Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan sasar 200 pasar nelayan di seluruh negara tahun ini

SHAH ALAM, 30 JAN: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan untuk menambah 70 lagi pasar nelayan di seluruh negara menjelang akhir tahun ini, kata menterinya.

Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata sehingga kini terdapat lebih 130 pasar nelayan yang memberi peluang kepada mereka memasarkan hasil tangkapan terus kepada pengguna, lapor Berita Harian.

“Nelayan juga memperoleh margin pulangan harga yang lebih baik dan menguntungkan, manakala pengguna pula mendapat bekalan segar pada harga berpatutan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pasar Nelayan Pulau Gajah di Kota Bharu hari ini.

Beliau turut berjanji pendapatan nelayan akan bertambah sekiranya perairan negara dijaga dengan baik dan dimaklumkan tiada lagi vesel asing yang masuk.

“Pihak kami akan bekerja lebih kuat bagi memastikan pengawalan Op Naga dapat diteruskan dan pada masa sama, laut kita bebas daripada ancaman nelayan asing serta kemudahan pasar nelayan akan terus dipertingkatkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM),” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Usaha proaktif MOA selamatkan RM6 bilion hasil laut negara

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Prihatin terhadap nasib nelayan tempatan yang terjejas mata pencarian akibat pencerobohan nelayan asing mengaut hasil perikanan secara haram sehingga merosakkan ekosistemnya, telah mendorong Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub melaksanakan Operasi Naga April lepas dengan kejayaan membanggakan.

Hasil kerjasama beberapa kementerian dan dengan adanya pindaan terhadap Akta Perikanan yang diluluskan Dewan Rakyat pada 9 Julai tahun lepas dengan kadar denda yang tinggi, usaha proaktif beliau telah menghasilkan RM560 juta penjimatan hasil laut daripada nilai pendaratan ikan dan hasil lelongan rampasan bot.

Satu pencapaian besar bagi Salahuddin yang menerajui kementerian itu selepas pilihan raya umum ke-14.

Beliau berkata, menerusi operasi itu, 211 buah vesel ditahan manakala lima buah bot dilupuskan (ditenggelamkan untuk dijadikan tukun bagi pembiakan ikan), sekali gus menyelamatkan negara daripada kehilangan kira-kira RM6 bilion hasil ikan tidak didaratkan di negara ini.

Katanya, usaha berkenaan turut menyelamatkan ekosistem laut daripada terus dirosakkan oleh kegiatan nelayan asing yang rakus itu.

“Seluruh aset digunakan untuk mengawal perairan negara daripada diceroboh. Ini isu besar apabila saya masuk kementerian ini pada 2018. Nelayan mengadu macam-macam, pencerobohan vesel asing ini bermaharajalela menggunakan pukat yang diharamkan.

“Peralatan seperti bubu naga, pukat harimau, pukat tarik yang ganas ini semuanya dapat kita atasi dengan melaksanakan Ops Naga ini. Mereka bukan sahaja mengaut sumber laut malah merosakkan ekosistem,” katanya dalam temu bual khas bersama Bernama baru-baru ini.

Salahuddin berkata Ops Naga, operasi bersepadu bersama Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan serta Kementerian Luar, akan diteruskan tahun ini.

Beliau berkata daripada 211 buah vesel yang ditahan, 148 daripadanya dikesan di kawasan perairan Semenanjung, 41 di Sarawak dan 22 di Sabah.

Operasi itu memberi kesan positif dengan adanya pindaan terhadap Akta Perikanan 1985 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 9 Julai lepas antara lain membolehkan denda maksimum dinaikkan bagi pemilik atau nakhoda vesel asing yang menceroboh perairan Malaysia iaitu daripada RM1 juta kepada RM6 juta, selain penalti bagi setiap anggota kru turut dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM600,000.

Salahuddin berkata akta itu turut membolehkan kementerian mengeluarkan lesen untuk penangkapan ikan di laut lepas, industri baharu yang sedang diteroka bagi penangkapan ikan tuna di Lautan Hindi.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata ikan tuna boleh memberikan sumbangan penangkapan hasil sebanyak 30,000 metrik tan dan kementerian menyasarkan nilai unjuran kira-kira RM300 juta setahun pada masa ini.

“Setakat ini, kita telah melesenkan kira-kira 19 permit yang telah memenuhi syarat-syarat yang diperlukan dan kita menyasarkan kira-kira 200 lesen dalam masa dua hingga tiga tahun.

“Ini bukan laut dalam lagi tapi laut lepas, bermakna peserta baru boleh pergi Lautan Hindi. Mereka boleh menangkap ikan tuna dan diwajibkan mendaratkan tangkapan ini di beberapa tempat seperti di Langkawi, Pulau Pinang dan Tanjung Pelepas di Johor,” ujarnya.

