Categories
AGENDA NASIONAL

Wan Azizah: Segera benar sidang Parlimen, bahas isu rakyat

SHAH ALAM, 4 JUN: Kerajaan harus segera membenarkan persidangan Parlimen supaya masalah tercetus akibat pandemik Covid-19 dan jenayah aparteid terhadap Palestin dapat dibahaskan secara tuntas, kata Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata Dewan Rakyat yang bersidang kali terakhir pada 15 Disember tahun lalu sepatutnya menjadi wadah membahaskan isu rakyat yang semakin meruncing untuk mencari jalan penyelesaian.

Tegasnya, pentadbiran kerajaan memberikan alasan darurat untuk tidak membenarkan persidangan Parlimen walaupun Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah mengizinkannya.

“Lantaran itu isu rakyat seperti saya sebutkan tadi seperti kesenjangan ekonomi, kesihatan mental rakyat, keganasan rumah tangga, anak serta isteri maut di tangan pengasuh dan suami tidak dapat dibahaskan

“Isu pendidikan juga terus jadi tumpuan tanpa ada penyelesaian. Sekolah ditutup, bagaimana kita hendak menyambung…Adakah kita akan ada generasi kurang berpendidikan? Ini yang kita takut untuk ditangani bersama,” katanya ketika merasmikan Kongres Wanita KEADILAN ke-15 secara maya hari ini.

Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata penutupan Parlimen juga tidak membolehkan negara menyatakan pendirian secara tegas isu manusia sejagat seperti pemusnahan etnik dan dasar aparteid berlaku secara kejam oleh rejim zionis Israel terhadap penduduk Palestin.

“Kita mesti keluarkan satu pernyataan tegas sebagai sebuah negara bebas dan merdeka, kita tentang sistem aparteid (berlaku) di mana-mana,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tubuh Suruhanjaya Amal, urus sumbangan lebih baik

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sudah tiba masanya Suruhanjaya Amal diwujudkan bagi menambah baik kecekapan, ketelusan dan tadbir urus baik dalam sektor kewangan sosial.

Beliau berkata penubuhan suruhanjaya itu akan mencegah sumbangan yang diberikan tidak sampai ke tangan penerima.

“Ini membolehkan satu mekanisme yang telus dalam menentukan amaun pemotongan untuk tujuan pentadbiran.

“Apa yang penting, ia juga bakal mewujudkan amalan terbaik dalam sektor kewangan sosial,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-10 Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) di sini malam tadi.

Turut hadir Presiden Pengasas IDEAS Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz.

Dr Wan Azizah berkata kerajaan juga sedang meneliti untuk menambah baik proses pengagihan semula kekayaan untuk menjadikannya lebih berkesan.

Beliau berkata jurang antara golongan kaya dan miskin boleh dirapatkan menerusi sektor kewangan sosial.

“Kewangan sosial seperti yayasan, organisasi amal dan pembiayaan mikro untuk golongan miskin akan menjadi kuasa ketiga dalam meningkatkan ekonomi dengan kesan positif terhadap pengagihan kekayaan,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata kerajaan juga akan mengkaji semula takrif kemiskinan.

“Selain hanya melihat kepada pendapatan isi rumah, definisi baharu juga akan mengambil kira pendapatan per kapita isi rumah,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga melihat kepada langkah mengkategorikan segmen berbeza di bawah B40.

“Jika kita menggunakan seluruh kategori B40 secara keseluruhan untuk strategi pengagihan semula, ini bermakna strategi yang sama akan digunakan untuk tiga kumpulan utama dalam kategori itu iaitu golongan fakir, miskin dan juga mereka yang hanya mampu memenuhi keperluan asas,” katanya.

“Sebenarnya, ketiga-tiga kumpulan ini memerlukan strategi pengagihan semula yang berbeza,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TPM lega rakyat Malaysia dibenar keluar pusat pemantauan

PUTRAJAYA, 18 FEB: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melahirkan rasa lega apabila kesemua rakyat Malaysia dan ahli keluarga yang dibawa pulang dari Wuhan, China melalui Misi Bantuan Kemanusiaan pada 4 Feb lepas ekoran ancaman Covid-19 dibenarkan keluar daripada pusat pemantauan.

