Categories
AGENDA NASIONAL

Potong dana Jabatan Audit Negara, kerajaan tidak serius bendung ketirisan

SHAH ALAM, 11 NOV: Ahli Parlimen Pandan mempersoal pemotongan dana berjumlah RM4 juta kepada Jabatan Audit Negara yang dibimbangi akan menjejaskan pemantauan perbelanjaan kerajaan.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tindakan itu memberi mesej salah sama ada kerajaan serius mengatasi isu ketirisan yang baru-baru ini dilaporkan membabitkan kehilangan peruntukan RM620 juta.

Jelasnya dana sebesar itu mampu menampung pelbagai perbelanjaan seperti projek tebatan banjir yang akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Sepatutnya kita perlu perkasakan pemantauan oleh Jabatan Audit Negara untuk menyemak perbelanjaan di setiap kementerian tetapi kenapa tahun ini peruntukan dipotong RM4 juta.

“Sekarang ini bukan sahaja pendapatan negara menguncup tetapi hutang pun dijangka mencecah RM1 trilion, jadi kita perlu pastikan setiap wang kita ada tidak diseleweng,” katanya pada sesi perbahasan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Bekas timbalan perdana menteri itu juga mempersoalkan mengapa peruntukan lebih besar dicadang kepada Kementerian Pertahanan berbanding Kementerian Kesihatan (KKM) yang lebih memerlukan ketika berdepan penularan Covid-19.

“Apakah kita hendak beli kereta kebal untuk lawan Covid-19? Saya minta menteri kewangan untuk semak semula dan beri fokus kepada KKM.

“Masa kita sakit baru kita tahu, ketika sihat kita bersyukur…janganlah potong peruntukan kepada KKM,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Karnival Kerjaya Pandan 2020 tawar 500 peluang kerja

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Program Karnival Kerjaya Pandan 2020 yang dianjurkan hari ini menawarkan kira-kira 500 peluang pekerjaan dalam usaha membantu sektor terjejas akibat Covid-19.

Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata karnival bimbingan kerjaya selama sehari itu diharap dapat membantu individu yang kehilangan pekerjaan membina semula kerjaya.

“Harapan kami, karnival ini dapat menemukan mereka yang memerlukan pekerjaan dengan majikan yang mempunyai pekerjaan untuk ditawarkan,” katanya semasa merasmikan karnival itu hari ini.

Beliau berkata karnival tersebut menawarkan sesi temu duga, sesi taklimat bersama majikan, sesi panduan membuat resume berkualiti, khidmat nasihat perburuhan dan khidmat kaunseling serta pengurusan kewangan.

Katanya peserta yang hadir layak untuk menyertai dan mendaftar dengan Inisiatif Peduli Rakyat yang dilaksanakan oleh Kerajaan Selangor.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelajar China di Malaysia disaring, negatif Covid-19

PUTRAJAYA, 21 FEB: Semua pelajar warga China yang baru tiba di Malaysia telah disaring dan didapati negatif Covid-19, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata pelajar warga China perlu melalui saringan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kecuali mereka yang sudah berada di Malaysia lebih dari 14 hari.

“Setiap pelajar (China) mesti melalui saringan dan jika tidak bergejala diletakkan di bawah pengawasan di rumah. Kalau mereka bergejala (selepas itu) ada talian penting yang boleh mereka hubungi,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Peringkat Tinggi berhubung kluster penyakit Covid-19, di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata ketika ini terdapat 11,000 pelajar warga China di negara ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) juga telah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Kluster Covid-19 yang beroperasi di Bahagian Education Malaysia (BEM), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), kata beliau.

Menurut Dr Wan Azizah, semua 20 universiti awam dan 17 institusi pengajian tinggi swasta juga telah membangunkan SOP bagi menangani penularan Covid-19 termasuk Xiamen Universiti Malaysia yang mempunyai ramai pelajar dari China.

Bagi pelajar Malaysia di China pula, katanya, Education Malaysia Beijing (EMB) dengan kerjasama persatuan-persatuan pelajar Malaysia di negara itu telah membangunkan Papan pemuka Pengurusan Pelajar Seberang Laut Covid-19 bagi membantu memantau keberadaan pelajar Malaysia yang sedang menuntut di China.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata proses saringan terhadap rakyat Malaysia atau mana-mana individu yang melawat atau pulang dari China akan diperketatkan melalui saringan suhu badan dan ujian swab.

