Categories
AGENDA NASIONAL

Banci 2020 bantu susun masa depan Malaysia

PUTRAJAYA, 4 JULAI: Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020), yang bermula Selasa ini, adalah satu pengumpulan data komprehensif bagi membantu negara dalam menyusun keperluan dan merencana masa hadapan rakyat Malaysia yang lebih baik.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata menerusi data bancian yang dilaksanakan setiap 10 tahun sejak 1963 itu, kerajaan dapat merangka keutamaan dan strategi yang memberi manfaat kepada penduduk Malaysia keseluruhannya.

“Dengan adanya data yang baik, masa depan negara dapat ditentukan, disusun dari segi apa yang patut dilakukan dan dapatan banci ini akhirnya akan dikembalikan kepada orang ramai dalam bentuk keputusan, perancangan dan dasar yang amat teliti.

“Kita kena ingat, misalnya, bila kita keluarkan bajet tahunan contohnya tahun ini RM280 juta, dan dengan bajet sebanyak itu, data bancian ini yang membantu bagaimana ia dibelanjakan, di sektor mana yang perlu dilebihkan, keutamaan harus kepada apa contohnya pendidikan dan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual di pejabatnya di Jabatan Perangkaan Malaysia di sini sempena Hari Banci Malaysia yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Selasa ini, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Mohd Uzir berkata menerusi bancian di sembilan juta kediaman, data diperoleh dapat membantu negara menyediakan kemudahan dan perkhidmatan digunakan secara bersama seperti jalan raya, utiliti dan perkhidmatan keselamatan seperti bomba dan polis.

Data maklumat itu juga dapat membantu menyediakan perancangan jangka panjang peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat bagi memastikan tidak ada penduduk yang tertinggal dalam arus pembangunan dan teknologi termasuk di luar bandar.

“Malaysia sebagai negara yang sedang membangun, kita mempunyai banyak dasar yang sedang dilihat contohnya melibatkan warga emas, pertanian, IR 4.0 dan ekonomi gig, jadi data bancian yang mempamerkan denyut nadi kehidupan rakyat membantu kita memastikan agihan pendapatan itu dapat dinikmati oleh semua,” katanya.

Justeru, beliau berharap penduduk Malaysia tanpa mengira kaum dan status pendapatan, dapat memberi maklumat bancian dengan tepat dan ikhlas bagi memastikan generasi akan datang dapat memperoleh manfaat yang lebih tuntas dan tersusun, sekali gus memberi faedah kepada mereka.

“Saya selalu bangkitkan apa yang kita ada dan nikmati sekarang mungkin sebab kita dah laksanakan bancian dengan baik seawal tahun 70-an secara menyeluruh dan saya yakin pada tahun 70-an semua orang beri kerjasama dalam pelaksanaan banci menyebabkan kita tahu apa yang patut dilakukan oleh kerajaan.

“Data yang baik itu juga membolehkan kita membina banyak sekolah. Kalau dulu universiti susah nak masuk sebab tidak banyak jadi sekarang dah banyak… maka kita kena ingat sumbangan yang terdahulu menyebabkan kita ada sekarang, jadi kini kita pula bertanggungjawab untuk generasi akan datang,” katanya.

Pelaksanaan Banci 2020 yang melibatkan 32.7 juta penduduk Malaysia akan dilaksanakan dalam dua fasa bermula 7 Julai hingga 30 September secara dalam talian (e-Census) manakala fasa kedua akan bermula pada 7 hingga 24 Oktober dengan kaedah temu ramah bersemuka.

Mengenai persiapan Banci 2020, Mohd Uzir berkata ia dimulakan sejak 2017 dengan melaksanakan penyenaraian dan mengemas kini kawasan perumahan di Malaysia termasuk kawasan perumahan baharu.

Kos pengendalian Banci 2020 dianggarkan RM413 juta yang digunakan bagi tujuan projek pembangunan, pembelian sistem dan operasi termasuk pembayaran kepada pembanci dan penyelia terlibat.

Seramai 115,685 anggota akan terlibat dalam pengendalian Banci 2020 termasuk 99,356 pembanci, 14,595 penyelia dan 1,385 pegawai banci yang terdiiri daripada Pesuruhjaya, Timbalan Pesuruhjaya, Penolong Pesuruhjaya dan Penguasa Daerah.

Laporan Banci 2020 dijangka dikeluarkan seawal suku pertama tahun depan dengan pemakluman awal mengenai ciri-ciri demografik penduduk Malaysia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

778,800 menganggur pada April, tertinggi sejak 1989

SHAH ALAM, 15 JUN: Kadar pengangguran negara meningkat 48.8 peratus kepada 778,800 orang setakat April tahun ini, kata ketua perangkawan Malaysia.

Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata angka tersebut menjadikannya berada pada tahap 5.0 peratus, tertinggi sejak 1989 kesan penutupan sebahagian besar perniagaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Berdasarkan survei tenaga buruh (STB) jumlah penduduk bekerja pada April menurun 299,000 daripada keseluruhan 15.23 juta direkodkan pada Mac lalu.

“Pekerja paling terjejas adalah sektor pembuatan dan perkhidmatan iaitu penginapan, makanan dan minuman; kesenian, hiburan, rekreasi serta perkhidmatan lain seperti pusat kecantikan dan salon,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Uzir berkata laporan mendapati bilangan rakyat bekerja sendiri adalah 2.59 juta dengan sebahagian besar terdiri peniaga atau pengusaha kecil di pasar tani, pasar malam, katering, gerai, pekerja bebas, pekebun kecil dan pelancongan dengan mereka terdedah kepada risiko kehilangan pekerjaan dan pendapatan berikutan PKP.

Katanya, PKP turut memberi kesan kepada 4.87 juta penduduk bekerja yang tidak bekerja pada April lalu namun kumpulan tersebut tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mereka akan kembali semula bekerja.

Kali terakhir Malaysia merekodkan kadar pengangguran tahunan pada tahap 5.0 peratus adalah pada 1989 dan kadar tertinggi pada 1986 (7.4 peratus) manakala tahun lalu (3.4 peratus).

Categories
AGENDA EKONOMI

Jualan sektor pembuatan April susut 33 peratus

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Jualan sektor pembuatan Malaysia pada April 2020 susut sebanyak 33 peratus kepada RM75.8 bilion berbanding RM113.1 bilion bagi tempoh sama tahun lepas, demikian menurut Jabatan Perangkaan.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bagi bulan ke bulan, nilai jualan sektor itu merosot sebanyak 31.2 peratus (RM34.3 bilion) manakala dalam pelarasan bermusim nilai tersebut turun sebanyak 29.5 peratus.

“Penurunan tahun ke tahun yang direkodkan bagi nilai jualan April 2020 adalah disebabkan oleh penyusutan dalam produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (-69.5 peratus), produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (-67.5 peratus) dan produk peralatan elektrik & elektronik (-39.6 peratus),” katanya.

Mohd Uzir berkata ini juga disebabkan oleh penutupan sementara perniagaan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Menurutnya, dalam keadaan biasa sebaliknya nilai jualan sektor pembuatan itu akan mencatat pertumbuhan dianggarkan sebanyak 6.9 peratus.

Beliau berkata industri perkhidmatan bukan utama juga merekodkan penurunan ketara apabila kapasiti penggunaan kilang susut di bawah 50 peratus.

Selain itu jumlah pekerja yang terbabit dalam sektor pembuatan bagi April 2020 juga berkurangan sebanyak 3.2 peratus tahun ke tahun kepada 2,169,473 orang.

Gaji dan upah dibayar pula berjumlah RM6,825.4 juta iaitu turun sebanyak 6.2 peratus atau RM448.7 juta pada April 2020 berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

Menurut laporan bulanan itu, nilai jualan bagi setiap pekerja menguncup 30.8 peratus kepada RM34,918 berbanding tempoh sama pada 2019 manakala purata gaji dan upah setiap pekerja adalah RM3,146 pada April lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Banci 2020 dilaksana dua fasa bermula 7 Julai ini

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 akan dilaksanakan dalam dua fasa bermula 7 Julai ini hingga 30 September dan 7 Oktober hingga 24 Oktober, kata Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Mohd Uzir memaklumkan bahawa melalui fasa pertama yang bermula 7 Julai, kaedah pengumpulan data akan dijalankan secara dalam talian manakala fasa kedua bermula 7 Oktober, data dikumpul secara bersemuka.

“Pelaksanaan Banci 2020 yang dirancang pada awalnya akan diadakan pada 7 Julai sehingga 20 Julai bagi operasi di lapangan dan untuk e-Census dan Temu Ramah Melalui Telefon dengan Bantuan Komputer (CATI) pada 20 Jun hingga 9 Julai.

“Pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memberi kesan ke atas kaedah pelaksanaan Banci 2020. Namun persediaan Banci 2020 diteruskan dan disesuaikan melalui bekerja dari rumah dan penyesuaian jadual kerja,” katanya dalam kenyataan sempena Program 33 Hari Menuju Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 di sini semalam.

Mengenai persediaan DOSM, beliau berkata DOSM bersedia melaksanakan Banci 2020 dengan penyesuaian kaedah Banci 2020 dengan memanfaatkan teknologi dalam pengumpulan data.

