Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor rangka garis panduan fasa endemik, elak kes melonjak

KUALA SELANGOR, 3 OKT: Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC) merangka garis panduan serta langkah pengendalian wabak yang memasuki fasa endemik hujung bulan ini.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata panduan merangkumi cabaran mendepani kesihatan awam pada masa hadapan selain melibatkan aspek pasca pandemik.

Beliau memaklumkan cadangan dan pandangan berhubung perkara itu sudah diberikan kepada Kerajaan Negeri serta EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud selain bakal mengadakan pertemuan dalam tempoh terdekat.

“Kita tidak boleh ambil tindakan ketika penularan sahaja. Kita mesti buat persiapan menyeluruh dari aspek struktur, infrastruktur, kapasiti, kakitangan termasuk melihat cabaran andainya berlaku perebakan varian Delta atau virus lain.

“Kena buat semua kerana kita penyumbang KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar). Jadi Selangor perlu bersiap siaga dalam cabaran epidemik ini,” katanya ditemui pada Program Clean & Clear Beach Cleanup @Pantai Remis anjuran Team Selangor hari ini.

Sementara itu bekas menteri kesihatan berkata buat pertama kali Selangor mencapai nisbah positif ujian (TPR) seperti ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu perlu kurang daripada lima peratus.

“Kalau tidak silap Selangor catat 4.83 peratus, berbanding negeri lain cecah 18 hingga 20 peratus. Bagimanapun saya tak selesa dengan pencapaian ini kerana sebenarnya lebih rendah. Sekarang ramai gunakan kit saliva (ujian kendiri air liur) jadi mereka yang negatif tidak kemas kini di MySejahtera.

“Saya yakin kalau kita terus patuh SOP (tatacara operasi piawai) kita catat lebih rendah walaupun populasi penduduk tinggi padat. Kita kena rancakkan FTTIS (kenal pasti, pengujian, pengesanan, kuarantin dan sokongan) selain vaksin dan kawasan pengudaraan,” katanya.

Pada 14 September, menteri kanan pertahanan berkata SOP bagi mengawal penularan Covid-19 dikurangkan kepada 10 berbanding 181, yang turut membabitkan kebenaran rentas negeri.

Datuk Seri Hishamuddin Hussein menjelaskan langkah itu bagi memudahkan orang ramai, golongan industri dan penguat kuasa memahaminya susulan peralihan ke fasa endemik dijangka Oktober.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

STFC: Saringan bersasar diterus meski kadar vaksin cecah 90 peratus

KUALA SELANGOR, 3 OKT: Saringan Covid-19 secara bersasar tetap diteruskan di Selangor meskipun kadar vaksin penuh penduduk dewasa negara mencecah 90 peratus.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah pengesanan wabak memfokuskan kawasan yang mencatatkan jangkitan tinggi.

“Kaedah FTTIS (kenal pasti, pengujian, pengesanan, kuarantin dan sokongan) perlu digerakkan ke kawasan sasaran. Contohnya berlaku di tempat kerja atau sekolah, jadi kita akan kesan di situ.

“Kena ingat vaksin bukan peluru hapuskan Covid-19. Jangan harapkan vaksin sahaja kerana kita hidup dengan varian Delta, jadi perlu bertindak awal sebelum berlaku keadaan lebih teruk,” katanya.

Mantan menteri kesihatan yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor ditemui pada Program Clean & Clear Beach Cleanup @Pantai Remis anjuran Team Selangor.

Setakat semalam seramai 20,317,843 individu atau 86.8 peratus populasi dewasa lengkap divaksin.

Susulan itu, kelonggaran rentas negeri semakin hampir apabila negara hanya memerlukan 3.2 peratus saja lagi untuk mencecah angka 90 peratus.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kebenaran rentas negeri apabila kasar vaksin dewasa mencapai 90 peratus berdasarkan data dan analisis dibuat Kementerian Kesihatan (KKM).

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes sporadik boleh dikenal pasti dengan sistem berkesan, teknologi

SHAH ALAM, 27 JULAI: Kes sporadik yang menjadi punca peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 boleh dikesan sekiranya Malaysia mempunyai kaedah pengesanan kontak berkesan.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) berkata pada masa ini pihak berkuasa tidak dapat mengikuti rangkaian penularannya.

“Itulah peranan pengesanan kontak, sangat penting kalau hanya berpandukan separa manual atau manual sepenuhnya, minta maaf MySejahtera hanya satu aplikasi imbasan QR sahaja.

