Categories
AGENDA NASIONAL

Suntikan vaksin Covid-19 ketika Ramadan harus – Dr Zulkifli

PORT DICKSON, 23 MAC: Suntikan vaksin Covid-19 pada bulan Ramadan adalah harus dan tidak membatalkan puasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam telah memutuskan perkara itu dua bulan lepas.

“Untuk vaksin Covid-19, kita putuskan dalam majlis fatwa dan juga fatwa-fatwa lama (pernah menyentuh) kalau berkenaan dengan suntikan vaksin, tiada masalah ia dibolehkan.

“Jika kita lihat sekarang, seluruh dunia membenarkan (suntikan vaksin pada bulan Ramadan) dan terbaharu kita menerima pandangan daripada Mufti Besar Arab Saudi (Sheikh Abdul Aziz Al-Asheikh) yang menyatakan keharusan untuk bervaksin sekalipun pada bulan Ramadan dan tidak membatalkan puasa,” katanya kepada pemberita di Kolej Uniti Port Dickson, di sini hari ini.

Justeru, beliau berkata dengan pandangan Mufti Besar Arab Saudi itu, ia selaras dengan pandangan ahli fatwa di negara ini.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bertemakan “Lindung Diri, Lindung Semua” dilaksanakan dalam tiga fasa bermula 24 Februari lepas dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan vaksin itu.

Terdahulu, Zulkifli menyempurnakan majlis penyerahan komputer riba kepada 40 pelajar asnaf di kolej tersebut menerusi zakat Tabung Haji (TH) Travel.

Beliau yang merupakan bekas pensyarah di kolej itu turut memberikan kata-kata semangat kepada pelajar supaya terus cemerlang dalam bidang masing-masing dan berbakti kepada negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

YaPEIM sumbang juadah bantu B40 di Desa Mentari

SHAH ALAM, 6 FEB: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menyediakan makanan kepada lebih 100 penduduk Desa Mentari Petaling Jaya sebagai usaha membantu golongan berpendapatan rendah (B40) kawasan berkenaan.

Agensi itu berkata program ‘Dapur Perpaduan Projek Komuniti Kerajaan Prihatin’ bermula 6 pagi tadi turut mendapat kerjasama Persatuan Penduduk Petaling Jaya dan ibu pejabat polis daerah (IPD).

“Penduduk turut menerima bantuan bank makanan. Program ini bertujuan memberi kegembiraan dan sokongan serta membantu mengurangkan beban keluarga,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Menurut agensi, bagi menjayakan program terbabit pihaknya menyumbang 50 kilogram daging segar, 20 kampit beras serta 20 botol minyak masak bagi persiapan juadah.

Program disertai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid dan Pemangku Ketua Pengarah Parihah Hasan.

“Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta Ketua IPD Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal turut hadir,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Semak sijil pengesahan halal Malaysia melalui portal, aplikasi

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Senarai penuh 318 pengimport daging berlesen yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) boleh didapati di portal Halal www.halal.gov.my atau aplikasi SmartHalal, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini, beliau berkata masyarakat Islam tidak perlu ragu dengan pengimport yang mempunyai sijil itu.

“Saya amat prihatin akan kebimbangan umat Islam dalam hal ini. KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) selaku agensi berautoriti telah melaksanakan prosedur yang tepat bagi pengurusan kes kartel daging import ini.

“Adalah sebaiknya proses penguatkuasaan dilaksanakan oleh mereka yang diberi kuasa mengikut lunas perundangan. Insya-Allah selepas selesai perbicaraan dan tindakan undang-undang di mahkamah, semuanya akan selesai,” katanya.

Pada 1 Disember lepas, negara dikejutkan dengan pembongkaran kartel daging sejuk beku import yang membawa masuk daging tanpa sijil halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual di pasaran tempatan.

Pada 29 Januari, Zulkifli berkata status halal sesuatu produk atau perkhidmatan di pasaran boleh diperoleh dengan cepat dan mudah dengan hanya mengimbas QR Code pada aplikasi telefon pintar SmartHalal ketika melancarkan kod berkenaan secara maya.

Sementara itu, beliau berkata rundingan meja bulat anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama pengimport dan pengedar daging dan produk daging pada 11 Januari menghasilkan banyak keputusan yang bermanfaat untuk umat Islam di Malaysia.