“Kalau tidak bergejala mereka akan dihantar balik untuk pengawasan di rumah atau kuarantin kendiri. Kalau positif akan terus dibawa ke hospital. Keputusan ujian swab tu boleh diperolehi dalam tempoh lima jam,” katanya.

Ditanya mengenai cadangan menyekat kemasukan semua pelancong dari China selama sebulan, Dr Wan Azizah berkata perkara itu ada dibincangkan tetapi mesyuarat hari ini memutuskan tiada keperluan untuk berbuat demikian lagipun saringan terhadap sesiapa sahaja dari China telah diperketatkan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad semalam dilaporkan berkata mesyuarat kabinet pada Rabu ada membincangkan cadangan untuk melarang pelancong dari China buat sementara waktu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TPM: Kabinet tidak bincang mengenai MH370

PUTRAJAYA, 19 FEB: Mesyuarat Kabinet hari ini tidak membincangkan apa-apa berkaitan kehilangan pesawat MH370 Malaysia Airlines susulan dakwaan dibuat bekas Perdana Menteri Australia Tony Abbott berhubung tragedi itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Tidak, ia tidak ada dalam agenda kami. Menteri MOT (Kementerian Pengangkutan) berada di luar negara,” katanya semasa ditanya pemberita di sini, hari ini, sama ada Kabinet membincangkan perkara itu.

Abbott dalam klip daripada satu dokumentari yang disiarkan pada Rabu (19 Februari) mendakwa seorang “pegawai atasan” Malaysia percaya kehilangan pesawat MH370 mungkin disebabkan juruterbang melakukan pembunuhan beramai-ramai dan membunuh diri.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan kru hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac 2014, semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hari Wanita Kebangsaan: Empat fokus utama digarap

PUTRAJAYA, 19 FEB: Empat fokus utama — substantif, libat urus komuniti, pertandingan dan keterlihatan — digarapkan menerusi 17 program yang akan dilaksanakan di peringkat kebangsaan, negeri dan komuniti mulai 1 sehingga 12 Mac bersempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2020.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semasa menyatakan perkara itu berkata perasmian Hari Wanita peringkat kebangsaan akan disempurnakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 6 Mac di sini.

Ditanya kemungkinan perdana menteri akan mengumumkan berita gembira pada majlis sambutan Hari Wanita Kebangsaan itu, Dr Wan Azizah yang tidak menolak kemungkinan itu berkata perkara itu akan menjadi satu kejutan.

Mengambil kira ancaman Covid-19, timbalan perdana menteri berkata cecair pembasmi kuman tangan atau “hand sanitizer” akan disediakan di lokasi program sambutan Hari Wanita.

“Kami jangka pengunjung pada majlis sambutan pada tahun ini kurang sedikit (berbanding tahun lepas disebabkan Covid-19),” katanya dalam sidang media mengenai sambutan Hari Wanita Kebangsaan di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di sini, hari ini.

Antara program dan aktiviti yang akan dilaksanakan bersempena sambutan Hari Wanita 2020 ialah konvensyen pertubuhan bukan kerajaan wanita 2020, Young Women Bootcamp, video kreatif Hari Wanita 2020 dan ‘purple walk’.

Menurut Dr Wan Azizah, program ‘Malaysian Women Unite’ turut dirangka yang akan menjadi platform terutamanya golongan wanita untuk berganding bahu membantu golongan yang memerlukan.

Maklumat lanjut berkaitan program Malaysian Women Unite boleh diperoleh di www.malaysianwomenunite.org, katanya.

Mengenai peratusan golongan wanita dalam sektor pekerjaan iaitu pada kadar 54 peratus kini, Dr Wan Azizah berkata matlamat kerajaan adalah untuk meningkatkannya kepada 56 peratus.

“Infrastruktur sokongan untuk wanita dalam sektor pekerjaan seperti rang undang-undang gangguan seksual dan penjagaan anak perlu ditambah baik,” katanya dan menurutnya rang undang-undang gangguan seksual dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen Mac ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

TPM: Usaha kekal perpaduan dan keamanan negara

KUALA LUMPUR, 17 FEB: Perpaduan dan keamanan negara tidak boleh dipandang remeh, sebaliknya perlu sentiasa dikekalkan, kata timbalan perdana menteri.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata keharmonian dalam kalangan rakyat menggambarkan kesatuan yang dibangunkan atas kepelbagaian agama, kaum, bahasa dan budaya.

