Categories
AGENDA NASIONAL

Hakim: Najib tidak pulangkan dana SRC tapi guna ikut keinginan

PUTRAJAYA, 8 DIS: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mengembalikan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dikreditkan secara salah ke akaunnya, sebaliknya telah menggunakannya, kata Mahkamah Rayuan hari ini.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata perkara lazim bagi mana-mana pemegang akaun yang tersilap atau tidak sengaja menerima dana ke dalam akaunnya adalah untuk memulangkannya dan membetulkan kesilapan itu, tetapi Najib tidak melakukan sedemikian apabila RM42 juta itu dipindahkan ke akaunnya.

Dalam penghakiman ringkas setebal 54 muka surat itu, hakim berkata Najib tidak pernah membuat aduan dengan pihak bank apabila dana itu dikreditkan secara salah ke akaunnya tetapi beliau agak berpuas hati apabila menerimanya dan menggunakan dana itu sesuka hatinya.

“Tidak pernah ditunjukkan penggunaan dana itu ada kaitan dengan SRC International atau perniagaannya. Hakim perbicaraan (Mohd Nazlan Mohd Ghazali) menganggap pemindahan dana itu ke dalam akaunnya mesti dilakukan dengan pengetahuan perayu kerana jika tidak, beliau tidak akan membelanjakan RM42 juta tersebut.

“Oleh itu, keseluruhan keterangan mengukuhkan kesimpulan hakim bahawa perayu pasti mempunyai pengetahuan mengenai RM42 juta yang dipindahkan ke dalam akaunnya,” katanya sambil menambah bahawa mahkamah juga bersetuju dengan penemuan hakim perbicaraan bahawa bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan jelas menunjukkan bahawa pergerakan RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta daripada akaun bank SRC adalah tindakan penyalahgunaan yang tidak jujur,” katanya.

Hakim Abdul Karim juga berkata RM42 juta itu dimasukkan ke dalam akaun bank Najib dan tidak pernah dialihkan ke mana-mana akaun lain dan RM42 juta itu digunakan oleh perayu (Najib).

Sebaik sahaja dana berkenaan diterima ke dalam akaun bank perayu, beliau menggunakan dana tersebut dengan mengeluarkan beberapa cek.

“Dalam keadaan ini, perayu sudah mengetahui dana yang dikreditkan ke dalam akaun banknya, dan mengikut undang-undang, beliau bertanggungjawab dan akan dipertanggungjawab terhadap aktiviti dalam akaunnya,” kata hakim.

Hakim juga bersetuju dengan hakim perbicaraan bahawa semua elemen penting mengenai penyelewengan harta yang diamanahkan oleh perayu telah digunakan dengan jelas.

Beliau berkata keterangan jelas menunjukkan perayu telah menyeleweng RM42 juta, subjek tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan memindahkan untuk kegunaan beliau sendiri serta telah menyeleweng secara tidak jujur.

Hakim Abdul Karim berkata walaupun perayu berpendapat bahawa dana itu digunakan untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR), hakikatnya dana tersebut telah digunakan untuk kepentingan peribadinya, secara langsung dan tidak langsung, dan dalam beberapa kes untuk tujuan politik yang berkaitan dan dikira untuk memajukan kerjaya politik perayu,” katanya.

Hakim Abdul Karim berkata mahkamah juga bersetuju dengan hakim Mahkamah Tinggi bahawa Najib menguruskan hal ehwal SRC International dan oleh sebab itu beliau telah diamanahkan menjaga dan melindungi aset serta harta syarikat.

“Ini terbukti selepas pelantikannya sebagai Perdana Menteri dan atas kedudukan itu, bekas perdana menteri itu telah mengeluarkan arahan kepada pemegang saham yang perlu dipatuhi oleh Lembaga Pengarah SRC.

“Peranan perayu itu secara rasminya berkuat kuasa setelah beliau dilantik sebagai Penasihat Emeritus syarikat dengan meluluskan pindaan terhadap Tataurusan Persatuan yang membolehkan jawatan itu diwujudkan.

Pelantikan ini bagi membolehkan beliau mengarahkan Lembaga Pengarah SRC untuk bertindak mengikut arahannya.

Atas dasar itu, pelbagai peranan perayu iaitu sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Penasihat Emeritus, jelas menunjukkan beliau telah mengarah dan mengawal minda SRC,” katanya.

Berhubung derma Arab Saudi, hakim berkata keterangan jelas menunjukkan bahawa dana itu berasal daripada SRC International dan berakhir di dalam akaun peribadi Najib.

“Sekiranya ia adalah derma peribadi daripada keluarga Diraja Arab Saudi kepada perayu, maka tiada alasan dana itu perlu didepositkan ke dalam akaun SRC. SRC ialah syarikat berkaitan kerajaan yang dimiliki oleh MOF Inc,” kata Hakim Abdul Karim.

