusnya.

“Ini yang akan kita bincangkan dengan pihak kedutaan China untuk mendapatkan tempat bagi menempatkan mereka untuk tindakan pemantauan sepanjang tempoh tersebut,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia pantau situasi tegang di Asia Barat

PUTRAJAYA, 9 JAN: Malaysia kini memantau rapat perkembangan di Asia Barat secara 24 jam sebelum membuat keputusan memindahkan rakyat Malaysia di Iran dan Iraq, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Ketegangan di Asia Barat kian meruncing susulan kematian Qassem Soleimani, komander tertinggi tentera elit Iran, yang terbunuh dalam serangan dron oleh Amerika Syarikat (AS) berhampiran lapangan terbang Baghdad pada awal pagi Jumaat lalu.

“Pemindahan itu belum lagi…kita dah mula mesyuarat antara agensi dan yang berkaitan dan pantau 24 jam apa yang berlaku di sana.

“Malawakil (Pejabat Perwakilan Malaysia) kita di Tehran juga sentiasa berhubung dengan kita, begitu juga Malawakil kita yang berdekatan contohnya di Jordan, sentiasa memberi laporan kepada kita,” katanya ketika diminta mengulas perkembangan ketegangan AS dan Iran.

Saifuddin berkata demikian dalam sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama antara Wisma Putra dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang akademik, kebudayaan dan penyelidikan, di sini, hari ini.

“Pemindahan nampak mudah…tapi pastinya tidak seperti pergi untuk lawatan dan lebih-lebih lagi kita tidak boleh umum rancangan kita demi keselamatan rakyat kita namun kita melakukan semua persediaan yang diperlukan,” katanya.

Saifuddin berkata Wisma Putra telah mengeluarkan nasihat perjalanan dan berharap rakyat Malaysia di Iran dan Iraq serta yang ingin membuat perjalanan ke sana perlu mengambil langkah keselamatan.

Terdapat 163 rakyat Malaysia di Iraq yang kebanyakannya adalah kakitangan Petronas dan beberapa orang pensyarah, manakala 73 orang di Iran pula berdaftar dengan Malawakil di Tehran.

Berikutan ketegangan itu, kerajaan Filipina semalam mengarahkan pemindahan mandatori pekerja Filipina dari Iraq dan Iran dan menghantar sebuah kapal pengawal pantai ke Asia Barat bagi membawa rakyatnya sekiranya keadaan bertambah buruk.

Dilaporkan ketegangan antara AS dan Iran reda selepas Presiden Donald Trump memberikan kenyataan berkaitan serangan Iran terhadap pangkalan tentera AS di Iraq, Selasa lalu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan siap sedia pindahkan rakyat Malaysia di Iran, Iraq

PUCHONG, 8 JAN: Kerajaan bersiap sedia memindahkan 220 rakyat Malaysia yang berada di Iran dan Iraq susulan ketegangan yang tercetus di Asia Barat.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar, Datuk Amran Mohamed Zin bersama pelbagai agensi bagi membincang dan menilai perkara berkaitan konflik di negara tersebut, hari ini.

Beliau berkata antara agensi terlibat ialah Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Jabatan Perdana Menteri dan Polis Diraja Malaysia.

“Kami membuat persiapan sekiranya perlu diadakan pemindahan…pada masa ini, kita ada 58 rakyat Malaysia yang berada di Iran yang separuh daripada mereka adalah pelajar.

“Seramai 162 orang lagi di Iraq, majoritinya adalah kakitangan Petronas dan beberapa orang pensyarah,” katanya kepada pemberita selepas menyertai lawatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke SMK Pusat Bandar Puchong 1, Pusat Bandar Puchong di sini, hari ini.

Saifuddin berkata mesyuarat seumpama itu akan kerap diadakan bertujuan mengemas kini sebarang perkembangan dari semasa ke semasa sebelum dihebahkan kepada rakyat negara ini.

Beliau berkata kementeriannya juga telah mengarahkan kedutaan yang berhampiran dengan negara konflik berkenaan untuk bersiap sedia sekiranya perlu mengadakan proses pemindahan.

“Sesiapa yang berada di sana harus sentiasa berhubung dengan kedutaan,” katanya sambil menasihatkan rakyat di negara ini menangguhkan rancangan sekiranya mahu melawat negara terbabit.

Ketegangan di Asia Barat kian meruncing susulan kematian Qassem Soleimani, komander tertinggi tentera elit Iran, yang terbunuh dalam serangan dron oleh Amerika Syarikat berhampiran lapangan terbang Baghdad pada awal pagi Jumaat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rakyat Malaysia di Timur Tengah dinasihat daftar diri di kedutaan

PUTRAJAYA, 8 JAN: Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah menasihatkan rakyat Malaysia yang tinggal atau dalam perjalanan ke Timur Tengah dan rantau Teluk supaya lebih berhati-hati serta mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan mereka.

Beliau juga menggesa mereka yang masih belum mendaftar diri dengan misi diplomatik Malaysia supaya berbuat demikian di kedutaan terdekat atau konsulat jeneral Malaysia dengan segera, katanya.

“Pendaftaran boleh dilakukan menerusi e-mel,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pasukan petugas belia mengenai hal ehwal luar dan diplomasi di Wisma Putra di sini.

Berikutan misi diplomatik Malaysia yang tidak aktif di Iraq, Syria dan Yaman, Saifuddin berkata rakyat Malaysia yang tinggal, bekerja atau melancong di sekitar rantau itu perlu mendaftar dengan kedutaan berikut:

* Rakyat Malaysia di Iraq mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di Amman, Jordan;

* Mereka yang berada di Syria, mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di Beirut, Lubnan;

* Rakyat Malaysia di Yaman, mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di Muscat, Oman.

Saifuddin juga menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan yang tidak penting ke rantau berkenaan.

-BERNAMA