“Sistem Online Self-Listing (OSL), e-Census, Computer Assisted Personal Interview (CAPI) dan Computer Assisted Telephone Interview (CATI) akan digunakan. Penggunaan Intelligent Character Recognition (ICR) turut dipertimbangkan bagi memastikan pemprosesan data cepat dan berkesan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata Statistics Data Warehouse (StatsDW) juga dibangunkan sebagai usaha memperkukuh sistem tadbir urus statistik mencakupi aspek sebaran, pengarkiban, capaian data mikro dan data agregat yang boleh dimanfaatkan ketika Banci 2020.

Katanya, pelaksanaan Banci 2020 merupakan projek nasional berimpak tinggi dan berskala besar melibatkan di seluruh Malaysia iaitu 32.6 juta penduduk di 9 juta kediaman dengan 8.2 juta isi rumah merangkumi 160 daerah pentadbiran serta 99,356 blok penghitungan.

Mohd Uzir berkata seramai 11,667 tenaga kerja digunakan bagi menjayakan Banci 2020 yang terdiri daripada 1,381 Pegawai Banci, 14,581 Penyelia, 99,356 Pembanci dan 349 Ahli Jawatankuasa.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Petunjuk awal ekonomi kurang memberangsang, langkah dinamik ubah struktur

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Daripada petunjuk awal yang dikumpulkan pada April dan Mei 2020, persekitaran ekonomi diunjur kurang memberangsangkan bagi perniagaan Malaysia disokong oleh Petunjuk Utama (LI) terbaharu yang memberi isyarat kemelesetan ekonomi dalam tempoh empat hingga enam bulan akan datang.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata langkah-langkah dinamik diperlukan bagi mengubah struktur ekonomi semasa yang bergantung besar kepada industri berasaskan komoditi dan industri tokokan nilai rendah yang mengupah pekerja berkemahiran rendah dan separa mahir dengan bayaran upah rendah.

Beliau berkata kaedah baharu menjalankan perniagaan dan mempelbagaikan ekonomi amat dicari dengan menerima pakai kemajuan teknologi seperti Revolusi 4.0 dan pendigitalan ekosistem perniagaan.

Susulan penggunaan teknologi baharu, beliau berkata proses perniagaan akan mewujudkan persekitaran kerja yang baik dan pasaran buruh yang lebih kondusif dan mampan.

“Selain itu, gangguan dalam permintaan buruh bagi graduan baharu untuk memasuki pasaran buruh dijangkakan pada separuh kedua 2020. Oleh itu, penting bagi memastikan golongan ini serta penggangur sedia ada ditangani bagi membendung mereka daripada kegelisahan sosial.

“Bagi manangani ini, satu dana khas amat diperlukan untuk meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula, meningkatkan latihan bagi keusahawanan dan kemahiran digital,” katanya semasa membentangkan Tinjauan Perangkaan Ekonomi Malaysia (MESR) Jabatan Perangkaan Malaysia semasa sidang media menerusi dalam talian semalam.

Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata pandemik Covid-19 akan memberikan impak yang lebih besar kepada ekonomi kerana ia akan menjejaskan perniagaan dan gaya hidup pengguna yang membawa kepada transformasi bagaimana mereka bekerja, membeli belah dan menjalani kehidupan.

“Sehubungan ini, penting bagi sektor awam dan swasta untuk bersinergi dalam mendepani situasi semasa dan merancakkan semula ekonomi Malaysia dengan segera,” katanya.

Sementara itu, katanya, MESR adalah inisiatif pertama dan terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), yang menyediakan maklumat bermanfaat kepada pihak berkepentingan dan kerajaan dalam mempercepatkan dasar strategik bagi menangani krisis ekonomi dengan cekap dalam mengatasi cabaran yang dihadapi oleh rakyat Malaysia.

Beliau berkata laporan yang mempunyai maklumat komprehensif mengenai data bagi industri utama di Malaysia bukan sahaja sebagai bahan rujukan kepada penyelidik tetapi juga untuk para pelabur, peniaga, pembuat dasar dan kerajaan.

“DOSM juga sedang dalam usaha untuk mempercepatkan penerbitan bagi data import dan eksport untuk rujukan pihak berkepentingan, dan kami sedang menyusun kaedah yang sesuai.

“Kami juga sedang sediakan ‘dashboard’ khas statistik utama yang akan dikeluarkan dalam bentuk mingguan contohnya kadar komersil bagi hotel-hotel dan jumlah kenderaan di lebuhraya,” kata Mohd Uzir.

Selain itu ketika mengulas mengenai banci penduduk perumahan beliau berkata, DOSM dengan kerjasama agensi negeri telah bersedia untuk menjalankan bancian itu dan kali ini ia akan dilaksanakan secara dalam talian dan akan dimulakan pada 7 Julai ini.