“Senang untuk mengamalkan mentaliti sekawan iaitu kita dipengaruhi oleh rakan sebaya untuk mempraktikkan tingkah laku mereka berdasarkan emosi daripada asas rasional.

“Namun, ia berbahaya kerana kita dapat dipengaruhi untuk melakukan sesuatu yang boleh mengancam keharmonian antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini,” katanya ketika berucap pada sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina bagi Parlimen Pandan di padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah di sini, malam tadi.

Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata rakyat tidak boleh membenarkan mereka yang mempunyai agenda tersendiri untuk menyemarakkan sentimen perkauman di negara ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya terus menjaga kebersihan dengan mengamalkan penggunaan pensanitasi (sanitizer) dalam rutin harian susulan penularan Covid-19.

“Saya harap kita semua menjaga kebersihan. Sebab itu disediakan pensanitasi supaya kita tidak menyebarkan kuman. Ini sepatutnya menjadi amalan. Dengan peringatan itu saya berharap semua sihat-sihat belaka menjalani Tahun Tikus (sempena Tahun Baharu Cina 2020) dengan lebih baik,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

TPM: Malaysia masih selamat dikunjungi

GEORGE TOWN, 16 FEB: Rakyat diseru untuk bersama-sama memberikan mesej positif, bahawa Malaysia masih selamat dikunjungi walaupun negara kini berdepan penularan Covid-19.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata permulaan tahun ini agak mencabar khususnya untuk sektor pelancongan dan kerajaan sedang merangka pelbagai strategi bagi membantu industri itu.

“Sehingga hari ini, kerajaan persekutuan masih melaksanakan penganjuran acara atau program serta aktiviti membabitkan orang ramai.

“Namun, kita perlu sentiasa berwaspada dengan mengambil langkah perlindungan diri serta kesiapsiagaan seperti saranan Kementerian Kesihatan dalam menangani penularan tersebut,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Tahun Baharu Cina 2020 di Padang Kota Lama, di sini malam tadi.

Pada masa sama, beliau turut menasihati rakyat untuk tidak menyebarkan dan mempercayai berita tidak benar atau maklumat palsu di media sosial yang menimbulkan kesan buruk seperti perasaan panik serta pergaduhan.

Sebaliknya, masyarakat digalakkan sentiasa merujuk portal ‘sebenarnya.my’ bagi mendapatkan maklumat terkini yang sahih daripada sumber rasmi kerajaan.

Katanya, dalam usaha menangani persepsi negatif terhadap penularan Covid-19, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Pemulihan Pelancongan bagi merangka strategi pemulihan industri pelancongan negara yang terkesan dengan keadaan itu.

Selain itu, Motac turut merangka strategi jangka masa pendek untuk pasaran jarak dekat negara ASEAN, sebagai kempen alternatif untuk pemulihan industri pelancongan negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Isu penutup hidung dan mulut: KDN beri kelonggaran ambil pekerja asing

PUTRAJAYA, 14 FEB: Kabinet melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memberi kelonggaran pengambilan lebih ramai pekerja asing kepada syarikat pengeluar penutup hidung dan mulut bagi membolehkan mereka menghasilkan lebih banyak produk itu dalam mengawal penularan kluster koronavirus 2019 (Covid-19), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas jawatankuasa tertinggi pengurusan bencana pusat berhubung kluster Covid-19 di Perdana Putra di sini hari ini, beliau berkata perkara itu akan diuruskan KDN bersama Kementerian Sumber Manusia dalam waktu terdekat.

Jelasnya, sebelum Covid-19, penggunaan penutup hidung dan mulut hanya dalam kalangan petugas kesihatan sahaja. Namun permintaan meningkat mendadak berikutan penularan Covid-19.

Beliau berkata pengeluar memberitahu mereka perlu beroperasi selama 24 jam dalam tiga syif bagi meningkatkan pengeluaran.

“Bagaimanapun kawalan terhadap jumlah kemasukan (pekerja asing) akan tetap dikenakan kerana kerajaan tidak mahu kebanjiran pekerja asing,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata langkah mengawal selia bekalan dan harga jualan penutup hidung dan mulut di pasaran telah diambil bagi menghalang pembelian produk itu secara pukal dan dibawa ke luar negara.