“Bagi saya ini satu berita gembira,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian dan penyerahan tajaan Kumpulan Sunway bagi penubuhan SunwayForGood Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara di Hospital Seberang Jaya, di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataannya Selasa berkata semua 107 individu terdiri daripada rakyat Malaysia dan ahli keluarga yang dibawa pulang dari Wuhan, China melalui Misi Bantuan Kemanusiaan pada 4 Februari lepas dibenarkan keluar setelah menamatkan tempoh pemantauan 14 hari di pusat pengawasan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT).

Sehingga Selasa, jumlah kes positif terkumpul Covid-19 di Malaysia ialah 22 dengan hanya 11 pesakit masih dirawat di wad sementara 11 lagi sudah dibenarkan pulang.

Sementara itu ditanya sama ada kerajaan akan membawa pulang dua rakyat Malaysia disahkan positif Covid-19 di atas kapal Diamond Princess yang berlabuh dan sedang dikuarantin di Pelabuhan Yokohama, Jepun, Dr Wan Azizah berkata mereka akan dirawat di Jepun.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi catatan di Facebook rasmi miliknya hari ini berkata, terdapat dua rakyat Malaysia yang disahkan positif Covid-19 dan dua lagi masih menunggu keputusan ujian Covid-19 di atas kapal berkenaan.

Kedua-dua mereka yang positif sedang dirawat di Jepun.

“Kapal persiaran Diamond Princess yang sedang dikuarantin, mencatatkan kes kluster terbesar di luar China dengan lebih 400 orang yang diuji disahkan positif,” kata Dr Noor Hisham lagi.

Semalam, media melaporkan sebanyak 455 penumpang kapal itu disahkan positif Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Koronavirus: Malaysia, negara ASEAN lain sentiasa kongsi maklumat

KUALA LUMPUR, 7 FEB: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Malaysia sentiasa bekerjasama erat dengan negara anggota ASEAN lain dalam berkongsi data dan maklumat mengenai koronavirus 2019.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata maklumat diperoleh negara sentiasa dikongsi dengan kesemua negara blok berkenaan, antara lain melalui persidangan video.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata data diperoleh negara juga dikongsi dengan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

“Sebab kita tahu, virus ini novel, kita tak tahu secara terperinci bagaimana dia malah apa semua itu, jadi kalau kita ada perkongsian ilmu dan data ini akan banyak membantu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taska Parlimen Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaan Thailand memberi kerjasama kepada Indonesia dan negara anggota ASEAN lain bagi membendung penularan virus berkenaan sepertimana diciap Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayuth Chan o-cha dalam akaun twitter rasminya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia sedia bantu Australia padamkan kebakaran

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Malaysia bersiap sedia untuk menghulur bantuan yang perlu bagi membantu Australia yang kini berhadapan dengan krisis kebakaran hutan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, bantuan itu termasuk penghantaran anggota Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), aset dan para pegawai untuk membantu memadamkan kebakaran berkenaan dengan secepat mungkin dan bagi menyokong operasi menyelamat Australia.

“Saya amat sedih bila mengetahui mengenai keadaan buruk kebakaran itu yang telah menyebabkan kehilangan nyawa dan kerosakan besar di Australia.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya ingin melahirkan rasa takziah kepada mangsa, keluarga mereka dan semua yang terlibat. Doa kami mengiringi bersama-sama rakyat Australia semasa tempoh sukar ini,” katanya dalam akaun Facebook rasmi beliau, hari ini.

Menurut laporan media, seramai 24 orang terbunuh dan hampir 2,000 rumah musnah apabila kebakaran hutan itu telah memusnahkan tiga negeri di Australia melibatkan kebakaran kira-kira lima juta hektar tanah.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan berkata, Malaysia berdiri teguh bersama-sama Australia ketika pasukan pemusnah kebakaran dan pegawai perkhidmatan kecemasan dari seluruh negara dan dunia bekerja bertungkus-lumus sepanjang 24 jam sehari untuk memadamkan kebakaran.

