Categories
NASIONAL SELANGOR

Gagal Beri Penjelasan Wang Haram RM200 Bilion, Menteri Perlu Letak Jawatan

Duit_contoh_selangorku

SHAH ALAM,19 DIS : Menteri Kewangan perlu menjelaskan bagaimana hampir RM200 bilion wang kotor mengalir keluar dari Malaysia pada tahun 2010 yang meletakkan negara di tempat kedua di belakang kuasa ekonomi Asia, China, dalam pengaliran modal global.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, jika beliau tidak dapat menjelaskan kedudukan isu dengan telus dan jujur maka menteri tersebut wajar meletakkan jawatan.

“Ini adalah suatu kepincangan yang sangat besar untuk diketepikan tanpa pertanggungjawapan penuh dari Menteri Kewangan.

“Di peringkat antarabangsa aliran wang haram adalah suatu jenayah serius yang tidak boleh dipandang ringan,” kata Azmi dalam kenyataan medianya.

Beliau menjelaskan, laporan dari badan badan pemantau – Global Financial Integrity (GFI) dalam laporan terbarunya yang menjejaki pengaliran modal menyatakan tahap pengaliran wang haram dari Malaysia itu pada tahun 2010 yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

Laporan terbaru mendapati lonjakan dramatik pengaliran modal di Malaysia – dari AS$30.41 bilion (RM93 bilion) pada tahun 2009 kepada AS$64.38 bilion (RM196.8 bilion) pada tahun 2010.

“Menurut GFI, bagi aliran keluar wang haram terkumpul sepanjang lebih 10 tahun – dari 2001-2010 – Malaysia berada di kedudukan ke-3 di dunia, selepas China dan Mexico.

“Jumlah anggaran untuk tempoh 10 tahun bagi Malaysia ialah AS$285 bilion (RM871.4 bilion), manakala bagi China ialah AS$2,740 bilion, dan Mexico, AS$476 bilion,” katanya.

Tegas Azmi, ekonomi negara mengalami kerugian pada tahap berbilion ringgit jika isu ini tidak di atasi dengan tegas.

Ia bukan sahaja akan mengakibatkan negara kehilangan pendapatan yang sangat tinggi dari cukai malah integriti pengurusan kewangan negara dilihat sangat lemah dan wang negara akan terjejas teruk bila aliran keluar wang berlaku tanpa kawalan.

“Kini kita berhadapan dengan pengeluaran wang keluar dari Malaysia secara haram yang menunjukkan tahap pengawasan sangat lemah dan begitu mudah untuk bolos keluar,” ujar beliau.

Beliau berkata, Menteri Kewangan(Datuk Seri Najib Razak) harus mengambil tanggungjawab penuh terhadap isu ini yang melambangkan kelemahan dan kepincangan yang amat ketara yang melibatkan masa depan ekonomi negara .

“Jika Menteri berkenaan tidak boleh mengatasi masalah ini maka beliau perlu melepaskan jawatan dan diserah kepada seorang yang lebih kompeten dan berkelayakan untuk menguruskan kewangan negara,” katanya.

Anwar : Pluralisma Agama Hanya Alih Isu Penyelewengan BN

KUALA LUMPUR, 6 NOV : Umno-BN dilihat terdesak apabila kembali memainkan sentimen keagamaan sebagai modal politik serta  menimbukan budaya tidak sihat, tegas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, isu pluralisma hanya dimainkan untuk mengalihkan pandangan umum terhadap isu kezaliman, rasuah dan penyelewengan yang didiamkan supaya tidak diketahui umum.

Katanya, perkara ini hanya didiamkan oleh ulama Umno-BN dan kejadian memutarbelitkan fakta perlu dipandang serius.

“Saya dah jelaskan banyak tempat, Rasulullah itu diutuskan sebagai rahmat kepada sekalian alam, itu cirinya plural.

“Pluralisma itu ialah menyamakan semua agama. Itu soal akidah. Macam mana saya kata semua agama sama? Saya solat ikut Islam. Saya tidak solat pergi gereja.

“Itu hanya nak dimainkan untuk politik mereka (Umno-BN) padahal kezaliman, rasuah dan penyelewengan ustaz-ustaz Umno mana berani sentuh. Gunanya hanya pluralisma agama sahaja secara umum,” ulas Anwar yang mengakui  beliau antara ‘mangsa’ putarbelit teks kenyataan ucapan berkaitan keagamaan.

