Categories
AGENDA NASIONAL PBT SELANGOR

MBSA bersihkan lebih 31,000 tan metrik sampah banjir

SHAH ALAM, 4 JAN: Sebanyak 31,374 tan metrik sampah banjir dibersihkan dari kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) setakat semalam.

Berdasarkan laporan semasanya, pihak berkuasa tempatan itu mengutip 2,868 tan metrik sampah sehari dengan pecahan 314 tan metrik di daerah Petaling, manakala 2,554 tan metrik lagi di Klang.

Dibantu beberapa agensi, ia berjaya membersihkan 12 lokasi di Seksyen 25 sehingga pukul 1 petang tadi.

Kerja tersebut turut dibantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, pengendali sisa pepejal, SWCorp dan sukarelawan beberapa pertubuhan bukan kerajaan serta syarikat korporat.

Di daerah Petaling, kerja pembersihan selesai sepenuhnya di sembilan lokaliti banjir  iaitu Seksyen 13, Seksyen 19, Seksyen 22 (Kampung Kebun Bunga), Seksyen 23, Seksyen 28 (Kampung Lanchong Jaya), Seksyen U1, Seksyen U3, Seksyen U6 dan U17.

Di Klang pula, empat lokaliti sempurna dibersihkan melibatkan Seksyen 32, Seksyen 33 (Alam Indah), Seskyen 35 (Taman Desa Kemuning) dan Seksyen 36 (Taman Sri Wangi, Sungai Kandis).

Categories
AGENDA NASIONAL

Struktur Kondominium Sri Duta 1 tidak selamat, penghuni diarah pindah

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) serta perunding yang dilantik pemaju mengesahkan struktur bangunan Kondominium Sri Duta 1, Taman Duta, di sini, bermasalah dan berisiko terjadinya runtuhan tanah yang lebih kritikal.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini berkata ia berikutan terdapat tanda-tanda berlakunya pergerakan tanah yang memberi kesan kepada struktur bangunan.

“Antara tanda berlakunya pergerakan tanah adalah column (tiang) dengan dinding yang telah terpisah, surface tension crack (rekahan permukaan akibat ketegangan) di beberapa permukaan tanah serta keretakan di bawah lantai.

“Tanda-tanda ini menunjukan keadaan di kawasan itu adalah tidak selamat dan akan menimbulkan risiko kepada penghuni Kondominium Sri Duta 1 serta penghuni yang berada di tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

DBKL berkata terdapat empat blok yang terkesan, membabitkan 34 unit kediaman dan penghuni telah dinasihatkan untuk berpindah atas faktor keselamatan.

“Pihak Badan Pengurusan Bersama telah mengosongkan unit-unit penduduk yang terkesan sebagai tindakan awalan bagi menghalang hakisan yang berterusan dan boleh menyebabkan pergerakan kepada pilecap.

“Kerja-kerja pemulihan cerun dan bangunan di dalam kawasan pemaju akan dilakukan dengan kadar segera dan akan disemak oleh DBKL dan IKRAM,” katanya.

Menurutnya pada masa sama IKRAM juga sedang memantau pergerakan tanah dan bangunan secara dekat.

Pada 18 Dis lepas, media melaporkan berlaku tanah runtuh di kawasan berhampiran kondominium Sri Duta 1 berikutan hujan lebat berterusan di Lembah Klang.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

DBKL gerak aset keluarkan mangsa banjir Taman Sri Muda

SHAH ALAM, 21 DIS: Kementerian Wilayah Persekutuan telah menggerakkan aset air Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan agensi lain di bawah kementerian itu, bagi mempercepatkan urusan mengeluarkan mangsa banjir di Taman Sri Muda.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim berkata sebanyak 10 bot daripada pihak berkuasa tempatan itu serta aset-aset bantuan lain, telah digerakkan ke kawasan terbabit.

“Keadaan banjir sudah berkurang di Wilayah (Kuala Lumpur), saya telah kerahkan mereka untuk datang di sini (Taman Sri Muda).

