Categories
AGENDA NASIONAL

Kes rasuah: Ku Nan dihukum penjara 12 bulan, denda RM2 juta

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta atau penjara enam bulan terhadap Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selepas mendapatinya bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan pada 2016.

Bagaimanapun, Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sehingga rayuan.

Terdahulu, semasa menyabitkan Tengku Adnan, 70, bersalah terhadap pertuduhan itu, Mohamed Zaini berkata pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melangkaui keraguan munasabah ke atas tertuduh dan Ahli Parlimen Putrajaya itu juga gagal menangkis kes pendakwaan.

Tengku Adnan, atau lebih dikenali sebagai Ku Nan, didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Tan Sri Chai Kin Kong yang juga Pengarah AKSB melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016.

Pertuduhan mengikut mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Keputusan hari ini menjadi kes berprofil tinggi kedua melibatkan pemimpin UMNO yang didapati bersalah atas tuduhan jenayah yang dibawa semasa pemerintahan Pakatan Harapan selepas Barisan Nasional tumbang pada Mei 2018.

Pada 28 Julai, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Terdahulu, peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mengetuai pasukan pembelaan semasa memohon hukuman yang ringan berkata anak guamnya adalah pesalah pertama dan kesalahan itu bukan jenayah yang sangat kejam.

“Anak guam saya adalah penyumbang yang besar kepada negara dan telah berkhidmat dalam kabinet dan Parlimen selama 17 tahun. Kami memohon tidak dikenakan hukuman penjara dan hanya denda dikenakan terhadap anak guam saya. Saya memohon agar mahkamah mengenakan hukuman denda kurang daripada RM2,000 untuk mengekalkan kelayakannya sebagai Ahli Parlimen.

Tan berkata mahkamah perlu mempertimbangkan majoriti tipis di Parlimen dan kerajaan sekarang akan terjejas sekiranya tertuduh hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

Ini mendorong Mohamed Zaini bertanya: “Haruskah saya prihatin dengan perkembangan politik negara ini?”

Tan menjawab bahawa bagi mahkamah mendapati berlakunya jenayah, mahkamah tidak boleh prihatin tetapi untuk tujuan menjatuhkan hukuman, keputusan mahkamah akan memberi kesan.

“Mahkamah boleh mengambil pengiktirafan kehakiman. Kami mengatakan bahawa ia adalah faktor yang mahkamah boleh pertimbangkan. Kesannya bukan secara terasing tetapi kumulatif dengan yang lain,” katanya.

Peguam itu berkata anak guamnya mempunyai banyak masalah kesihatan termasuk tekanan darah tinggi, kolestrol dan masalah paru-paru.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim berhujah bahawa permohonan pembelaan supaya anak guamnya dikenakan hukuman denda di bawah RM2,000 supaya tidak kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen bukan hukuman yang sesuai diberikan oleh mahkamah.

“Jumlah dalam pertuduhan adalah RM2 juta dan tertuduh sebelum ini pernah menyatakan wang RM2 juta itu hanya ‘duit poket’ untuknya.

“Tak kan nak hukuman denda RM2,000 untuk elak kehilangan kelayakan. Setiap kali pilihan raya, akan berlaku perubahan. Jika tertuduh tidak menjadi MP (Ahli Parlimen), maka orang lain akan berpeluang memegang jawatan dan berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

Ditanya hakim mengenai jumlah denda yang pihak pendakwaan rasakan sesuai, Julia berkata: “Tidak kurang daripada jumlah seperti yang dipertuduhkan”.

Julia berhujah isu kepentingan awam perlu diambil kira sebelum menjatuhkan hukuman.

“Hukuman yang diberikan bukan hanya memberi pengajaran kepada tertuduh, bahkan masyarakat,” katanya.

Julia turut memberi contoh mengenai hukuman yang diberikan kepada bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo yang dijatuhkan hukuman penjara setahun pada 2011 membabitkan seksyen sama, Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Tan kemudiannya bangun dan memaklumkan kepada mahkamah bahawa faktor umur dan kesihatan anak guamnya yang menjadi keutamaan.