Surat arahan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri dan cawangan sudah dikeluarkan untuk memastikan penjual produk itu membuat kawalan kendiri dan tidak menjual secara pukal kepada pelanggan, katanya.

Ada kuota untuk produk berkenaan supaya bekalan di dalam negara mencukupi dan pihak tertentu tidak melakukan pembelian secara pukal untuk dihantar ke luar negara, tambah beliau.

Dalam perkembangan lain, Dr Wan Azizah berkata Malaysia tidak akan membenarkan kemasukan kapal-kapal asing untuk berlabuh di negara ini kecuali kapal-kapal berkenaan berkongsi maklumat penting yang diperlukan pihak berkuasa Malaysia.

Menurutnya Jabatan Imigresen Malaysia telah melaporkan bahawa terdapat permohonan untuk berlabuh daripada dua kapal persiaran dari Hong Kong iaitu kapal Westerdam dan kapal Sapphire Princess.

Kapal Westerdam dengan muatan sekitar 1,000 penumpang yang pernah memasuki Hong Kong sebelum ke Taiwan pada 1 Februari pada mulanya berhasrat untuk berlabuh di Malaysia, telah mendapat kebenaran untuk berlabuh di Kemboja semalam.

Manakala Sapphire Princess telah selamat berlabuh di Singapura, katanya.

Mengulas mengenai peningkatan mendadak kes Covid-19 di China, beliau berkata, ia disebabkan perubahan definisi kes positif Covid-19 bagi wilayah Hubei.

“Terkini, mana-mana pesakit di wilayah Hubei yang menunjukkan kesemua gejala klinikal Covid-19 tetapi belum disahkan positif melalui ujian makmal adalah dikategorikan sebagai kes yang positif,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata bagaimanapun menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah pesakit yang disahkan positif Covid-19 di luar China tidak menunjukkan peningkatan kes yang mendadak.

Jelasnya, Malaysia tidak mengikuti langkah Hubei dalam mendefinasikan kes Covid-19 tanpa ujian makmal.

“Di Malaysia Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sudah bersedia dari awal (untuk melakukan ujian makmal). IMR sudah sedia,” katanya.

Mesyuarat hari ini turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Empat lagi pesakit pulih sepenuhnya

PUTRAJAYA, 14 FEB: Empat lagi individu yang dijangkiti koronavirus 2019 (Covid-19) telah dibenarkan pulang hari ini, menjadikan bilangan kes yang sembuh dan dibenarkan sebanyak tujuh orang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata empat individu berkenaan merupakan kes pertama, kedua, ketiga dan kelima daripada keseluruhan 19 individu dijangkiti virus itu sejak kes pertama dikesan 25 Jan lalu.

Beliau berkata kesemua empat individu itu merupakan kontak rapat kepada kes pertama membabitkan warga China yang dilaporkan di Singapura, dan telah dimaklumkan melalui International Health Regulation (IHR) Focal Point Malaysia.

“Mereka disahkan sembuh sepenuhnya dan telah dibenarkan pulang setelah ujian pengesanan ulangan Covid-19 yang dijalankan sebanyak dua kali berturut-turut didapati negatif.

“Kesemua mereka merupakan warganegara China, melibatkan wanita berusia 66 tahun, 36 tahun, dan kanak-kanak lelaki berusia 11 dan dua tahun,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat berhubung Covid-19 di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata jumlah kumulatif kes Covid-19 kekal 19 kes dengan sembilan daripadanya adalah kes dalam siasatan (PUI), lapan kes membabitkan kontak rapat dan dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan, melibatkan 13 individu warganegara China dan enam rakyat tempatan.

Beliau berkata sebanyak 239 kontak rapat telah dikenal pasti melibatkan 181 warga Malaysia, 46 China dan 12 individu lain-lain warganegara.

Kesemua kontak rapat yang telah dikesan sudah diambil sampel dan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian, katanya.

Dr Wan Azizah berkata semua 107 individu sedang dalam pemantauan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Nilai, Negeri Sembilan, berada dalam keadaan baik.

Beliau berkata jika keputusan saringan akhir menunjukkan negatif Covid-19, mereka akan dibenarkan pulang ke rumah pada hari ke-14 iaitu pada 18 Februari nanti.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TPM: Wanita main peranan penting perangi rasuah

PUTRAJAYA, 11 FEB: Wanita memainkan peranan penting membantu kerajaan untuk memerangi rasuah di negara ini, kata timbalan perdana menteri.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata ia terbukti apabila Latheefa Koya mengetuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memerangi kegiatan itu.

