Categories
AGENDA NASIONAL

5,731 pusat pemindahan sementara mampu tampung 1.63 juta mangsa banjir

PUTRAJAYA, 19 DIS: Sebanyak 5,731 pusat pemindahan sementara (PPS) dikenal pasti di seluruh negara mampu menampung 1.63 juta mangsa bencana.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata penyediaan PPS itu bagi mendepani monsun timur laut yang telah bermula pada Oktober lepas dan dijangka berakhir Mac 2022.

“Setakat pukul 11.30 malam tadi, sebanyak enam negeri telah dilanda banjir iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.

“Sebanyak 220 PPS telah dibuka melibatkan 5,076 keluarga dan 13,872 mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rina berkata bagi menangani penularan Covid-19, kesemua mangsa akan melalui saringan Covid-19 untuk mengelakkan daripada tercetusnya kes Covid-19 sebelum penempatan dibuat di PPS berkaitan.

Beliau berkata kementeriannya telah menggerakkan 1,000 pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu mangsa di lokasi banjir.

“Tambahan itu, pada masa ini seramai 500 sukarelawan Skuad Keluarga Malaysia telah digerakkan untuk membantu mangsa-mangsa di PPS yang beroperasi,” katanya.

Rina turut menyeru orang ramai supaya memastikan keselamatan keluarga terutama kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya diberi keutamaan sewajarnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemeriksaan haid tidak wajar, sekolah terlibat disiasat

KUALA LUMPUR, 23 APRIL: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menyiasat dan memantau sekolah didakwa melakukan “pemeriksaan datang bulan” terhadap pelajar perempuan semasa bulan Ramadan.

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata beliau memandang serius perkara itu dan ia tidak sewajarnya berlaku, justeru siasatan akan dijalankan bagi memastikan perkara itu tidak berulang.

“Perkara ini tak wajar dan tak sepatutnya berlaku di sekolah, jadi saya pandang serius, saya akan buat susulan dengan kementerian berkaitan seperti Kementerian Pendidikan dan MARA supaya perkara ini tak terjadi lagi. Ia amat mengejutkan, tidak boleh diterima pun pada akal fikiran kita,” katanya kepada media selepas merasmikan program Srikandi Muda Leadership Empowerment 2021 hari ini.

Semalam, pengerusi MARA Datuk Azizah Mohd Dun menerusi satu kenyataan berkata pihaknya sudah menggerakkan siasatan dalaman bagi meneliti dakwaan terdapat sekolah melakukan pemeriksaan sedemikian bagi mengelak pelajar ponteng solat ketika bulan puasa.

Sebelum ini tular di laman Twitter beberapa pelajar mendedahkan amalan pemeriksaan itu terjadi di sekolah, dan mereka mendakwa turut diminta membuka pakaian dalam bagi membuktikan mereka sedang dalam haid dan tidak boleh berpuasa.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih ramai hijrah rancak pembangunan luar bandar

PORT DICKSON, 12 JAN: Peningkatan pola penghijrahan penduduk bandar ke luar bandar mampu merancakkan usaha membangunkan kawasan luar bandar, sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih memberangsangkan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata pihaknya bersedia mendepani perubahan ini termasuk melaksanakan pelbagai pembangunan baharu serta penambahbaikan infrastruktur selain memudahkan usaha menarik pihak swasta untuk melabur di luar bandar.

“Berdasarkan laporan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar migrasi dari bandar ke luar bandar meningkat kepada 19.5 peratus pada 2018 berbanding 4.2 peratus pada 2016.

“Manakala migrasi dari luar bandar ke bandar pula menunjukkan penurunan iaitu dari 15.2 peratus pada 2016 kepada 4.8 peratus pada 2018.

“Ini membolehkan usaha untuk membangunkan kawasan luar bandar terus dipergiat bahkan ia akan menjadi satu peluang untuk menarik lebih ramai pelabur untuk melabur di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Ramah Mesra dan Ziarah Kasih Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rina berkata faktor persekitaran dan kemudahan asas yang semakin baik di luar bandar menjadi antara penyumbang kepada peningkatan migrasi ini.

Beliau berkata pihaknya akan terus berusaha menyediakan pelbagai kemudahan asas kepada masyarakat luar bandar bagi menyokong pembangunan ekonomi serta mewujudkan persekitaran kehidupan yang lebih menarik serta kondusif.