“Data banci adalah penting untuk memastikan keberkesanan penggunaan sumber dan peruntukkan dapat beri kesan optimum, selain itu bagi kerja-kerja di lapangan iaitu bancian dari rumah ke rumah akan dimaklumkan selepas mendapat keputusan daripada kerajaan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Statistik baharu, terkini pantau sosioekonomi negara

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Jabatan Perangkaan sedang menyediakan statistik baharu dan terkini meliputi statistik yang lebih terperinci dan di peringkat kecil, menurut Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Katanya persediaan itu adalah selaras dengan keperluan statistik yang semakin diperlukan untuk memantau perkembangan sosioekonomi negara dalam menghadapi krisis ekonomi terutamanya disebabkan pandemik Covid-19.

“Kami juga sedang merancang pengeluaran anggaran segera Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi membolehkan prestasi ekonomi negara dapat dikeluarkan lebih awal berasaskan indikator dan statistik bulanan yang keluarkan oleh jabatan,” katanya ketika membentangkan prestasi ekonomi negara pada suku pertama 2020 yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Jabatan Perangkaan hari ini.

Berikutan itu, Mohd Uzir menggesa kerjasama perkongsian data dengan semua pihak berkaitan untuk membantu negara keluar daripada krisis ekonomi dengan lebih awal dan mencapai tahap sosioekonomi lebih makmur.

Terdahulu, beliau mengumumkan KDNK Malaysia susut 0.7 peratus pada suku pertama 2020 berbanding 3.6 peratus pada suku keempat 2019.

Ia merupakan kadar pertumbuhan terendah yang dicatatkan sejak suku ketiga 2009 iaitu negatif 1.1 peratus.

“Situasi ekonomi dunia berdepan permintaan yang perlahan akibat penularan Covid-19 di mana sesetengah negara telah melaksanakan sekatan keluar masuk lebih awal iaitu pada Januari dan ia memberi kesan kepada ekonomi negara mereka.

“Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi terbuka dengan jumlah dagangan hampir RM2 trilion setahun turut mendapat kesan negatif,” katanya.

China sebagai rakan dagang terbesar Malaysia misalnya mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang rendah dalam sejarah iaitu -6.8 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding enam peratus pada suku keempat 2019.

Ini diikuti Amerika Syarikat iaitu 0.3 peratus pada suku pertama 2020 berbanding 2.3 peratus pada suku keempat 2019 dan Hong Kong -8.9 peratus pada suku pertama 2020 berbanding -3.0 peratus pada suku keempat 2019.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penduduk Malaysia cecah 32.73 juta pada suku pertama tahun ini

PUTRAJAYA, 12 MEI: Penduduk Malaysia dianggarkan berjumlah 32.73 juta orang pada suku tahun pertama 2020, iaitu peningkatan sebanyak 0.6 peratus berbanding suku tahun pertama 2019, menurut laporan Perangkaan Demografi bagi suku tahun pertama 2020.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata jumlah itu merangkumi 29.62 juta orang atau 90.5 peratus warganegara, dan 3.12 juta orang atau 9.5 peratus bukan warganegara.

Beliau berkata penduduk lelaki meningkat daripada 16.81 juta orang pada suku tahun pertama 2019 kepada 16.90 juta orang sementara penduduk perempuan pula meningkat daripada 15.72 juta orang kepada 15.84 juta orang bagi tempoh yang sama.

“Nisbah jantina kekal pada 107 lelaki bagi setiap 100 perempuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Uzir, Selangor kekal mencatatkan penduduk paling ramai pada suku tahun pertama 2020 dengan 6.57 juta orang manakala Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan penduduk terendah iaitu 99,600 orang.

Pada suku tahun pertama 2020, penduduk berumur 0-14 tahun (umur muda) menurun kepada 7.53 juta berbanding 7.63 juta pada suku tahun pertama 2019 manakala penduduk berumur 15–64 tahun (umur bekerja) meningkat kepada 22.95 juta orang berbanding 22.74 juta.

Penduduk berumur 65 tahun ke atas (umur tua) turut meningkat daripada 2.16 juta kepada 2.26 juta orang pada suku tahun pertama 2020 dan trend tersebut selari dengan negara maju yang menuju ke arah penuaan penduduk, katanya.

Menurut Mohd Uzir, sebanyak 115, 439 kelahiran hidup direkodkan pada suku tahun pertama tahun ini, menurun 1.6 peratus berbanding suku tahun pertama tahun lepas (117,146).

Sebanyak 43, 226 kematian direkodkan bagi suku tahun pertama tahun ini, katanya.

– BERNAMA