Categories
AGENDA NASIONAL

Jualan terus BPR bantu rakyat nikmati harga rendah

SHAH ALAM, 21 OKT: Jualan secara terus menerusi kolaborasi bersama beberapa agensi pertanian membantu rakyat menikmati tawaran harga rendah antara lima hingga 30 peratus apabila berbelanja di program Bazar Peduli Rakyat (BPR).

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, mekanisme itu bertujuan membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup kerana harga ditawarkan BPR lebih rendah berbanding di pasar awam setempat.

“Jualan terus stok bekalan makanan, produk Agromas, sayur-sayuran, buah-buahan dan produk industri asas tani oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melalui Pusat Operasi FAMA.

“Produk ikan dan hasilan laut Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) pula melalui Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) manakala jualan terus ayam, daging dan telur oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) kawasan setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan yang dikemukakan Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, jualan komoditi terpilih oleh usahawan secara terus serta jualan ‘Happy Hour’ pada harga borong turut membantu pengguna mendapatkan harga rendah.

Sehingga 27 September lalu, BPR telah diadakan 17 kali di sembilan lokasi antaranya dengan jumlah pengunjung seramai 25,402 orang dan anggaran nilai jualan RM700,000.

Categories
AGENDA NASIONAL

Petani bakal nikmati manfaat tabung pelaburan

ALOR SETAR, 10 SEPT: Petani kemungkinan bakal menikmati manfaat daripada sebahagian keuntungan diperoleh Padiberas Nasional Bhd (Bernas) ataupun mana-mana pihak lain yang akan diberikan kontrak Permit Import (AP) beras selepas kontrak Bernas tamat pada Januari 2021.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, kementeriannya bercadang memasukkan sebahagian keuntungan itu ke dalam tabung pelaburan petani, bagi kegunaan hal kebajikan golongan berkenaan termasuk nelayan.

“Sebahagian keuntungan ini dimasukkan ke dalam tabung pelaburan ini untuk diagihkan kembali kepada petani, mungkin satu tabung untuk kebajikan anak petani dan nelayan, gunakan balik daripada sebahagian keuntungan dalam tabung pelaburan ini nanti.

“Setelah 60 tahun negara ini merdeka, industri padi dan beras negara keuntungan ini tidak dapat dirasai petani peringkat bawah,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Konvensyen Padi Kebangsaan 2019 di sini, hari ini.

Perasmian itu disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut dihadiri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, kementeriannya mengalu-alukan mana-mana pihak lain yang berminat untuk mendapatkan kontrak AP itu, bagi menggantikan Bernas dengan menghantar cadangan mereka untuk penelitian pihak kementeriannya.

“Kementerian akan buat keputusan dan melihat pihak mana yang memenuhi kriteria ditetapkan dan boleh menjalankan tanggungjawab untuk aspek keselamatan makanan secara keseluruhannya, dalam tempoh enam bulan dari sekarang kita dah boleh tahu, namun setakat ini kita belum terima lagi cadangan tersebut,” katanya.

Katanya, kementeriannya akan membuat penilaian sebaik mungkin, sama ada meneruskan kontrak Bernas atau memberikan kontrak itu kepada pihak lain yang lebih layak.

Salahuddin berkata, ini kerana ia bukan sekadar aktiviti mengimport beras dan keuntungan semata-mata, sebaliknya ia melibatkan rantaian nilai keseluruhan keselamatan makanan negara selain kebajikan petani perlu diberikan perhatian.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MoA, MEA akan kenal pasti tanah Felda untuk penanaman durian

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) akan mengenal pasti tanah Felda yang akan digunakan untuk menanam durian, bagi membolehkan peneroka mendapat pendapatan tambahan di masa hadapan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, kedua-dua kementerian itu kini sedang menjalankan kajian bagi mengenal pasti tanah Felda yang sesuai untuk tujuan itu.

