Categories
AGENDA NASIONAL

Syor buka fail ‘pendakwaan terpilih’, Anwar tiada halangan tapi usah sindir

SHAH ALAM, 2 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim tiada halangan jika kerajaan persekutuan mahu membuka semula fail mana-mana kes jenayah yang dianggap pendakwaan terpilih sepanjang Pakatan Harapan (HARAPAN) memerintah.

Bahkan, ketua pembangkang itu mengesyor kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan peguam negara berbuat demikian jika percaya dengan andaian itu.

“Kalau beliau mengandaikan bawah kerajaan HARAPAN berlaku pendakwaan terpilih, tiada halangan sama sekali untuk peguam negara membuka fail tersebut.

“Jangan berikan sindiran seolah-olah ada (fail kes salah guna kuasa). Kalau ada silakan buka sekarang,” kata ahli parlimen Port Dickson dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, Ismail Sabri di Dewan Rakyat memberi jaminan pentadbirannya tidak melindungi mana-mana individu yang berdepan kes rasuah atau membuat pendakwaan terpilih kepada individu tertentu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Anwar yang mempersoal kesungguhan kerajaan dalam meningkatkan indeks persepsi rasuah (CPI) dan membendung amalan tersebut.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sedia sistem amaran cekap, didik masyarakat hadapi bencana

SHAH ALAM, 21 JAN: Banjir besar melanda negeri ini pada 18 Disember tahun lalu harus dijadikan iktibar untuk mewujudkan sistem amaran lebih cekap selain kesedaran masyarakat berdepan bencana.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Baru Klang berkata tindakan menyalahkan pihak tertentu tidak harus berlaku kerana banjir dihadapi di luar jangka dan melebihi kemampuan pengurusan bencana Selangor.

Menurut Dato’ Teng Chang Khim, fokus harus diberikan untuk mengatasi masalah seperti ketiadaan sistem amaran mampu memberi maklumat dengan pantas supaya mangsa dapat bertindak.

“Ramalan cuaca harus memberitahu kemungkinan keadaan dan kerosakan supaya kod amaran nengikut warna dapat dikeluarkan untuk penduduk berpindah dengan segera, bukannya bila banjir sudah melanda.

“Kita tiada sistem sebaran maklumat kepada telefon pengguna di seluruh negara, apabila ini berlaku ada mangsa enggan keluar,” katanya ditemui Media Selangor di sini hari ini.

Chang Khim mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di mesyuarat khas Dewan Rakyat semalam yang mendakwa amaran hujan lebat berterusan tidak diendahkan sesetengah pihak terlibat secara langsung dalam pengurusan bencana di Selangor hingga perlu campur tangan kerajaan persekutuan.

EXCO Perdagangan dan Perindustrian merangkap Ahli Dewan Negeri Bandar Baru Klang Dato’ Teng Chang Khim ketika ditemu bual di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau yang juga EXCO pelaburan dan perdagangan menyifatkan kenyataan Ismail Sabri itu berunsur politik dan tidak matang sambil mencadangkan program kesedaran berdepan bencana diperhebatkan supaya orang ramai dapat bertindak segera sekiranya kejadian sama berulang pada masa depan.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Categories
AGENDA NASIONAL

HARAPAN: PM jangan diam diri, Parlimen perlu bincang isu ketua pesuruhjaya SPRM

SHAH ALAM, 7 JAN: Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) gesa Perdana Menteri memanggil sidang khas Parlimen bagi menjelaskan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Sambil menyatakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak boleh lagi berdiam diri, HARAPAN mahu penjelasan bagaimana pentadbiran SPRM menjadi rosak hingga boleh berlaku kes-kes yang meranapkan imej institusi itu.

Kata kenyataan itu, perkara tersebut termasuk dakwaan kecurian RM25 juta wang kes bekas ketua pengarah organisasi perisikan luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid melibatkan pegawai-pegawai SPRM.

“Oleh itu, kami mengulangi pendirian bahawa siasatan penuh dilakukan oleh badan bebas yang tiada kaitan dengan SPRM terhadap bukan sahaja ketua pesuruhjaya sedia ada malah juga terhadap ketua-ketua pesuruhjaya yang telah berkhidmat sebelum ini,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu berkata kontroversi tersebut telah menjejas integriti dan melumpuhkan kredibiliti suruhanjaya itu pada mata rakyat malah di peringkat antarabangsa seperti kenyataan dibuat Transparency International.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim,  Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Madius Tangau.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar salur dana, kemudahan ketua pembangkang untuk tabung rakyat

SHAH ALAM, 16 OKT: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyalurkan peruntukan dan kemudahan disediakan kerajaan terhadap dirinya selaku ketua pembangkang untuk tabung rakyat.

