Categories
NASIONAL

Abdul Azeez letak jawatan Pengerusi TH

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 24 MEI: Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim dilaporkan sah meletakkan jawatannya di organisasi itu beberapa hari selepas kemenangan Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN).

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ahli Parlimen Baling berkata, surat perletakkan jawatannya dihantar kepada Jabatan Perundangan Lembaga, pada 14 Mei lalu.

“Saya dilantik oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri, jadi peletakan jawatan saya juga pada menteri yang bertanggungjawab.

“Setakat ini saya sudah letak jawatan, ia bagaimanapun belum dikira rasmi kerana menteri baharu belum dilantik,” katanya dilapor The Star Online.

Tambahnya lagi, Azeez berkata, beliau membuat keputusan itu bagi menghormati keputusan kerajaan PAKATAN bahawa tiada ahli politik dibenarkan memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan.

Difahamkan, TH sebelum ini berada di bawah portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal agama Islam).

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan serbuan kerumah dan pejabat Abdul Azeez di Subang Jaya, Selangor dan Kedah bagi membantu siasatan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Dalam serbuan di Baling, Kedah SPRM merampas kira-kira RM100,000 manakala RM400,000 di Subang, Selangor.