“Ia supaya kawasan luar bandar akan terus menjadi pilihan ramai untuk dijadikan sebagai tempat tinggal, bekerja, melabur dan destinasi pelancongan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

62 peratus pelajar miskin tingkatan satu ke MRSM tahun ini

SUNGAI BESAR, 6 JAN: Kira-kira 62 peratus daripada 7,628 pelajar tingkatan satu yang memulakan sesi persekolahan baharu tahun ini di 54 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara terdiri daripada keluarga golongan berpendapatan rendah (B40).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata jumlah itu sekali gus lebih tinggi daripada sasaran.

“Pada hari ini, 7,628 pelajar tingkatan satu berdaftar bagi memulakan sesi persekolahan baharu di MRSM seluruh negara dan 62 peratus daripadanya adalah keluarga golongan B40.

“Malah untuk sesi persekolahan baharu tahun ini juga, kita meluluskan kira-kira 300 permohonan rayuan pelajar untuk memasuki institusi ini,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke MRSM Sungai Besar di sini, hari ini.

Seramai 180 pelajar tingkatan satu mendaftarkan diri hari ini di MRSM Sungai Besar yang menerapkan program Ulul Albab.

Rina berkata pada tahun ini juga, kira-kira 3,000 pelajar MRSM terpilih daripada tingkatan satu hingga lima di seluruh negara menerima manfaat di bawah Program Bantuan Untuk Pendidikan (Budi).

Katanya, pelajar yang terpilih adalah mereka yang tergolong dalam kategori miskin tegar dan mendapat keputusan sekurang-kurangnya 3A dan 3B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Menerusi program Budi, pelajar terlibat akan menikmati manfaat antaranya wang saku setiap bulan, pengecualian bayaran wang caruman serta diperuntukan RM1,500 setahun bagi membeli barangan kelengkapan persekolahan.

“Diharap, mereka yang mendapat manfaat dalam program ini mampu mencipta kecemerlangan dan seterusnya membantu keluarga mereka kelak,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

RM3.2 juta laksana program Back To School

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Yayasan Pelajaran Mara (YPM) memperuntukkan RM3.2 juta untuk program Back To School 2020 @KPLB bagi sesi persekolahan tahun hadapan, yang bakal dinikmati 43,520 murid dan pelajar di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata program itu bertujuan mengurangkan kos perbelanjaan yang ditanggung ibu bapa atau penjaga dalam membuat persiapan awal persekolahan anak-anak mereka.

“Kumpulan sasar yang bakal menerima bantuan ini terdiri daripada murid dan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah terutama bagi mereka yang bersekolah di luar bandar.

“Saya yakin usaha ini dapat memberi galakan kepada mereka (murid dan pelajar) untuk berusaha mencapai kecemerlangan sahsiah dan akademik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Back To School 2020@KPLB YPM bagi Parlimen Titiwangsa di Sekolah Kebangsaan Desa Pandan, hari ini.

Rina berkata sumbangan bagi program itu akan diagih secara berperingkat sebelum bermulanya sesi persekolahan pada Januari tahun hadapan.

“Mereka yang layak akan diberikan baucar untuk ditukar kepada buku tulis dan barangan asas persekolahan mengikut nilai yang telah ditetapkan, di kedai buku atau koperasi sekolah.

“Saya harap dengan pemberian bantuan terus ke akar umbi ini dapat meningkatkan lagi semangat dan motivasi diri mereka,” katanya.

Bagi program hari ini, Rina berkata seramai 1,000 murid dan pelajar dari 28 sekolah menerima bantuan kembali ke sekolah yang disumbangkan YPM dan Yayasan Kelab-Kelab Rotary Malaysia di Parlimen Titiwangsa.

Yayasan Kelab-Kelab Rotary Malaysia menyumbangkan barangan persekolahan berupa beg sekolah, alat tulis, buku tulis dan botol air yang keseluruhannya bernilai RM60,000 untuk diserah kepada pelajar di sini.

“Saya amat mengalu-alukan penyertaan daripada syarikat korporat atau mana-mana pihak yang berminat untuk sama-sama turut serta menghulurkan bantuan melalui pelbagai program yang dilaksanakan YPM bagi menyebarluaskan liputan bantuan kepada pelajar yang memerlukan, ” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sesi perbincangan bersama media tambah baik mutu kementerian

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bercadang mengadakan sesi perbincangan bersama media tahun depan bagi mendapatkan idea untuk menambah baik perkhidmatan kementerian itu, kata Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata kementeriannya juga akan lebih kerap turun padang untuk menyebarluaskan inisiatif kementerian berkenaan kepada masyarakat dan pihak berkepentingan.