“Alasan utama saya untuk meminta mahkamah agar tidak menjatuhkan hukuman penjara bukan kerana hilang kelayakan. Ini adalah faktor usia dan kesihatannya,” katanya.

Dalam penghakimannya Mohamed Zaini berkata mahkamah cenderung untuk mengikut kes sebelumnya dan memetik kes rasuah Dr Mohamad Khir yang dipenjara selama setahun.

“Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda sebanyak RM2 juta. Sekiranya gagal berbuat demikian, akan menjalani hukuman penjara enam bulan. Hukuman itu akan bermula dari tarikh penghakiman,” kata hakim.

Mohamed Zaini berkata Tengku Adnan bukan pegawai awam dan ahli politik pertama yang disabitkan dengan kesalahan.

“Ada yang lain. Semua orang sama di sisi undang-undang. Saya tidak menafikan beliau telah berkhidmat untuk negara ini selama bertahun-tahun tetapi hukuman itu mesti mencerminkan jenayah dan menjadi pengajaran kepada orang lain,” katanya.

Tengku Adnan kelihatan tenang sepanjang prosiding itu yang turut dihadiri isterinya, Datin Seri Beatrice Ferlat Kusumo Anggraini @ Anggraini Sentiyaki, dua anak lelaki mereka serta ahli keluarga yang lain.

Ketika mahkamah ditangguhkan bagi memboleh pihak-pihak menyediakan hujahan sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, kedengaran isterinya berkata sesuatu selepas mahkamah mendapati Tengku Adnan bersalah terhadap pertuduhan itu.

Kelihatan seorang anak lelakinya menenangkan wanita itu.

Sejurus selepas prosiding, Tan ketika ditemui pemberita berkata pihak pembelaan akan memfailkan rayuan berhubung keputusan itu, hari ini atau esok.

Bagaimanapun, Tengku Adnan enggan mengulas lanjut dan terus berlalu menaiki kenderaannya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah Tinggi sampaikan keputusan kes rasuah Ku Nan pagi ini

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Semua mata kini tertumpu kepada Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan yang akan menyampaikan penghakimannya terhadap kes rasuah RM2 juta dihadapi bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Hakim Mohamed Zaini dijangka menyampaikan keputusan pada 9 pagi ini, terhadap Tengku Adnan yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-70 semalam.

Tengku Adnan, atau lebih dikenali sebagai Ku Nan, didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan Tan Sri Chai Kin Kong yang juga Pengarah AKSB melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Ahli Parlimen Putrajaya berkenaan didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim manakala peguam Datuk Tan Hock Chuan mengetuai pasukan pembelaan.

Sepuluh wartawan daripada setiap organisasi media terpilih, diberikan pas untuk berada di bilik mahkamah manakala pas untuk mengikuti prosiding menerusi pautan video di bilik lain diberikan kepada 20 lagi wartawan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kes rasuah Tengku Adnan didengar di hadapan hakim baharu

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Perbicaraan kes rasuah RM1 juta bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi yang baharu.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Rayuan pada 12 Februari lalu yang membenarkan rayuan Tengku Adnan, 69, agar Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes itu dan memerintahkan supaya kes tersebut dipindahkan ke mahkamah lain.

Hari ini semasa pengurusan kes itu, Hakim Mohd Nazlan berkata beliau mengambil maklum keputusan Mahkamah Rayuan.

“Kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi 4 (Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin),” katanya.

Semasa prosiding di hadapan Hakim Muhammad Jamil, Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim memberitahu mahkamah pihaknya telah membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

“Mohon satu tarikh sebutan ditetapkan sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Persekutuan serta penangguhan perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai,” katanya.

Hakim Muhammad Jamil membenarkan penangguhan tersebut dan menetapkan 25 Mac untuk pengurusan kes.

Setakat ini dua saksi pendakwaan memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Mohd Nazlan.

Tengku Adnan merayu terhadap keputusan Hakim Mohd Nazlan pada 20 September tahun lalu yang menolak permohonannya supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes yang dihadapinya.

