Categories
NASIONAL

Peguam Jamal ke Indonesia

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 3 JUL : Peguam kepada Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, Datuk Mohd Imran Tamrin dijadualkan berlepas ke Jakarta untuk berjumpa dengan anak guamnya itu, pagi ini.

Mohd Imran berkata, beliau dimaklumkan Jamal ketika ini ditahan di Polda Metro Jaya, Jakarta.

“Saya dah berhubung dengan rakan peguam di Indonesia dan dalam masa yang sama, saya juga menghubungi Pegawai Kedutaan Malaysia, di sana.

“Saya akan mengemas kini perkembangan nanti,” katanya dipetik Sinar Harian.

Mohd Imran berkata demikian menerusi pesanan yang ditinggalkan pada aplikasi WhatsApp Umno Bahagian Sungai Besar.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan Jamal ditahan Polis Negara Republik Indonesia (POLRI) pada 6.15 petang.

Muhyiddin berkata, PDRM telah dihubungi untuk menyelaras urusan membawa pulang Jamal ke negara ini.

Jamal, 48, menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri pada 25 Mei lalu dengan kehilangannya disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira jam 5.30 petang.

Categories
NASIONAL

Minta bantuan Indonesia cari Jamal

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 JUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meminta bantuan pihak berkuasa Indonesia bagi memburu Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia susulan Jamal didakwa melarikan diri ke negara republik itu.

“Nak berselindung apa. Dia tahu dia buat salah, lepas itu dia lari.

“Saya sedang minta Ketua Polis Negara untuk memburu beliau, katanya dia berada di Indonesia, jadi kita akan minta kerjasama dari pihak polis di sana, cari beliau bawa ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Penerapan Nilai-nilai Murni di Bulan Ramadan di Masjid Jabatan Penjara Malaysia, Kajang.

Pada masa sama, Muhyiddin menolak rayuan Jamal untuk mendapatkan jaminan perlindungan.

Katanya, pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa mengikut undang-undang sekiranya beliau bersalah.

Terdahulu, Jamal pada Rabu gagal menghadirkan diri ke IPD Ampang Jaya bagi memberi keterangan kepada polis susulan dakwaan melarikan diri sebelum proses ikat jamin selesai.

Beliau kemudian memuat naik rakaman video yang memperlihatkan dirinya berada di sebuah ladang kelapa sawit.

Polis Selangor turut memperhebatkan pemburuan Jamal, semalam.

Categories
SELANGOR

Tindakan Jamal jejas pendapatan peniaga makanan – Suee Lim

 

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 7 NOV: Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, perlu menilai semula program makanan tengahari percuma dijalankan di Sekinchan kerana ia menjejaskan pendapatan pengusaha restoran dan gerai makanan di situ.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim, berkata tindakan dilaksanakan itu bukan penyelesaian holistik bagi menangani masalah dihadapi rakyat ketika ini tetapi memerlukan satu pendekatan berbeza demi kepentingan semua pihak.

Beliau mengesa Jamal mengambil kira kepentingan peniaga dan pengusaha kecil gerai makanan serta restoran yang bergantung kepada hasil pendapatan daripada perniagaannya berbanding program makanan tengahari percuma dijalankan di Sekin Hotel & Resort miliknya.

“Disebabkan tingkah laku beliau, telah menjejaskan pendapatan mereka dan ini sesuatu yang sangat tidak sihat. ia bukan caranya (bagi mengatasi masalah kenaikan kos sara hidup).

“Kalau Jamal seorang pemimpin yang berani bersuara mempertahankan hak rakyat maka beliau wajar membuat demonstrasi di Putrajaya meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, memansuhkan GST dan kembalikan subsidi kepada rakyat supaya harga barangan mengalami penurunan.

“Kalau harga barangan turun maka kos sara hidup akan turun dan rakyat kurang penderitaan,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, golongan terbabit berdepan pelbagai masalah akibat kelembapan pasaran kerana cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang menyebabkan kenaikan harga barang juga kos sara hidup.

Katanya, ia mendatangkan kesan dengan jumlah pelanggan semakin berkurangan disebabkan kuasa membeli yang mengecil dan kini menghadapi cabaran tambahan dengan program dijalankan Jamal.

“Kempen makanan tengahari percuma di Sekin Resort ini jelas memberi impak kepada perniagaan mereka yang semakin teruk.

“Program dijalankan juga secara tidak berkala, sekarang musim pilihan raya dan selepas itu mungkin tidak ada. Ini gimik politik sahaja,” katanya.

Jamal selaku Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia, menjalankan program itu di Restoran Jamuan Rakyat di hotel berkenaan, Oktober lalu selepas program pertama di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, mendapat sambutan.