“Di Malaysia, saya dengan penuh rasa bangga ingin kongsikan bahawa kita juga mempunyai tiga wanita pemberi maklumat daripada Jabatan Ketua Audit Negara yang wajar dicontohi,” katanya semasa merasmikan Simposium Mengarusperdanakan Gender dan Memperkasakan Wanita bagi Memerangi Rasuah di sini.

Mereka ialah bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad, bekas Pengarah Prestasi Audit Saadatul Nafisah Bashir Ahmad dan Pengarah Audit Datuk Nor Salwani Muhammad.

Ketiga-tiga wanita ini merupakan saksi utama SPRM dalam kes rasuah berprofil tinggi, katanya.

Dr Wan Azizah berkata pewujudan ruang yang jelas bagi pemberi maklumat dan ruang selamat untuk wanita melaporkan rasuah dengan saluran untuk menangani sebarang insiden merupakan tunjang kepada usaha dan inisiatif itu.

“Soalan yang lebih mendalam yang perlu ditanya adalah adakah kita melakukan yang terbaik untuk memastikan wanita daripada semua lapisan masyarakat mempunyai keupayaan berada di barisan hadapan dan menjadi tonggak dalam masyarakat kita untuk memerangi rasuah,” katanya.

Dr Wan Azizah turut menyentuh kesan teruk rasuah terhadap wanita, bagaimana wanita boleh memainkan peranan aktif dalam memerangi rasuah dalam masyarakat dan peranan Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dalam memperkasakan wanita untuk memerangi rasuah.

“Cara pertama untuk memerangi rasuah adalah dengan membina ekosistem, antaranya hak orang ramai untuk akses kepada maklumat, kebebasan bersuara, perlindungan undang-undang, mewujudkan mekanisme untuk melaporkan rasuah, penerimaan aduan dan mewujudkan undang-undang pencegahan rasuah,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Pakatan Harapan komited membanteras rasuah dan usaha itu membuahkan hasil.

“Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah 2019 meningkat 10 mata tangga ke tempat 51 berbanding pada tahun sebelumnya.

“Kita (Malaysia) mencatatkan 53 mata berbanding 47 mata dalam indeks 2018. Naik lebih tiga mata dianggap satu peningkatan signifikan,” kata Dr Wan Azizah.

Menyentuh peranan media, beliau berkata media yang bebas dan bertanggungjawab perlu dibenarkan untuk menyiasat, melaporkan dan menerbitkan berita tentang rasuah.

“Malaysia mencatatkan pencapaian positif dalam kebebasan media dan kami sedang mendraf rang undang-undang bagi penubuhan Majlis Media Kebangsaan untuk meningkatkan lagi integriti dan kebebasan media kita,” katanya.

Simposium itu diadakan bersempena dengan mesyuarat pegawai kanan dan mesyuarat berkaitan Kerjasama APEC yang dihoskan Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perluas sekatan perjalanan terhadap dua lagi wilayah di China

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Sekatan perjalanan ke Malaysia, yang kini dikenakan ke atas pelawat China dari Wilayah Hubei termasuk Wuhan, pusat penularan koronavirus 2019 (2019-nCoV), kini diperluaskan kepada Wilayah Zhejiang dan Wilayah Jiangsu berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata ini berikutan tindakan pihak berkuasa di China, termasuk pihak berkuasa tempatan yang membuat sekatan pergerakan keluar dan masuk terhadap Wilayah Zhejiang melibatkan lima bandar dan Wilayah Jiangsu (dua bandar).

“Selaras dengan keputusan pada 27 Januari lalu iaitu sekatan perjalanan akan dikuatkuasakan mengikut wilayah yang dikenakan sekatan pergerakan keluar dan masuk oleh kerajaan China, maka diputuskan sekatan perjalanan yang sebelum ini dikenakan ke atas pelawat China dari Wilayah Hubei akan diperluaskan terhadap dua lagi wilayah berkenaan berkuat kuasa serta merta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Jamuan Muhibbah sempena sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Cina Muslim Malaysia yang diadakan di sebuah pusat membeli belah di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Kerajaan pada 27 Januari lepas menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat China dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei serta sekelilingnya.