Ahli Parlimen Putrajaya itu memohon Hakim Mohd Nazlan menarik diri daripada mendengar kesnya kerana hakim itu telah membaca dan mempertimbangkan fakta kes Tan yang membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan Tengku Adnan yang menerima suapan RM1 juta daripadanya (Tan) dan didenda RM1.5 juta.

Pada 15 November 2018, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan RM1 juta daripada ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya (Tengku Adnan).

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai upah untuk membantu permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) bagi menambah nisbah plot sebidang tanah berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur, diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Disember 2013.

Tengku Adnan juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu menerima RM1 juta daripada Tan tanpa sebarang balasan melalui cek Public Bank bernombor 300109 ke dalam akaun tertuduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Esok keputusan akhir kes rasuah RM2 juta Ku Nan

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Nasib Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan diketahui esok sama ada bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu akan dipanggil membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan menerima suapan RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, tiga tahun lepas.

Sekiranya keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan memihak kepada pihak pendakwaan yang berpendapat wujud prima facie terhadap Tengku Adnan, maka beliau akan dipanggil membela diri manakala jika sebaliknya Tengku Adnan akan dilepas dan dibebaskan.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan, 68, sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Tan Sri Chai Kin Kong, 60, melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB.

Cek itu didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang Tengku Adnan mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan

Pada 23 Januari lepas, Tengku Adnan, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamed Zaini selepas kesnya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 14 Disember 2018.

Seramai 23 saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan yang mengambil masa 12 hari bermula 2 Julai lalu dan antara saksi tersebut ialah bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib dan Tan Sri Datuk Mohd Amin Nordin Abd Aziz serta Chai.

Semasa hujahan di akhir kes pendakwaan, peguam Datuk Tan Hock Chuan, yang mewakili Tengku Adnan berkata bahawa tidak wujud kes prima facie dalam kes yang dihadapi anak guamnya.

Tan berhujah bahawa Chai dalam keterangannya sebelum ini berkata Tengku Adnan ada memberitahunya bahawa UMNO memerlukan dana politik lebih kurang RM5 hingga RM6 juta untuk Pilihan Raya Kecil (PRK).

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim pula berhujah bahawa berdasarkan keterangan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Saad Bordani menunjukkan tiada transaksi kemasukan wang RM2 juta ke dalam akaun UMNO dan tidak ditemui sebarang resit bayaran wang itu kepada parti politik berkenaan.

Julia berkata, hujahan pihak pembelaan bahawa siasatan dilakukan Muhammad Saad tidak lengkap adalah tidak berasas memandangkan tidak terdapat sebarang dokumen menunjukkan wang yang dibayar kepada THSB merupakan sumbangan politik.

Katanya, berdasarkan keterangan Penolong Pengurus Akaun dan Kewangan THSB, Rabiatul Adawiyah Sobri yang mengesahkan tiada pengeluaran wang RM2 juta daripada akaun THSB kepada UMNO, menunjukkan bahawa wang berkenaan bukan untuk PRK Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak.

Tengku Adnan juga menghadapi pertuduhan menerima rasuah RM1 juta daripada ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon, 71, yang kini masih dalam peringkat perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Tan juga didakwa di mahkamah dan kesnya bersama Tengku Adnan pada mulanya ditetapkan untuk dibicarakan bersama.

Bagaimanapun, Tan mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu bersubahat dalam perlakuan salah oleh Tengku Adnan yang menerima untuk dirinya wang tunai RM1 juta dan didenda RM1.5 juta oleh Hakim Mohd Nazlan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pendakwaan akan buktikan Tengku Adnan terima ‘upah’ RM1 juta

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan bahawa bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menerima suapan wang berjumlah RM1 juta sebagai upah bagi membantu permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan ratio plot pembangunan di Jalan Semarak, di sini.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim berkata, keterangan akan menunjukkan bahawa tertuduh telah menerima wang itu bagi membantu permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak di sini diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) walaupun beberapa kali permohonan dan rayuan syarikat itu ditolak oleh DBKL.

