Categories
AGENDA NASIONAL

Lesen terbang mungkin ada kaitan ‘penipuan dalam talian’

KOTA BHARU, 1 FEB: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak menolak kemungkinan kegiatan menjual ‘lesen terbang’ secara dalam talian mempunyai kaitan dengan sindiket penipuan dalam talian atau ‘scammer’.

Ketua Pengarahnya Datuk Zailani Hashim berkata ia selepas pihaknya melakukan penyamaran serta melakukan pembayaran kepada sindiket berkenaan, namun akhirnya wang itu didapati lesap begitu sahaja.

Beliau berkata JPJ sedang giat menyiasat serta memantau dengan teliti bagi mengesan dan mengambil tindakan selanjutnya terhadap sindiket berkenaan.

“Isu lesen terbang ini bukan baharu, apabila ada kes kita akan selesaikan termasuk dengan mengambil inisiatif melakukan penyamaran dan sebagainya. Kita bayar dekat sindiket berkenaan (untuk mengesannya), namun wang itu lesap.

“Kita juga ada melakukan semakan dengan Cyber Security Malaysia (CSM) untuk melihat ‘domain’ bagi mengesan URL terlibat, itu penyelesaian yang kita akan lakukan apabila ia melibatkan penipuan dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ops Penguatkuasaan sempena musim perayaan Tahun Baru Cina 2022 JPJ Kelantan di Terminal Bas Lembah Sireh, di sini malam tadi, yang turut dihadiri oleh Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat.

Zailani berkata JPJ turut berkerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan pemantauan ke atas tawaran bagi memiliki lesen terbang itu.

“Jabatan kami ingin menegaskan, tidak ada satu situasi pun mana-mana orang di negara kita boleh mendapatkan lesen melalui bayaran kepada pihak-pihak berkenaan. Setakat tahun ini juga, tiada kes membabitkan ‘scammer’ sindiket berkenaan dikesan,” katanya.

Beliau berkata JPJ juga tidak akan berkompromi mahupun melindungi anggotanya yang melakukan sebarang bentuk salah laku, salah guna kuasa dan tidak berintegriti.

“Saya mengalu-alukan siasatan SPRM ke atas anggota saya jika berlaku sebarang bentuk salah laku, salah guna kuasa dan tidak berintegiriti, saya tidak akan melindungi mahupun berkompromi ke atas anggota saya,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, seorang pempengaruh media sosial menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di media sosial mendakwa wujud tawaran menerusi media sosial mendapatkan ‘lesen terbang’ atau lesen memandu tanpa perlu mengikut prosedur sah.

Menerusi video berdurasi dua minit enam saat itu, individu berkenaan mendakwa kegiatan itu didalangi sindiket dianggotai pelbagai pihak termasuk pegawai JPJ sendiri.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ops Tahun Baharu Cina: 24,708 kenderaan disaman dalam enam hari

KOTA BHARU, 1 FEB: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan saman terhadap 24,708 kenderaan yang melakukan pelbagai kesalahan sepanjang penguatkuasaan Ops Tahun Baru Cina (Ops TBC) 2022 dalam tempoh enam hari, sejak 25 Januari lepas.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata saman dikeluarkan menerusi pemeriksaan ke atas 67,265 kenderaan dengan kekuatan anggota lebih 2,200 pegawai dan anggota yang melakukan aktiviti penguatkuasaan di seluruh negara.

Katanya, menerusi Ops TBC itu, pihaknya turut mendapat kerjasama dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen (JIM), pihak konsesi lebuh raya (Plus Sdn Bhd) dan sebagainya.

“Metodologi penguatkuasaan dibuat menerusi rondaan, pemeriksaan bas di terminal dan depoh, penyamaran sebagai penumpang bas, rakaman video kesalahan melalui Dash Cam Enforcement Action Camera (EAC), mesin penimbang mudah alih, Smart Enforcement Device (SmED) dan aset lain berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas operasi penguatkuasaan sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina 2022 JPJ Kelantan di Terminal Bas Lembah Sireh, di sini malam tadi.

“Antara kesalahan yang dilakukan pemandu ialah tiada lesen memandu dan lesen memandu tamat tempoh, tidak memakai tali pinggang keledar, gagal mematuhi lampu isyarat, lebih muatan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan sebagainya,” katanya.

Mengulas lanjut, Zailani berkata pihaknya turut memberi fokus kepada pemeriksaan bas di depoh dan terminal awam dengan sasaran untuk pengurangan kenderaan yang tidak mencapai tahap ‘layak dipandu di jalan’ dan pemandu pertama serta kedua bebas pengaruh dadah untuk pemanduan selamat.

Katanya, setakat dalam Ops TBC 2022 juga, empat pemandu bas dikesan gagal pemeriksaan saringan ujian air kencing kerana disyaki terlibat dengan pengaruh dadah.