“Kunci kejayaan negara seperti Singapura yang menggunakan Bluetooth, kesan semuanya…Taiwan, Korea Selatan terkait soal pengesanan kontak pantas bukan meletakkan pegawai pusat kesihatan daerah untuk membuat ratusan panggilan sehari,” katanya.

Bekas menteri kesihatan itu berkata demikian ketika berbahas pada hari kedua Mesyuarat Khas Parlimen hari ini.

Dr Dzulkefly yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) melahirkan kekecewaan apabila kerajaan pusat tidak berkongsi data yang penting bagi memerangi wabak itu.

“Begitu juga kami di Selangor, apabila menjalankan kegiatan kecerdasan buatan (AI) untuk belajar pergerakan (wabak), datanya tiada.

“Apabila tiada perkongsian itu kamu hendak kami bertempur, kamu menolak kami ke gelanggang tetapi kamu membutakan mata kami dan mengikat tangan kami di belakang,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Banding kes Covid-19 antara negeri, bukan canang Selangor tertinggi

SHAH ALAM, 27 JULAI: Semua pihak perlu membuat perbandingan data jangkitan Covid-19 mengikut negeri dan bukannya setiap hari hanya mencanangkan Selangor mencatat kes tertinggi.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) berkata sudah beberapa kali penegasan diberikan jumlah penduduk tinggi menjadi sebab utama negeri berkenaan terus kekal berada di kedudukan pertama bagi kes harian tertinggi.

“Jika 68 kes di Selangor, ia sama dengan satu kes di Labuan. Jika 100 kes di Labuan pula, ia sudah mencecah 6,800 kes di Selangor. Itu persoalannya, kes ini mesti dinisbahkan dengan penduduk.

“Jangan hari-hari dalam sidang akhbar, kata Selangor tertinggi sedangkan patut lakukan ujian seluruh negeri dan buat matriks yang tepat. Jangan memangsakan Selangor,” kata bekas menteri kesihatan itu.

Dr Dzulkefly berkata demikian ketika berbahas pada hari kedua Mesyuarat Khas Parlimen hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Program vaksin negeri langkah tepat atasi Covid-19 – STFC

SHAH ALAM, 1 JULAI: Program Vaksin Selangor (Selvax) merupakan langkah tepat mengurangkan jangkitan Covid-19 di negeri ini sekali gus melandaikan lekuk penularan wabak.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata ia mempunyai peranan tersendiri dan sesuai dijalankan ketika negara sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bukan mudah menghapuskan Covid-19 di Selangor kerana berkait rapat dengan kepadatan penduduk dan kepesatan industri. Jadi tiga langkah ini iaitu PKP, pengesanan kes dan vaksin perlu berjalan serentak.

“STFC cadangkan Selvax supaya dapat membantu kerajaan mencapai pembentukan imuniti kelompok lebih cepat,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad kepada SelangorKini.

Semalam Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan program vaksin meliputi Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan serta mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Selvax Komuniti akan memberi manfaat kepada 250,000 warga Selangor yang masih belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Manakala Selvax Industri merupakan program berbayar yang terbuka kepada syarikat secara sukarela dengan sasaran sejuta pekerja melibatkan dua juta dos.

Pada 9 Jun, Amirudin mengumumkan peruntukan RM200 juta untuk menjayakan Selvax di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Saringan Komuniti didik masyarakat bahaya Covid-19

SHAH ALAM, 25 MEI: Saringan Komuniti anjuran Kerajaan Selangor bertujuan mendidik rakyat supaya tidak berasa gusar dengan peningkatan kes positif Covid-19.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata tindakan itu supaya masyarakat mendapat pendedahan akan bahaya wabak terutama wujudnya jangkitan tidak bergejala ketika ini.

“Saringan, pengesanan kontak dan pengasingan dijalankan sebagai memenuhi langkah proaktif akan dilaksana bagi mengetahui individu positif pada peringkat awal serta menyekat risiko penularan lebih besar.

“Selain itu ia juga mengenal pasti lokaliti merah yang berisiko,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi ‘Anda Tanya, Dr Dzul Jawab’ di Facebook semalam.

Seramai 29,239 individu menyertai Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Selangor sejak 8 Mei lalu sehingga kelmarin.