“Kami sekarang sedang membuat kajian (tanah yang sesuai di Felda)…di kawasan-kawasan berbukitlah (untuk penanaman durian)…nanti kami akan umumkan di mana tempatnya.

“Perlunya MoA dan MEA bekerjasama, supaya tanah-tanah Felda itu juga ditanam dengan tanaman kontan, dan oleh kerana Felda ada Felda Plantation yang tiada peneroka tapi ada tanaman, jadi kenapa tidak kita mengimbangi dan mengatasi isu sawit yg semakin merudum, kita tanam dengan tanaman yang menguntungkan,” katanya di sidang media selepas merasmikan Festival Durian Agrobank di sini, hari ini.

Pada 3 Mei, Menteri MEA, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tanah terbiar kerajaan yang tiada perancangan pembangunan akan dikenal pasti untuk digunakan bagi tujuan pertanian.

Katanya, MoA akan mengkaji cara menyediakan peluang kepada petani dan usahawan kecil menggunakan tanah tersebut untuk meningkatkan pendapatan mereka, dan meningkatkan hasil pengeluaran negara.

Sementara itu, Agrobank yang sebelum ini dikenali sebagai Bank Pertanian Malaysia Bhd, hari ini menganjurkan Festival Durian, yang merupakan satu inisiatif bank tersebut mempromosikan perniagaan berasaskan durian sebagai satu punca kekayaan.

Festival ini adalah sebahagian daripada sasaran Agrobank mengembangkan lagi rangkaian dan memberikan peluang perniagaan, kepada agropreneur dalam perniagaan durian.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar dalam ucapannya berkata, dengan konsepkan ‘durian sebagai satu perniagaan’, festival ini diadakan bukan sahaja untuk menikmati keenakan raja buah itu, namun juga mempromosikan produk dan servis mereka.

“Kami telah membantu memberikan pinjaman kepada agropreneur berasaskan durian dengan jumlah keseluruhan RM90 juta. Agrobank berharap agar agropreneur akan menggunakan kesempatan ini untuk mengembangkan perniagaan berasaskan durian mereka, ke peringkat antarabangsa,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MAQIS perlu tambahan 800 anggota baharu

SEPANG, 20 Ogos: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) memerlukan tambahan 800 anggota baharu bagi berdepan pelbagai isu dan cabaran di 57 pintu masuk di Semenanjung Malaysia dan Labuan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, jabatan itu dengan kekuatan 463 anggota sekarang tidak mencukupi untuk berdepan pelbagai isu seperti penguatkuasaan, penyeludupan spesis benih dan penyakit.

“Sekarang ini pula isu berkaitan pembelian dalam talian di mana barang (keluaran pertanian dan agromakanan) dapat melepasi operasi manual dan ini sudah pasti memerlukan kepakaran dan peralatan yang semakin canggih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Lafaz Ikrar dan Pelancaran Keramat MAQIS, di sini hari ini.

Salahuddin berkata, pihaknya akan membawa isu penambahan anggota MAQIS ke mesyuarat Kabinet untuk perhatian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ini bukan satu permohonan yang suka-suka tetapi saya faham betapa pentingnya jumlah anggota penguatkuasaan ditambah,”katanya.

Pada masa sama, beliau turut berbangga kerana setakat ini tiada isu berkaitan anggota MAQIS terbabit dengan salah guna kuasa atau didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Keramat MAQIS yang dilafazkan setiap hari sebelum pertukaran syif akan menjadi peringatan kepada anggota berhubung kepentingan menjaga integriti dan tidak melakukan penyelewengan semasa bertugas, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian siasat dakwaan AP dijual secara dalam talian

SERI ISKANDAR, 18 OGOS: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang menyiasat dakwaan Permit Kelulusan (AP) bagi mengimport pelbagai barangan makanan yang dikeluarkan kerajaan dikesan diiklankan untuk jualan secara dalam talian.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pihaknya akan mengambil tindakan yang tegas sekiranya AP yang dikeluarkan kepada penerima kemudahan itu dalam usaha memenuhi keperluan rakyat disalahguna dengan menjualnya menerusi laman web dan media sosial.