“Saya tegaskan mereka (pemandu bas) harus bebas daripada sebarang bentuk pengaruh dadah. Malah, atas dasar itu juga, pihak AADK akan melakukan saringan terhadap pemandu sebelum dapat memulakan pemanduan untuk mengelak kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata, semua pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa mematuhi segala peraturan dan undang-undang jalan raya dan mengambil langkah kawalan kendiri bagi mengurangkan risiko kemalangan.

“Jika mengikut trend, ketika musim perayaan sebelum ini hampir setiap hari tidak kurang 200 kes kemalangan berlaku sama ada membabitkan kenderaan awam, persendirian mahupun motosikal walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya menambah di Kelantan terdapat 10 lokasi panas kerap berlaku kemalangan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ lancar ujian memandu secara elektronik April

PUTRAJAYA, 17 JAN: Sistem e-testing, yang mengukur prestasi calon melalui ujian memandu secara elektronik dan menjana keputusan ujian memandu secara terus akan dilancarkan April ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Zailani Hashim.

Beliau berkata sistem berkenaan kini di peringkat pembuktian konsep (POC) dan dijangka dilancarkan ketika sambutan ulang tahun JPJ ke-76 pada April ini.

Katanya bilangan pegawai penguji akan berkurangan apabila sistem e-testing dilaksanakan kerana ia hanya memerlukan dua penguji sahaja berbanding tujuh ketika ini memandangkan proses itu akan dibantu gajet teknologi.

“Keputusan ujian akan dapat diketahui pada masa itu juga berbanding dua minggu ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 di sini hari ini.

Zailani berkata sistem tersebut masih melibatkan pembelajaran dalam kelas, litar dan jalan raya namun terdapat perubahan untuk pembelajaran sesi di litar iaitu pegawai dan calon tidak duduk sekali di dalam kereta.

Menurutnya sistem seumpama itu sudah dipraktikkan di negara seperti Korea dan Jepun manakala Malaysia sedang menuju ke arah tersebut bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan kebolehpercayaan masyarakat terhadap sistem pengujian lesen memandu.

Dalam merealisasikan usaha pendigitalan, Zailani berkata JPJ juga sedang berusaha ke arah pendigitalan Lesen Kenderaan Motor dan Lesen Memandu Malaysia bagi membolehkan urusannya dilaksanakan secara hibrid secara berperingkat.

“Ia (pendigitalan) mampu mengurangkan kesesakan di kaunter malah urusan pembaharuan juga boleh dibuat secara dalam talian di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa iaitu perkhidmatan di hujung jari,” katanya.

Zailani dalam pada itu berkata JPJ menyasarkan kutipan hasil tahun ini meningkat kepada RM4.12 bilion berbanding RM4 bilion tahun lepas menerusi pendigitalan.

Menurutnya, tahun ini JPJ akan mendapat 100 unit kiosk tambahan untuk ditempatkan di JPJ negeri dan cawangan seluruh negara serta lokasi terpilih seperti Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri, selain diberikan peruntukan 20 van bergerak (Mobile JPJ) bagi tujuan mobiliti di lapangan.

“Dengan adanya kemudahan dan bajet tambahan seumpama ini, maka saya yakin dan percaya hasrat JPJ untuk mengutip hasil sebanyak RM4.12 bilion pada 2022 mampu dicapai,” katanya.

Zailani berkata JPJ berjaya mengutip RM7.4 juta daripada pemberian diskaun saman 80 peratus sempena sambutan Aspirasi Keluarga Malaysia yang kemudiannya dilanjutkan hingga 31 Disember lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JPJ laksana Ops Sedar mulai esok, kesan kenderaan tiada insurans

PUTRAJAYA, 23 NOV: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Ops Sedar di seluruh negara bermula esok bagi memantau pemilik kenderaan yang gagal memiliki perlindungan insurans kenderaan motor.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata tindakan pemantauan dan penguatkuasaan melalui sekatan jalan raya (SJR) akan dibuat di beberapa lokasi terpilih.

“Pengguna jalan raya yang tidak memiliki perlindungan insurans akan menimbulkan kesulitan kepada pemilik kenderaan itu sendiri sekiranya berlaku sebarang bentuk kemalangan semasa menggunakan kenderaan masing-masing di jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau pengguna jalan raya yang tidak memiliki perlindungan insurans kenderaan motor boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 90(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sekiranya ditahan di SJR dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 serta lesen boleh digantung selama 12 bulan.

Zailani berkata semasa pelaksanaan Ops Sedar, pihak JPJ juga ada menyediakan kemudahan Mobile JPJ untuk tujuan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LLM) secara terus.

– BERNAMA