“Setakat ini yang ada di sini sudah dua pasukan penguat kuasa daripada semalam. Pasukan tambahan daripada DBKL dalam proses perjalanan ke sini,” katanya pada pemberita selepas meninjau keadaan banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini semalam.

Shahidan berkata pihaknya juga menyiapkan 2,000 pek makanan untuk diagihkan hari ini, manakala sebanyak 3,000 lagi akan diagihkan esok.

“Keperluan lain dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kami akan bagi jika ada permintaan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

DBKL selamatkan 140 gelandangan sekitar ibu kota

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Seramai 140 gelandangan di sekitar ibu kota diselamatkan dan ditempatkan sementara di dua pusat sementara gelandangan (PSG) di Sentul Perdana dan Setiawangsa, di sini malam tadi, dalam usaha membendung penularan Covid-19 sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mahadi Che Ngah berkata mereka dijangka ditempatkan di pusat itu hingga penghujung Februari ini sebelum dibawa ke Pusat Transformasi Gelandangan di Taman Desa (tapak bekas Desa Water Park) pada awal Mac dan dibantu mendapatkan pekerjaan.

“Di sini, mereka akan diberi latihan kemahiran supaya mereka boleh mendapat pekerjaan tetap bagi menyara hidup. Antara latihan yang dirancang adalah menjalankan pertanian bandar dan kemahiran lain yang bersesuaian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Malam tadi, Mahadi meluangkan masa menyertai operasi menyelamatkan gelandangan yang melibatkan 95 anggota penguatkuasa daripada pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Imigresen.

Pada masa sama, Mahadi berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mencari penyelesaian menyeluruh untuk menangani isu gelandangan itu termasuk dengan menyediakan tempat perlindungan bagi mereka.

“Satu program yang lebih tersusun sedang dirangka bagi memudahkan pengurusan dari sudut pengagihan makanan kepada golongan ini oleh badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak persendirian.

“Sistem pengagihan makanan pada ketika ini dilihat tidak lagi sesuai dilakukan di pusat bandar raya kerana ia menyebabkan kesesakan lalu lintas dan meninggalkan kesan negatif dari aspek pengurusan perbandaran,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

DBKL perketat SOP masuk ke Pasar Borong Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memperketatkan urusan kemasukan individu berkaitan ke Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) bermula Jumaat ini, dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Menurut kenyataan DBKL hari ini, individu seperti pemilik kedai, pekerja dan pemborong perlu mengemukakan salinan keputusan saringan Covid-19 yang diiktiraf Kementerian Kesihatan dengan tarikh tidak lebih dua minggu sebelum dibenarkan masuk.

Individu tersebut juga perlu melepasi pemeriksaan suhu badan yang tidak melebihi 37.5 darjah Celcius dan mendaftar diri menggunakan aplikasi MySejahtera di pintu masuk PBKL.

Arahan lain yang perlu dipatuhi ialah mengemukakan pas pelesen dan pas pekerja PBKL selain mematuhi tatacara operasi piawai digariskan Majlis Keselamatan Negara, seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal satu meter dan penggunaan cecair pembasmi kuman.

“Individu yang gagal mematuhi arahan tersebut tidak akan dibenarkan memasuki dan berurusan di PBKL,” demikian menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Taman awam seliaan DBKL ditutup mulai hari ini

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Semua taman awam di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ditutup kepada orang ramai mulai hari ini hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

DBKL menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini memaklumkan tindakan tersebut susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini hingga 26 Jan.

Taman awam seliaan DBKL antaranya ialah Taman Botani Perdana, Taman Awam Bukit Kiara, Taman Tasik Titiwangsa, Taman Tasik Manjalara dan Taman Tasik Metropolitan Kepong.

Sementara itu, DBKL turut memaklumkan kaunter bayaran utama dan pandu lalu di Menara DBKL1 serta semua kaunter di sembilan pejabat cawangannya akan beroperasi dari 8 pagi hingga 4 petang (Isnin hingga Jumaat) sepanjang tempoh PKP.

Bagi kaunter lesen berpusat di Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan dibuka dari 9 pagi hingga 3 petang, terhad kepada 100 pelanggan sehari.