Berkenaan pertuduhan pengubahan wang haram, hakim berkata mahkamah mendapati dana RM27 juta, RM5 juta, dan RM10 juta yang diterima perayu ke dalam akaun bank peribadinya adalah hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang dan dengan itu ia suatu elemen kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) AMLA (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram).

Beliau berkata panel hakim juga sependapat dengan Hakim Mahkamah Tinggi mengenai hujah Najib bahawa beliau mempunyai alasan yang munasabah untuk tidak mengesyaki sebarang perkara pelik mengenai kemasukan RM42 juta ke dalam akaunnya, adalah ternyata tidak benar dan meleset.

Hakim seterusnya berkata Najib sengaja menutup matanya dan memilih untuk tidak terlalu memikirkan asal usul dana itu, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada orang lain, dan pada masa sama membelanjakan wang berkenaan untuk tujuan peribadi dan manfaat diri sendiri.

Justeru, Mahkamah menolak rayuan Najib untuk mengenepikan sabitan dan penjara 10 tahun ke atas setiap tiga kes tuduhan pecah amanah (CBT) dan tiga kes pengubahan wang haram.

Hakim Abdul Karim berkata panel hakim berpendapat bahawa kedua-dua hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kesalahan menyalahgunakan kedudukan yang dikenakan hakim Mahkamah Tinggi adalah tidak keterlaluan.

“Tempoh hukuman penjara dan denda yang dikenakan didapati memadai dan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan,” tambah hakim.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tempoh bicara 1MDB dijangka langkau kes pecah amanah Najib-Irwan

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan mengambil masa panjang.

Ia dijangka melangkaui tarikh perbicaraan kes pecah amanah RM6.6 bilion berkaitan International Petroleum Investment Company (IPIC) yang dihadapi bekas perdana menteri itu bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Pada 9 Oktober tahun lalu, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan perbicaraan kes pecah amanah itu selama 32 hari pada setiap hari September dan Oktober 2021 kecuali Jumaat, bagi memberi laluan kepada perbicaraan dua kes jenayah (1MDB dan laporan audit) membabitkan Najib selesai.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memberitahu mahkamah bahawa perbicaraan kes 1MDB akan mengambil masa lama kerana ketika ini masih di peringkat pemeriksaan balas saksi pendakwaan ke-10, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman dan pendakwaan dijangka memanggil 60 saksi.

“Saya ingin tanya Yang Arif (Muhammad Jamil) sekiranya perbicaraan kes 1MDB melangkaui tarikh perbicaraan (kes pecah amanah) adakah Yang Arif akan mengambil kira tarikh sambung bicara 1MDB dengan kes ini (pecah amanah)?

“Ini kerana perbicaraan kes 1MDB nampak panjang… saya pohon satu tarikh pengurusan kes pada 21 Mei yang telah dipersetujui kedua-dua pihak untuk memaklumkan status terkini dua kes jenayah (1MDB dan laporan audit) membabitkan anak guam saya,” katanya semasa pengurusan kes itu hari ini.

Peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Mohd Irwan Serigar tidak membantah perkara itu, bagaimanapun memohon kehadiran anak guamnya dikecualikan semasa pengurusan kes pada 21 Mei kerana tertuduh yang mengambil kursus undang-undang di sebuah kolej swasta akan menduduki peperiksaan.

Mahkamah menetapkan 21 Mei ini untuk pengurusan kes dan membenarkan kehadiran Mohd Irwan Serigar dikecualikan pada tarikh itu serta mengekalkan tarikh bicara sebelum ini.

“Buat masa ini tarikh bicara pecah amanah yang ditetapkan sebelum ini dikekalkan,” kata hakim.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Syahril Nik Ab Rahman. Kedua-dua Najib, 67, dan Mohd Irwan Serigar, 63, hadir di mahkamah hari ini.

Pada 24 Oktober 2018, Najib dan Mohd Irwan Serigar mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada IPIC.

Mereka dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar ucap takziah atas pemergian Tun Rahah

SHAH ALAM, 18 DIS: Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan takziah kepada Datuk Seri Najib Razak dan keluarga atas pemergian Tun Rahah Mohamed Noah, hari ini.

Menerusi Facebook, Presiden KEADILAN melahirkan kesedihan dengan berita kematian ibu mantan perdana menteri itu.

“Innalillahiwainnailaihirojiun. Baru terima berita sayu isteri kepada mantan Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussien yakni Tun Rahah Mohamed Noah telah pergi dijemput Ilahi.

“Takziah kepada Najib Razak sekeluarga. Saya turut bersedih dan mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat,” katanya.

Tun Rahah, 87, sebelum ini dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court untuk rawatan.

Berita pemergiannya disahkan Najib menerusi Facebook.