“Kalau dapat pada tahun hadapan secara rasminya kita buat sesi perbincangan untuk kami dapatkan idea daripada media bagaimana kementerian boleh menambah baik lagi perkhidmatan khususnya kepada rakyat.

“Kami juga akan adakan lebih banyak hari bertemu pelanggan, lebih banyak turun padang dengan tujuan untuk sebar luas inisitif KPLB kepada masyarakat dan pihak berkepentingan,” katanya ketika berucap pada majlis Malam Media kementerian itu, di sini malam tadi.

Beliau berkata kementerian itu terbuka menerima pandangan daripada pihak media terutama dalam usaha penyampaian maklumat secara lebih berkesan.

Bertemakan ‘Fairy Tales Night’ @KPLB 2019, majlis berkenaan adalah untuk mengiktiraf kerjasama serta penghargaan kepada pengamal media yang banyak menabur jasa memberikan publisiti dan menyebar luas setiap aktiviti kementerian itu.

Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata kerjasama pengamal media amat diperlukan agar usaha yang dilaksanakan kementerian itu dapat disampaikan dengan tepat dan jelas kepada orang awam, sekali gus menepis tohmahan.

Bagi menghargai jasa dan sokongan media, Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata kementerian itu akan memperkenalkan Anugerah Media Luar Bandar Sejahtera tahun depan bagi mengiktiraf pelaporan dan hasil karya pihak media semasa membuat liputan aktiviti kementerian itu.

Beliau berkata terdapat empat anugerah utama akan dipertandingkan iaitu Anugerah Media Cetak Untuk Akhbar dan Majalah, Anugerah Media Elektornik Untuk TV dan Radio, Anugerah Online Untuk Artikel dan Video serta Anugerah Fotografi Terbaik.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 43,000 pelajar terima manfaat Back To School

LANGKAWI, 9 DIS: Kira-kira 43,500 pelajar sekolah rendah dan menengah terdiri daripada golongan B40 di seluruh negara mendapat manfaat daripada Program Back To School 2020 anjuran Yayasan Pelajaran Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata ia membabitkan kos keseluruhan bernilai RM3.2 juta yang turut disumbangkan rakan strategik antaranya pihak swasta kemudian disalurkan kepada golongan itu melalui yayasan pelajaran berkenaan.

“Kita bekerjasama juga dengan Jabatan Pendidikan Daerah dan komuniti setempat dalam mengenal pasti golongan pelajar kurang berkemampuan, sudah pastinya mereka adalah antara golongan B40 untuk menerima sumbangan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program itu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kedah Mohd Firdaus Ahmad, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kuah.

Rina berkata bantuan awal persekolahan itu berbentuk baucar buku tulis dan peralatan persekolahan bersesuaian seperti beg sekolah dengan kadar RM50 untuk murid sekolah rendah manakala kadar bagi pelajar sekolah menengah pula RM70.

“Diharapkan dengan sedikit sumbangan ini dapat membantu mereka meringankan beban kewangan ibu bapa terutama dalam membuat persiapan untuk memulakan persekolahan anak pada tahun 2020 nanti,” katanya.

Mengenai program hari ini, Rina berkata 1,000 pelajar dari 28 sekolah di bawah Parlimen Langkawi menerima bantuan persekolahan itu yang bernilai RM88,000.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dari Desa ke Global lahir usahawan peringkat antarabangsa

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Program ‘Dari Desa ke Global’ dilihat mampu melahirkan ramai usahawan ke peringkat antarabangsa menerusi usaha memasarkan produk tempatan, setaraf produk luar negara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, melalui program yang dilaksanakan kementerian sejak Julai lepas, usahawan diberi pendedahan mengenai keperluan produk dari negara lain, melalui lawatan ke ekspo dan pameran perniagaan ke beberapa negara.

“Ini adalah inisiatif kementerian untuk membantu mengembangkan perniagaan usahawan tempatan hingga ke peringkat global.

“Kementerian sudah bawa beberapa usahawan tempatan yang terpilih untuk menyertai ekspo dan pameran perniagaan antaranya di Singapura dan negara Timur Tengah bagi membolehkan mereka melihat sendiri suasana perniagaan dan produk dari negara lain,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Lang International Corporate Titan Awards (LICTA) 2019 di sini, malam tadi.

Lang International Corporate Titan Awards (LICTA) 2019 mengiktiraf kecemerlangan dan sumbangan syarikat tempatan dan asing daripada pelbagai industri di negara sekali gus membuktikan bidang keusahawanan sentiasa menjadi penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Program ‘Dari Desa ke Global’ adalah sebahagian daripada inisiatif yang dibangunkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk mengintegrasikan semangat kompetitif usahawan luar bandar di peringkat global.