“Saya telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan ia tidak disalahgunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Tahunan Amanah Kawasan Parit di Seri Iskandar, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara berkata, pihaknya juga mempunyai kuasa untuk menarik semula kemudahan itu kepada penerima yang dikenal pasti menyalahgunakan AP berkaitan pertanian tanpa kompromi.

Salahuddin berkata, selain barangan pertanian, pihaknya turut mengesan penjualan AP secara dalam talian membabitkan barangan lain seperti gula dan tepung.

“Kita tidak akan berkompromi dengan penyelewengan dan perlu menjalankan siasatan bukan sahaja di peringkat kementerian ini tetapi kementerian lain kerana saya lihat terdapat penjualan AP bagi gula, tepung dan lain-lain,” katanya.

Akhbar tempatan melaporkan banyak pihak dipercayai mendakwa mempunyai AP seperti tepung, ayam, daging, gula dan kubis bulat, yang mengiklankan untuk menjualnya menerusi sebuah web yang menjadi saluran iklan perkhidmatan dan barangan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kepimpinan baharu Pertuduhan Peladang perlu lebih berintegriti

REMBAU, 6 OGOS: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meminta barisan kepimpinan Pertubuhan Peladang di setiap peringkat yang bakal dilantik kelak, memegang prinsip integriti tinggi supaya tidak berlaku sebarang penyelewengan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, sehubungan itu, mereka yang dilantik akan diberi masa selama enam bulan sebelum dibuat penilaian bagi melihat prestasi masing-masing.

“Saya tekankan aspek integriti, sesiapa dipilih dalam mesyuarat agung dan sesiapa yang dilantik atas kuasa menteri mesti pelihara integriti kerana ini membabitkan duit rakyat termasuk isu bantu peladang.

“Saya minta yang dilantik ini benar-benar bertanggungjawab, enam bulan selepas dilantik saya akan buat penilaian terhadap mereka, jadi siapa pun yang duduk di situ mesti berperanan majukan peladang,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perhimpunan Warga Tani Daerah Rembau Sempena Memperingati Hari Peladang, Penternak dan Nelayan.

Katanya, Pertubuhan Peladang Kawasan perlu mampu mewujudkan perniagaan atau aktiviti menguntungkan supaya boleh berdiri sendiri, sekali gus tidak terlalu bergantung dengan kerajaan.

Salahuddin berkata, sektor pertanian ternyata menjanjikan pendapatan lumayan bukan sekadar bagi mereka yang ingin menjadikan ia sebagai profesion baharu tetapi turut menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar.

“Saya sudah teliti sama ada sektor perikanan, perladangan, buah-buahan, padi dan sektor sayuran sekalipun sebenarnya kita punya potensi.

“Saya juga melihat satu petanda yang baik atau fenomena dalam lawatan saya ke seluruh negara di mana pertanian sudah mula jadi pilihan anak muda yang ingin bekerjaya.

“Mereka juga yakin semua sektor dalam pertanian menjanjikan pendapatan lumayan jika mereka benar-benar fokus,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lupus bot nelayan asing: Perbincangan MoA-KDN peringkat akhir

KUALA LUMPUR, 31 JUL: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) kini dalam proses perbincangan akhir bersama Kementerian Dalam Negeri tentang kaedah melupuskan bot-bot nelayan asing yang dirampas kerana menangkap ikan di perairan negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pihaknya juga sedang meneliti kaedah yang tepat bagi memusnahkan bot-bot nelayan asing itu.

“Sama ada bom, bakar atau tenggelam itu kami sedang bincang. Mungkin dalam masa dua minggu akan ada satu acara untuk menunjukkan kepada pihak antarabangsa bahawa kita serius menangani isu pencerobohan nelayan asing.

“Saya juga telah mendapat taklimat daripada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) bahawa telah ada beberapa bot nelayan Vietnam yang telah dilucutkan hak oleh mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) ke-34/2019 di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Nekmat Abdul Hamid Bahari dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil.

