Categories
AGENDA NASIONAL

Kabinet Ismail Sabri: Senarai lengkap menteri dan timbalan menteri baharu

PUTRAJAYA, 27 OGOS: Berikut adalah senarai menteri dan timbalan menteri yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini hari ini.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Menteri Kanan: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali
Timbalan Menteri: Senator Datuk Lim Ban Hong

Kementerian Pertahanan
Menteri Kanan: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Timbalan Menteri: Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz

Kementerian Kewangan
Menteri: Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Timbalan Menteri I: Mohd Shahar Abdullah
Timbalan Menteri II: Yamani Hafez Musa

Kementerian Kerja Raya
Menteri Kanan: Datuk Seri Fadillah Yusof
Timbalan Menteri: Datuk Arthur Joseph Kurup

Kementerian Pendidikan
Menteri Kanan: Senator Datuk Dr Mohd Radzi Jidin
Timbalan Menteri I: Senator Datuk Dr Mah Hang Soon
Timbalan Menteri II: Datuk Mohamad Alamin

Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)
Menteri: Datuk Seri Mustapa Mohamed
Timbalan Menteri: Eddin Syazlee Shith

Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas)
Menteri: Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad
Timbalan Menteri: Datuk Mastura Mohd Yazid

Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang)
Menteri: Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Timbalan Menteri: Datuk Mas Ermieyati Samsuddin

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Menteri: Senator Idris Ahmad
Timbalan Menteri: Datuk Ahmad Marzuk Shaary

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak)
Menteri: Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili
Timbalan Menteri: Datuk Hanifah Hajar Taib

Kementerian Pengangkutan
Menteri: Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong
Timbalan Menteri: Datuk Henry Sum Agong

Kementerian Alam Sekitar dan Air
Menteri: Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Menteri: Datuk Dr Mansor Othman

Kementerian Sumber Manusia
Menteri: Datuk Seri M. Saravanan
Timbalan Menteri: Datuk Awang Hashim

Kementerian Wilayah Persekutuan
Menteri: Datuk Seri Shahidan Kassim
Timbalan Menteri: Datuk Seri Jalaluddin Alias

Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Menteri: Datuk Seri Rina Mohd Harun
Timbalan Menteri: Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff

Kementerian Pengajian Tinggi
Menteri: Datuk Dr Noraini Ahmad
Timbalan Menteri: Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad
Kementerian Tenaga dan Sumber Asli
Menteri: Datuk Seri Takiyuddin Hassan
Timbalan Menteri: Datuk Ali Biju

Kementerian Dalam Negeri
Menteri: Datuk Seri Hamzah Zainuddin
Timbalan Menteri I: Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said
Timbalan Menteri II: Jonathan Yassin

Kementerian Kesihatan
Menteri: Khairy Jamaluddin
Timbalan Menteri I: Datuk Dr Noor Azmi Ghazali
Timbalan Menteri II: Datuk Aaron Ago Dagang

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan
Menteri: Datuk Seri Dr Ronald Kiandee
Timbalan Menteri I: Datuk Seri Ahmad Hamzah
Timbalan Menteri II: Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh

Kementerian Pembangunan Luar Bandar
Menteri: Datuk Seri Mahdzir Khalid
Timbalan Menteri I: Datuk Abdul Rahman Mohamad
Timbalan Menteri II: Datuk Hasbi Habibollah

Kementerian Luar Negeri
Menteri: Datuk Saifuddin Abdullah
Timbalan Menteri: Datuk Kamarudin Jaffar

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
Menteri: Datuk Alexander Nanta Linggi
Timbalan Menteri: Datuk Rosol Wahid

Kementerian Komunikasi dan Multimedia
Menteri: Tan Sri Annuar Musa
Timbalan Menteri: Datuk Zahidi Zainul Abidin

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Menteri: Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican
Timbalan Menteri: Datuk Seri Ismail Abd Mutalib

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi
Menteri: Datuk Seri Dr Adham Baba
Timbalan Menteri: Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi
Menteri: Tan Sri Noh Omar
Timbalan Menteri: Muslimin Yahaya

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Menteri: Datuk Zuraida Kamaruddin
Timbalan Menteri I: Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng
Timbalan Menteri II: Willie Mongin

Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan
Menteri: Datuk Seri Nancy Shukri
Timbalan Menteri: Datuk Seri Dr R. Santhara Kumar

Kementerian Perpaduan Negara
Menteri: Datuk Halimah Mohamed Sadique
Timbalan Menteri: Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal

Kementerian Belia dan Sukan
Menteri: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
Timbalan Menteri: Senator Datuk Seri Ti Lian Ker

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Khairy menteri kesihatan baharu, ramai kekal termasuk tukar jawatan

SHAH ALAM, 27 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengekalkan ramai menteri era pendahulunya dalam barisan kabinet yang diumumkan hari ini.