Menerusi Facebook, beliau turut memaklumkan beberapa kemudahan lain yang setaraf menteri tidak dapat diterimanya sama sekali.

Anwar memaklumkan pengiktirafan itu tidak bermaksud pihaknya akan mendukung apa sahaja dasar kerajaan tanpa soal.

“Keputusan ini tidak menjejaskan peranan ketua pembangkang seperti yang dinyatakan perdana menteri dalam surat dan saya tetap menjalankan tugas seperti sediakala.

“Aspek semak imbang akan terus diperhebat bagi memastikan negara ini terus di landasan demokrasi,” katanya.

Anwar turut menegaskan kepada Parlimen yang menyediakan pejabat untuk tidak membuat sebarang pengubahsuaian dan diberi peruntukan tambahan.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan surat pengesahan kepada Anwar untuk menaik taraf status pejabat ketua pembangkang dengan kemudahan yang setara dengan pejabat menteri.

Surat itu diserahkan sebelum mesyuarat kedua Jawatankuasa Pemandu Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Pada 13 September, kerajaan persekutuan dan HARAPAN melakar sejarah negara apabila buat pertama kali menandatangani MoU yang membentuk kerjasama dwipartisan dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

Memorandum berteraskan enam agenda merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Individu lengkap vaksin dibenar tonton di stadium

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Individu yang lengkap divaksinasi dibenarkan hadir menonton perlawanan sukan dan rekreasi, kecuali kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, berkuat kuasa 1 Oktober ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 berkata kehadiran itu meliputi sebelum, semasa dan selepas acara, dengan syarat, penonton atau penyokong memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan dan minum sepanjang berada di stadium.

Majlis rasmi kerajaan dan swasta termasuk perasmian dan bengkel, juga dibenarkan di negeri Fasa Dua dan Tiga, dengan syarat tetamu telah menerima vaksinasi lengkap serta kapasiti peserta dihadkan kepada 50 peratus ruang premis, manakala kapasiti penuh dibenarkan di negeri Fasa Empat.

“Bagi individu yang belum divaksin, perlu menjalani pre-event test (ujian pra acara) menggunakan kit ujian kendiri (saliva) sebelum hadir dengan disaksikan oleh penganjur atau pengesahan daripada pengamal perubatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, sektor latihan kemahiran dan pusat latihan industri termasuk kolej vokasional, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan sebagainya dibenarkan dibuka semula berkuat kuasa 15 Oktober di semua fasa, selaras dengan pembukaan institut pengajian tinggi (IPT).

Kelonggaran baharu itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 hari ini, dengan maklumat lanjut mengenai tatacara operasi piawai (SOP) boleh didapati di laman sesawang rasmi kementerian-kementerian yang terlibat dan www.mkn.gov.my.

“Walaupun kerajaan memberikan kelonggaran, namun saya berharap agar rakyat dapat terus patuh kepada SOP yang ditetapkan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

“Kerjasama Keluarga Malaysia amat diharapkan agar terus mengamalkan kawalan kendiri, jaga kebersihan demi keselamatan diri,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kerajaan memandang serius isu segelintir individu yang melanggar Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dengan keluar daripada kediaman mereka.

Katanya individu yang didapati bersalah, akan dikenakan tindakan yang tegas kerana perbuatan tidak bertanggungjawab itu boleh mengundang risiko keselamatan kepada masyarakat serta menjejaskan usaha kerajaan dalam menangani wabak Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

RMK-12: Tumpu bina sekolah, tampung kapasiti pelajar ramai

SHAH ALAM, 29 SEPT: Pembinaan sekolah wajar diberi perhatian khusus di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bagi menampung kapasiti pelajar yang semakin ramai khususnya di kawasan bandar negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bilangan pelajar mencecah 50 orang dalam satu kelas di kawasan berkaitan ketika ini dikhuatiri akan menjejaskan sesi pembelajaran.

“Pandemik Covid-19 memberi peringatan bahawa ventilasi atau perubahan (jumlah pelajar dalam kelas) adalah satu proses penting. Kita berharap banyak tapak sekolah yang diserahkan kepada kerajaan Persekutuan dapat disiapkan kerana permintaannya sangat tinggi.