Terdahulu, Salahuddin dalam ucapannya berkata beliau telah bertemu Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia Susi Pudjiastuti baru-baru ini dan mengagumi ketegasan Indonesia dalam menangani isu pencerobohan kapal nelayan asing di Indonesia.

“Tidak ada kapal nelayan asing (di Indonesia), mereka dihalau balik semua. Bot-bot besar diharamkan, tiada soft landing, tarik semua lesen.

“Bot asing masuk, bom. Indonesia buat tiga tahun. Tahun pertama maki hamun, sumpah namun, masuk tiga tahun ikan tuna datang berenang ke pantai,” katanya.

Salahuddin berkata apabila pihaknya bertegas, hasil laut juga akan meningkat dan ia akan mendatangkan pendapatan lumayan khususnya pada nelayan negara.

Semalam, media melaporkan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia sedang meneliti untuk mencontohi dasar kerajaan Indonesia dengan memusnahkan atau menenggelamkan kapal nelayan asing yang ditahan menceroboh perairan negara.

Beliau berkata, terdapat cadangan supaya perkara itu dilaksanakan namun, perlu mendapat nasihat daripada Peguam Negara.

Awal bulan ini, Salahuddin berkata, tindakan menenggelamkan bot nelayan asing yang mencerobohi perairan Malaysia hanya akan dipertimbangkan jika langkah menangani pencerobohan nelayan asing pada masa ini termasuk penubuhan pasukan petugas khas oleh Kabinet tidak berkesan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 2,000 usahawan tani wanita terima manfaat Agro Nisaa’-i

ALOR SETAR, 28 JUL: Lebih 2,000 usahawan tani wanita telah mendapat manfaat menerusi pembiayaan mikro Agro Nisaa’-i membabitkan peruntukan kira-kira RM3 juta.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, inisiatif yang disediakan melalui Agrobank itu bertujuan membantu golongan wanita dalam kalangan berpendapatan rendah terutama B40 terlibat dalam bidang keusahawanan dan menjana pendapatan.

“Kementerian akan lihat perkembangan inisiatif ini, kalau golongan penerima pembiayaan ini maju ke depan, kita akan minta Agrobank tambah lagi peruntukan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan program pembiayaan itu untuk komuniti nelayan di Kuala Kedah, dekat sini hari ini.

Katanya, program yang diperkenalkan sejak November tahun lalu itu juga turut mensasarkan ibu tunggal dan ia dilihat sangat berkesan membantu golongan itu.

Jelasnya, selain menawarkan pembiayaan antara RM5,000 hingga RM50,000, Agrobank juga menyediakan latihan keusahawanan dan bantuan lain termasuk promosi dan pemasaran untuk usahawan terbabit.

Salahuddin berkata, setiap penerima juga akan dipantau oleh Agrobank dan sekiranya usaha mereka menampakkan perkembangan institusi perbankan itu akan menyediakan pembiayaan tambahan untuk mereka mengembangkan perniagaan mereka.

“Jadi, daripada perusahaan kecil kepada sederhana, daripada sederhana boleh jadi usahawan besar yang akhirnya boleh memayungi usahawan baharu nanti,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehuddin Hassan. – BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Padi, perikanan jadi tumpuan mesyuarat MOA dan EXCO negeri

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 JULAI: Selaras hala tuju baharu pertanian negara, sektor padi dan perikanan menjadi antara isu utama dalam Mesyuarat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Bersama EXCO Pertanian Negeri, kali ini.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, mesyuarat dwi tahunan itu juga akan membincangkan isu membabitkan agropreneuer muda dan tanah.

“Esok (hari ini) adalah mesyuarat pertama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bersama EXCO pertanian seluruh negara, termasuk Menteri Pertanian Sabah dan Sarawak.