“Krisis ini telah memberi kesan buruk yang dahsyat terhadap perubahan iklim sejagat. Oleh itu, komitmen yang teguh ke arah pelaksanaan dasar kemampanan dan tindakan kolektif oleh semua negara diperlukan bagi mengatasinya dan membendung ia daripada menjadi bertambah buruk lagi.

“Ingatan dan doa kami sentiasa mengiringi semua mereka yang terjejas,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM tentukan pengganti Maszlee – Dr Wan Azizah

BEAUFORT, 4 JAN: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyerahkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menentukan pengganti Dr Maszlee Malik.

Dr Wan Azizah berkata beliau sendiri tidak dapat memberi bayangan individu bakal menerajui Kementerian Pendidikan, selepas bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri pendidikan dua hari lepas.

“Itu (pengganti Maszlee) terpulang pada PM (perdana menteri) untuk tentukan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Membakut, dekat sini, hari ini.

Pada Khamis, Maszlee mengumumkan beliau meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan, berkuat kuasa semalam.

Dr Wan Azizah berkata beliau menghormati keputusan diambil Maszlee, sambil menghargai segala sumbangan diberikan bekas menteri itu selama menerajui Kementerian Pendidikan.

“Maszlee adalah rakan saya dalam Kabinet. Saya menghargai sumbangan beliau dan dia adalah ahli akademik yang cuba membuat reformasi dalam satu kementerian besar,” katanya.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata lawatannya ke JKM Membakut bertujuan meninjau operasi serta melihat keperluan yang perlu ditambah baik ke arah mempertingkatkan lagi perkhidmatan jabatan berkenaan di kawasan itu.

Justeru, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata kajian menyeluruh akan dilakukan bagi mengatasi perkara itu bukan sahaja untuk kawasan Membakut tetapi juga di daerah lain di Sabah.

Dalam pada itu, beliau berkata sejumlah RM4.2 juta bantuan disalurkan JKM Membakut kepada golongan memerlukan termasuk warga emas, kanak-kanak, pesakit kronik dan orang kelainan upaya (OKU) sepanjang tahun lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada sebarang permohonan bawa masuk abu mayat Chin Peng

SHAH ALAM, 27 NOV: Kerajaan tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk membawa masuk abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, kementerian berkaitan juga telah diarahkan untuk melakukan siasatan berhubung perkara itu.

“Kita tidak pernah menerima permohonan atau apa-apa tentang membawa balik abu mendiang Chin Peng.

“Kita fikirkan ada sensitiviti, ada juga jasa dan pengorbanan perwira dulu. Jadi kita tengok (siasatan) bagaimana,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan ‘Smart Technology For Smart City Summit 2019 di Hotel Concorde, di sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar.

Dr Wan Azizah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibawa masuk ke Malaysia, baru-baru ini.

Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan, melaporkan abu mayat pemimpin PKM itu sudah dibawa masuk ke negara ini pada 16 September lepas, walaupun kerajaan kekal dengan dasar melarang abu mayat Chin Peng dibawa masuk.

Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata pihaknya masih mendapatkan maklum balas daripada tujuh negeri yang dilaporkan masih belum bersetuju untuk meminda enakmen berkaitan penetapan had umur minimum perkahwinan bagi kanak-kanak perempuan kepada 18 tahun.

Beliau berkata maklum balas itu termasuk daripada Sarawak yang mana negeri itu mempunyai banyak perbezaan dengan Semenanjung berhubung undang-undang perkahwinannya.

“Kita mahukan supaya (had umur) ini ditingkatkan supaya anak kita tidak kira lelaki atau perempuan memahami bahawa perkahwinan itu adalah satu tanggungjawab.

“… dan kita tidak mahu kadar perceraian terutama membabitkan golongan muda adalah tinggi sehingga menjadi satu masalah sosial,” katanya.