Antara pemegang SPHM dalam kalangan pengimport daging berlesen yang hadir dalam pertemuan itu ialah GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, Sushi King Sdn Bhd, Kyros Kebab Sdn Bhd, Melawati Kebab Sdn Bhd, Nusantara Meat Berhad, Ramly Food Processing Sdn Bhd, Al-Hilal Food Processing Sdn Bhd, Macfood Services (M) Sdn Bhd dan Selamat Supplies Sdn Bhd.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan hasil rundingan itu yang turut melibatkan KPDNHEP, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta pihak berkepentingan dalam industri berkenaan.

Pada masa sama, beliau turut memuat naik aliran proses import daging ke Malaysia untuk pengetahuan orang ramai yang merangkumi empat langkah iaitu secara bersama, permit import, kawalan pintu masuk negara oleh dua agensi penguatkuasaan dan pasaran dengan setiap langkah menjadi tanggungjawab jabatan berkaitan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Suruhanjaya diraja langkah terbaik siasat isu kartel daging

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu penyeludupan daging yang menyalahgunakan logo halal adalah langkah terbaik bagi menyiasat isu tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataan hari ini berkata usaha dan hasrat yang murni ini telah dipersetujui dengan pihak terlibat dan dilihat penting demi kemaslahatan umat Islam di Malaysia.

Terdahulu di Dewan Negara hari ini, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid mengumumkan kerajaan bersetuju dan menyokong penuh cadangan untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat isu penyeludupan daging yang menyalahgunakan logo halal.

Jelas Rosol, kerajaan memandang serius isu kartel daging haram yang menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Dalam pada itu, Zulkifli turut menyambut baik hasrat KPDNHEP untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundangan dan Penguatkuasaan Halal bagi menyelaraskan tindakan dan isu berkaitan halal, yang akan turut dianggotai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Zulkifli berkata beliau dan Jakim mengambil prihatin dan meletakkan kecaknaan yang penuh terhadap isu pemalsuan logo halal dalam kes kartel daging haram baru-baru ini termasuk mengadakan beberapa lawatan ke syarikat pemain industri yang terlibat dalam pengimportan dan penyembelihan daging.

“Usaha ini dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan kualiti pensijilan halal produk-produk daging yang dihasilkan di dalam negara adalah di tahap yang terbaik.

“Bagi produk daging import, Jakim akan terus menggiatkan usaha dan penambahbaikan bagi memastikan Badan Pensijilan Halal Luar negara mematuhi semua standard yang telah ditetapkan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jakim akan keluarkan senarai pengimport daging berlesen

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengeluarkan senarai pengimport daging yang diberikan lesen untuk memasarkan daging di negara ini, bagi mengurangkan kebimbangan orang ramai berhubung isu halal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata perbincangan lanjut bersama pihak Bahagian Pengurusan Halal Jakim turut diadakan bagi menyelesaikan isu itu.

“Saya juga difahamkan, lesen kebenaran menjual daging turut melibatkan kementerian lain, justeru kami akan mengadakan kerjasama lebih erat dengan kementerian yang terlibat.

“Saya akan cakna isu ini dan meninjau sebarang bentuk permasalahan yang ada kaitan dengan logo halal Jakim, sekiranya ada mana-mana kelemahan, kita akan kemas kini,” katanya kepada pemberita di Dewan Negara hari ini.

Sebelum ini media melaporkan taktik kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula daging berkenaan dengan menggunakan logo halal dan menjualnya di pasaran seluruh Malaysia.

Beliau berkata pihaknya akan terus berkolaborasi dengan pihak-pihak lain yang berkaitan bagi memastikan masyarakat mendapat produk daging import yang 100 peratus halal.

Sementara itu, beliau turut memuji tindakan pengeluar makanan proses Ramly Food Prosessing Sdn Bhd (RFPSB) yang mengesahkan tiada pembabitan orang tengah dalam urusan import daging dan bahan mentah daripada syarikat itu.

“Saya ucapkan syabas kepada Ramly Burger kerana kenyataan seperti itu akan hilangkan keraguan dan kerisauan orang ramai yang membeli produk syarikat berkenaan.