Mengulas lanjut, Rina berkata menerusi program itu, usahawan diberi bimbingan dan latihan, kaedah pembungkusan serta penjenamaan produk masing-masing dalam usaha membantu meningkatkan mutu produk untuk tujuan pemasaran di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang berusaha menempatkan produk usahawan desa di beberapa lapangan terbang utama negara iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Langkawi di Kedah, Johor, Sabah dan Sarawak bertujuan memasarkan produk tempatan kepada pelancong asing.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Usahawan jangan terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan

PUTRAJAYA, 19 OKT: Usahawan luar bandar diingatkan supaya menguasai teknik pemasaran dalam talian bagi memastikan produk mereka dapat berkembang di pasaran dengan lebih pantas, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata strategi itu dilihat efektif bagi membantu golongan usahawan menguasai pasaran domestik dan menembusi pasaran global memandangkan kebanyakan daripada mereka bergantung kepada pasaran domestik dan hanya sebahagian kecil untuk pasaran eksport.

Selain itu katanya ia dapat mengatasi cabaran yang dihadapi usahawan seperti kualiti produk dan perkhidmatan, jaringan pemasaran yang lemah dan tidak meluas, tiada pensijilan, strategi yang tidak berkesan dan kurang promosi.

“Di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar juga, terdapat Program Desamall@Online yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan luar bandar bagi memasarkan produk secara dalam talian di platform Lazada, Shopee dan PrestoMall,” katanya ketika berucap pada Karnival Usahawan Desa 2019 di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya kerajaan akan menambah baik ekosistem keusahawanan sedia ada bagi menyokong usaha melahirkan usahawan desa berjaya, sekali gus meneruskan agenda pemerkasaan pembangunan komuniti itu.

Sementara itu, dalam sidang medianya, Rina berkata nilai jualan berjumlah RM14.74 juta berjaya direkodkan sepanjang dua hari karnival berkenaan diadakan.

“Nilai jualan itu adalah untuk dua hari iaitu bagi Khamis dan semalam (Jumaat) dan sasaran jualan dan tempahan keseluruhan bagi lima hari penganjuran sehingga Isnin ini adalah RM40 juta,” katanya.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Utama kempen beli barangan buatan Malaysia

PETALING JAYA, 12 SEPT: Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun hari ini menegaskan kempen beli barangan buatan Malaysia perlu diutamakan berbanding usaha memboikot barangan keluaran pengusaha bukan Islam di negara ini.

Beliau berkata, dengan menyokong barangan buatan Malaysia ia sekali gus dapat meningkatkan pendapatan negara.

“Kita (kerajaan) sebenarnya mengambil ketetapan bahawa apa yang kita utamakan adalah barangan buatan Malaysia. Sebab itu, saya percaya dengan menyokong produk buatan Malaysia kita dapat tingkatkan ekonomi negara.

“Selain itu, negara mempunyai masyarakat berbilang kaum, dan kemerdekaan ke-62 yang telah dicapai pada tahun ini adalah kerana perpaduan yang telah kita jaga selama ini. Kempen yang sebenarnya (sepatutnya) adalah kempen beli barangan buatan Malaysia,” katanya pada sidang media selepas Pra-Pelancaran Karnival Usahawan Desa (KUD) 2019, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada kempen boikot itu akan menjejaskan pengusaha barangan bukan Muslim.

Pada 4 September lepas, Jemaah Menteri dalam satu kenyataan bersetuju bahawa usaha memboikot barangan keluaran pengusaha bukan Islam di negara ini adalah sangat tidak wajar.

Ketetapan itu dicapai dalam mesyuarat mingguan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Jemaah Menteri dalam kenyataan itu menolak pemikiran dan pendirian sempit berasaskan sentimen perkauman yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu kerana ia boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata, tindakan memboikot produk bukan Islam adalah tindakan mereka yang cetek fikiran dan gerakan seperti itu tidak akan mendatangkan kesan yang besar, malahan hanya akan mengundang api kemarahan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dasar kerajaan demi masa depan generasi baharu

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Apa sahaja dasar yang dibuat kerajaan pada masa kini adalah untuk masa depan rakyat terutama generasi masa hadapan, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata, hala tuju masa depan golongan muda terletak di tangan generasi yang ada untuk mencorakkannya.