Menurutnya lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri tidak mampu mempertahankan serangan sekutunya MCA yang dilihat lantang memperlekeh perkara berkaitan keagamaan.

“(Datuk Seri) Chua Soi Lek menyerang berdepan dengan Datuk Seri Najib.

“Berani (Najib) sebut? Najib sendiri tidak berani nak ulas (serangan) Chua Soi Lek. Caranya adalah menyerang kenyataan-kenyataan kita,” katanya.

Tambah Anwar lagi, Jabatan Agama Islam perlu mengambil tindakan terhadap mereka yang mengeluarkan kenyataan menyesatkan serta mereka yang terlibat dengan dengan industri haram seperti judi dan ‘San Miguel’.

“Pluralisma agama kalau seseorang itu meremehkan Islam. Maknanya menolak hukum dan menyatakan semua agama adalah sama.

“Saya tidak pernah sebut (pluralisma). Menghormati agama (lain) apa salahnya?,” soal Anwar lagi.

Categories
NASIONAL

Bajet Sogokan Tidak Akan Bantu Pertumbuhan Ekonomi

KUALA LUMPUR, 27 SEPT – Pakatan Rakyat (PR) menjangkakan satu bajet berbentuk ‘imbuhan politik’ akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak esok sebagai usaha untuk mendapatkan sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang ditemui berkata PR mengingatkan kerajaan supaya membentangkan bajet bertanggungjawab demi kesejahteraan rakyat meskipun dunia menghadapi masalah ekonomi.

“Bajet yang akan sarat dengan sogokan imbuhan politik untuk mendapatkan sokongan.  Namun menjadi tanggungjawab Pakatan untuk mengingatkan kerajaan.

“Apa juga dasar yang diambil dalam bajet ini fizikalnya bukan dasar ‘One-Off’, sogokkan satu kali begitu tetapi harus menjamin kelangsungan pertumbuhan ekonomi yang akan memberikan kesejahteraan kepada rakyat keseluruhannya,” katanya.

Beliau yang juga MP Gombak menegaskan, perkara penting yang perlu diberi penekanan adalah corak perbelanjaan boros negara perlu dihentikan serta merta bagi mengelakkan pembaziran.

Jelasnya, beliau tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya kerajaan ingin ‘meniru’ cadangan yang dikemukakan dalam belanjawan PR asalkan memberikan manfaat kepada rakyat.

Pembentangan Bajet 2012 yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Najib Razak akan berlangsung esok tanpa disertakan dengan Laporan Ketua Audit Negara seperti yang dilakukan sebelumnya.

Menurut Azmin, laporan berkenaan akan diberikan kemudian kepada Ahli Parlimen seperti yang dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dan beliau melahirkan kekecewaan terhadap perkara berkenaan.

Bagi Timbalan Presiden DAP, Dr Tan Seng Giau berharap agar fokus utama peruntukkan diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi menangani rasuah dan ketirisan.

“Diharapkan kerajaan akan mengumumkan projek pembangunan infrastruktur tanpa ketirisan.

“Kita berharap kos pengangkutan dapat dikurangkan, tol dikurangkan dengan matlamat menghapuskan tol pada masa hadapan.

“Mengenai harga kereta boleh dikurangkan untuk menjimatkan perbelanjaan dan diharapkan juga tiada pengurangan bajet untuk pendidikan,” katanya.

Categories
SELANGOR

SUARAM Terbuka Untuk Disiasat Tetapi Minta Siasat Juga Scorpene

SHAH ALAM, 18 SEPT : Di sebalik kesediaan untuk disiasat, Suara Rakyat Malaysia(Suaram) juga mengesa Kerajaan Umno-BN menyiasat juga pendedahan skandal pembelian kapal selam Scorpene yang melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusi Suara Anak Malaysia (Suaram) K Arumugam berkata  pihak Suaram terbuka untuk membantu siasatan terutamanya dalam kes berkaitan pendedahan Scorpene dan meminta hasil siasatan berkenaan didedahkan kepada umum.

Soalnya, mengapa pihak berkuasa tidak mahu siasat  kes Scorpene tetapi ingin mencari salah Suaram bagi mengalihkan isu ini daripada pengetahuan rakyat.

Arumugam yang dihubungi Tv Selangor turut memaklumkan, beliau akan memberikan keterengan esok di pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi membantu siasatan berhubung status NGO berkenaan yang sebelum ini mendedahkan skandal pembelian kapal selam Scorpene.

Menurutnya, sehingga kini pihaknya masih belum menerima surat daripada Jabatan Peguam Negara berhubung apa-apa dakwaan yang melibatkan Suaram.