“Misalnya di Elmina ada lima tapak tetapi belum ada satu sekolah dibina. Pelajar terpaksa bersekolah di Subang Bestari yang sedikit sebanyak menyebabkan kesesakan dalam kelas,” katanya.

Belia bercakap pada sidang media selepas sesi serahan sumbangan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) kepada Kerajaan Negeri di Bangunan SUK di sini hari ini.

Amirudin menambah Kerajaan Negeri juga akan meneliti semula beberapa projek di bawah RMK-12 seperti diusulkan namun sebahagiannya dialu-alukan.

“Sebahagian besar projek RMK-12 telah melalui dua atau tiga sesi libat urus sejak 2018 yang turut membincangkan persediaan dan senarai projek tertangguh,” katanya.

Kelmarin, perdana menteri berkata tumpuan harus diberikan kepada usaha menambah baik sistem pendidikan negara serta menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran pekerjaan.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan dokumen RMK-12 menggariskan beberapa langkah utama bagi mencapai tujuan tersebut.

Ia meliputi pengukuhan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (Stem), peruntukan RM1.6 bilion untuk ganti bangunan sekolah daif bagi 2021 dan 2022 serta penubuhan empat kompleks sekolah dan lima sekolah baharu (RM848 juta).

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: ‘Kurung’ rakyat tidak lagi sesuai, buka sektor ekonomi perbaiki kehidupan

SHAH ALAM, 14 SEPT: Langkah ‘mengurung’ rakyat tidak lagi sesuai dilaksana dalam berdepan penularan Covid-19 kerana memberi kesan termasuk kepada kesihatan mental, kata perdana menteri.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembukaan sektor ekonomi dan sosial juga membolehkan rakyat memperbaiki kehidupan dengan kembali bekerja atau berniaga.

Menurutnya, antara pertimbangan berhubung keputusan itu termasuk mengambil kira pemberian vaksin yang kini meliputi 74.7 peratus golongan dewasa lengkap dua dos dan 91.6 peratus satu dos.

Namun jelasnya orang ramai perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketat kerana vaksin tidak menjamin sepenuhnya daripada dijangkiti virus atau menjangkiti.

“Sebab itu pematuhan kendiri penting, kita lihat hari pertama (kelonggaran di Lembah Klang) tempat percutian penuh dengan ada tidak pakai pelitup muka.

“Maksudnya masa depan negara berdepan Covid-19 bergantung kepada diri sendiri, tidak boleh harap kepada vaksin semata-mata,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PAKATAN-Kulim Bandar Bharu), Ismail menjelaskan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dibuat kerana beliau telah memegang jawatan itu sebelum ini.

“Pagoh (Muhyiddin) telah pun mempengerusikan mesyuarat MPN sejak diwujudkan, jadi sebab itu kita beri kepercayaan Pagoh untuk meneruskannya,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kilang ada pekerja asing perlu jadi pusat beri vaksin

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menegaskan agar semua pemilik kilang yang mempunyai pekerja asing menjadikan premis mereka sebagai pusat pemberian vaksin (PPV).

Menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau, Ismail Sabri berkata kilang-kilang seharusnya menyumbang kepada percambahan ekonomi dan bukan menjadi pusat penyebaran Covid-19.

“Saya juga telah berjumpa dan berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan supaya pekerja asing tidak lagi perlu beratur dan menyebabkan kesesakan di PPV sebaliknya hanya mendapatkan vaksin di tempat mereka bekerja.

“Pendirian kerajaan adalah jelas dan tegas bahawa sesebuah kilang itu hanya dibenarkan untuk beroperasi semula setelah mencapai 80 peratus kadar vaksinasi,” katanya.

Beliau berkata pemberian vaksin secara pandu lalu juga akan dipertingkat dalam masa terdekat supaya rakyat tidak perlu menunggu lama, cukup sekadar 15 minit di dalam kereta dan boleh terus mendapatkan dos suntikan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Kabinet baharu ‘utamakan budaya kerja prestasi tinggi’

PUTRAJAYA, 27 OGOS: “Kabinet berorientasikan hasil” yang diumumkan hari ini perlu berlandaskan kepada tiga prinsip iaitu peka dengan keperluan semasa, bertanggungjawab dan amanah serta mengembalikan semula keyakinan rakyat, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana menteri berkata beliau akan memastikan barisan Kabinet komited menjayakan agenda negara, melalui jalinan kerjasama rentas parti bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

Beliau juga berikrar akan memastikan Kabinet baharu itu menekankan budaya kerja berprestasi tinggi dan setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan panjang, serta mencapai sasaran yang ditetapkan, selain perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama.