“Selain itu, kita juga bincang isu tanah jika ada yang membabitkan Kerajaan Negeri yang boleh kita selaraskan untuk melicinkan urus tadbir antara agensi peringkat Persekutuan dan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Sempena Mesyuarat Kementerian Pertanian bersama EXCO Pertanian Seluruh Malaysia, di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor di sini, semalam.

Mesyuarat yang dipengerusikan Salahuddin akan dilangsungkan di Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam hari ini.

Selain mesyuarat, mereka yang terbabit akan dibawa meninjau fasiliti di Selangor Fruit Valley seperti ladang pertanian, penternakan dan buah-buahan.

Categories
NASIONAL

RM200,000 bina jeti baharu di Kuala Penyu

KUALA PENYU, 14 JULAI: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) terus peka terhadap keperluan nelayan di Sabah khususnya di daerah ini, apabila mengumumkan peruntukan RM200,000 bagi membina baharu Jeti Sitompok, di sini.

Peruntukan itu diumumkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dalam lawatan kerja dan majlis ramah mesra bersama nelayan Kuala Penyu, yang turut dihadiri timbalannya Sim Tze Tzin dan Ketua Setiausaha MOA Datuk Sallehhuddin Hassan, hari ini.

Selepas pengumuman itu, Salahuddin kemudian menyampaikan replika cek bagi membina jeti berkenaan kepada Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Penyu Mohd Yusof Mohamad.

Bercakap kepada pemberita Salahuddin berkata, peruntukan itu adalah bantuan segera daripada kementerian, memandangkan jeti sementara yang ada pada ketika ini terlalu daif dan tidak selamat untuk para nelayan mendaratkan hasil laut mereka.

“Jeti ini perlu dibina baharu sebagai kemudahan para nelayan di daerah ini mendaratkan hasil tangkapan mereka, selain memastikan mereka tidak menghadapi masalah seperti sebelum ini.

“Justeru, saya berharap pihak bertanggungjawab menguruskan pembinaan jeti ini, akan memastikan kerja-kerja pembinaan dilakukan mengikut masa ditetapkan, bagi membolehkan para nelayan dapat menggunakan jeti ini dalam masa terdekat,” katanya.

Pembinaan sementara Jeti Sitompok dimulakan sendiri oleh PNK Kuala Penyu pada 21 Feb lalu dengan kos RM15,000, yang dibina di atas rizab perikanan Kuala Penyu dengan mendapat kelulusan daripada Jabatan Perikanan Sabah dan Pejabat Daerah Kuala Penyu.

Pada majlis sama, Salahuddin turut meluangkan masa hampir sejam berdialog bersama agropenur muda Sabah selain menyampaikan geran Agropreneur Muda Negeri Sabah bernilai RM342,000 kepada seramai 40 peserta program tersebut.

Program Agropreneur Muda adalah satu daripada inisiatif MOA untuk menarik serta menggalakkan pembabitan golongan muda dalam sektor pertanian seterusnya membangunkan lebih ramai usahawan muda dalam sektor itu.

Seramai 419 agropreneur muda di Sabah menerima kelulusan geran Agropreneur Muda berjumlah RM5.8 juta sejak 1 Januari 2016 hingga 31 Mei lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 267 agropreneur muda menerima geran RM3 juta bagi sektor tanaman, 97 orang menerima RM1.6 juta (sektor industri asas tani); 28 orang menerima RM663,000 (sektor ternakan) dan 27 orang menerima RM607,000 bagi sektor perikanan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

PPK perlu diurus dengan baik-Salahuddin

KOTA KINABALU, 14 JULAI: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub mahu semua Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di negara ini diurus tadbir dengan baik dan memastikan aktiviti yang dijalankan, memberi manfaat kepada rakyat.

Justeru, belia berkata, kementeriannya akan memantau aktiviti PPK di negara ini dan memastikan tiada penyelewengan berlaku.

“Mana-mana PPK yang berlaku penyelewengan, saya akan ganggu (pantau) dan PPK yang menjalankan urus tadbir dengan baik, saya tidak ganggu.

