Categories
AGENDA NASIONAL

Hail Amir dikurnia darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah, bawa gelaran Datuk

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Penyanyi dan pelakon popular 70-an Hail Amir menyifatkan pengurniaan darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) kepadanya yang membawa gelaran Datuk, merupakan satu pengiktirafan terindah sepanjang lebih 50 tahun menghambakan diri dalam dunia seni tanah air.

Beliau yang popular dengan lagu “Wajah Kesayangan Hamba” itu berkata kurniaan tersebut adalah satu penghargaan dan ingin berkongsi kegembiraan dengan peminat setianya selama ini.

“Saya rasa amat terharu dengan penganugerahan ini. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua yang masih mengingati dan meminati insan bernama Hail Amir ini,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Karier seni Hail bermula sebagai penari kebudayaan di Badan Budaya di bawah Kementerian Belia dan Sukan pada awal 70-an.

Beliau kemudian ditawarkan watak utama dalam filem pertamanya “Jiwa Remaja” di samping Uji Rashid dan Datuk Yusof Haslam. Antara filem lain yang dilakonkannya ialah “Menanti Hari Esok”, “Ribut Barat” dan “Anita Dunia Ajaib”.

Bakat beliau dalam bidang seni suara pula dikesan oleh komposer terkenal Datuk Ahmad Nawab sehingga lahirnya lagu popular “Wajah Kesayangan Hamba”.

Bapa kepada empat cahaya mata berasal dari Pulau Pinang itu kini masih aktif memenuhi undangan nyanyian.

Sepanjang penglibatan dalam dunia seni, Hail telah menghasilkan 12 album selain turut terkenal dengan nyanyian bersama rakan duetnya, Uji Rashid.

Antara lagu popular pasangan duet itu ialah “Menunggu Nasi Minyak”, “Antara Matamu dan Mataku”, “Asmara Bergelora” dan “Seloka Hari Raya”.

Pada istiadat di Istana Negara pagi tadi, Hail bersama 58 individu lain menerima darjah kebesaran PMW yang membawa gelaran “Datuk” sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2022.

Turut menerima PNW ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, atlet lompat jauh paralimpik negara Abdul Latif Romly dan bekas atlet terjun negara Leong Mun Yee.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS santuni keluarga datuk remaja curi tabung masjid

SHAH ALAM, 16 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni datuk kepada remaja yang ditahan kerana cuba mencuri wang tabung masjid yang kononnya mahu membeli ubat untuknya.

Agensi menerusi Facebook berkata pihaknya menemui lelaki dari Kuang itu yang juga salah seorang asnaf sejak 2019 bagi mendapatkan gambaran sebenar kisah tersebut.

“Kami menziarahi datuknya semalam (Jumaat) bagi mendapatkan pengesahan sama ada beliau memerlukan bantuan perubatan untuk penyakit kencing manisnya.

“Pak Rosli mengesahkan yang beliau tidak memerlukannya sebagaimana yang dilaporkan,” katanya, menambah lelaki itu juga memaklumkan ibu remaja terbabit kini tinggal bersamanya selepas hilang pekerjaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan.

LZS menjelaskan pihaknya membuat bancian semula kerana berlaku pertambahan tanggungan Pak Rosli selain bantuan makanan bulanan akan disalurkan kepada mereka sekeluarga.

“Tindakan lanjut untuk membantu remaja tersebut untuk proses pemulihan sedang diuruskan bersama agensi yang berkaitan bagi mendapatkan pandangan dan status perundangan terlebih dahulu,” katanya.

Khamis lepas, Mahkamah Majistret Selayang menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 ke atas Daniel Iskandar, 19, selepas remaja tersebut mengaku cuba mencuri tabung masjid pada 8 Januari.