“Wang tersebut diterima daripada Tan Eng Boon melalui cek Public Bank bernombor 300109 milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB nombor akaun 14200008384058 milik tertuduh,” kata Julia ketika membacakan ucapan pembukaan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Bantuan tertuduh diberikan melalui hubungannya dengan agensi lain yang terlibat dan berkaitan dengan perancangan pembangunan tersebut serta melalui surat-surat yang telah ditandatangani oleh tertuduh sejak tertuduh menjadi Ahli Parlimen Putrajaya dan juga setelah dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

Permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd untuk menaikkan ratio plot daripada 1:4 kepada 1:7 telah diluluskan melalui satu Mesyuarat JawatanKuasa OSC Khas pada 30 Okt 2013 yang dipengerusikan oleh tertuduh selaku Menteri Wilayah Persekutuan pada ketika itu,” katanya dalam ucapan pembukaan pada hari pertama perbicaraan kes Tengku Adnan yang didakwa menerima rasuah RM1 juta daripada Tan.

Beliau berkata, terdapat beberapa permohonan dan rayuan bagi syarikat Nucleus Properties Sdn Bhd kepada Jabatan Perancangan Bandar, DBKL bagi mendapatkan kebenaran perancangan pembangunan untuk menaikkan ratio plot ke atas lot tanah tersebut, walau bagaimanapun permohonan dan rayuan telah ditolak oleh pihak DBKL.

Julia berkata, keterangan akan menunjukkan tertuduh telah membantu agar permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd diluluskan.

Katanya dalam membuktikan kes terhadap tertuduh pihak pendakwaan akan bergantung kepada keterangan langsung, keterangan ikut keadaan dan keterangan dokumen bagi menunjukkan bahawa kesalahan tersebut telah dilakukan oleh tertuduh pada tarikh, masa dan tempat sepertimana yang terkandung di dalam pertuduhan.

Julia berkata, bagi pertuduhan pilihan terhadap tertuduh di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, keterangan akan menunjukkan bahawa tertuduh telah menerima wang berjumlah RM1 juta yang merupakan barangan berharga daripada Tan tanpa sebarang balasan melalui cek Public Bank bernombor 300109 ke dalam akaun tertuduh.

Katanya tertuduh pada masa itu sebagai penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan yang bertanggung jawab ke atas DBKL dan tertuduh mengetahui bahawa Nucleus Properties Sdn Bhd ada perhubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh semasa menerima wang tersebut.

Julia berkata, keterangan akan menunjukkan bahawa Tan adalah merupakan pengarah bagi syarikat-syarikat Paragon City Development Sdn Bhd yang dahulunya dikenali sebagai Nucleus Properties Sdn Bhd, Pekan Nenas Industries Sdn Bhd dan Nipponkey Sdn Bhd.

Pada 15 November lepas, Tengku Adnan, 69, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan, iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya (Tengku Adnan).

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai upah untuk membantu permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) bagi menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur, diluluskan oleh DBKL.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Disember 2013.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tengku Adnan juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu didakwa telah menerima wang berjumlah RM1 juta yang merupakan barangan berharga daripada Tan tanpa sebarang balasan melalui cek Public Bank bernombor 300109 ke dalam akaun tertuduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tengku Adnan juga menghadapi pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong dan pihak pendakwaan telah menutup kesnya selepas 12 hari perbicaraan dengan 23 saksi dipanggil memberi keterangan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tengku Adnan fail notis mahu hakim tarik diri dengar kes

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Perbicaraan kes rasuah RM1 juta yang dihadapi bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang dijadualkan hari ini ditangguhkan berikutan pihak pembelaan memfailkan notis usul supaya Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menarik diri daripada mendengar kes itu.

Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan memberitahu mahkamah bahawa pihaknya memfailkan notis usul semalam (18 September) selepas mendapat arahan daripada anak guamnya.

“Dalam permohonan itu, pihak pembelaan mengusulkan kepada mahkamah untuk suatu perintah iaitu agar Hakim Mohd Nazlan menarik diri daripada mendengar kes ini dan kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi yang lain serta lain-lain relif yang dianggap adil dan wajar oleh mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, permohonan itu dibuat berikutan pada 17 September lepas ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon, 71, menukar pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan bersubahat dalam perlakuan salah oleh Tengku Adnan yang menerima untuk dirinya wang tunai RM1 juta.