“Saya juga tidak mengira latar belakang pimpinan PPK, tetapi saya mahu mereka bekerja untuk rakyat kerana tujuan PPK ditubuhkan menjadi payung kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada lawatan projek ternakan keli Afirka, udang kara air tawar, dan kerapu hibrid, di Kampung Sendil Putatan dekat sini, hari ini.

Pada lawatan itu juga, berlangsung majlis menandatangani Memorandum Pesefahaman (MoU) antara Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Putatan, PCB Biotech Sdn Bhd dan EZ Retail.

Ditemui pemberita selepas majlis itu, Salahuddin berkata terdapat 279 PPK di seluruh negara dengan keahlian seramai 960,000 dan PPK kini sedang dalam proses mengadakan mesyuarat agong dengan separuh daripadanya telahpun selesai mengadakannya.

“Tidak kira siapa mereka (lantikan baharu), saya akan pastikan mereka benar-benar profesional dan berminat dalam mengurus PPK dengan baik, untuk manfaat golongan peladang,” katanya.

Berhubung projek ternakan keli, udang kara air tawar dan kerapu hibrid itu, beliau berkata ia satu aktiviti pertanian yang memberi potensi cukup besar masa hadapan, khususnya kepada ekonomi setempat.

“Saya menggalakkan industri ini berkembang jauh kerana dapat memberikan pekerjaan kepada anak tempatan dan menambah nilai eksport untuk pertumbuhan ekonomi negeri ini dan negara,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

MOA bawa teknologi China dalam sektor tanaman padi

KOTA BELUD, 13 JULAI: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mahu bekerjasama dengan China bagi membawa masuk teknologi baharu dalam usaha meningkatkan hasil tanaman padi di negara ini, kata Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, penggunaan teknologi moden dalam sektor tanaman padi di China membolehkan negara itu menghasilkan padi sehingga 8 tan sehektar selain berupaya menyimpan bekalan beras mencukupi untuk kegunaan kira-kira 1.4 bilion rakyatnya.

Katanya, semasa lawatan ke China baru-baru ini, pihaknya mendapat maklumat menarik bagaimana China mengekalkan bekalan padi selama setahun dan mencukupi untuk 1.4 bilion rakyatnya.

“Berasaskan fakta itu, kita menyahut hasrat perdana menteri supaya Malaysia khususnya MOA berkolaborasi dengan China supaya teknologi baharu (digunakan China dalam tanaman padi) dibawa masuk ke negara kita,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sebelum itu, beliau menyerahkan kunci jentera penuai padi kepada Kumpulan Pengguna Air Kampung Merabau, pada satu majlis di sini.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Junz Wong; Ketua Setiausaha MOA, Datuk Sallehhuddin Hassan dan Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud, Salmah Labulla.

Salahuddin berkata, beliau bercadang mengadakan lawatan ke Hainan, China kerana ia adalah antara lokasi berjaya dalam sektor tanaman padi di negara itu selain melawat beberapa institusi penyelidikan berkaitan.

Beliau berkata, teknologi moden tanaman padi itu merangkumi keseluruhan rantaian nilai dalam sektor itu termasuk melihat kepada penggunaan dron serta teknologi ‘Kecerdasan Buatan’.

Katanya, teknologi itu diharap dapat diaplikasikan IADA Kota Belud ke arah meningkatkan hasil padi seterusnya melonjakkan pendapatan petani.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin berkata, MOA akan mengemukakan dasar baharu dalam sektor perikanan negara bagi memastikan nelayan mampu meningkatkan hasil laut seterusnya memberi pulangan lumayan kepada golongan itu.

Berhubung penyerahan jentera penuai, katanya ia adalah hasil program promosi mekanisasi dan automasi agro-makanan Rancangan Malaysia Kesebelas IADA Kota Belud yang diharap dapat membantu para petani di Kampung Merabau meningkatkan sumber pendapatan dan hasil pengeluaran padi.

—BERNAMA