Categories
AGENDA NASIONAL

Saksi: Jho Low orang kanan Najib, atur kewangan 1MDB

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendedahkan di Mahkamah Tinggi hari ini bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low merupakan orang kanan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mencaturkan hal ehwal urusan syarikat 1MDB yang membawa mandat perdana menteri.

Mohd Hazem Abdul Rahman, 47, saksi pendakwaan ke-10 menyatakan enam alasan mengapa beliau berpendapat sedemikian.

Pertama, katanya pengenalannya dengan Jho Low adalah melalui Datuk Azlin Alias iaitu Ketua Setiausaha Sulit Najib ketika itu jelas menunjukkan bahawa Jho Low merupakan orang yang mempunyai akses kepada pasukan kerja di Pejabat Perdana Menteri dan membawa mandat perdana menteri.

Kedua, katanya akses Jho Low terus dengan Najib yang beliau pernah nampak beberapa kali ketika beliau mempunyai pertemuan dan perbincangan dengan Najib berhubung 1MDB, Jho Low akan turut sama hadir.

“Saya sahkan kehadiran Jho Low bersama Datuk Seri Najib di beberapa tempat luar negara seperti di New York pada tahun 2013 dan di Abu Dhabi sekitar tahun 2013 dan 2014 apabila saya menghadiri majlis menandatangani (perjanjian) atau bermesyuarat dengan pihak pelabur luar,” katanya dalam penyataan saksinya pada perbicaraan kes rasuah Najib membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Ketiga Mohd Hazem berkata dalam beberapa mesyuarat tentang 1MDB dengan Najib di rumah bekas perdana menteri itu, beliau melihat Najib berbincang dengan Jho Low terlebih dahulu barulah Najib akan berjumpa dengannya.

“Setelah itu kami bertiga akan bermesyuarat tentang isu 1MDB yang Jho Low memainkan peranan aktif dalam perbincangan tersebut,” katanya.

Keempat, katanya pertemuannya dengan Jho Low adalah melalui Azlin yang diakui sendiri oleh Azlin bahawa Jho Low mewakili perdana menteri dalam 1MDB.

Kelima, katanya Jho Low telah menyusun orang-orang beliau (proksi) dalam 1MDB antaranya ialah Jasmine Loo dan Terence Geh iaitu untuk melantik pengurusan kanan perlulah diluluskan dan diperkenankan oleh Najib terlebih dahulu.

Sebab terakhir katanya Jho Low juga menyusun ahli lembaga pengarah (BOD) yang dipengerusi oleh Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, supaya kesemua aktiviti dalam 1MDB akan mudah diberi persetujuan oleh pihak BOD.

Mohd Hazem berkata Jho Low juga adalah individu yang akan menyusun, memanipulasikan dan mengatur semua keputusan, usahasama, pelaburan, kewangan dan penjanaan dana di luar negara membabitkan projek 1MDB yang dijadikan alat untuk mendapatkan dana bagi Najib dan UMNO.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Mohd Hazem Abdul Rahman (kanan) ketika hadir sebagai saksi pendakwaan ke-10 dalam perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB di Mahkamah Tinggi pada 14 September 2020. Foto BERNAMA

Beliau berkata ini dinyatakan sendiri oleh Jho Low kepadanya dan Jho Low percaya kepadanya kerana beliau adalah kawan baik Azlin.

“Atas sebab itulah Jho Low selesa untuk bercerita dan mengarahkan saya melalui e-mel dan BBM (pesanan Blackberry) serta perbualan lisan,” katanya.

Beliau berkata Jho Low akan beroperasi dari belakang dan arahan beliau perlulah dipatuhi olehnya dan juga bekas CEO 1MDB sebelumnya Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Azmi Tahir, bekas pegawai kewangan 1MDB.

“Kami tiada pilihan lain dan terpaksa akur kerana ia adalah arahan daripada perdana menteri (Najib) juga iaitu orang yang paling berkuasa untuk membuat sebarang keputusan.

“Sekiranya tidak akur atau mematuhi arahan ini saya risau ia akan menjejaskan karier pekerjaan saya dan boleh dibuang kerja kerana perdana menteri mempunyai kuasa mutlak untuk menggugurkan saya daripada syarikat ini.

“Selain itu saya juga risau sekiranya dianggap sebagai melawan arahan perdana menteri yang ia boleh menjejaskan karier pekerjaan saya yang saya mungkin tidak boleh bekerja dalam sektor awam dan sektor korporat,” katanya.

Beliau berkata Jho Low sendiri pernah mengingatkannya bahawa Najib menubuhkan 1MDB adalah untuk menjaga dana UMNO dan ini adalah satu daripada cara mendapatkan dana politik melalui syarikat yang diselia oleh perdana menteri sendiri.

“Saya sahkan semasa saya masih lagi bekerja di 1MDB, e-mel yang saya gunakan untuk perbualan ataupun urusan berkaitan syarikat 1MDB ialah [email protected].