“Mana-mana penjual daging juga digalakkan menghebahkan kenyataan sama bagi memastikan setiap rakyat terutamanya umat Islam mendapat bekalan makanan yang halal dan bersih,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri agama: Pendakwah perlu senada hukum guna vaksin Covid-19

SEPANG, 24 DIS: Semua pihak termasuk pendakwah selebriti perlu senada mengenai hukum penggunaan vaksin Covid-19 iaitu harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata ketetapan hukum penggunaan vaksin Covid-19 itu dibuat oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 3 Disember lepas, dan mengambil pandangan semua pihak termasuk para ulama serta badan berautoriti.

“Kita mahu semua senada (penggunaan vaksin) sebab pandangan ini bukan pandangan saya tetapi para ulama bukan semata di Malaysia… rujukan dibuat untuk ummah seluruhnya dan negara-negara Arab bersetuju kaedah ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan 80 pendakwah selebriti di sini, hari ini.

Ketika berucap pada majlis itu, Zulkifli meminta pendakwah selebriti yang mempunyai syor atau cadangan yang baik mengenai apa jua perkara termasuk penggunaan vaksin supaya mengemukakannya secara berhemah.

“Dalam mendepani isu Covid-19, satu sahaja permintaan khusus saya buat sahabat-sahabat iaitu marilah kita bersatu fikrah. Elakkan berkhilaf sesama kita kerana kita ada maslahah yang besar iaitu melindungi rakyat daripada wabak ini.

Jika ada syor atau cadangan baik, kemukakan secara berhemah tapi bukan dalam ceramah atau di media sosial,” katanya.

Semalam, Zulkifli berkata Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang bersidang pada 3 Disember lepas mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.

Ketetapan ini juga telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja dan penggunaan vaksin bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukanlah perkara asing dalam perspektif syarak, katanya.

Mengenai pertemuan dengan pendakwah selebriti, Zulkifli mengingatkan mereka untuk sentiasa memelihara imej serta maruah diri dan mengelakkan diri daripada sebarang kontroversi.

“Kita harap ada sinar pada tahun 2021… kita tidak dengar lagi sebarang isu konflik (melibatkan pendakwah selebriti),” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Masjid di Salak Tinggi ditutup selepas menteri disah positif

SHAH ALAM, 6 OKT: Masjid Jamek Sultan Hisamuddin Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang ditutup sejak semalam selepas Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan positif Covid-19.

Pengurusan masjid memaklumkan langkah itu diambil kerana menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) berada di situ pada 3 Oktober lalu.

“Dukacita dimaklumkan Masjid Jamek Sultan Hisamuddin ditutup serta merta mulai sekarang (semalam). Ini kerana Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad telah hadir ke masjid kita pada Sabtu lepas untuk memberi kuliah,” katanya menerusi Facebook.

Pihak pengurusan masjid juga meminta jemaah yang hadir semasa kuliah dan sebelumnya menjalani saringan Covid-19 serta mendoakan semua terlibat sembuh dari wabak berkenaan.

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyampaikan sumbangan RM15,000 kepada wakil kolej kediaman di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada 4 Oktober 2020. Foto: Twitter Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Dr Zulkifli mengesahkan dirinya positif Covid-19 melalui saringan dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau dilaporkan berada di Sabah menghadiri beberapa program dan pulang ke Kuala Lumpur pada 24 September lalu.

Selepas itu beliau pergi ke beberapa negeri dalam pelbagai program termasuk Selangor menghadiri beberapa acara.

Merujuk Facebook beliau, Dr Zulkfili pada 4 Oktober lalu hadir pada Majlis Pengijazahan Perubatan dan Pengubatan Darussyifa’ sesi 2020 dan Perasmian buku di Darul Quran, Kuala Kubu Baru.

Beliau juga hadir pada program Bantuan Musaadah Khas Siswa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan Bantuan Musaadah Khas Siswa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi.

Dr Zulkifli juga hadir pada perasmian penutup dan penyampaian hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan Qur’an Peringkat Kebangsaan di Hotel Geno Shah Alam.

Categories
AGENDA NASIONAL

UiTM arah individu kontak rapat menteri agama jalani saringan Covid-19

SHAH ALAM, 6 OKT: Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengarahkan semua individu yang merupakan kontak rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam majlis di institusi itu kelmarin segera menjalani ujian saringan Covid-19.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata langkah segera dan berjaga-jaga itu bertujuan bagi mengelak sebarang kemungkinan tidak diingini dan memastikan semua individu terlibat terpelihara daripada jangkitan Covid-19.