“Barisan kabinet ini dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan, dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan senarai jemaah menteri dan timbalan menteri baharu yang disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen tempatan.

Ismail Sabri berkata Kabinet yang dibentuk hari ini adalah satu pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat dan mengambil pendekatan baharu yang bersifat lebih terbuka, dengan menyantuni aspirasi Keluarga Malaysia melalui penyampaian perkhidmatan dan maklumat yang lebih efisien.

“Kabinet ini perlu bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada ancaman pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik.

“Umum mengetahui saya menerima kerajaan ini dalam keadaan seadanya. Justeru, pembentukan Kabinet ini merupakan satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa, demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan Keluarga Malaysia lebih daripada segala-galanya,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap pelantikan Kabinet berkenaan akan memberi keyakinan baharu untuk negara bangkit dan bersatu dalam melawan Covid-19 serta membebaskan Keluarga Malaysia daripada kesengsaraan hidup akibat pandemik.

Mengakui bahawa negara sedang berada dalam keadaan yang getir akibat Covid-19, kegawatan ekonomi dan diburukkan lagi dengan ketidakstabilan politik negara, Ismail Sabri berkata misi memulihkan negara memerlukan Jemaah Menteri berusaha dan bekerja bersama dengan rakyat serta dukungan semua penjawat awam.

Ismail Sabri berkata berdasarkan ramalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), masyarakat akan hidup bersama Covid-19 sebagai endemik, yang bersifat kekal dan menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia.

Beliau berkata dunia mencatatkan kemunculan Variant of Concern atau varian membimbangkan (VOC) yang lebih agresif dan rekod di seluruh dunia menunjukkan mereka yang telah divaksinasi masih boleh dijangkiti Covid-19.

Selain itu, penularan Covid-19 di peringkat global dan dalam negara turut memberi kesan langsung kepada pertumbuhan dan permintaan ekonomi tempatan.

“Saya juga akui keadaan ekonomi negara perlu dipulihkan segera. Sehubungan itu, barisan Kabinet dan kementerian perlu dipastikan berupaya menggalas tanggungjawab ini dengan komited dan lebih proaktif,” katanya.

Kerajaan juga akan memperkasa Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dalam mendidik Keluarga Malaysia untuk hidup bersama virus itu selain perlu terus mengawal segala risiko Covid-19 dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.

“Selaras dengan hala tuju Pelan Pemulihan Negara (PPN), aktiviti ekonomi akan dibuka secara berfasa bagi membolehkan rakyat mula bekerja dan mencari nafkah dengan selamat,” katanya.

Ismail Sabri menyeru seluruh rakyat untuk bangkit bersama memulihkan negara dan mengembalikan semula kegemilangan Malaysia di mata dunia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM temui tokoh PAKATAN, setuju laksana reformasi

SHAH ALAM, 25 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan lapan mata dengan tiga tokoh politik termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Ogos.

Selain pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN), Ismail juga bertemu Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Setiausaha DAP Lim Guan Eng di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Dalam kenyataan bersama selepas pertemuan lebih sejam, mereka mencapai kata sepakat untuk melaksanakan reformasi institusi termasuk memperkasa peranan Parlimen.

“Kami juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks keluarga Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, PAKATAN berkata ia mempertimbang tawaran Ismail dalam ucapan sulungnya pada 22 Ogos untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Namun, Majlis Presiden PAKATAN berharap penyertaan itu bukan sekadar tangkap muat atau “rubber stamp” kepada pandangan kerajaan, sebaliknya bertujuan menangani pandemik dan kemelesetan ekonomi.

Kenyataan majlis itu juga menyebut gabungan tersebut mengutamakan reformasi institusi termasuk melaksanakan Undi 18 dan menggubal Akta Antilompat Parti selain menegaskan kebebasan sistem kehakiman.

PAKATAN juga sedia membentang cadangan alternatif yang sesuai dengan dasar berkaitan usaha menangani Covid-19, menghidupkan semula ekonomi dan menyelamatkan nyawa.

“Fokus PAKATAN adalah ke arah menjadi pembangkang yang berkesan dengan mengutarakan kritikan, teguran, syor dan pandangan yang membina dan bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu lagi.