Pada masa yang sama, Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat turut meminta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memperketatkan lagi syarat sekatan untuk memastikan semua pelancong tanpa mengira kerakyatan yang pernah mengunjungi atau berada di tiga wilayah terlibat supaya tidak memasuki negara ini dalam tempoh 14 hari selepas itu.

Bagaimanapun, beliau sekali lagi menegaskan kerajaan belum bercadang untuk mengenakan sekatan terus perjalanan keluar masuk dari China.

“Selain itu, Kementerian Kesihatan (KKM), JIM dan agensi lain yang bertugas di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor Bahru juga perlu meningkatkan aspek kawalan.

“Petugas turut diminta memberi nasihat yang sewajarnya kepada orang ramai yang melalui pintu-pintu masuk ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Laksana 33 program, KPWKM tingkat sejahtera kumpulan sasar

PUTRAJAYA, 30 JAN: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada 2020 akan terus memfokuskan kepada usaha untuk meningkatkan kesejahteraan kumpulan sasarnya sama ada melibatkan penambahbaikan kepada aspek perundangan, pembangunan kapasiti mahupun aspek perlindungan, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata sebanyak 33 program di bawah janji kerajaan iaitu sembilan cadangan program baharu dan 24 program sedia ada akan dilaksanakan kementerian pada tahun ini (2020).

“Kita telah memulakan momentum yang sangat baik pada awal tahun 2020 melalui pelancaran Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur pada 16 Januari 2020 dan saya berharap agar gerak kerja ini berterusan secara istiqamah sepanjang tahun,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan KPWKM di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata kementerian akan terus mengambil inisiatif untuk menubuhkan jabatan atau agensi berhubung perkembangan, perlindungan dan pemulihan kanak-kanak di Malaysia.

Dalam pada itu, katanya penambahan peruntukan RM30 juta diberikan pada tahun ini untuk penubuhan taska di tempat kerja awam, terutamanya di sekolah dan hospital bagi menyediakan sistem sokongan kepada ibu bapa yang bekerja.

Beliau berkata beberapa fokus juga telah digariskan pada tahun ini termasuklah penambahbaikan dari aspek perundangan seperti penggubalan Rang Undang-undang Gangguan Seksual yang bertujuan untuk memberikan perlindungan kepada semua pihak dan tidak hanya terhad di tempat kerja.

Cadangan pindaan terhadap Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 akan turut dilakukan yang menitik beratkan aspek perlindungan dan keselamatan OKU melalui penguatkuasaan undang-undang, katanya.

Menurutnya, Rang Undang-Undang Profesion Kerja Sosial yang bertujuan untuk mengiktiraf profesion kerja sosial kini dalam proses akhir untuk dimuktamadkan.

Dr Wan Azizah berkata program melibatkan kumpulan sasar wanita perlu diberikan tumpuan pada tahun ini memandangkan tahun 2020 adalah ulang tahun ke-25 Beijing Declaration and Platform For Action yang memerlukan aspek pemerkasaan dan perlindungan terhadap wanita dipertingkatkan.

“Usaha mengarusperdana gender akan diberikan perhatian kerana ia memberi manfaat bukan sahaja kepada wanita, tetapi juga kepada golongan lelaki,” katanya.

Jelasnya usaha itu menitikberatkan elemen menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi yang menghalang pengupayaan wanita dan lelaki agar mereka turut sama menyumbang kepada pembangunan negara.

Dr Wan Azizah turut memaklumkan bahawa kementerian itu ketika ini sedang melaksanakan kajian kandungan dan skop bagi pewujudan satu akta khusus untuk warga emas di Malaysia dan Kabinet baru-baru ini juga telah meluluskan hala tuju Dasar Kependudukan Negara Ke Arah Pembangunan Lestari 2030.

“Ini usaha kementerian untuk mempersiapkan semua pihak dalam menghadapi cabaran negara tua dan memperkasa penduduk Malaysia agar lebih berdaya tahan dalam mengharungi cabaran sosio-ekonomi pada masa hadapan,” katanya.

Dr Wan Azizah dalam pada itu mahu tumpuan pada tahun ini diberikan kepada agenda memperkukuhkan institusi kekeluargaan susulan pelancaran Deklarasi Keluarga dan Direktori Perkhidmatan Keluarga pada November tahun lepas (2019).

“Saya menyeru agar semua lapisan masyarakat kembali memberi keutamaan terhadap institusi keluarga dalam segala usaha, perancangan dan tindakan,” katanya.

– BERNAMA