Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN gesa menteri kesihatan perincikan larangan kempen PRN Melaka

SHAH ALAM, 31 OKT: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menggesa menteri kesihatan memperincikan secara jelas larangan berkempen ketika pilihan raya negeri (PRN) Melaka susulan parti itu dikompaun di Taman Krubong Jaya, malam tadi.

Ketua penerangannya berkata kompaun RM10,000 atas kesalahan ingkar tatacara operasi piawai (SOP) kerana berkempen tidak harus dikenakan kerana pilihan raya hanya bermula ketika penamaan calon.

Datuk Seri Mohd Shamsul Iskandar Md Akin menjelaskan pihaknya hanya menjalankan program penerangan isu semasa menggunakan lori yang dipasangkan pembesar suara dan kaedah secara bergerak itu tidak membabitkan kehadiran atau perkumpulan orang ramai.

“KEADILAN cuba menjadi kreatif kerana tahu tidak boleh menganjurkan perhimpunan jadi guna pendekatan lebih teliti supaya tidak berlaku sebarang penyebaran, kontak fizikal dan sebagainya.

“Namun kita kesal kerana dikompaun atas sebab kononnya mengadakan kempen pilihan raya…semalam hanya program penerangan berkaitan isu terkini membabitkan hal-hal negeri Melaka dan belanjawan peringkat persekutuan,” katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Mohd Shamsul Iskandar berkata larangan berkempen adalah tindakan yang tidak munasabah, justeru satu penerangan lebih jelas perlu diberi menteri kesihatan.

“Saya akan menulis surat kepada menteri kesihatan berhubung perkara ini dan juga untuk perhatian menteri dalam negeri supaya anggota keselamatan juga mendapat arahan jelas,” katanya

Tambah beliau program bergerak berkenaan di dua lokasi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput juga sudah dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak polis.

Katanya, hanya lima petugas dan dua penceramah sahaja berada di lokasi selain beberapa anggota polis ketika program diadakan di Taman Sri Krubong dan Taman Krubong Jaya.