“Bagaimanapun orang ramai digalakkan menggunakan kaedah bayaran secara dalam talian,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Karya seni warnai ibu negara, penghargaan besar buat pelukis tempatan

KUALA LUMPUR, 27 DIS: “Bagi saya, semua orang boleh buat mural, cuma bagaimana mahu dapatkan standard agar karya kita menjadi perbualan orang ramai sekali gus menjadi tular di media sosial,” kata pelukis mural, Ruhizad Mohd Ali.

Ruhizad, 58, merupakan ‘tulang belakang’ atau ketua kumpulan yang bertanggungjawab melakar dan melukis mural di bawah projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar ibu kota bagi menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara menghargai lokasi terbiar.

Antara lokasi lukisan mural yang dihasilkan menerusi syarikat E&M Services itu meliputi kawasan Medan Pasar, River of Life di Masjid Jamek, Jalan Alor di Bukit Bintang, laluan Bukit Nanas di Jalan Ampang dan terbaru mewarnai kotak jana kuasa elektrik milik DBKL di sekitar ibu kota.

Menariknya, semua lokasi yang menampilkan karya seni jalanan itu menjadi tarikan terbaru buat mereka yang gemar berswafoto atau membidik gambar kenangan untuk dimuatkan dalam media sosial.

“Kami terharu apabila ia mendapat sambutan positif daripada pengunjung. Ia bukan sahaja ‘meriah’ dengan warna-warni tetapi juga buat mereka rasa lebih selamat apabila melalui sesuatu lorong di situ.

“Contohnya, lukisan mural di Jalan Alor Bukit Bintang yang suatu ketika dahulu menjadi lokasi hitam selain kotor dan busuk sekali gus menakutkan untuk dilalui,” katanya kepada Bernama.

Bercerita lanjut, Ruhizad yang berpengalaman hampir 30 tahun dalam bidang seni kreatif berkata segalanya memerlukan kreativiti dan pemikiran di luar kotak bagi menghasilkan sesuatu karya yang unik.

“Ia adalah projek seni yang besar dan tidak boleh dilakukan bersendirian. Jadi, saya ambil beberapa anak muda yang berpengalaman untuk sama-sama merealisasikan projek ini.

“Kami bantu DBKL menterjemahkan objektif mereka sebagai usaha mewarnai lorong dan bangunan terpilih di sekitar Kuala Lumpur. Alhamdulillah, setelah melihat hasilnya, DBKL berpuas hati,” katanya.

Pelukis-pelukis mural, Zaimuddin Aziz, 30, (kiri) dan Mahadi Ayob, 36, (kanan) sedang tekun menyiapkan lukisan mural yang memaparkan keindahan kehidupan Flora dan Fauna ketika tinjauan di sekitar ibu kota pada 4 Disember 2020. Foto: BERNAMA

Zaimuddin Aziz, 30, pelukis mural di bawah kendalian Ruhizad menyifatkan kepercayaan yang diberikan DBKL sebagai satu peluang keemasan buat anak-anak muda berkarya.

“Ia merupakan satu platform yang baik untuk pelukis mural mendapat pendedahan awal, sekali gus menimba ilmu daripada pelukis mural berpengalaman.

“Kita sebenarnya ramai artis seni yang berpotensi di negara ini tetapi tidak diberikan ruang dan peluang yang sepatutnya,” katanya yang terlibat sebagai pelukis sepenuh masa sejak 2015.

Pada masa sama, Zaimuddin percaya bidang ini mampu pergi lebih jauh kerana industri seni jalanan semakin mendapat tempat di hati masyarakat.

“Dalam bidang ini kita perlu bijak, malah ia juga mempunyai banyak cabang dan boleh diperluaskan mengikut kreativiti masing-masing,” kata lulusan jurusan Seni Halus dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.

Sementara itu pengasas Bumblebee Consultancy Christine Ngh, berkata seni awam membantu pelbagai pihak bekerjasama dan mewujudkan projek yang bermakna.