“Saya peka dan ambil maklum kebimbangan warga universiti. Namun, saya memberi jaminan kepada setiap warga dan pihak berkaitan bahawa kita juga sudah mengambil semua langkah perlu untuk memastikan keadaan adalah terkawal,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd Azraai berkata beliau dan semua staf yang terlibat dalam majlis itu juga menjalani ujian saringan dan melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari bermula semalam.

Menurutnya, setiap warga universiti perlu kekal tenang dan tabah dengan keadaan mencabar itu dan berdoa semoga semua pihak terlibat terus terpelihara daripada penularan pandemik Covid-19.

Beliau berkata UiTM juga menguruskan pelaksanaan sanitasi di premis dan kawasan berlangsungnya majlis bersama menteri itu dan meminta semua individu terlibat supaya berhubung dengan bilik gerakan Covid-19 universiti bagi menjalani saringan.

Kelmarin, Zulkifli menghadiri majlis bersama pelajar UiTM di Kampus Shah Alam bagi menyampaikan bantuan misi Musa’adah Khas Siswa.

Zulkifli menerusi hantaran di akaun Twitternya semalam mengesahkan beliau positif Covid-19 dan sedang menjalani rawatan di hospital.

Beliau turut menyeru orang ramai yang pada hadir majlis dihadirinya dari 24 September hingga 4 Oktober supaya menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di klinik kesihatan segera.

Kontak rapat bermaksud mereka yang berhubung rapat dalam lingkungan satu meter dengan kes disahkan positif Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Kerajaan perkemas SOP di masjid, surau

KUALA KUBU BHARU, 3 OKT: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan tatacara operasi piawai (SOP) di masjid dan surau akan diperkemaskan susulan peningkatan kes positif Covid-19 di negara ini.

Berkongsi mengenai perkembangan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi tadi, katanya SOP baharu di masjid atau surau setakat ini tidak dibincangkan.

“Tidak dibincangkan (mengenai SOP baharu di masjid dan surau), sekadar kita akan memperkemaskan SOP dan kepatuhannya,” katanya kepada Bernama selepas menyempurnakan majlis Pengijazahan Perubatan dan Pengubatan Islam Darussyifa’ sesi 2020 serta majlis Penganugerahan Darul Quran Jakim di sini hari ini.

Mesyuarat khas MKN itu turut dihadiri Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba serta menteri-menteri berkaitan termasuk Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Semalam, Malaysia mencatatkan 287 kes baharu Covid-19, iaitu jumlah kes harian tertinggi pernah direkodkan sejak permulaan pandemik itu di negara ini.

Sementara itu, pada majlis hari ini seramai 80 peserta kursus Perawatan Islam Darussyifa’-Darul Quran diraikan di Dewan Muktamar Darul Quran Jakim.

Kursus Perawatan Islam ini merupakan program kerjasama antara Darul Quran dengan Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia (Darussyifa’).

Zulkifli berharap dengan pengijazahan para peserta itu dapat menjadi satu daripada penyelesaian kepada masyarakat yang buntu ketika mereka diuji oleh Allah SWT dengan kesakitan dan seumpamanya.

Beliau turut menasihatkan para pengamal perubatan Islam juga perlu menjadi pendakwah yang ikhlas membawa pesakit lebih dekat kepada Allah melalui kaedah perawatan rukyah Islam.

“Terdapat banyak ajaran dan amalan tidak berlandaskan kepada ajaran Islam sebenar bahkan bercanggah dengan akidah serta syariat Islam yang tidak berasaskan daripada sumber sahih.

“Jadi, inilah peranan dan tanggungjawab yang besar perlu digalas terutamanya para dai (pendakwah) dalam memelihara kesucian serta keagungan Islam bagi menjamin masa depan generasi umat Islam,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia dapatkan maklumat rasmi Arab Saudi kebenaran tunai umrah

PUTRAJAYA, 23 SEPT: Malaysia akan mendapatkan maklumat rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berhubung kebenaran menunaikan umrah seperti yang dilaporkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Sebarang ketetapan mengenai kebenaran menunaikan ibadah itu perlu dibincangkan dengan teliti dengan kerajaan Arab Saudi terlebih dahulu,” katanya berhubung laporan Arab Saudi membenarkan semula ibadat umrah untuk sepanjang tahun secara berperingkat mulai 4 Oktober ini selepas tujuh bulan ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19.