“Alasan lain permohonan itu termasuk pemohon (Tengku Adnan) risau tidak akan mendapat perbicaraan yang adil dari hakim dan mahkamah sama.

“Pengakuan fakta kes dibentangkan pihak pendakwaan semasa pengakuan salah Tan juga dikhuatiri mempengaruhi hakim sedia ada (Mohd Nazlan).

“Selain itu, pemohon juga dimaklumkan menerusi laporan media bahawa Tan bersetuju untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya memerlukan masa untuk memfailkan afidavit balasan terhadap notis usul itu.

“Pihak pendakwaan telah menerima notis usul itu semalam pada 4 petang dan pihak kami akan mengemukakan afidavit balasan,“ katanya.

Hakim Mohd Nazlan menetapkan esok (20 September) untuk mendengar permohonan itu dan pihak pendakwaan perlu memfailkan afidavit balasan pada 3 petang ini.

Pada 15 November lepas, Tengku Adnan, 69, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan, iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada Tan melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya (Tengku Adnan).

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai upah untuk meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) bagi menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Disember 2013.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 9 Ogos lepas, Hakim Mohd Nazlan membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes rasuah Tengku Adnan dan Tan dibicarakan bersama.

Bagaimanapun, pada 17 September lepas didenda RM1.5 juta oleh mahkamah sama selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan bersubahat dalam perlakuan salah oleh Tengku Adnan yang menerima untuk dirinya wang tunai RM1 juta, di tempat dan tarikh sama.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

LHDN mohon kes Ku Nan tidak bayar cukai diputuskan melalui penghakiman terus

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memohon supaya kes samannya terhadap bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bagi menuntutnya membayar wang berjumlah RM57.17 juta terhadap cukai pendapatan yang tidak dibayar sejak 2012 sehingga 2017, diputuskan melalui peghakiman terus.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Idamasliza Maarof menetapkan 12 Disember untuk mendengar permohonan LHDN selepas pengurusan kes tersebut dalam kamarnya hari ini dengan dihadiri Peguam Kanan Hasil Norhisham Ahmad dan Al-Hummidallah Idrus mewakili LHDN serta Datuk Satharuban Sivasubramaniam bertindak bagi pihak Tengku Adnan.

Berdasarkan maklumat mahkamah, LHDN sebagai plaintif memohon untuk penghakiman terus di bawah Aturan 14 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Penghakiman terus ialah di mana mahkamah memutuskan sesuatu kes melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi pada perbicaraan.

Defendan (Tengku Adnan) juga menfailkan permohonan penggantungan prosiding mengikut Aturan 92 Kaedah 4, Kaedah- Kaedah Mahkamah 2012.

Mahkamah menetapkan 15 November bagi pendengaran permohonan defendan manakala 12 Disember 2019 untuk mendengar permohonan plaintif.

Pada 24 Julai lepas, Kerajaan Malaysia memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui LHDN di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Tengku Adnan yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO sebagai defendan.

Mengikut penyataan tuntutan itu, plaintif mendakwa Tengku Adnan masih terhutang bagi cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2012 sehingga tahun taksiran 2017 seperti yang dinyatakan melalui Notis Taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Ia berkata Notis Taksiran itu telah dihantar secara Akuan Terima Berdaftar (A.R) kepada defendan pada 20 Mac lepas ke alamat terakhirnya dan Notis Taksiran itu telah diterima dan ditandatangani pada pada 22 Mac lalu melalui pengembalian semula kad kuning Akuan Terima Berdaftar.

Plaintif mendakwa, oleh kerana Tengku Adnan gagal membayar jumlah cukai pendapatan dari tahun 2012 sehingga 2017 itu dalam tempoh 30 harı dari tarikh penyampaian Notis Taksiran yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, maka kenaikan cukai 10 peratus telah dikenakan.