Christine berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini, syarikatnya bekerjasama dengan DBKL untuk mengenal pasti bangunan yang memerlukan pengindahan atau penambahbaikan di kawasan berprofil tinggi di pusat bandar raya Kuala Lumpur seperti Bukit Bintang, Petaling Street dan Asian Heritage Row.

“Sebaik sahaja lokasi yang sesuai dikenal pasti, kami akan mula mencari pelukis, sekolah seni serta rakan korporat yang sesuai dan bersedia mengusahakan projek berkenaan.

“Pada masa yang sama, DBKL akan melibatkan pihak berkepentingan lain seperti pemilik bangunan, wakil kediaman tempatan, pihak berkuasa tempatan, jabatan utama dalam DBKL (bagi pembersihan, penyelenggaraan dan pemeriksaan kesihatan),” katanya.

Beliau berkata matlamat utama adalah untuk menjayakan projek itu dengan semua pihak berkongsi pemilikan, tanggungjawab dan kos serta mengangkat karya seni yang sesuai dan menarik untuk projek berkenaan.

“Saya berharap dapat terus bekerjasama dengan lebih banyak sektor awam untuk menjemput sektor swasta dan artis, dalam usaha menjadikan Malaysia lebih trendy dan tempat menarik untuk pencinta seni bandar.

“Ia juga untuk meletakkan nama Malaysia di dalam peta yang menawarkan banyak tempat artistik. Apabila lebih banyak pihak memiliki sesuatu projek, ia menjadi lebih bermakna dan skala yang lebih besar membolehkan lebih banyak projek dijalankan,” katanya.

Antara projek lukisan mural yang dihasilkan syarikatnya bersama DBKL dan pihak berkepentingan lain ialah Akid One: Street Artist & Muralist (Tun Razak Exchange), #MyKiehlsHeritage (L’Oreal dan Fritildea), #ChowKitMural, OutcastArt Malaysia (Fox TV, EscapeVA) dan KulSign Festival (Dulux Paint, AirAsia, Disney).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mural, karya seni jalanan ubah wajah Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Kuala Lumpur bakal berubah wajah menjadi ibu kota seni jalanan yang diceriakan lukisan mural gergasi pelbagai konsep menerusi pengindahan lorong belakang dan lorong sisi pelbagai bangunan di sekitar bandar raya ini, secara berperingkat.

Mengambil ilham kejayaan bandar raya seperti Melbourne, Australia yang terkenal dengan kreativiti seni jalanan sehingga menjadi tarikan di mata dunia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini dalam fasa kajian reka bentuk dan penelitian aspek teknikal bagi menjayakan impian itu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mahadi Che Ngah berkata selepas kejayaan projek perintis seperti transformasi lorong sisi Changkat Bukit Bintang pada Mac 2018 yang sebelum ini gelap, berbau dan kotor, pihaknya akan memperluas projek pengindahan ke lorong lain yang telah dikenal pasti.

Beliau berkata selain Bukit Bintang, antara yang bakal dinaik taraf adalah Lorong Sultan dan Lorong Petaling, terletak berhampiran Pasar Karat dan Petaling Street atau Chinatown bagi menarik kedatangan lebih ramai pengunjung untuk membeli-belah dan bersantai.

“Pasar Karat biasanya menjadi sasaran peminat barangan antik manakala Petaling Street terkenal dalam kalangan pelancong juga menjadi mercu tanda Kuala Lumpur.

“Namun ramai masih menganggap lorong seperti ini sebagai kawasan hitam, tidak selamat dan usang, jadi projek ini akan memberi imej baharu yang lebih bersih, selamat dan ceria,” katanya kepada Bernama.

Program pengindahan Kuala Lumpur diteruskan dengan penghasilan lukisan mural memaparkan keindahan kehidupan Flora dan Fauna di dinding luar Terowong Bukit Nanas dan di Air Terjun Bukit Nanas. Kawasan ini dijangka akan menarik lebih banyak kunjungan pelancong di masa akan datang dan menjadi ‘insta-worthy area’ apabila siap kelak. Foto: BERNAMA

Mahadi berkata bagi Lorong Sultan, lukisan mural yang dicadangkan setakat ini akan memaparkan sejarah berkaitan kawasan terbabit, paparan papan tanda antik selain naik taraf infrastruktur, sistem saliran, cat dan turap semula jalan, penambahan lampu jalan serta cadangan konsep light box advertising.