Saya boleh sahkan e-mel yang Jho Low gunakan untuk berkomunikasi dengan saya ialah melalui alamat e-mel [email protected]. Saya boleh sahkan e-mel tersebut adalah e-mel yang digunakan oleh Jho Low kerana arahan dan perbualan yang terlibat adalah sama dan konsisten dalam e-mel tersebut dengan perbualan melalui BBM (pesanan Blackberry) dan juga semasa perbincangan secara terus dengan Jho Low,” katanya.

Menceritakan perjumpaan pertamanya dengan Jho Low, Mohd Hazem berkata pada 15 Julai 2012 beliau telah berjumpa dengan Azlin dan Jho Low di Hotel Shangri La Putrajaya dan Azlin telah memperkenalkan Jho Low sebagai penasihat tidak rasmi kepada Najib yang menubuhkan 1MDB.

Saksi itu berkata dalam pertemuan itu, Jho Low memaklumkan kepadanya bahawa tujuan sebenar 1MDB ditubuhkan adalah untuk membantu UMNO melalui perniagaan melibatkan pelaburan strategik 1MDB tetapi beliau tidak menyatakan secara terperinci bagaimana cara beliau akan menggunakan 1MDB untuk membantu UMNO.

Katanya Azlin tidak bercakap banyak kerana perjumpaan ini sebenarnya adalah untuk mempertemukanya dengan Jho Low dan beliau (Jho Low) menceritakan sejarah dan latar belakang 1MDB termasuklah bagaimana beliau menubuhkan Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) dan menukar namanya kepada 1MDB.

“Beliau (Jho Low) tidak cerita secara mendalam tetapi secara kasarnya saya boleh menyimpulkan bahawa Jho Low dan Datuk Seri Najib adalah terlibat dalam penubuhan TIA sehinggalah 1MDB,” katanya.

Mohd Hazem berkata Jho Low juga memaklumkan kepadanya bahawa itu merupakan syarikat di bawah kendalian dan kehendak Najib yang sebarang keputusan dan kata putus adalah di bawah kuasa mutlak bekas perdana menteri itu.

“Jadi saya dapat gambaran dalam pertemuan itu bahawa saya perlu mendapatkan sebarang pelepasan daripada Jho Low dahulu jika bekerja di 1MDB. Datuk Azlin pun mengesahkan perkara tersebut. Inilah sebab sebenar pertemuan ini diadakan kerana selepas saya bertugas di 1MDB nanti saya perlu melaporkan sebarang keputusan dan mematuhi kehendak perdana menteri melalui wakil beliau iaitu Jho Low dan Datuk Azlin.

Datuk Azlin percaya saya kerana saya rakan lama beliau. Pada ketika itu saya telah mula rasa berbelah bahagi untuk bekerja kerana terlampau banyak keputusan melibatkan politik terpaksa saya akur sekiranya saya bekerja di 1MDB.

Namun saya tiada pilihan lain sebab, perdana menteri iaitu Datuk Seri Najib telah menandatangani dan meluluskan pelantikan saya sebagai Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Eksekutif di 1MDB,” katanya dan menambah beliau mula bekerja sebagai Pengarah Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Operasi di 1MDB pada bulan Ogos 2012 selepas selesai menguruskan perpindahan dari syarikat Sime Darby.

Mohd Hazem seterusnya berkata bahawa Jho Low merupakan orang penting yang diletakkan oleh Najib dalam 1MDB sebagai penasihat khas 1MDB melibatkan pelaburan serta penjanaan dana dan perkara ini diberitahu sejak awal lagi semasa pertemuan pertamanya dengan Jho Low bahawa sebarang keputusan jika melalui mereka (Jho Low dan Azlin) adalah merupakan arahan Najib.

“Saya perlu akur kerana Jho Low memaklumkan bahawa semua dana yang diterbitkan melalui pelaburan 1MDB di luar negara adalah untuk kepentingan parti Umno dan saya tidak boleh mempersoalkan perkara tersebut,” katanya.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan seleweng dana SRC sebahagian kecil kes libat Najib

SHAH ALAM, 28 JULAI: Keputusan mahkamah hari ini mensabitkan hukuman salah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sebahagian kecil berbanding banyak lagi kes melibatkannya terutama dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua penerangan KEADILAN berkata perkara berkenaan dibangkitkan sejak 2011 di Dewan Rakyat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Keputusan hari ini juga dicapai melalui kebebasan sistem kehakiman, prinsip yang diperjuang dan menjadi sebahagian asas penubuhan KEADILAN.

“Kita akan terus berjuang memastikan reformasi institusi dilaksanakan dan dipertahankan serta terus menambah baik persekitaran demokratik seiring dengan tata kelola kerajaan yang baik,” kata Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam kenyataan.