Plaintif berkata defendan masih gagal menjelaskan keseluruhan cukai pendapatan bersama kenaikan 10 peratus yang masih terhutang itu dalam tempoh 60 hari yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 itu menjadikan kenaikan cukai sebanyak lima peratus lagi dikenakan terhadap defendan.

Ia mendakwa sehingga kini defendan masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang termasuk dengan kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM57,167,069.35.

Jumlah itu ialah RM64,444.38 (2012); RM6,614,861.59 (2013); RM8,887,576.69 (2014); RM9,198,523.67 (2015); RM5,520,818.05 (2016); dan RM26,880,844.97 (2017).

Oleh itu plaintif menuntut daripada defendan jumlah RM57,167,069.35, faedah atas jumlah RM57,167,069.35 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ahli perniagaan Tan Eng Boon mohon tangguh bicara kes rasuah

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 17 September bagi mendengar permohonan ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuahnya yang dibicarakan bersama kes bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung kelulusan menaikkan ratio pembangunan di Jalan Semarak.

Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim ketika ditemui pemberita berkata, permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

“Mahkamah turut menetapkan 13 September ini untuk pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis berhubung permohonan itu,” katanya selepas pengurusan kes di dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Mahyudin Mohmad Som yang turut dihadiri peguam Julian Ch’eng mewakili Tan.

Pada 23 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi menetapkan dua hari bermula 19 September ini bagi perbicaraan kes rasuah Tan, 70, dan Tengku Adnan, 69.

Pada 15 November 2018, Tan yang juga pengarah syarikat pemaju hartanah, mengaku tidak bersalah atas dakwaan telah secara rasuah memberikan suapan bagi faedah kepada Tengku Adnan iaitu wang berjumlah RM1 juta melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tengku Adnan.

Tan dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi Tengku Adnan kerana telah meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, di sini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Disember 2013, mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tan juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Tengku Adnan sebagai penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan yang menerima untuk dirinya wang tunai RM1 juta daripada Tan melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tengku Adnan, yang diketahui Tan sebagai Pengarah Nucleus Properties, ada perhubungan dengan kerja rasmi Tengku Adnan, yang kesalahan itu dilakukan hasil persubahatan tersebut.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 165 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Ku Nan terlibat jual tanah kepada Aset Kayamas – Saksi

KUALA LUMPUR, 10 JUL: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor terlibat dalam penjualan dua lot tanah di Bandar Tun Razak milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd.

Bekas Pengarah Penilaian di Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH) DBKL, Kamariah Ibrahim, 62, berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Haderiah Siri pada hari kelima perbicaraan kes rasuah RM2 juta yang dihadapi Tengku Adnan.

“Saya tidak menafikan memang ada penglibatan menteri (Tengku Adnan) dalam isu penjualan tanah membabitkan Aset Kayamas,” kata saksi itu.

Haderiah: Apakah penglibatan Tengku Adnan dalam penjualan tanah kepada Aset Kayamas?

Kamariah: Pada peringkat awal, terdapat surat-surat daripada pihak pemaju, Aset Kayamas yang dihantar ke JPPH dan terdapat catatan oleh Tengku Adnan yang menyatakan “sila setuju” dan “sila uruskan”.

“Pada peringkat akhir, menteri akan memberi kata putus bersetuju untuk penjualan tanah berkenaan kerana ia mematuhi syarat perundangan dengan niat untuk memperbanyakkan pembangunan rumah mampu milik,” katanya.

Sementara itu, Kamariah ketika membacakan penyataan saksinya berkata surat tawaran berhubung penjualan dua lot tanah di Bandar Tun Razak milik DBKL dikeluarkan kepada Aset Kayamas selepas mendapat persetujuan daripada Tengku Adnan.

Saksi pendakwaan ke-14 itu berkata, beliau mengarahkan pegawainya, Razailia Khalid mengeluarkan surat tawaran berkenaan selepas Tengku Adnan, yang ketika itu Menteri Wilayah Persekutuan, menandatangani perakuan di bawah Seksyen 101(r) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), pada 28 Mei 2015.