Beliau melakukan perubahan portfolio menteri era Tan Sri Muhyiddin Yassin, selain memperkenalkan beberapa nama baharu.

Beberapa perubahan penting seperti berikut (menteri kanan):

Pertahanan (kanan) – Datuk Seri Hishammuddin Hussein (tukar portfolio)

Kesihatan – Khairy Jamaluddin Abu Bakar (tukar portfolio)

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – Senator Idris Ahmad  (nama baharu)

Sementara itu, menteri yang memegang portfolio penting dikekalkan seperti berikut:

Perdagangan Antarabangsa dan Industri (kanan) – Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali

Kewangan – Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Kerja Raya (kanan) – Datuk Seri Fadillah Yusof

Pendidikan (kanan) – Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin

Dalam Negeri – Datuk Seri Hamzah Zainuddin

Barisan menteri lain, termasuk yang bertukar portfolio (*) dan nama baharu (**), seperti berikut:

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) – Datuk Seri Mustapa Mohamed

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) – Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad*

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) – Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar*

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) – Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili

Pengangkutan – Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong

Alam Sekitar – Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man

Sumber Manusia – Datuk Seri Saravanan Murugan

Menteri Wilayah Persekutuan – Datuk Seri Shahidan Kassim**

Wanita, Keluarga dan Masyarakat – Datuk Seri Rina Harun

Pengajian Tinggi – Datuk Dr Noraini Ahmad

Tenaga dan Sumber Asli – Datuk Seri Takiyuddin Hassan*

Pertanian dan Industri Makanan – Datuk Seri Dr Ronald Kiandee

Pembangunan Luar Bandar – Datuk Seri Mahadzir Khalid**

Luar Negeri – Datuk Saifuddin Abdullah*

Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna – Datuk Alexander Nanta Linggi

Komunikasi dan Multimedia – Tan Sri Annuar Musa*

Perumahan dan Kerajaan Tempatan – Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican*

Sains, Teknologi dan Inovasi – Datuk Seri Dr Adham Baba*

Pembangunan Usahawan dan Koperasi – Tan Sri Noh Omar**

Perusahaan, Perladangan dan Komoditi – Datuk Zuraidah Kamaruddin*

Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan – Datuk Seri Nancy Shukri

Perpaduan Negara – Datuk Halimah Mohamed Sadique

Belia dan Sukan – Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu**

Mereka akan mengangkat sumpah jawatan dan kerahsiaan di depan Yang di-Pertuan Agong pada petang Isnin.

Sementara itu, empat menteri dalam Kabinet Perikatan Nasional (PN) era Muhyiddin yang digugurkan seperti berikut:

– Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad (Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Hal Ehwal Agama)

– Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah (Tenaga dan Sumber Asli)

– Datuk Dr Khairuddin Aman Razali (Perladangan dan Komoditi)

– Datuk Seri Md Redzuan Md Yusof (Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Tugas-Tugas Khas).

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PM menghadap Agong, dipercayai persembah cadangan senarai Kabinet

KUANTAN, 26 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dipercayai bagi mempersembahkan cadangan senarai Kabinet kepada Seri Paduka di Istana Abdulaziz di sini.

Kenderaan dinaiki perdana menteri tiba di perkarangan istana pada 10.53 pagi dengan diiringi tiga kenderaan lain dan kawalan polis trafik.

Perdana menteri dipercayai mempersembahkan cadangan senarai itu untuk mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah sebelum diumumkan, yang dijangka pada petang ini.

Pengumuman itu sekali gus akan dapat menamatkan spekulasi mengenai senarai jemaah menteri baharu, memandangkan sebelum ini terdapat beberapa senarai tular di media sosial, namun dinafikan oleh Ismail Sabri yang meminta masyarakat menunggu senarai rasmi daripada beliau.

Desas-desus kehadiran perdana menteri ke Pahang mula tersebar sejak semalam, menyebabkan perkarangan Istana Abdulaziz mula dikunjungi pengamal media sejak pagi tadi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ismail Sabri: Barisan Kabinet diumum minggu ini

YAN, 23 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata barisan Kabinet di bawah pentadbirannya akan diumum dalam minggu ini.