Categories
NASIONAL

Provokasi Jamal tiada restu Umno

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Bukan sahaja dikecam kerana membuat provokasi di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, malah tindakan Datuk Seri Jamal Md Yunos turut dikritik pimpinan kanan Umno.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbuatan Ketua Umno Sungai Besar itu memecahkan botol minuman keras di hadapan pejabat Kerajaan Selangor, semalam tidak direstui parti.

“Kami tidak sokong perbuatannya. Beliau juga pengerusi NGO (badan bukan kerajaan) dan seorang daripada ketua bahagian kami.

“Satu daripada 191 (bahagian), lagi 190 tidak pecahkan apa-apa,” katanya lapor BHOnline.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan ke-10, di sini, hari ini.

Semalam, Jamal bersama anggota gabungan itu membawa 10 kotak berisi kira-kira 100 botol minuman keras ke SUK, sebagai simbolik bantahan terhadap penganjuran pesta arak di negeri berkenaan.

Jamal kemudian bertindak memecahkan semua botol minuman keras itu di depan pintu masuk utama bangunan terbabit.

Ekoran tindakan itu, polis menahan Jamal dan tujuh individu lain selepas menerima laporan kejadian daripada pengawal keselamatan.

Categories
SELANGOR

Roboh Resort: Jamal diperintah bayar RM6,000 kepada Kerajaan Negeri

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 JUN: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membatalkan saman dikemukakan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos terhadap Kerajaan Selangor, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam kerana menyita dan merobohkan sebahagian premis Sekin Fisherman Village Hotel & Resort yang dimilikinya.

Memetik laproan Malaysiakini, Hakim Syed Faisal Syed Amir turut memerintahkan Jamal membayar kos RM6,000 kepada semua defendan.

RESORT JAMALMenurut pernyataan tuntutan saman difailkan 28 Disember 2016, Jamal mendakwa tindakan menyita dan meroboh sebahagian resort terbabit adalah bersifat politik.

Oleh itu, beliau antara lain menuntut ganti rugi sebanyak RM140,000 dan perintah menghalang defendan menutup operasi resort terbabit.

Sebelum ini, Jamal mendakwa tindakan terhadap resortnya itu dibuat susulan ‘bantahan bertualanya’ terhadap gangguan bekalan air di Selangor pada Disember tahun lalu.

Categories
SELANGOR

Jamal patut akur teguran Sultan Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 23 FEB: Datuk Seri Jamal Md Yunos diminta akur dengan titah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang tidak berkenan dengan tindakannya menyalah gunakan kenderaan jenazah bagi tujuan demonstrasi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim, berkata selaku ketua agama Islam di Selangor, titah Sultan Selangor itu menggambarkan keprihatinan baginda terhadap isu berkaitan agama dan institusi masjid di negeri itu.

Adalah jelas, katanya, tindakan Ketua Umno Sungai Besar menyalah gunakan van jenazah termasuk bagi tujuan politik mengundang kemurkaan baginda dan semua pihak patut menyokong tegurannya.

Ng Suee Lim 1“Tindakan dilakukan memang tidak patut dan tidak bertamadun selain memalukan termasuk mencemar agama Islam dan institusi masjid di Selangor.

“Beliau (Jamal) seharusnya akur dengan titah Sultan Selangor dan tidak lagi mengulanginya namun sekiranya berulang mungkin tindakan buang negeri boleh dicadangkan ke atasnya,” katanya kepada SelangorKini.

Dalam kenyataan dikeluarkan Setiausaha Sulitnya, Dato’ Muhamad Munir Bani menyatakan Sultan Selangor tidak berkenaan kenderaan jenazah disalah gunakan dengan tujuan membuat demonstrasi.

Ia dipercayai mempunyai laitan dengan tindakan Jamal membawa 15 van jenazah ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, 14 Februari lalu.

Jamal turut membawa keranda dan berpakaian seperti penggali kubur serta mempertikaikan beberapa program negeri, termasuk Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Wang Khairat Kematian.

Terdahulu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan pemimpin Umno itu yang mengeksploitasi aset masjid untuk tujuan demonstrasi.

-nR-

Categories
SELANGOR

Jamal ‘jual mahal’ tawaran Noh Omar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 FEB : Pemimpin Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos tidak mengendahkan ‘tawaran’ Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar supaya dirinya kekal menyandang jawatan Ketua Bahagian Umno Sungai Besar.

Walaupun menyambut baik tawaran itu, namun Jamal berkata, pengundurannya dibuat bagi membenarkan siasatan terhadapnya dijalankan secara telus, kononnya tanpa campur tangan politik individu tertentu.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih khususnya kepada bos saya (Noh Omar) kerana dapat menilai peranan saya dalam Umno.