“Saya mengesahkan perakuan berkenaan telah dikeluarkan oleh DBKL kepada Tengku Adnan yang ditandatanganinya bagi melupuskan harta tak alih milik DBKL iaitu Lot 53427 dan Lot 53653 di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur kepada syarikat Aset Kayamas.

“Setelah mendapat persetujuan daripada Tengku Adnan, saya telah mengarahkan Razailia mengeluarkan surat tawaran kepada syarikat berkenaan,” katanya.

Kamariah, yang berkhidmat di DBKL sejak 1980, turut mengesahkan bahawa Tengku Adnan juga bersetuju dengan pembinaan satu blok pangsapuri mampu milik (427 unit) 41 tingkat termasuk lapan tingkat podium tempat letak kereta berserta kemudahan penduduk dalam fasa pertama pembinaan.

“Dalam fasa kedua, pihak syarikat bercadang membina satu blok pangsapuri 623 unit 41 tingkat termasuk lapan tingkat podium tempat letak kereta berserta kemudahan penduduk dan fasa ketiga, pihak syarikat akan membina asrama pusat latihan untuk DBKL,” katanya yang turut mengesahkan penjualan tanah berkenaan kepada syarikat Aset Kayamas atas arahan Tengku Adnan.

Kamariah, kini pesara berkata pihak DBKL tiada halangan untuk menjual tanah berkenaan dengan syarat syarikat tersebut membina satu blok asrama bersebelahan Institut Latihan DBKL berkeluasan 0.5 ekar (0.2 hektar) dan pembinaan asrama itu berdasarkan spesifikasi yang ditetapkan oleh DBKL.

“Pihak syarikat dikehendaki mematuhi terma jualan dan kaedah pembayaran antaranya syarikat diminta membayar wang kesungguhan berjumlah RM200,000 dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat tawaran berkenaan,” jelasnya.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung petang ini.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Bicara kes rasuah RM2 juta Ku Nan bermula pagi ini

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Perbicaraan kes Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang didakwa atas pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong bermula pagi ini di Mahkamah Tinggi di sini dengan pendakwaan membacakan penyataan pembukaan kes.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim membacakan penyataan pembukaan itu di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan. Julia dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali, Rullizah Abdul Majid, Hadariah Siri, Natasha Abdul Azis dan Mohamad Firdaous Mohamed Idris.

Tengku Adnan, 68, yang juga Anggota Parlimen Putrajaya tiba di mahkamah pada pukul 8.45 pagi. Peguam Datuk Tan Hock Chuan mengetuai barisan pembelaan yang dibantu oleh peguam Datuk S. Satharuban, Michelle Lai, Natalie Tan dan Aaron Lau.

Dijangka empat saksi akan memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan kes bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu antaranya dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia, bahagian Kabinet dan pegawai bank.

Kes Tengku Adnan ditetapkan untuk perbicaraan bermula 2, 3, 4, 9, 10 dan 11 Julai 2019.

Pada 23 Januari lalu, Tengku Adnan mengekalkan pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamed Zaini selepas pertuduhan dibacakan semula semasa sebutan kali pertama kes itu setelah kesnya dibenar dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 14 Disember 2018.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Chai melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding Sdn Bhd‬ yang dia mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja rasminya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Tengku Adnan juga menghadapi satu pertuduhan menerima rasuah dan satu pertuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM1 juta daripada ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon berhubung kelulusan permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan ratio berkaitan pembangunan di Jalan Semarak, di sini pada 2013.

Perbicaraan kes itu yang akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan bermula 3 September ini.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Ku Nan kekal pengakuan tak bersalah tuduhan terima rasuah RM2 juta

 

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas satu pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, pada 2016.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan semula semasa sebutan kali pertama kes itu di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan setelah kesnya dibenar dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 14 Disember lalu.

Mahkamah menetapkan enam hari iaitu pada 2, 3, 4, 9, 10 dan 11 Julai ini untuk perbicaraan kes Tengku Adnan, 68, yang juga Ahli Parlimen Putrajaya.

Hakim itu juga membenarkan permohonan peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan supaya mahkamah melepaskan sementara pasport anak guamnya kerana tertuduh mempunyai urusan perniagaan di luar negara selain mempunyai dua orang anak yang masih belajar di luar negara.