Lukisan mural yang dirancang di Lorong Petaling pula disasar menjadi tarikan pengunjung untuk mengabadikan memori dengan sifat lukisan yang estetik dan Instagrammable (sesuatu yang menarik secara visual dan sesuai untuk disiarkan di aplikasi media sosial Instagram).

Pelukis mural, Zaimuddin Aziz, 30, tekun menyiapkan lukisan mural yang memaparkan keindahan kehidupan Flora dan Fauna ketika tinjauan di sekitar ibu kota pada 4 Disember 2020. Foto: BERNAMA

“Naik taraf ini juga akan merancakkan sektor ekonomi terutamanya peluang perniagaan di sekitar kawasan berkenaan dengan pengunjung tidak hanya datang untuk membeli-belah tetapi juga pelbagai aktiviti santai lain seperti bergambar yang juga dijangka merancakkan perniagaan makanan,” katanya.

Menurut beliau, projek naik taraf kedua-dua lorong itu juga

merupakan kesinambungan kepada pengindahan lorong sisi Yap Ah Loy, Lorong Bandar 11 dan Lorong Bandar 13 yang akan dihubungkan menerusi laluan pejalan kaki bagi membolehkan ia diterokai dengan lebih mudah.

Mahadi berkata lukisan di setiap lorong memaparkan konsep, tema dan identiti berbeza mengikut latar belakang dan sejarah kawasan selain mengambil kira pandangan komuniti setempat.

“Misalnya komuniti di Jalan Alor mahukan warna-warna terang dan ceria, jadi imej seperti rama-rama dan pelangi dipilih,” katanya.

Bercerita lanjut tentang perkembangan projek sulung di kawasan Bukit Bintang, Mahadi berkata sehingga kini sebanyak enam lorong belakang dan sisi telah berubah wajah melibatkan lorong sisi dan belakang di Jalan Changkat Bukit Bintang, Jalan Berangan, Jalan Rembia dan Jalan Tengkat Tong Shin.

Dua lagi projek iaitu untuk mewujudkan taman poket di persimpangan Jalan Rembia (di hadapan Hotel Malenge) serta pesta makanan di lorong sisi Jalan Rembia dan Jalan Alor masih dalam peringkat perancangan, katanya.

Pelukis-pelukis mural, Zaimuddin Aziz, 30, (kiri) dan Mahadi Ayob, 36, (kanan) sedang tekun menyiapkan lukisan mural yang memaparkan keindahan kehidupan Flora dan Fauna ketika tinjauan di sekitar ibu kota pada 4 Disember 2020. Foto: BERNAMA

“Kita lihat pelaksanaan ini juga memberi impak yang signifikan dari aspek sosial yang wujudnya perasaan sayang dan kekitaan selain mengambil peranan untuk menjaga kawasan,” katanya.

Mahadi berkata kalau dulu komuniti hanya duduk dalam bangunan, kini mereka selesa keluar untuk menjalani pelbagai aktiviti yang diminati di luar bangunan selain menjadi ruang awam untuk masyarakat berkomunikasi dan berhubung.

Transformasi itu juga, katanya, meningkatkan nilai sewa kedai sehingga 40 peratus, mewujudkan peluang pekerjaan dan peluang perniagaan termasuk di unit kosong yang sudah lama ditinggalkan.

Tambahnya selain lorong belakang dan sisi, DBKL juga mempertimbangkan kawasan sesuai untuk dicantikkan dengan lukisan mural misalnya di bahagian luar bangunan, kotak jana kuasa elektrik dan dinding di sepanjang laluan pejalan kaki seperti yang dilaksanakan di sekitar projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL) serta kawasan Bukit Nanas.

Mahadi berkata Pasar Borong Kuala Lumpur juga antara yang telah diberi nafas baharu dan dihias dengan lukisan mural menerusi penganjuran pertandingan yang mendapat sambutan menggalakkan.