Beliau berkata senarai nama itu akan disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mendapat perkenan Seri Paduka terlebih dahulu.

Ismail Sabri berkata Kabinet tersebut bukanlah kerajaan perpaduan yang turut melibatkan wakil rakyat pembangkang.

“Kerjasama dengan mereka (pembangkang) bukan bermakna mereka akan ada dalam kabinet, tetapi mereka boleh memainkan peranan dengan menyalurkan idea mereka menerusi Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 dan Majlis Pemulihan Negara (MPN),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau kawasan terjejas banjir susulan kejadian kepala air dari Gunung Jerai di sini hari ini, yang turut disertai Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Ismail Sabri turut mempelawa Ahli Parlimen pembangkang untuk bersama-sama berbincang dengan kerajaan bagi membantu menyelesaikan isu Covid-19 dan juga ekonomi negara yang terjejas ekoran pandemik itu.

Dalam ucapan sulung sebagai perdana menteri semalam, beliau menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Mengulas mengenai pelbagai berita yang tular tentang senarai nama jemaah menteri, Ismail Sabri meminta orang ramai supaya tidak mempercayainya kerana ia adalah palsu.

“Jangan percaya, banyak sangat keluar nama-nama menteri… setiap hari ada senarai baharu. Tetapi bagus juga kerana ia boleh membantu saya untuk melihatnya,” katanya secara berseloroh.

Menyentuh cadangan supaya Timbalan Perdana Menteri dilantik dalam kalangan wakil rakyat Sabah dan Sarawak, Ismail Sabri berkata beliau bersedia mempertimbangkan cadangan itu dengan mengambil kira kepentingan semua pihak.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan beli enam juta dos lagi vaksin Covid-19

SHAH ALAM, 22 OGOS: Kerajaan membeli tambahan enam juta dos lagi vaksin Covid-19 yang akan diterima awal bulan depan, umum perdana menteri.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembelian itu dibuat kerana banyak manfaat diperoleh melalui kejayaan program vaksinasi itu kelak.

“Fakta terkini pada 20 Ogos membuktikan keberkesanan strategi lalu apabila kes harian Labuan menurun secara konsisten kepada satu digit tujuh hari berturut-turut,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian dalam ucapan pertama sebagai perdana menteri kesembilan, hari ini.

Menurut beliau apabila negara mencapai imuniti kelompok, virus itu tidak lagi menjadi ancaman seperti ditakuti sekarang. Namun, bukan bermakna kita akan bebas sepenuhnya daripada ancaman Covid-19.

Mengikut data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), 54.3 peratus atau 12,718,701 populasi di negara ini telah melengkapkan dos suntikan setakat semalam.

Menerusi perkongsian infografik JKJAV itu juga, seramai 18,121,392 orang atau 77.4 peratus menerima dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini sebanyak 30,840,093 dos.

 

Categories
AGENDA JENAYAH

Jangan sebar spekulasi kes tembak anggota TUDM – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap tiada sebarang spekulasi dan penyebaran berita tidak benar, berhubung insiden tembakan di Unit Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kota Samarahan, Kuching, pada Khamis yang mengorbankan empat anggota TUDM.

Dalam satu hantaran di Facebook semalam, Timbalan Perdana Menteri berkata ia bagi menjaga sensitiviti serta nama baik ahli keluarga perajurit yang terlibat, sehingga pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai menjalankan siasatan mengenai kejadian itu.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan, turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan waris semua perajurit negara yang terkorban dalam insiden tembakan tersebut.

“ATM telah menyampaikan sumbangan kebajikan sewajarnya kepada waris mangsa. Semoga semua rakyat Malaysia dapat bersama berdoa dan memberi sokongan kepada mereka,” katanya.

Dalam kejadian semalam, empat anggota TUDM terkorban iaitu Kpl U Mohamad Ehsan Sehamat, Laskar Udara (LU) Nesly Anak Nabau, Kpl U Ho Swee Boon dan Kpl U Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TPM: 132, 885 anggota, pegawai tentera terima dua dos vaksin Covid-19

KUANTAN, 12 OGOS: Hampir semua anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melibatkan 132,885 orang telah lengkap penerimaan dua dos vaksin Covid-19, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata pemberian vaksin kepada anggota ATM dilihat lebih memudahkan petugas barisan hadapan itu dalam melaksanakan tugas termasuk menjalankan latihan ketenteraan.