Dilaporkan, sebagai permulaan kira-kira 6,000 penduduk Arab Saudi dibenarkan menunaikan umrah setiap hari bermula 4 Oktober, manakala jemaah dari luar negara pula dibenarkan berbuat demikian mulai 1 November dengan kapasiti dinaikkan sehingga 20,000 orang sehari.

Ketika merasmikan Seminar Penipuan Umrah bersama Pengelola Umrah di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini, Zulkifli berkata kerajaan Arab Saudi pasti akan mengehadkan jumlah jemaah umrah selain terdapat beberapa tatacara operasi piawai (SOP) yang perlu dipatuhi.

Beliau berkata pihaknya juga akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) tentang SOP yang perlu dilaksanakan sekiranya rakyat Malaysia dibenarkan menunaikan ibadat umrah.

“Kami akan bincang dan lihat apa saranan MKN… kita tidak mahu ada kluster baru pula wujud,” katanya.

Dalam ucapannya sebelum itu, Zulkifli berkata kerajaan mengiktiraf peranan dan sumbangan agensi pengelola umrah kerana melalui tadbir urus mereka yang cemerlang menyumbang kepada nama baik Malaysia yang seringkali disebut-sebut dan dicontohi di peringkat global.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan cadang tambah baik akta pentadbiran undang-undang Islam

PUTRAJAYA, 3 SEPT: Kerajaan bercadang membentangkan pindaan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) pada sesi Parlimen, November ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata antara pindaan Akta 505 itu melibatkan tadbir urus agensi agama di Wilayah Persekutuan, memperkukuh tadbir urus Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, isu berkaitan mahkamah syariah, isu berkaitan tadbir urus pejabat mufti Wilayah Persekutuan termasuk kaedah pengeluaran fatwa.

“Ia (Akta 505) akan ditambah baik dari pelbagai segi dan ia akan diperhalusi,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan surat pelantikan kepada 10 Ahli Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil bagi tempoh tiga tahun yang berkuat kuasa dari 16 Ogos lepas hingga 15 Ogos 2023, di sini.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman dilantik sebagai pengerusi ahli jawatankuasa tersebut.

Zulkifli berkata ahli jawatankuasa yang baru dilantik itu akan membincangkan dengan lebih mendalam berkenaan pindaan di bawah Akta 505 dalam mesyuarat yang berlangsung selama lima hari, bermula semalam sebelum dibentangkan di Parlimen.

Dalam ucapannya, Zulkifli berkata selain Akta 505, mesyuarat jawatankuasa teknikal kali ini akan turut membincangkan cadangan penggubalan Rang Undang-Undang Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan).

“Walaupun terdapat 10 negeri lain yang telah menggubal undang-undang yang sama bagi negeri masing-masing, namun terdapat halangan dari segi penguatkuasaan undang-undang tersebut,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Menteri agama: Dakwah perlu seiring perkembangan semasa

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Agensi agama memainkan peranan penting dalam menyampaikan dakwah terutama menyatuni generasi muda dengan kaedah komunikasi yang santai dan berkesan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata usaha Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menganjurkan acara konvoi motosikal ke kampung-kampung Orang Asli menerusi Progam Semarak Dakwah, perlu menggunakan kaedah komunikasi yang mudah diterima oleh masyarakat itu.

“Agensi agama seperti Yadim memainkan peranan besar dalam berdakwah, cara dakwah (berkonvoi) seperti ini memberi kesan positif kepada generasi muda, sekurang-kurangnya berlaku komunikasi dakwah yang berkesan.

“Saya anggap peserta konvoi ini sebagai wira dan duta dakwah Yadim, saya berharap usaha ini dapat berjalan lancar dan gunalah pendekatan dakwah yang bersesuaian dengan masa kini,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Zulkifli menyempurnakan acara perlepasan peserta konvoi motosikal Jelajah Kampung Orang Asli di Jelebu, Negeri Sembilan dan Bentong, Pahang anjuran Yadim di perkarangan Kompleks Pusat Islam di sini.

Program Semarak Dakwah yang diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan itu termasuk sesi kaunseling, santai anak muda, ziarah prihatin, program bina insan dan program hiburan Islam.

-BERNAMA