Dato’ Menteri Besar berkata daripada jumlah direkodkan hingga Sabtu lalu, sebanyak 1,494 kes positif.

Dato’ Seri Amirudin Shari menggalakkan rakyat menyertai saringan dengan mendaftar di https://screening.selangkah.my/login atau gunakan SELangkah (aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat).

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lewat kesan, asing kontak punca kes Covid-19 meningkat

SHAH ALAM, 25 MEI: Kelewatan mengesan kontak dan mengasingkan kes kluster adalah antara faktor peningkatan kes Covid-19 di negeri ini.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menjelaskan perkara itu menjadi punca penularan secara meluas dan kes sporadik dalam komuniti.

“Sekarang ini kes komuniti sudah setanding, bahkan ada daerah dan mukim serta tempat kerja juga kilang yang melebihi kes kluster.

“Maka saringan bersasar sejak hujung tahun lepas dilanjutkan bermula 8 Mei lalu. Dijangka angka akan terus tinggi kerana akan dilakukan ke 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad semalam.

Beliau berkata demikian di Facebook menerusi ‘Anda Tanya, Dr Dzul Jawab’ berkaitan punca kes positif Covid-19 tinggi di Selangor.

Seramai 29,239 individu menyertai Saringan Komuniti anjuran Kerajaan Negeri sejak 8 Mei sehingga Sabtu lalu dengan 1,494 positif.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 menyasarkan individu berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN cadang benarkan beli vaksin di hospital swasta, Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 20 MEI: Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 digesa membenarkan Kerajaan Negeri serta hospital swasta menjual vaksin bagi mempercepatkan proses pengendaliannya.

Pakatan Harapan (PAKATAN) berkata tindakan itu akan membantu industri kesihatan negara sekali gus membolehkan kerajaan memberi tumpuan terhadap usaha suntikan imunisasi terbabit.

Jelasnya, ketika ini kebergantungan terhadap tiga vaksin sahaja iaitu Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca memberi risiko tinggi serta ancaman kepada negara.

“Kerajaan harus proaktif dalam proses perolehan bahan berkaitan. Malaysia lewat menerimanya berbanding Singapura dan Indonesia.

“Sikap ‘tunggu dan lihat’ menyebabkan kegagalan mengawal lonjakan kes hingga mengorbankan banyak nyawa. Sekarang masa untuk kita menyemak semula strategi vaksinasi dan menyelamatkan nyawa,” katanya menerusi Jawatankuasa Vaksinasi Covid-19 PAKATAN hari ini.

Jawatan kuasa diketuai mantan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyarankan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mempercepatkan kelulusan vaksin diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta pusat kesihatan luar negara.

“Karenah birokrasi keterlaluan dan tidak efisien perlu diatasi. Ini bagi memastikan kelulusan cepat dan tepat di samping menjaga keselamatan serta keberkesanan vaksin tersebut.

“Kerajaan juga perlu memperluaskan pemilihan vaksin selain berunding dengan pengeluar seperti Sinopharm, Novavax dan yang lain serta terus berusaha mendapatkannya kerana syarikat farmasi memberi keutamaan kepada negara kaya,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Nisbah populasi, kepadatan penduduk tentukan kadar jangkitan Covid-19

SHAH ALAM, 5 MEI: Kerajaan perlu mengambil kira nisbah populasi dan kepadatan penduduk dalam menilai kadar jangkitan Covid-19 setiap negeri.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata sekiranya kiraan berdasarkan nisbah setiap 100,000 penduduk, Kelantan merupakan negeri tertinggi jangkitan pandemik.

“Tidak adil jika Selangor diletakkan sebagai paling ramai dijangkiti. Kami mengakui angka kes di negeri ini tinggi. Apa pun sifat penyakit berjangkit, ia berkait dengan populasi, kepadatan penduduk.

“Saya dengan rendah hati (mahu menjelaskan), kalau mahu diambil ukuran kita tak boleh sekadar mengukur angka. Kalau mahu ukur biarlah ‘epal dengan epal’,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Selangor merekodkan kes tertinggi selepas 675 jangkitan baharu dilaporkan, menjadikan keseluruhan sebanyak 136,131 kes.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

POIS langkah terbaik kawal kluster tempat kerja

SHAH ALAM, 1 APRIL: Sistem Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) merupakan langkah terbaik mengawal jangkitan Covid-19 selepas kerajaan membatalkan arahan pematuhan dasar 30 peratus bekerja dari rumah.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata menerusi sistem itu, jawatankuasa ditubuhkan akan memantau persekitaran tempat kerja selain sentiasa mengingatkan pekerja supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Jelas Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, sistem POIS yang lebih sistematik menggunakan kaedah pembahagian kerja mengikut tugasan juga dapat mengurangkan interaksi antara individu sekali gus merendahkan risiko jangkitan.