Beliau berkata pihaknya menyambut baik keputusan mahkamah yang menyaksikan bekas perdana menteri berdepan tujuh pertuduhan dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Shamsul Iskandar menjelaskan pihaknya bersama rakan-rakan dalam blok pembangkang akan terus bersama dan berikhtiar mengembalikan mandat rakyat untuk membolehkan reformasi menyeluruh dilaksanakan di segenap peringkat.

“Kami yakin rakyat mahukan reformasi dan akan terus menyokong pemimpin serta parti yang komited dengan agenda ini,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan Najib bersalah gugat kerjasama PN?

SHAH ALAM, 27 JULAI: Sebarang keputusan mahkamah kes Datuk Seri Najib Razak berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) esok meletakkan pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam risiko politik.

Berdasarkan sumber dan penganalisis, jika keputusan bersalah disabitkan, sokongan kepada perdana menteri melonjak tetapi ia merenggang hubungannya dengan Umno, parti dominan dalam Perikatan Nasional (PN), lapor Reuters.

Keputusan berkenaan juga meningkatkan kewibawaan Muhyiddin di mata umum tetapi ia melemahkan gabungan PN sekali gus berpotensi mencetuskan pilihan raya.

Pembebasan Najib pula boleh mengubah sentimen rakyat terhadap perdana menteri dan mendorong pembangkang untuk mencabar kerajaan bermajoriti dua kerusi parlimen.

“Keputusan bersalah tidak dapat diterima Umno dan melemahkan pentadbiran Muhyiddin atau berpotensi mencetuskan pilihan raya awal,” kata Adib Zalkapli, pengarah perunding risiko politik BowerGroupAsia.

Sumber terdekat pula mendakwa kem Najib mungkin menarik sokongan kepada perdana menteri manakala sumber terdekat kepada Muhyiddin menyifatkan ia “ancaman besar”.

Buat pertama kali dalam sejarah tanah air, Umno dan parti komponennya tewas pada pilihan raya 2018 susulan kemarahan rakyat terhadap tuduhan rasuah besar-besaran membabitkan pemimpin kerajaan.

Namun, Umno kembali berkuasa melalui gabungan diketuai Muhyiddin pada Mac lalu selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri berikutan pergolakan dengan pemimpin parti gabungan yang menjatuhkan Najib.

Esok bakal menentukan nasib Najib yang didakwa menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd sama ada bersalah atau sebaliknya.

Najib berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan dana SRC, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini diletak di bawah Kementerian Kewangan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Najib diarah bayar RM1.69 bilion kepada LHDN

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu membayar RM1.69 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai cukai yang tidak dibayar sejak 2011 hingga 2017.

Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache hari ini membenarkan permohonan penghakiman terus LHDN dikenakan terhadap Najib.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Ahmad berkata apabila notis taksiran cukai LHDN yang memerlukan pembayaran dibuat kepada lembaga itu dikeluarkan terhadap pembayar cukai, mereka perlu membayar jumlah yang dituntut, termasuk bekas perdana menteri, kerana semua orang adalah sama di sisi undang-undang.

Beliau juga berkata Najib perlu membayar jumlah yang dituntut oleh LHDN sebagai “hutang’ kepada kerajaan.

Dengan memetik satu penghakiman Mahkamah Persekutuan, hakim itu berkata peruntukan yang ditekankan oleh Mahkamah Persekutuan “bayar dahulu, bincang kemudian” walaupun keras, namun ia adalah peruntukan yang memang sengaja ditetapkan oleh perundangan, disebabkan banyak insiden mengelak bayar cukai dalam negara.

Bagaimanapun Najib masih boleh merayu jumlah itu kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT).

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN, menyaman Ahli Parlimen Pekan itu dan menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 6 Julai lalu pula Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membenarkan permohonan LHDN untuk penghakiman terus dalam saman mereka terhadap anak lelaki Najib, Datuk Mohd Nazifuddin, yang menuntut beliau membayar RM37.6 juta tunggakan cukai dari 2011 hingga 2017.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes SRC: 28 Julai penentu nasib Najib

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Keputusan sama ada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan disabitkan atau dilepaskan daripada tujuh pertuduhan menyelewengkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd akan diketahui pada 28 Julai.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan pada akhir kes pembelaan selama lima hari sejak Isnin.

Beliau berkata kedua-dua pihak telah mengemukakan hujahan bertulis yang panjang lebar dan terperinci, berjumlah 2,000 muka surat, untuk membantu mahkamah dalam memastikan dan menilai, serta menentukan, sama ada pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah.

“Saya mahu menyampaikan keputusan muktamad saya terhadap tujuh pertuduhan itu pada bulan depan, pada 28 Julai, 10 pagi,” katanya.

Pendakwa Raya yang dilantik Datuk V.Sithambaram mengetuai pasukan pendakwaan, manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan peguam bela Najib, 67.