Hari ini menyaksikan empat individu tertinggi Suaram, Dr Kua Kia Soong,  Dr Yeoh Seng Guan, Nalini dan Diane dipanggil oleh SSM untuk memberikan keterangan.

“Setakat ini hanya menteri yang mengatakan tuduhan terhadap Suaram. Kami belum menerima apa-apa surat atau tuduhan.

“Jadi kita sedang menunggu dibawah seksyen berapa dan apakah bentuk kesalahan yang dilakukan Suaram. Kemudian kita akan keluarkan satu kenyataan media,” katanya.

Suaram sebelum ini mendedahkan pembelian Scorpene melibatkan Syarikat Perimekar Sdn Bhd, milik Abdul Razak Baginda, kenalan rapat Najib yang terlibat dalam pembunuhan model Mongolia, Altantuya Sharibuu, menerima komisen RM570 juta daripada kerajaan Malaysia untuk urusniaga itu.

Susulan itu, Suaram melantik peguam Joseph Breham pada tahun 2009 untuk memfailkan kes terhadap firma pembuat kapal selam Perancis, DCN, yang terlibat dalam urusniaga itu.

Suaram ditohmah sebagai pengkhianat kerana mendapat bantuan dana asing sebanyak RM570,000 sejak 2007 dari Yayasan Open Society Institute kepunyaan George Soros yang dilabel sebagai penyangak matawang oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1997.

Dana yang diperoleh ditegaskan oleh Pengarah Suaram, Kua Kia Soong sebelum ini tidak ada kena mengena dengan operasi perniagaan spekulasi mata wang Soros, sebaliknya diguna untuk pencerahan hak asasi manusia di negara ini.

Penerimaan bantuan asing bukan perkara baru bagi NGO Malaysia. Bantuan dari negara Arab dan Eropah tidak dipersoalkan. Hanya Suaram yang menjadi mangsa kerana berani mendedahkan skandal kapal selam Scorpene yang melibatkan Najib.

Categories
NASIONAL

PKR Mahu RCI Ditubuh Siasat Salahguna Kuasa PM

PETALING JAYA, 2 OGOS – Pengarah Srategi PKR, Rafizi Ramli mendesak penubuhan satu Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi menyiasat campur tangan Datuk Seri Najib di dalam penganugerahan kontrak kepada George Kent.

Gesaan ini dilontarkan ekoran beberapa persoalan besar yang didedahkan sebelum ini terutama penglibatan Najib Razak dalam proses perolehan projek-projek negara hanya boleh dirungkai oleh suruhanjaya tersebut yang mempunyai kuasa penuh menyiasat seorang Perdana Menteri.

Jelas beliau, keadaan ini menunjukkan betapa kroniknya amalan rasuah di peringkat tertinggi negara.

“Kemungkinan wujudnya campur tangan Datuk Seri Najib di dalam institusi-institusi negara seperti Kamar Peguam Negara, Bank Negara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia apabila individu yang terlibat mendedahkan skandal beliau terus dihadapkan ke mahkamah kurang 24 jam dari pengumumaman anugerah kontrak kepada George Kent.

“Selain itu, persoalan mengenai hubungan Najib Razak dengan Thales yang didakwa terlibat dalam penjualan dokumen sulit pertahanan negara membayangkan penglibtan pemimpin tertinggi negara dalam kegiatan yang mengkhianati negara,” katanya dalam sidang media di Pejabat PKR.

Tegas beliau, sekiranya Najib tidak bersalah, beliau tidak perlu gentar menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat dakwaan ini.

Awal minggu ini, Syarikat Prasarana Negara Bhd mengumumkan kontrak projek sambungan LRT Ampang dianugerahkan kepada syarikat kerjasama George Kent-Lion Pasific Venture (JV).

Rafizi sebelum itu mendedahkan beberapa dokumen yang berkaitan penganugerahan kontrak bernilai RM1.1 billion bagi projek tambahan laluan LRT Ampang termasuk surat yang menunjukkan penglibatan Datuk Seri Najib Razak.

Ujar Rafizi lagi, fakta yang tidak dinafikan seperti yang dideahkan sebelum ini jelas menunjukkan ada unsur salah guna kuasa dan penyelewengan apabila syarikat milik rakan karib Najib Razak dianugerahkan kontrak besar walaupun tidak mempunyai kepakaran.