Jelasnya, kriteria bagi memperoleh lesen itu termasuk mempunyai vesel dan peralatan yang moden dan menepati Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) serta mempunyai modal.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata pihaknya menyasarkan antara 15 dan 20 pasar nelayan baharu dibuka pada tahun hadapan dalam usaha melepaskan golongan nelayan daripada cengkaman orang tengah.

Jelasnya, inisiatif itu bagi mengurangkan lapisan pemasaran sekali gus membolehkan hasil laut dijual terus kepada pengguna.

“Setakat ini, kita ada 129 pasar nelayan di seluruh negara melibatkan 558 usahawan… dan kalau dapat tambah antara 15-20 pasar nelayan tahun ini juga boleh dianggap satu pencapaian,” ujarnya.

Beliau berkata dalam usaha mengurangkan penglibatan orang tengah, NekmatBiz.com diperkenalkan sebagai platform penjualan ikan dan produk berasaskan ikan secara dalam talian, selain membangunkan Agromall di Puchong, dekat sini, sebagai satu kompleks pemasaran produk hasil pertanian yang dijangka siap pada akhir tahun ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Eksport ikan selar, kembung dihad ketika tengkujuh

JOHOR BAHRU, 27 NOV: Eksport ikan tertentu termasuk ikan selar dan kembung ke luar negara akan dihadkan dalam usaha untuk memastikan bekalan keperluan asas dalam negara mencukupi menjelang musim tengkujuh.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata ia salah satu daripada beberapa langkah yang diambil kementeriannya bagi memastikan bekalan makanan, yang merupakan keperluan asas rakyat, mencukupi.

“Dalam hadapi musim tengkujuh ini, kita telah membuat beberapa persiapan termasuklah difahamkan jabatan kita, menghalang beberapa jenis ikan dieksport.

“(Dan) kalau tidak cukup, kita kena import bekalan. Yang penting, kita pastikan bekalan (makanan) seperti sayur dan ikan cukup,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat persiapan terakhir tapak karnival Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) di Angsana Mall, dekat sini, hari ini.

Salahuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persiapan kementeriannya ke atas bekalan makanan terutama ketika musim tengkujuh, yang selalunya berlaku antara bulan November sehingga Januari.

Menyentuh HPPNK tahun ini, beliau berkata pihaknya menyasarkan 500,000 orang berkunjung sepanjang empat hari acara itu berlangsung dengan sasaran jualan bernilai RM30 juta.

“HPPNK 2019 bakal menampilkan enam kluster aktiviti yang akan dijalankan sepanjang ekspo iaitu makanan dan minuman, gaya hidup, kesejahteraan, hasil pertanian, agro teknologi dan pembangunan modal insan,” katanya.

Sebanyak 350 usahawan dan usahanita terlibat dalam ekspo itu, yang akan turut mempamerkan pelbagai jenis produk seperti produk industri asas tani, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Menurut Salahuddin, golongan muda turut sama menunjukkan minat terhadap bidang pertanian yang mana penglibatan mereka dalam HPPNK dilihat meningkat saban tahun.

HPPNK merupakan sebuah platform kepada peladang, penternak dan nelayan untuk mengetengahkan hasil-hasil pertanian dan teknologi terkini selain membuka peluang bagi mereka yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tindakan tegas nelayan guna pukat hantu

PONTIAN, 10 NOV: Tindakan tegas akan diambil terhadap nelayan yang didapati sengaja meninggalkan pukat mereka di laut sehingga menjadi ‘pukat hantu’, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau berkata perbuatan segelintir nelayan yang sengaja berbuat demikian tidak boleh diterima kerana ia mengganggu serta membunuh hidupan laut.

“Pukat hantu bukan isu baru. Pukat hantu yang ditinggalkan, mengancam perairan negara. Segala pukat yang mengganggu kehidupan laut akan dirampas segera. Sesiapa yang langgar syarat (pukat), akan diambil tindakan.

“Saya guna budi bicara dan peraturan yang ada. Jika ulangi kesilapan yang sama, memang tiada maaf,” katanya kepada pemberita selepas hadir sesi bersama nelayan di Kampung Sungai Chengkeh, 35 minit dari pekan Pontian, hari ini.

Pukat hantu merujuk kepada pukat yang ditinggal dan tertinggal, yang memerangkap ikan atau habitat karang dan akhirnya memusnah sumber perikanan.

Salahuddin mengulas laporan media berkaitan kewujudan pukat hantu di perairan negara yang memerangkap hidupan laut, termasuk ikan paus, ikan lumba-lumba, anjing laut dan penyu.