Mohamed Zaini membenarkan pasport diserahkan kepada Tengku Adnan sehingga tarikh sebutan akan datang pada 28 Februari ini dengan jaminan RM500,000 beserta seorang penjamin.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Julia, Ibrahim tidak membantah permohonan pembelaan berhubung pasport itu.

Julia juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa kes itu tidak akan dibicarakan dengan satu kes rasuah lain yang dihadapi Tengku Adnan.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding Sdn Bhd‬ yang dia mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tengku Adnan juga menghadapi satu pertuduhan menerima rasuah dan satu pertuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM1 juta, berhubung kelulusan permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan ratio berkaitan pembangunan di Jalan Semarak, di sini pada 2013.

Kes itu akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank miliknya.

Perbuatan itu sebagai upah bagi dirinya meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak.

Tengku Adnan didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Dis 2013 mengikut perenggan 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tengku Adnan juga didakwa terhadap pertuduhan pilihan iaitu di tempat dan tarikh sama, sebagai seorang Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk dirinya RM1 juta daripada Tan melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank‬ miliknya, yang diketahui Tan sebagai seorang Pengarah di syarikat Nucleus Properties yang ada perhubungan dengan kerja rasminya.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pembinaan jalan raya Bangsar-Bukit Damansara, siapa yang untung?

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 27 MAC: Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor digesa mengadakan sesi ‘townhall’ bersama warga Bangsar dan Bukit Damansara mengenai pembinaan jalan raya bertingkat dari Lebuh Raya Sprint/Jalan Maarof ke persimpangan Jalan Semantan.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, ini kerana Tengku Adnan tidak memperincikan kesan pembinaan jalan raya itu terhadap masa perjalanan sebaliknya hanya menjanjikan penjimatan masa perjalanan dengan terbinanya jajaran bertingkat itu.

“Secara khusus, berapa minit pengguna akan jimat dengan pembinaan jalan raya 1.34 kilometer (km) ini yang bakal menelan belanja RM211 juta malah RM130 juta datangnya dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)?,” soalnya.

Semalam, Tengku Adnan memaklumkan pembinaan jalan raya sepanjang 1,340 meter dengan aliran tiga lorong dan satu hala secara bertingkat itu dijangka dapat mengurangkan kesesakan trafik.

Tengku Adnan juga dilaporkan sebagai berkata, projek pembinaan bernilai RM211 juta itu mendapat pembiayaan RM130 juta oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengambil masa kira-kira 30 bulan untuk disiapkan.

Mengulas lanjut berhubung perkara itu, Fahmi berkata, keadaan lalu lintas yang memasuki Bangsar melalui Jalan Maarof dijangka akan bertambah selain mempersoalkan pemilihan pemaju yang dipilih berdasarkan tender terbuka atau runding terus.

“Mengikut kajian DBKL, berapa minit pula yang akan terpaksa ditanggung warga Bangsar akibat peningkatan lalulintas ini nanti?

“Memandangkan RM130 juta atau 62 peratus kos pembinaan dibayar warga Kuala Lumpur melalui peruntukan DBKL, adakah pemilihan WCT Sdn Bhd melalui tender terbuka atau runding terus?

“Pada kos RM211 juta, jalan raya bertingkat sepanjang 1.34 km ini bakal menelan belanja RM157,462 per meter. Memandangkan RM130 juta datang dari wang rakyat, ini bermaksud warga Kuala Lumpur memberi subsidi RM97,015 per meter kepada syarikat pemaju,” katanya.

Beliau berkata, tanpa subsidi wang rakyat RM97,015 semeter itu, sudah pasti pemaju tidak akan dapat menyiapkan projek dalam masa 30 bulan seperti diumumkan.

“Saya menggesa Datuk Seri Tengku Adnan segera mengadakan satu pertemuan rakyat (townhall) sama seperti yang pernah beliau lakukan dengan warga Taman Tun Dr Ismail berkaitan pembinaan di Taman Rimba Kiara,”katanya.