“Masa depan mereka itu terletak di tangan kita, ditentukan oleh kita. Apa sahaja dasar yang dibuat oleh kerajaan pada masa kini adalah untuk masa depan mereka.

“Mereka adalah waris kepada negara,” katanya selepas program Konvoi Merdeka Kemas Wilayah Persekutuan 2019, di sini hari ini.

Program anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) itu membabitkan 900 kanak-kanak Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kemas Wilayah Persekutuan.

Antara persembahan yang diadakan ialah nyanyian lagu patriotik oleh 100 anak-anak Tabika Kemas Desa Pandan dan Kompleks Kediaman Kakitangan Awam (KKKA) Jalan U-Thant.

Beliau berkata, program itu bertujuan meningkatkan semangat cintakan negara dan jati diri rakyat selain menaikkan semangat budaya kesukarelawan serta kerjasama antara pemimpin dan masyarakat.

Terdahulu, Rina melepaskan peserta konvoi program itu membabitkan 20 kereta bermula dari Kompleks Komuniti Wanita Kuala Lumpur, Desa Pandan ke destinasi terakhir di Pusat Kegiatan Masyarakat Kemas Kampung Sri Batu, di sini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Infrastruktur asas luar bandar efisien, terbaik menjelang 2025

KOTA KINABALU, 24 OGOS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan memastikan kira-kira 95 peratus penduduk luar bandar khususnya di Sabah dapat menikmati kemudahan infrastruktur asas terbaik serta efisien menjelang 2025.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, sasaran itu seiring Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 yang antara lain bertujuan mencapai visi mensejahterakan penduduk luar bandar dalam tempoh sepuluh tahun merangkumi aspek pembangunan modal insan, sosial dan ekonomi.

Katanya, pembangunan infrastruktur berkenaan perlu terus diperkasakan memandangkan masih terdapat kawasan luar bandar khususnya di pedalaman agak ketinggalan dalam menikmati kemudahan asas berkualiti.

Katanya, ia juga penting bagi menyokong usahawan desa mengembangkan lagi potensi produk mereka ke pasaran lebih luas.

“Kita (kementerian) mengakui, dalam usaha meningkatkan bidang keusahawanan penduduk luar bandar, kemudahan infrastruktur perlu ada.

“Oleh itu, dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030, kita menyasarkan pada 2025, kemudahan asas ini boleh dinikmati 95 peratus penduduk di luar bandar.

“Kita akan berusaha menarik pelabur ke luar bandar bagi mewujudkan peluang pekerjaan, sekali gus memacu pembangunan di kawasan berkenaan. Capaian internet juga akan terus diperkasakan supaya usahawan desa boleh berniaga dalam talian.
 
“Kementerian turut mempunyai 191 Pusat Komuniti Desa di seluruh negara dan peranan serta program pusat ini akan dipertingkatkan supaya ia boleh menjadi hab kepada penduduk kampung menghantar produk mereka untuk dipasarkan ke luar,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Karnival Usahawan Desa (KUD) Zon Sabah di sini, hari ini.

Majlis yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri, Datuk Wilfred Madius Tangau yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah serta Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick.

Rina berkata, kerajaan Persekutuan membelanjakan RM200,571,938 bagi projek prasarana luar bandar di Sabah meliputi jalan luar bandar, jalan perhubungan desa, bekalan air, elektrik dan program ameniti sosial setakat 31 Julai lalu.

Ia adalah sebahagian daripada RM1.14 bilion peruntukan disediakan untuk membangunkan kemudahaan infrastruktur berkenaan di Sabah pada tahun ini, katanya.

Berhubung KUD, Rina berkata, ia kali pertama diadakan mengikut zon bagi menarik lebih ramai usahawan desa mempromosi serta memasarkan produk mereka secara terus kepada pengguna.

Beliau berkata Sabah yang juga lokasi ketiga penganjuran KUD itu menarik penyertaan 350 usahawan desa dengan 79 peratus daripadanya adalah usahawan wanita dan sebanyak RM3 juta hasil jualan disasarkan sepanjang empat hari karnival berkenaan berlangsung sehingga esok.

“Tiga KUD sudah dilaksanakan, masing-masing di Pulau Pinang, Terengganu dan pada kali ini Sabah. Penyertaan bagi ketiga-tiga KUD ini amat memberangsangkan dengan lebih 1,000 usahawan desa direkodkan menyertai karnival ini,” katanya.

Pada masa sama Rina berkata, kemuncak KUD akan berlangsung di Putrajaya pada Oktober ini dengan menyasarkan penyertaan 5,000 usahawan desa.

-BERNAMA