Najib, yang menjadi perdana menteri keenam dari 2009 hingga 2018, ialah ketua negara Malaysia yang pertama dihadapkan ke mahkamah.

Perbicaraan bermula 3 April tahun lepas, dengan pihak pendakwaan memanggil 57 saksi untuk memberi keterangan.

Dalam perbicaraan itu, pihak pendakwaan mengemukakan lebih 750 eksibit atau barang kes termasuk dokumen bank berkaitan akaun bank Najib, dokumen transaksi tunai, minit mesyuarat dan perbualan di Blackberry Messenger berhubung transaksi akaun Najib.

Saksi berkenaan termasuk Pengurus Cawangan AmBank Jalan Raja Chulan R. Uma Devi, 40; bekas CEO Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) Azian Mohd Noh, 66; Tan Sri Ismee Ismail, 54, bekas anggota lembaga pengarah SRC; dan pengarah bukan eksekutif SRC Datuk Suboh Md Yassin, 68.

Lainnya bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, 67; bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping, 48; bekas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, 67; dan pegawai penyiasat Rosli Husain, 54.

Pada 11 Mac, pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil 19 saksi memberi keterangan dalam perbicaraan itu yang berlangsung selama 33 hari sejak 3 Disember tahun lepas, dengan Najib dipanggil sebagai saksi pertama pihak pembelaan.

Saksi lain yang turut dipanggil memberi keterangan ialah dua bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkfili Ahmad dan Latheefa Koya dan bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Sehingga hari ini, prosiding telah berlangsung selama 94 hari.

Pada 11 Nov tahun lepas, Najib diperintah membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, terdiri tiga pertuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan berkaitan dana SRC.

Berhubung pertuduhan CBT, Najib, sebagai penjawat awam dan ejen, iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, dan Penasihat Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC), didakwa menyeleweng RM27 juta dan RM5 juta masing-masing daripada RM4 bilion milik SRC.

Beliau dituduh melakukan dua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Ambank Group Building, No 55, Jalan Raja Chulan di sini antara 24 dan 29 Disember 2014.

Bagi pertuduhan ketiga, Najib didakwa menyeleweng sebanyak RM10 juta lagi daripada RM4 bilion milik SRC di tempat sama antara 10 Februari dan 2 Mac 2015.

Tiga pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan rotan dan boleh juga didenda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya, Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, didakwa telah menggunakan kedudukannya untuk melakukan rasuah melibatkan RM42 juta menerusi penyertaan dan penglibatannya dalam membuat keputusan bagi memberi jaminan kerajaan untuk pinjaman daripada KWAP kepada SRC International berjumlah RM4 bilion.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012.

Pertuduhan itu di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai rasuah atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa menerima RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta, masing-masing, hasil daripada aktiviti haram, menerusi Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Tepat Masa (Rentas) ke dalam dua akaun AmIslamic Bank Berhad beliau, bernombor 2112022011880 dan 2112022011906.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, AmBank Group Building, No. 55, Jalan Raja Chulan di sini, antara 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan jika sabit kesalahan, bekas perdana menteri berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga lima kali ganda jumlah atau nilai hasil haram itu atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi, bagi setiap pertuduhan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SRC: Permohonan Najib paksa saksi setuju ditemu bual ditolak

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk memaksa seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersetuju ditemu bual oleh pasukan pembelaannya sebelum memberi keterangan dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan hak Najib untuk mendapatkan perbicaraan yang adil tidak akan terjejas akibat keengganan saksi ditemu bual memandangkan Penolong Pesuruhjaya Mohd Nasharudin Amir mengangkat sumpah untuk berkata benar walaupun hadir ke mahkamah selepas disepina.

“Beliau bukan saksi pendakwaan dan tidak ditawarkan kepada pembelaan sebagai saksi. Hakikat beliau seorang penjawat awam dan bekas pegawai penyiasat untuk kes lain tidak mengubah perkara ini,” kata hakim itu.

Mohd Nasharudin adalah pegawai penyiasat dalam kes Najib membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM2.28 bilion.

Dalam perkembangan lain, pendakwa ad-hoc Datuk V. Sithambaram memberitahu mahkamah beliau dimaklumkan pihak pembelaan tidak akan memanggil pakar dokumen Australia Dr Stevens Strach susulan kebuntuan berkaitan syarat pelantikan Dr Strach.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pembelaan, mengesahkan perkara ini dan berkata mereka tidak diberikan sebarang laporan atau penemuan oleh Dr Strach daripada pemeriksaannya yang dijalankan pada 11 dan 12 Februari, selain laporan awal.

“Oleh itu, kami tidak akan memanggil Dr Strach untuk memberi keterangan,” kata Muhammad Shafee.