Laporan itu menyebut, di perairan Malaysia, sukar untuk menganggarkan jumlah pukat hantu tersadai di dasar laut atau hanyut dibawa arus, kerana tiada data dikumpul mengenainya kecuali penemuan oleh penyelam setiap kali melakukan aktiviti di dasar laut.

Selain berpunca daripada pukat atau jaring nelayan tempatan yang tersangkut di dasar atau terputus serta hanyut ketika cuaca buruk, keadaan diburukkan oleh perbuatan nelayan asing yang menceroboh perairan apabila nekad memutuskan pukat sebelum membiarkannya hanyut setiap kali mengelak ditahan pihak berkuasa.

Pukat hantu yang sering ditemui penyelam setiap kali menjalankan aktiviti di dasar laut, bukan saja berisiko memerangkap hidupan marin, malah mampu ‘membunuh’ terumbu karang yang menjadi sumber makanan dan pembiakan ikan.

Terdahulu, Salahuddin meluangkan masa dalam sesi dialog bersama komuniti nelayan yang antara lain mahukan kebajikan mereka terbela antaranya isu jaring, rumah dan bantuan hidup.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MOA sasar 1,000 peserta menerusi Program Rezeki Tani

PONTIAN, 27 OKT: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menyasarkan 1,000 peserta bagi tempoh dua tahun menerusi Program Rezeki Tani bagi golongan petani dan nelayan di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, menerusi program berkenaan golongan sasar akan dibantu menerusi bantuan dalam bentuk barangan bernilai RM10,000.

“Jadi bagi dua tahun ini, kita menyasarkan 1,000 peserta di mana istimewanya, kita sendiri mencari golongan yang perlu kita bantu bukannya orang datang pada kita mengaku mereka miskin tetapi kita yang mencari golongan sasar yang telah membuktikan dengan segala kesusahan, mereka telah mulakan projek kecil dan kita akan bantu dalam bentuk barangan bernilai RM10,000.

“Dan Insya Allah sekiranya saya nampak program ini berkesan, saya tidak akan melengahkan untuk meminta ditambah peruntukan untuk bantu golongan ini pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Perikanan: Road To HPPNK 2019 di Pusat Perdagangan Pontian di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi.

Dalam majlis sama, Salahuddin berkata, MOA sedang merangka pelan tindakan atau “Blue Print” bagi membantu golongan nelayan pantai dan pesawah untuk keluar dari golongan B40.

Katanya, pelan tindakan berkenaan dijangka dapat dikemukakan awal tahun depan.

“Kita juga telah merangka beberapa polisi baru, mengemaskini peraturan yang perlu diperkemaskan dan mana yang baik, kita berdayakan supaya kita dapat menampilkan satu pendekatan baru yang segar.

“Ada dua blueprint untuk pesawah dan nelayan sedang dibincangkan. Insya Allah, kita sedang merangka polisi baru ini dan kita akan kemukakan dalam tempoh waktu yang kita rasakan boleh mulakan awal tahun hadapan,” katanya lagi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Barang keperluan dijamin cukup sempena Deepavali

SHAH ALAM, 25 OKT: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi jaminan bekalan makanan adalah mencukupi sempena perayaan Deepavali yang akan disambut pada Ahad ini.

Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata setakat ini pihaknya tidak menerima aduan berhubung kekurangan barangan makanan terutama membabitkan bahan mentah yang mendapat permintaan tinggi semasa perayaan Deepavali.

“Bagi bekalan seperti kelapa, kita mempunyai bekalan yang mencukupi dan kita akan pantau dari semasa ke semasa dan jika ada berlaku kekurangan pihak kementerian akan menambahkan bekalan bagi pastikan tiada peningkatan harga terjadi semasa musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) peringkat Selangor anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di pusat membeli-belah Aeon Mall Shah Alam di sini yang disempurnakan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Katanya program itu yang pada tahun lalu yang hanya disertai oleh sebuah pasar raya besar di sini kini berkembang sehingga ke lapan buah pasar raya di seluruh negara.

“Pada September tahun lalu lokasi pasar raya pertama bermulanya program ini ialah di AEON Mall Shah Alam ini, kemudian ia diperluaskan ke lapan buah pasar raya di seluruh negara.

Dari Mac tahun ini sehingga September lalu jumlah jualan keseluruhan program JTDR di pasar raya dan di outlet-outlet lain adalah sebanyak RM 5.6 juta,” katanya.

Katanya lagi kementeriannya akan sentiasa mempergiatkan program seumpama ini supaya ia menjadi destinasi untuk pengguna mendapatkan hasil ladang segar dengan harga berpatutan.

-BERNAMA