Media sebelum ini melaporkan tular di media sosial video selama satu minit 25 saat yang memaparkan tindakan jemaah sebuah masjid memandikan remaja itu seperti jenazah serta melumurkannya dengan kapur barus kerana mencuri tabung masjid.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Pandelela Rinong dapat gelaran Datuk

KUCHING, 9 OKT: Bekas Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abang Ahmad Urai Datu Abang Mohideen mendahului senarai 1,326 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Sarawak sempena ulang tahun kelahiran ke-85 Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, hari ini.

Abang Ahmad dianugerahkan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Datuk Amar Bintang Kenyalang (DA) yang membawa gelaran “Datuk Amar”.

Turut menerima darjah kebesaran sama ialah bekas anggota Kabinet Pertama Sarawak Allahyarham Datuk Seri Pengiran Hipni Pengiran Annu.

Sementara itu enam penerima dianugerahkan darjah Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS) yang membawa gelaran “Datuk Seri” iaitu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri; Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin.

Tiga lagi penerima PNBS ialah Peguam Besar Sarawak Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid, Setiausaha Kewangan Negeri Datuk Dr Wan Lizozman Wan Omar dan Pengasas KKB Engineering Berhad Datuk Kho Kak Beng.

Dua penerima dianugerahkan darjah Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) yang membawa gelaran “Datuk” iaitu Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Abdullah Saidol dan Pengarah Urusan syarikat kumpulan Shin Yang James Ling Lu Kiong.

Seramai 13 penerima Darjah Jasa Bakti Sarawak (DJBS) yang membawa gelaran ‘Datu’ termasuk Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Kameri Affendi dan Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Edwin Abit.

Ratu terjun negara Pandelela Rinong Pamg adalah antara 17 individu dianugerahkan darjah Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) yang membawa gelaran “Datuk” selain Senator Zaiedi Suhaili, Senator Dr Nuing Jeluing serta Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Mancha Ata.

Selain itu, pingat Johan Bintang Sarawak dianugerahkan kepada tujuh penerima, Johan Bintang Kenyalang (16), Johan Perkhidmatan Cemerlang (4), Pingat Perkhidmatan Cemerlang (Emas) (18), Pegawai Bintang Sarawak (44), Pegawai Bintang Kenyalang (101) dan Pingat Perkhidmatan Bakti (Perak) (177).

Pingat Ahli Bintang Sarawak pula dianugerahkan kepada 253 penerima, Ahli Bintang Kenyalang (155), Pingat Perkhidmatan Terpuji (Gangsa) (260) dan 251 menerima Bentara Bintang Sarawak.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Exco: Anugerah ‘Datuk’ suntik motivasi kerja lebih gigih

Oleh: NAEEM RAFFI

KLANG, 11 DIS: Penganugerahan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) yang membawa gelaran ‘Datuk’ kepada dua Exco Selangor merupakan pengiktirafan dan motivasi untuk bekerja dengan lebih kuat.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata anugerah itu menyuntik semangatnya untuk terus berkhidmat dengan lebih gigih kepada rakyat.

Penganugerahan darjah kebesaran Sultan MB (15)“Saya menjunjung kasih kepada baginda sultan di atas anugerah yang diberikan.

“Ia suatu pengiktirafan dan motivasi kepada saya untuk bekerja dengan lebih keras dalam memastikan belanjawan 2015 yang dibentangkan baru-baru ini dapat dilaksanakan dengan jayanya untuk kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita seusai Istiadat Penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor sempena Hari Keputeraan ke-69 DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, di Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

DatukSelain Iskandar, Exco Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi turut menerima anugerah sama.

“Selaku Exco Hal Ehwal Agama, saya sedaya upaya memastikan kesejahteraan dan keharmonian rakyat Selangor dapat terus dijamin.

“Saya yakin, dibawah naungan dan pemerintahan Sultan Selangor, keharmonian dan kesejahteraan rakyat akan terus terjamin dan atas kebijaksanaan Tuanku juga, isu politik, ketegangan kaum dan agama sebelum ini dapat diselesaikan sebaik mungkin,” katanya.

EZY