Sementara itu, Sithambaram berkata pendakwaan tidak mempunyai masalah untuk Najib memeriksa salinan asal rakaman audio yang dikeluarkan SPRM pada awal tahun ini namun mengecup hak untuk membantah kebolehterimaan rakaman audio itu atas alasan kerelevanan, keperluan atau sebarang alasan lain yang dibenarkan undang-undang.

Rakaman audio itu didakwa membabitkan kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib ketika beliau menjadi perdana menteri, bersama beberapa rakaman perbualan telefon lain yang mempunyai kaitan dengan siasatan skandal 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Menyentuh perkara lain, pendakwaan berkata mereka akan memberikan penyataan saksi SPRM yang tidak dapat dikesan kepada pembelaan, termasuk Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.

Sebagai respons, peguam Harvinderjit Singh berkata mereka akan meneliti kesemua penyataan itu.

Muhammad Shafee turut memaklumkan mahkamah bahawa bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah ditetapkan untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu hari ini.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee berkata oleh kerana ibu Mohamed Apandi tidak sihat, maka bekas peguam negara itu meminta untuk memberi keterangan pada tarikh lain kerana beliau ingin menziarahi wanita tersebut di Kelantan.

Najib sedang membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyelewang RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, yang terdiri daripada tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan melakukan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalah guna kuasa membabitkan dana SRC.

Perbicaraan bersambung esok.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Najib sekeluarga selesai pemeriksaan fizikal barang rampasan

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan anak mereka Nooryana Najwa selesai melakukan pemeriksaan fizikal ke atas barang yang didakwa mempunyai kaitan dengan siasatan 1Malaysia Development Berhad di Bank Negara Malaysia hari ini.

Timbalan Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Urusetia Ketua Polis Negara Bukit Aman, ACP Amran Yaacob berkata pasangan itu bersama anaknya melakukan pemeriksaan lebih tiga jam sejak tiba jam 9.15 pagi.

“Mereka ditemani peguam masing-masing dan proses itu berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Amran berkata pihaknya akan menentukan sama ada satu pemeriksaan semula dilakukan selepas ini.

Pada 3 Februari lalu, Hakim Mohamed Zaini memerintahkan pendakwa raya membenarkan Najib, Rosmah dan Nooryana memeriksa barang berkenaan secara fizikal.

Antara syarat ditetapkan pemeriksaan mesti dilakukan di premis yang ditetapkan oleh pihak pendakwaan dan hanya dilakukan sekali dalam tempoh dua minggu dari tarikh perintah dikeluarkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Derma Arab Saudi: Najib mohon, bukan ditawar

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu Kerajaan Malaysia melalui Datuk Seri Najib Razak memohon sumbangan derma daripada Arab Saudi, bukan ditawarkan oleh negara berkenaan.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata beliau tahu mengenai permohonan itu tetapi tidak membincangkannya di Kabinet kerana tidak termasuk dalam urusan pentadbiran.

Bagaimanapun, beliau yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam ketika itu, bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Datuk V.Sithambaram bahawa perkara berkenaan disembunyikan daripada rakyat.

Terdahulu, ketika membacakan penyataan saksinya, Jamil Khir, 59, berkata beliau difahamkan bahawa derma itu akan disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib bagi memudahkan dan melancarkan perjalanan politiknya.

“Kalau tidak silap saya, Raja Arab Saudi Almahrum Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud ada menyebut baginda akan menghantar sumbangan dana tidak lama lagi dan menyebutkan saluran dana ini akan dihantar ke akaun peribadi Najib.

“Raja Abdullah khuatir saluran terus ke dalam mana-mana entiti organisasi politik akan merumitkan cara perbelanjaan dana tersebut,” katanya menambah beliau berada di belakang Najib ketika perbualan antara kedua-dua pemimpin itu di Istana Riyadh pada 11 Januari 2010.

Bagaimanapun, saksi pembelaan kelima itu berkata secara peribadi beliau tidak tahu sama ada Raja Abdullah benar-benar menghantar dana ke dalam akaun Najib atau tidak.

Sithambaram: Selepas Raja Abdullah menceritakan mengenai duit akan masukkan ke dalam akaun peribadi, baginda tidak beritahu berapakah derma yang akan beliau salurkan?

Jamil Khir: Tidak

Saksi juga berkata, beliau tidak ingat sama ada rakyat Malaysia diberitahu bahawa Arab Saudi memberi derma kepada Najib untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13.

Sithambaram: Adakah kamu tahu bahawa pada Ogos tahun 2013, wang sejumlah US$620 juta (RM2.03 bilion) telah dikembalikan semula oleh Najib kepada Tanore Finance Corporation, yang dikatakan diterima daripada Arab Saudi?

Jamil Khir: Saya tidak tahu

Beliau juga tidak tahu bila Najib menerima derma pertama daripada Arab Saudi dan tidak tahu syarikat mana yang menghantar derma berkenaan.