“Kesemua tentera kita telah selesai terima dua dos suntikan vaksin kecuali yang berada di luar negara bagi menjalani kursus dan sebagainya. Sekarang kami dalam proses untuk memberi vaksin kepada keluarga tentera pula.

“Mereka ini terlibat dalam operasi pertahankan negara, jadi kami memang beri keutamaan vaksinasi yang mana bimbang sekiranya mereka tidak divaksin jika berlaku apa-apa aset tidak boleh diatur gerak,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Eksesais Taming Sari 20/21 di Markas Wilayah Laut 1, di sini hari ini.

Turut hadir pada program itu adalah Timbalannya Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan dua lagi kapal Littoral Mission Ship (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka tiba pada hujung tahun ini.

“Sebenarnya kita boleh terima lebih awal aset-aset termasuk helikopter yang dibeli dari luar tetapi berlaku kelewatan disebabkan pandemik Covid-19,” katanya.

Mengulas mengenai eksesais yang membabitkan 1,080 warga TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) itu, beliau berkata ia bertujuan menguji keupayaan peralatan untuk mengesan dan menjejak serta sistem pelancar misil bagi kapal dan kapal selam TLDM.

Eksesais terbesar yang dijalankan selama enam hari di Laut China Selatan itu, menurut Ismail Sabri juga bagi mewujudkan suasana peperangan maritim yang sebenar dalam aspek perancangan dan pelaksanaan di samping meningkatkan kesiapsiagaan aset TLDM.

“Aset-aset kita kini bersedia untuk diatur gerak sekiranya diperlukan bagi mempertahankan negara daripada sebarang ancaman,” katanya.

Antara aset yang terlibat dalam eksesais berkenaan ialah Kapal KD Lekiu, KD Lekir, KD Jebat dan KD Mahawangsa, kapal selam KD Tun Razak, helikopter Super LYNX serta pesawat B200T manakala aset APMM melibatkan helikopter AS365 N3 Dauphin dan AW139.

Sempena bulan kemerdekaan, Ismail Sabri turut merakamkan penghargaan kepada warga TLDM dan wira-wira negara yang berkorban berjauhan dengan keluarga berikutan tuntutan tugas demi kedaulatan dan keamanan negara.

Terdahulu, Ismail Sabri turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada warga TLDM Markas Wilayah Laut 1 sempena Hari Kebangsaan yang akan disambut pada 31 Ogos.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKP: Kerajaan tidak akan tutup penuh sektor ekonomi

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Kerajaan memberi jaminan tidak akan menutup sepenuhnya sektor ekonomi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelakkan kesan lebih buruk terhadap masyarakat yang hilang sumber pendapatan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu diambil kerajaan bagi mengimbangi kelangsungan hidup dan kesihatan rakyat sekalipun ada desakan agar sektor ekonomi ditutup bagi mengekang peningkatan kes Covid-19 yang semakin tinggi kebelakangan ini.

“Saya banyak terima (mesej) WhatsApp daripada peniaga-peniaga kecil dan peniaga tepi jalan yang mengadu keadaan mereka begitu susah sekiranya mereka tidak dibenarkan berniaga dalam tempoh PKP.

“Ada yang saya terima mengatakan wang simpanan mereka telah habis digunakan untuk menyara keluarga. Walaupun kami membenarkan peniaga membuka warung makanan secara bungkus tetapi pendapatan mereka menyusut 50 peratus,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya di Plaza Tol Gombak, di sini semalam.

Ismail Sabri berkata kerajaan mengutamakan kesihatan rakyat, namun pada masa sama perlu menjaga kepentingan ekonomi rakyat terutamanya golongan B40.

“Kita tidak mahu rakyat kita mati kerana Covid-19 tetapi kita juga tidak mahu rakyat kita menderita tidak makan kerana tidak ada pendapatan untuk sara keluarga.

“Cuba bayangkan kalau warung atau kedai makan mereka ditutup terus untuk tempoh dua minggu dan dua minggu akan datang? Sudah tentu ini akan beri impak besar kepada mereka kerana mereka hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya.

Tegasnya kerajaan juga bertanggungjawab memastikan ekonomi negara kekal stabil ketika mengharungi pandemik ini.

Walaupun sektor ekonomi tidak ditutup, ada tatacara operasi piawai yang ditetapkan dan wajib dipatuhi rakyat bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan 231 individu ingkar arahan PKP – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 231 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, seramai 225 telah dikompaun manakala enam lagi direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (80), tidak memakai pelitup muka (71), aktiviti pusat hiburan (63), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (13) dan lain-lain (4),” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi Op Benteng, sejumlah 29 lagi imigran berjaya ditahan dan 10 kenderaan darat dirampas manakala 110 sekatan jalan raya dilakukan semalam.