Categories
SELANGOR

Dapsy Gesa Peguam Negara Gugur Pendakwaan Terhadap Rafizi

KUALA LUMPUR 2 OGOS : Peguam Negara digesa menimbang dan menggugurkan keputusan pendakwaan terhadap Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang ditahan di bawah Akta Institusi Perbankan dan Kewangan (Bafia), semalam.

Gesaan ini disuarakan Ketua Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (Dapsy), Anthony Loke berkata tindakan mendakwa Rafizi di mahkamah hanya akan menimbulkan lebih banyak perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat Malaysia terhadap sistem keadilan di negara ini.

Menurutnya, tindakan pendakwaan ke atas Rafizi yang membongkarkan skandal kewangan National Feedlot Corporation (NFC) memberikan satu gambaran atau mesej yang salah kepada rakyat Malaysia.

Ini kerana menurutnya, Rafizi yang bertindak sebagai pemberi maklumat untuk membantu memerangi rasuah dilihat seolah-olah melakukan kesalan dan perlu dihukum.

“Dapsy mengecam sekeras-kerasnya pendakwaan terhadap Rafizi (Ramli) hanya kerana beliau mendedahkan akaun kewangan NFC.

“Pendakwaan itu sama sekali bertentangan dengan semangat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat yang diluluskan parlimen yang bertujuan menggalakkan orang ramai tampil memberikan kerjasama dan bukti dalam kes-kes rasuah,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, tindakan Rafizi itu seharusnya dipuji ekoran kelantangan dan keberaniannya membongkar skandal kewangan NFC sebagai usaha ke arah sistem pentadbiran yang telus dan bersih.

Namun apa yang berlaku, ujarnya, peranan Rafizi bukan sahaja tidak dihargai, malah beliau dihukum dengan pendakwaan yang dihadapinya sekarang.

“Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak langsung tidak serius dalam usaha memerangi rasuah dan segala slogan transformasi kerajaan adalah janji-janji kosong,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Anwar : Moral Politik Najib Paling Hina Dalam Sejarah Malaysia

SHAH ALAM, 11 MEI: Moral politik di era Perdana Menteri ke enam Malaysia, Datuk Seri Najib Razak dianggap sebagai yang terburuk dalam sejarah politik Malaysia.

Demikian menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya di hadapan kira-kira 2,000 penyokong Paktan Rakyat di Subang Jaya malam tadi.

“Anda beritahu saya, negara mana? Amerika Latin? Afrika? China? India? Bagi tahu ada tak negara yang ada politik kotor macam negara di bawah Najib sekarang.

“Ada tak negara di mana televisyen tiap malam, seks, seks, seks, seks, tiada lain? Najib dari segi ini, segi moral paling hina dalam sejarah negara kita,” ujarnya.

Menurut Anwar, beliau tidak akan terikut-ikut dengan budaya politik kotor yang diamalkan oleh Umno-BN di bawah Najib walaupun mengetahui rahsia peribadi Najib.

“Semasa saya memangku jawatan Perdana Menteri dan selama tiga bulan itu, semua laporan polis cawangan khas akan dilaporkan kepada saya. Saya tahu kesemuanya.

“Adakah anda mahu saya beritahu anda apa yang saya tahu? Tidak sebab politik saya tak gunakan cara politik kotor seperti Najib.

“Saya tidak akan mengikut style politik Najib yang kotor, kalau saya ikut bermakna saya juga sama seperti mereka.

“Adakah saya tak tahu cerita tentang beliau? Ya, saya tahu. Siapa beritahu saya? Cawangan Khas, laporan khas.

“Adakah mampu saya maklumkan kepada orang ramai? Tidak, sebab saya nak menang, tetapi bukan dengan cara mencaci, memfitnah, menipu, memburukkan peribadi orang dan merosakkan rumahtangga orang,” kata beliau dalam ceramah ‘Merdeka Rakyat’ itu.

Anwar juga mengutuk keras perbuatan media Umno-BN yang melemparkan pelbagai fitnah terhadap beliau sendiri, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan pemimpin lain Pakatan Rakyat.

Beliau turut menganggap perbuatan samseng upahan Umno sebagai perbuatan bodoh penyokong Umno.

“Semasa saya pergi ke Johor, mereka pukul kereta saya sampai pecah. Kalau mereka pukul saya tidak akan melemahkan semangat saya, inikan pula pukul kereta, lagilah tidak akan beri kesan.

“Ada yang baling batu, menjerit, Israel, Yahudi, ini apa benda bodohnya ni?” Kata Anwar lagi.