Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

36,000 keluarga mangsa banjir Selangor terima bantuan RM1,000

ISKANDAR PUTERI, 16 JAN: Seramai 36,000 ketua isi rumah (KIR) di Selangor telah menerima bantuan RM1,000, menerusi inisiatif Selangor Bangkit yang bermula akhir Disember lalu.

Menteri Besarnya Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihaknya menjangkakan bilangan KIR yang akan menerima bantuan tersebut bakal mencecah 40,000 pada minggu hadapan, menjadikan jumlah bantuan yang disalurkan berjumlah RM40 juta.

Menurutnya, sebanyak 11,194 KIR yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor telah menerima bantuan berkenaan.

“Angkanya terus berterusan sekarang.. kita sedang buat pendaftaran rumah ke rumah, bancian sedang dilakukan, bila kita dapat kita bagi dalam tempoh seminggu.

“Sebelum ini kita sasar 30,000 keluarga sahaja, tetapi hari ini sahaja dah 36,000 dan ada lagi pendaftaran masuk. Jadi, kita buka pendaftaran sampai 31 Januari dan mungkin kita akan tunggu pendaftaran itu sebab ia memerlukan proses semakan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kerajaan Selangor di bawah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyerahkan sumbangan 1,000 bakul makanan kepada mangsa banjir di Johor kepada Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse (dua, kiri) pada majlis yang diadakan di Bandar Medini, Iskandar Puteri pada 16 Januari 2022. Foto BERNAMA

Terdahulu, Amirudin menyampaikan sumbangan 1,000 bakul makanan kepada mangsa banjir di Johor daripada kerajaan Selangor di Bandar Medini di sini hari ini.

Akhir tahun lalu, beliau memaklumkan mnagsa banjir di Selangor akan menerima bantuan RM1,000 menerusi inisiatif Selangor Bangkit, yang akan mula disalurkan seawal Rabu ini.

Penerima terbahagi kepada tiga kategori iaitu mangsa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) awam; mangsa yang berpindah ke PPS swasta (persendirian) dan mangsa yang tidak berpindah ke PPS.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Sidang dewan negeri secara hibrid jika kes Covid-19 sukar dikawal

SHAH ALAM, 20 JULAI: Kerajaan Selangor sedia mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) secara hibrid sekiranya situasi Covid-19 sukar dikawal khususnya dengan penularan varian baharu Covid-19 dalam negara.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata jika terdapat keperluan bagi tujuan itu, beliau akan mengusulkan pindaan akta atau enakmen atau meminda peraturan dewan yang berkaitan di awal persidangan secara fizikal supaya persidangan secara hibrid dapat dilaksanakan secara sah.

“Selepas pindaan diluluskan, kita akan meneruskan sidang DUN secara hibrid dalam usaha kita untuk mengelakkan perebakan Covid-19,” katanya kepada Bernama.

Amirudin berkata ujian saringan Covid-19 kepada yang akan terlibat dengan persidangan DUN bakal dijalankan dalam jangka masa terdekat selain hanya petugas sidang DUN serta pengamal media yang lengkap menerima dua dos vaksin sahaja dibenarkan bertugas di sana.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata kerajaan negeri juga selesai menjalankan satu sesi libat urus bersama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan serta pembangkang yang dijalankan secara webinar bagi membincangkan perkembangan inisiatif Pakej Kita Selangor.

Beliau berkata perbincangan itu juga turut melibatkan kemungkinan pindaan kepada belanjawan negeri terutamanya jika melibatkan pertukaran peruntukan sesebuah agensi.

Media sebelum ini melaporkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan pembukaan sidang DUN Selangor yang mula bersidang pada 23 Ogos hingga 6 Sept depan.

Menurut Amirudin, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah juga telah memberi perkenan baginda bagi tujuan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor Ke-14 Tahun 2021 dan turut berkenan berangkat serta mencemar duli merasmikan Istiadat Pembukaan sidang DUN pada Isnin, 23 Ogos depan.

Sidang dewan kali ini mengikut format sidang biasa yang mempunyai sesi soal jawab dan perbahasan dan bukan sekadar sidang khas dengan kawalan tatacara pengendalian piawai dan memfokuskan kepada usaha kerajaan negeri menangani penularan wabak Covid-19, katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Penduduk Gugusan Cempaka terharu MB datang ke rumah

PETALING JAYA, 4 JULAI: Penduduk Pangsapuri Gugusan Cempaka di sini terharu dengan kesudian Dato’ Menteri Besar hadir ke rumah mereka.

Azhar Mohammad, 46, tidak menyangka pemimpin tertinggi negeri itu sanggup turun padang dan melawatnya.

“Hari ini saya diberitahu sebuah badan bukan kerajaan akan menyerahkan bantuan tetapi tak sangka pula sebaliknya Datuk Seri Amirudin Shari yang datang.

“Terima kasih kerana sudi datang menziarahi saya yang sedang sakit dan kunjungannya sedikit sebanyak menggembirakan kami,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau yang menghidap penyakit kencing manis sudahpun menjalani pembedahan membuang sebahagian kaki kanannya pada tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra serta menyerahkan sumbangan kepada penerima, Selvi pada program Edaran Beg Makanan TS Cares Siri-3 di Gugusan Cempaka Seksyen 6, Kota Damansara pada 4 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Kehadiran Amirudin turut mengejutkan seorang tukang cuci, Selvi, 47, yang gembira kerana bantuan diserahkan beliau sendiri kepadanya sekeluarga.

“Dato’ Menteri Besar masuk ke rumah saya seperti orang biasa sahaja, terima kasih sudi datang dan melihat kesusahan kami. Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya dan suami tidak dapat bekerja, emak saya pula sakit tetapi bersyukur keranan Kerajaan Negeri tidak melupakan kami,” katanya.

Kedua-dua individu berkenaan antara dikunjungi Amirudin ketika Program Team Selangor Cares, hari ini.

Beliau turut menyerahkan bantuan bekalan makanan dan barang dapur kepada keluarga memerlukan di pangsapuri berkenaan.