Katanya sebanyak 23 operasi sanitasi awam dilaksanakan semalam yang meliputi 25 zon di 10 negeri.

Ketika memperincikan barangan keperluan asas, Ismail Sabri berkata penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam telah melakukan 640 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan termasuk peruncit (458), pemborong (150) dan pengilang (32).

“Secara keseluruhan, bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh.

“Pegawai penguatkuasa KPDNHEP juga telah melakukan 534 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKP Pemulihan (PKPP) dan mendapati kesemua premis telah mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD di Flat Desa Bistari, Pulau Pinang ditamatkan awal

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Flat Desa Bistari, Batu Uban di Mukim 13, Daerah Timur Laut Pulau Pinang ditamatkan hari ini, lebih awal daripada yang dijadualkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan sebelum ini telah melanjutkan PKPD di lokaliti itu daripada 20 Dis sehingga 31 Dis ini.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah selesai melaksanakan saringan ke atas semua penduduk di lokaliti ini dan tiada lagi sampel menunggu keputusan. Baki kes positif Covid-19 di lokaliti ini juga terkawal dan menunjukkan trend penurunan.

“Sehubungan itu atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Flat Desa Bistari, hari ini,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 1,002 individu ditahan kerana ingkar arahan PKP semalam, dengan 854 dikompaun manakala 148 direman.

Menurutnya, kesalahan tertinggi dicatatkan adalah aktiviti pusat hiburan sebanyak 687 kes, diikuti gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (125), tidak memakai pelitup muka (69), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (63) dan lain-lain (58).

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata seramai 35 pendatang asing ditahan serta tiga buah kenderaan dirampas semalam.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” tambahnya.

Sementara itu, beliau berkata sejak 24 Julai hingga semalam, sebanyak 92,607 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di 76 hotel serta 17 Institut Latihan Awam (ILA) dan institut pengajian swasta di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, seramai 7,206 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 536 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 84,865 individu dibenarkan pulang, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ismail Sabri: Arahan bekerja di rumah masih dikuat kuasa

SHAH ALAM, 9 DIS: Arahan bekerja di rumah masih dikuat kuasa di Lembah Klang susulan peningkatan kes Covid-19, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Kuala Lumpur dan Selangor sehingga 20 Disember kecuali beberapa kawasan.

“Arahan kerja dari rumah kekal bagi Selangor dan Kuala Lumpur yang melibatkan sejuta penduduk kerana kawasan ini masih dikategorikan zon merah atau berisiko.

“Mengenai negeri lain, kita belum dimaklumkan sama ada perlu dilanjutkan atau tidak kerana Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) perlu menilai beberapa perkara terlebih dahulu,” katanya pada sidang media hari ini.

Pada 21 Oktober, kerajaan membenarkan maksimum 10 peratus kakitangan sesebuah syarikat berada di pejabat sepanjang PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Categories
SELANGOR

Saringan Covid-19 berskala besar di Indah Point esok

SHAH ALAM, 9 DIS: Kementerian Kesihatan Malaysia melaksanakan saringan berskala besar di Indah Point, Jalan Perigi Nanas (sektor A) Pulau Indah, Pelabuhan Klang bermula esok.

Menteri kanan (keselamatan) berkata saringan tersebut melibatkan 45 syarikat, 102 premis serta seramai 1,200 penghuni majoriti warga asing.

“Selepas kita mendengar taklimat diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor, kita bersetuju untuk melaksanakan saringan bagi mencegah penularan wabak.

“Sektor A diberikan keutamaan kerana majoriti kes dicatatkan di kawasan tersebut. Sekiranya terdapat keperluan berdasarkan hasil saringan di sektor A, kawasan saringan diperluas ke sektor B dan C,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media hari ini.

Pada 21 November Pengurusan Lembaga Pelabuhan Kelang berkata pekerja warga asing yang tinggal di kuarters pekerja sekitar kedai pejabat empat tingkat di Indah Point Pulau Indah yang diuji negatif Covid-19 perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

Langkah pencegahan diambil susulan sebanyak 235 kes positif dilaporkan di tiga operator terminal Pelabuhan Klang iaitu Northport (Malaysia) Bhd, Westports Malaysia Sdn Bhd dan PKFZ Sdn Bhd sejak 10 November.