“Ini penting kerana jika ada pekerja berpotensi sebagai perebak utama (super spreader), individu tersebut tidak akan menjangkiti pihak lain kerana kurang interaksi antara mereka.

Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat pengurusan kilang berkenaan garis panduan operasi kilang ketika pelancaran Program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) di Kilang Nestle, Shah Alam pada 22 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“POIS juga mewajibkan saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) berkumpulan secara berskala. Cara ini menjimatkan kos selain membolehkan majikan bertindak lebih pantas mengikut keperluan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Bekas menteri kesihatan itu berkata aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) yang terkandung dalam sistem itu mampu mengesan kontak berisiko sekiranya terdapat jangkitan dalam kalangan pekerja.

“Semoga semua pekerja dapat mematuhi SOP. Kebenaran sektor swasta beroperasi dengan kapasiti maksimum merupakan langkah memulihkan ekonomi dan memastikan ia terus berkembang,” katanya.

Pada 6 Januari, STFC melancarkan POIS bagi mencegah dan mengurangkan kluster tempat kerja.

Majikan mendaftar perlu menubuhkan jawatankuasa terdiri daripada beberapa kumpulan kecil dengan fungsi berbeza yang berperanan mengenal pasti kawasan dan aktiviti berisiko tinggi manakala SELangakah merekodkan pergerakan keluar masuk pekerja dan memantau komponen sistem berkenaan.

Antara syarikat yang menyertai POIS ialah kilang Nestle di Seksyen 15 dan Celestica Malaysia di Johor dan Kedah.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mangsa ribut Kuala Selangor dapat bantuan kewangan

SHAH ALAM, 11 MAC: Wakil rakyat Kuala Selangor semalam menyerahkan bantuan kewangan segera kepada mangsa ribut sekitar Taman Kamasan, Kampung Kuantan.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan memaklumkan keluarga yang terkesan turut dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk bantuan susulan.

Menurutnya, insiden pada jam 2.15 petang semalam menjejaskan tujuh kediaman namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

“Penduduk mengalami kerugian berikutan kerosakan pada bahagian bumbung menyebabkan air masuk ke dalam rumah dan memusnahkan perabot serta alatan elektrik,” katanya.

Pada 6 Mac, insiden sama berlaku di sekitar Bandar Baru Salak Tinggi yang menjejaskan kira-kira 100 kediaman dan beberapa buah sekolah.

Berikutan itu, Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan awal sebanyak RM500 kepada setiap keluarga mangsa ribut bagi meringankan beban mangsa.

Categories
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Kerajaan digesa telus salur maklumat Covid-19, contohi langkah UK

SHAH ALAM, 6 FEB: Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menyeru kerajaan supaya bersikap jujur dalam memberi laporan kes Covid-19.

Pengerusinya berkata Kementerian Kesihatan Malaysia serta Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah harus memberikan maklumat telus berhubung status tunggakan kes serta situasi semasa ketika ini.

Beliau turut menyarankan kerajaan mencontohi United Kingdom yang melaporkan kes berdasarkan wilayah, daerah dan pihak berkuasa tempatan bagi menyampaikan maklumat tepat.

“Ia membabitkan ukuran pada setiap 100,000 populasi dan bukan melibatkan jumlah keseluruhan,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi Facebook hari ini.

Kenyataan itu sebagai maklum balas artikel bertajuk “Di sebalik aplikasi SELangkah, kes harian Covid-19 Selangor terus meningkat” dikeluarkan satu portal berita pada 3 Februari lalu.

Sementara itu, bekas menteri kesihatan berkata STFC kini dibantu Pasukan Petugas Operasi Pencegahan Covid-19 (STFO) dalam menjayakan aspek operasi seperti program saringan bersasar.

“STFO dibantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Imaret dan kami menggunakan sumber dan kepakaran ahli mereka tanpa dikenakan bayaran.

“STFC akan terus berusaha membendung perebakan gelombang ketiga ini malah sedia kongsi kepakaran untuk negara serta negeri lain,” katanya.