Ketika pemeriksaan semula oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, mengenai sebab sumbangan daripada Arab Saudi itu tidak dibincangkan secara umum, saksi itu berkata ia kerana sumbangan tersebut diberikan kepada Najib secara peribadi.

“Saya rasa ini sumbangan peribadi yang diperbolehkan di dalam konteks peruntukan undang-undang negara kita. Mungkin kerana itu ia tidak menjadi perbincangan,” katanya.

Terdahulu, Jamil Khir menceritakan pengalamannya dihadiahkan sebatang pen dihiasi permata daripada Arab Saudi sebagai tanda penghormatan dan “penerimaan” orang Arab terhadap seseorang individu.

“Saya membawa pen itu ke mahkamah hari ini,” katanya sambil mengeluarkan sebatang pen berwarna hitam daripada poket bajunya dan menunjukkan kepada umum.

Najib membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd membabitkan tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dana SRC.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Khamis ini dengan bekas Ahli Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman akan memberi keterangan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah benar Najib periksa barang dirampas SPRM

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarga boleh menjalankan pemeriksaan secara fizikal ke atas barang yang didakwa berhubung kait dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Ini susulan keputusan oleh hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan hari ini yang memerintahkan pendakwa raya membenarkan Najib dan ahli keluarganya secara fizikal memeriksa barang berkenaan.

Dalam penghakimannya, Hakim Mohamed Zaini berkata, Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan anaknya, Nooryana Najwa perlu diberi peluang untuk memeriksa barang yang dirampas itu.

Hakim berkata, responden (pendakwaan) yang bimbang terhadap aspek keselamatan boleh memastikan pemeriksaan itu dilakukan dalam premis yang dikawal oleh mereka dengan langkah-langkah keselamatan yang ditetapkan.

“Saya tidak mampu mengukur bagaimana pergerakan barang ini boleh menyebabkan kemerosotannya. Keutamaan saya adalah bagi membolehkan pemohon (Najib dan keluarganya) peluang untuk menyuarakan pembelaan mereka dalam hubungan permohonan pelucuthakan responden.

“Ini hanya boleh dilakukan jika mereka (pemohon) diberi hak untuk memeriksa barang yang dirampas itu. Berdasarkan kepada alasan mereka telah melakukannya dengan mendapat sokongan daripada permohonan mereka, sama ada pembelaan mereka itu patut atau pun sebaliknya adalah sesuatu yang akan saya tetapkan apabila membuat keputusan berhubung permohonan lucut hak,” katanya.

Hakim Mohamed Zaini mengeluarkan arahan itu dengan syarat pemeriksaan itu dikendalikan di premis yang ditetapkan oleh pendakwaan dan hanya pemohon dibenarkan memeriksa barang berkenaan di bawah penyeliaan oleh pendakwa.

Beliau juga memerintahkan agar setiap pemohon diiringi oleh seorang peguam cara.

“Satu lagi syarat ialah pemeriksaan itu hanya dilakukan sekali dan dijalankan dalam tempoh dua minggu dari hari ini,” katanya.

Najib diwakili oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, manakala Rosmah dan Nooryana Najwa diwakili peguam Iskandar Shah Ibrahim, Azamuddin Abd Aziz, Azrul Zulkifli Stork dan Asmadi Hussin.

Timbalan pendakwa raya Fatnin Yusof dan Harris Ong Mohd Jeffery Ong bertindak bagi pihak pendakwaan.

Pada 18 Julai tahun lepas, Najib mengemukakan notis usul bagi memeriksa dan mendapatkan butiran mengenai aset berkenaan.

Dalam notis usul itu, Najib, 67, memohon kepada pendakwa agar menyedia atau membekalkan gambar berwarna barang yang berkenaan serta diskripsi terperinci seperti label, simbol, kad hadiah, pakej dan kotak barang-barang berpindah itu yang dirampas pada 17 Mei, 2018.

Bekas Perdana Menteri itu mengemukakan permohonan berdasarkan sebahagian kotak, beg tangan dan bekas yang dirampas itu telah disisihkan daripada bungkusan asal dan ini menyebabkan kekeliruan dalam proses untuk mengenal pasti.

Sementara itu, Rosmah, 69, dan Nooryana Najwa, 32, mengemukakan permohonan cuti bagi membenarkan pemeriksaan secara fizikal bagi barang yang berkenaan.

Antara barang yang disebut dalam kedua-dua notis itu ialah 315 beg tangan pelbagai jenama, 14 utas jam tangan dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta wang tunai dalam pelbagai mata wang termasuk RM537,000, Pound Sterling 2,700, Sri Lanka Rupee 2,870,000, RM187,750 dalam Ringgit Malaysia wang lama dan 320,500 Pound Sterling.

-BERNAMA