Gabungan tiga parti itu juga merancang pertemuan dengan pemimpin parti sekutu bagi membincangkan isu politik semasa, selain membuat persiapan bagi menghadapi sidang Parlimen yang dijadual bermula 6 September.

Perbincangan juga meliputi kemungkinan sidang khas lebih awal untuk membahaskan usul undi percaya terhadap perdana menteri baharu, selain kekosongan jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat selepas Datuk Azalina Othman Said berundur pada 23 Ogos.

Categories
AGENDA NASIONAL

PM akui dua kali tukar kerajaan dalam tempoh sepenggal rugikan negara

SHAH ALAM, 22 OGOS: Perdana menteri mengakui dua peralihan kerajaan dalam tempoh sepenggal merugikan rakyat dan negara.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru semua pihak bergerak ke hadapan dan meleraikan perebutan kuasa politik untuk berjuang bersama-sama sebagai sebuah keluarga besar.

“Menyorot kembali tempoh sepenggal selepas pilihan raya umum (PRU) Ke-14, dengan hanya berbaki 21 bulan sebelum PRU-15, negara telah melalui dua peralihan kerajaan dan dua Perdana Menteri. Sebenarnya, peralihan tersebut dalam tempoh sepenggal adalah landskap politik yang merugikan rakyat dan negara.

“Marilah kita bergerak ke hadapan. Kita leraikan segala perebutan kuasa politik. Kita bersama-sama berjuang sebagai sebuah keluarga besar yang merangkumi penjawat awam, pekerja swasta dan yang bekerja sendiri dalam memperbaik, merawat dan memulihkan semula tanah air ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pertama sebagai Perdana Menteri Ke-9 yang disiarkan secara langsung, petang tadi.

Ismail Sabri juga menyatakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini bertitah agar semua pihak melupakan perbezaan pendapat demi kebaikan negara.

“Kebawah Duli Tuanku dalam perjumpaan bersama ketua-ketua parti baru-baru ini telah bertitah kepada semua agar melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

“Kesemua pihak sepatutnya sedia bekerja dalam satu pasukan demi mengharmonikan semula suasana. Dalam erti kata lain, kita perlu mendakap erat prinsip kebersamaan,” katanya.

Kemelut politik yang melanda negara katanya telah menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat dan kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan termasuklah mewujudkan kerjasama rentas parti.

Categories
AGENDA NASIONAL

PM tawar pembangkang anggotai MPN, jawatankuasa tangani wabak

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan sulungnya sebagai perdana menteri hari ini menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Menyeru semua pihak agar meleraikan perebutan kuasa dan menamatkan keresahan rakyat, beliau berkata kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan, termasuklah dengan mewujudkan kerjasama rentas parti.

“Menyorot kembali tempoh sepenggal selepas pilihan raya umum (PRU) Ke-14, dengan hanya berbaki 21 bulan sebelum PRU-15, negara telah melalui dua peralihan kerajaan dan dua Perdana Menteri.

“Sebenarnya, peralihan tersebut dalam tempoh sepenggal adalah landskap politik yang merugikan rakyat dan negara,” katanya, hari ini.

Ucapan itu disiarkan secara langsung menerusi platform media Radio Televisyen Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), TV3, Astro Awani dan TV AlHijrah.

Ismail Sabri berkata semua pihak sepatutnya sedia bekerja dalam satu pasukan demi mengharmonikan semula suasana dan perlu mendakap erat prinsip kebersamaan, seiring dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Kebawah Duli Tuanku dalam perjumpaan bersama ketua-ketua parti baru-baru ini telah bertitah kepada semua agar melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat,” katanya.

Sementara itu, perdana menteri berkata kerajaan pimpinannya akan menyediakan pasukan pentadbiran yang akan berkhidmat membantu negara agar segera keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi serta berikrar untuk memberikan hasil yang terbaik demi membuktikan kepercayaan rakyat tidak dipersiakan.

Beliau berkata hasrat itu hanya berupaya dicapai melalui kerjasama daripada seluruh pentadbiran yang didukung oleh penjawat awam selaku tulang belakang pentadbiran negara.

“Marilah kita bersama-sama sebagai ‘Keluarga Malaysia’ mengembalikan kesejahteraan dan keselesaan hidup yang pernah dikecapi suatu ketika dulu. Saya membulat tekad, bekerja bersama rakyat,” katanya.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri di hadapan Al-Sultan Abdullah di Istana Negara, semalam bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan pada 16 Ogos lepas setelah kehilangan sokongan majoriti ahli parlimen.

– BERNAMA