“Saya masih sayangkan Umno dan pengunduran ini dibuat kerana tidak mahu apa yang saya lakukan selama ini terpalit dengan parti itu, lebih-lebih lagi siasatan dibuat polis membabitkan kes samun berkumpulan terbabit.

“Saya menyambut baik (maklum balas) Tan Sri Noh. Untuk tempoh ini saya berharap tangungjawab ahli Umno itu biarlah diteruskan mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Noh mengesahkan status Jamal sebagai Pengerusi BN Sungai Besar kekal, selagi kedudukannya belum diputuskan Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Pada 8 Februari lalu, Jamal menyerahkan surat peletakan jawatan kerana dikatakan tidak mahu membebankan Umno susulan penahanannya berhubung insiden pencerobohan pusat hiburan, pada Disember tahun lalu.

-AA-

Categories
SELANGOR

‘Hantar Jamal terus ke lubang kubur’

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 15 FEB: Tindakan pemimpin Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos ‘mengheret’ van jenazah berdemonstrasi bersamanya mengundang reaksi keras netizen.

Menerusi posting Siakap Keli di Facebook, rata-rata netizen meluahkan rasa meluat dan menyampah dengan provokasi murahan Jamal.

“Kenapa dia jalan kaki, kenapa dia tak baring dalam keranda tu, boleh terus hantar pergi kubur,” komen Mohd Afiq Hanis yang menerima 1,339 ‘likes’.

“Malaysia ni macam ada satu negeri je kan. Kalau kena kat pembangkang yang buat camni, lama dah kena angkut,” keluh Asmani Sufi dan disokong lebih 1,000 ‘likes’.

“Simbolik la tu, dia bawa keranda Umno menandakan Umno telah mati di Selangor, nak kebumikan depan pejabat SUK maklumlah banyak kenangan manis kat situ. Moga bersemadi dengan aman. Al-fatihah Umno Selangor,” kata Mohd Ab Rahman.

jamaljenazah“Selangor banyak hasil. Jibby cuba sedaya upaya nak rampas Selangor balik sampai sanggup hantar manusia cacat akal seperti Jamal dan konco. Tetapi saya rakyat Selangor tak bodoh,” tegas Azlan Ahmad pula.

Semalam, Jamal yang juga Ketua Umno Sungai Besar sekali lagi mencetus kekecohan dengan membawa rombongan 16 van jenazah dan mengusung keranda di perkarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Beliau mendakwa rombongan itu sebagai simbolik bantahan kononnya berlaku penyalahgunaan dana Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan wang khairat kematian berjumlah RM200 juta.

Tidak menunggu lama, Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi menerusi Twitter berkata, sejumlah RM190 juta sudah disalurkan kepada 77,080 rakyat, pada 2016.

“Terima kasih Jamal kerana membantu Kerajaan Selangor mempromosikan SMUE,” sindirnya.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Shamsul : IGP ‘perlahan’ ambil tindakan terhadap Jamal

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 15 NOV : Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar digesa supaya lebih tegas dan mengambil tindakan segera terhadap Ketua Kumpulan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Naib Presiden KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, ia susulan tindakan keganasan dan ugutan jenayah terhadap masyarakat awam yang dikeluarkan pimpinan Umno itu.

“Saya mendesak Parlimen memanggil IGP disebabkan tindakan agak perlahan diambil setakat ini terhadap Jamal Yunos dan pasukannya yang sudah beberapa kali melemparkan ugutan jenayah sehingga mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam.

shamsul-iskandar-mohd-akin“IGP (perlu) bertindak segera terhadap Jamal Yunos ini,” katanya dalam kenyataan.

Pagi ini, Shamsul yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil memfailkan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) di Parlimen.

Beliau berkata usul tersebut dibuat bagi membincangkan provokasi melampau oleh kumpulan Baju Merah diketuai Jamal Yunos terutamanya di dalam keadaan rakyat dari seluruh negara akan berhimpun secara aman pada program Bersih 5 pada 19 November ini.

“Saya berharap usul ini dapat diterima dan dibahaskan oleh Dewan Rakyat kerana tindakan-tindakan Baju Merah tentunya telah mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam.

“Bukan itu sahaja, tindakan Baju Merah juga bertentangan amalan demokrasi yang sihat dalam negara ini,” katanya.

Jamal Yunos dan kumpulan Baju Merahnya secara meluas dilihat sebagai samseng yang berusaha menyekat sebarang langkah terhadap desakan pengunduran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib berkaitan skandal rasuah besar.

Kumpulan Merah sebelum ini terus melancarkan serangan terhadap Bersih 2.0 yang mengadakan konvoi aman di seluruh negara bagi pengajuran besar-besaran himpunan aman Bersih 5, Sabtu ini.

-nR-