Dr Wan Azizah sebelum ini memaklumkan setakat ini, hanya lima negeri yang bersetuju untuk meminda Enakmen atau Ordinan Undang-undang dan had umur minimum perkahwinan.

Negeri itu ialah Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka dan Perak, manakala Selangor telah meminda enakmen itu dan Wilayah Persekutuan dalam proses pindaan.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam peringkat akhir menyiapkan draf Pelan Strategik Kebangsaan bagi menangani masalah perkahwinan bawah umur.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sekadar ziarah, tiada agenda politik – Azmin

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 13 OGOS : Tidak wujud sebarang sentimen politik membabitkan pertemuan pimpinan KEADILAN diketuai Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pertemuan dibuat atas dasar hubungan baik kedua-dua parti berkenaan.

Beliau berkata, pertemuan juga dibuat bagi menziarahi Abdul Hadi yang kini berehat selepas menjalani pembedahan, semalam.

CP2A1101-1024x683“Pertemuan itu bersifat ziarah kerana Tuan Guru Abdul Hadi baru sahaja menjalani pembedahan dan di peringkat awal kita dinasihatkan supaya tidak menganggu kerana beliau masih memerlukan rehat.

“Kami menziarah atas prinsip merasakan kami perlu melawat beliau dan mendoakan kesejahteraan serta kesihatannya.

“Namun, kami dimaklumkan doktor juga bahawa Ustaz Hadi diminta berehat untuk satu tempoh sebelum boleh kembali menjalani aktiviti seperti biasa,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Pesta Makanan Tradisional Kelantan di Dewan Beringin Taman Seri Gombak, di sini, pagi ini.

Sebelumnya, Mohamed Azmin diminta mengulas dakwaan segelintir pihak yang mengeluarkan beberapa kenyataan bersifat spekulasi negatif berhubung pertemuan berkenaan.

Semalam, Mohamed Azmin menemani Wan Azizah bersama Naib Presiden KEADILAN, Profesor Dr Shaharuddin Badaruddin melawat Abdul Hadi di sebuah hospital yang tidak dinamakan.

Kedua-dua pempimpin berkenaan turut berkongsi gambar pertemuan berkenaan di laman sosial masing-masing.

Ahli Parlimen Pembangkang berarak bantah penahanan Rafizi


Perarakan diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama Ahli Parlimen Pembangkang sebagai bantahan kepada penahanan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Categories
NASIONAL

Azizah hiba Anwar tak mampu angkat tangan untuk cucu

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 10 FEB: Isteri mana tidak hiba melihat suami tercinta yang bukan sahaja dipenjarakan secara tidak sah, malah terpaksa menanggung kesakitan hingga tidak mampu mengangkat tangan sendiri ketika bergurau dengan cucunya.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah, berkata beliau hanya dapat memandang dengan sayu gelagat suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama cucunya ketika pertemuan terakhir mereka ketika di Kompleks Mahkamah Syariah Kuala Lumpur bulan lalu.

BEBAS ANWAR“Pada masa itu cucu kami melihat gambar Anwar semasa reformasi bermula pada 1998 yang menunjukkan Anwar sedang mengangkat tangannya kepada orang ramai.

“Bila melihat gambar itu, cucu kami meminta Anwar supaya mengangkat tangan kanannya seperti mana aksi di dalam gambar itu tetapi alangkah sayunya, Anwar tidak mampu mengangkat tangan kanannya,” kata Wan Azizah ketika berucap pada Himpunan 365 #BebaskanAnwar di hadapan Penjara Sungai Buloh di sini, malam tadi.

Bagaimanapun jelas Wan Azizah, untuk tidak mengecewakan cucunya itu, Anwar mengangkat tangan kirinya seperti mana aksinya di dalam gambar terbabit.

Dr Wan Azizah turut melahirkan kekesalannya dengan sikap kerajaan Umno-Barisan Nasional yang enggan membenarkan Anwar mendapatkan rawatan di luar negara.

-nR-