“Kami juga melihat potensi Pasar Borong Kuala Lumpur untuk menjadi kawasan tarikan pelancong seperti Queen Victoria Market, Melbourne, Australia. Namun banyak aspek perlu diteliti dan ditambah baik bagi mencapai hasrat ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tebing runtuh sangka gempa bumi – mangsa

KUALA LUMPUR, 3 OKT: “Saya terbangun dari tidur selepas dikejutkan dengan satu dentuman kuat serta lantai rumah bergegar seakan gempa bumi,” kata seorang mangsa kejadian tanah runtuh di sebuah pangsapuri Persiaran Syed Putra, di sini pada Khamis lepas.

Mangsa kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Sarah,16, berkata sewaktu kejadian dia tertidur selepas menonton televisyen di ruang tamu.

“Saya terlena di atas sofa dan terkejut dengar dentuman itu, terus ke bilik ibu kerana ketakutan.

“Dalam keadaan kelam-kabut itu, saya bersama ibu meninjau ke luar tingkap dan mendapati tanah dari tebing atas telah runtuh,” katanya kepada Bernama di lokasi kejadian.

Sarah berkata dia terbangun pada kira-kira 9.45 malam dan bergegas melakukan pemeriksaan melihat tanah sudah memenuhi bahagian luar rumahnya.

“Akibat hentakan tanah runtuh itu saya melihat perabot dan barangan peribadi di dalam rumah berselerak manakala sebuah pintu kaca juga telah pecah,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.

Seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Raymond Lee, 45, berkata beliau sekeluarga mengambil keputusan untuk tinggal di hotel kerana bimbang keadaan tanah yang masih belum stabil.

“Tanah runtuh di pangsapuri ini pernah berlaku pada 10 tahun lepas namun tidak seteruk ini sehingga bergegar rumah dibuatnya.

“Sebenarnya tanah runtuh ini berlaku kerana tebing tanah yang tidak begitu kukuh dan menunggu masa untuk runtuh serta tidak mendapat perhatian pihak bewajib,” katanya.

Sementara itu, sumber polis daripada Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menyatakan orang awam tidak dibenarkan memasuki kawasan pangsapuri berkenaan.

“Kawalan dilakukan di kawasan berkenaan sejurus kejadian bagi menjaga barangan awam dan keselamatan penduduk kawasan sekitar,” katanya sambil menambah punca tebing runtuh masih dalam siasatan.

Sebelum ini, Bernama melaporkan 11 penghuni di sebuah pangsapuri tiga tingkat di Persiaran Syed Putra berdepan detik cemas apabila tebing tanah berhampiran kediaman mereka runtuh akibat hujan lebat pada 1 Oktober lepas.

Kesemua 11 penghuni rumah terlibat dinasihatkan meninggalkan kediaman mereka atas faktor keselamatan selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur membuat penilaian ia tidak selamat diduduki.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

DBKL kekal pokok teduhan berusia sebagai warisan alam

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengekalkan pelbagai pokok teduhan berusia sebagai warisan alam semula jadi Kuala Lumpur yang menjadi saksi kepada setiap peristiwa dan perjalanan kehidupan warga kota.

DBKL dalam kenyataan memaklumkan akan meletakkan label ‘pokok berusia’ pada pokok-pokok teduhan yang ditanam seawal zaman pembentukan Kuala Lumpur bagi membezakannya dengan pokok tanaman landskap yang lain, sekali gus menjadi sebahagian daripada panduan dan program pendidikan alam sekitar kepada warga kota.

“Pokok itu seperti Angsana di Jalan Ampang, Hujan-Hujan di Jalan Mahkamah dan Jemerlang Laut di Jalan Syed Putra

“Pemilihan ‘pokok berusia’ ini bergantung kepada beberapa kriteria seperti keunikan spesis, nilai istimewa, saiz yang besar, memberi visual yang menarik dan keadaan fizikal yang sihat dan unik,” menurut kenyataan itu.

DBKL berkata sejajar dengan usaha menghijau dan mengindahkan Kuala Lumpur, pihaknya menanam pelbagai jenis pokok teduhan bermula pada 1980-an melalui Program Penghijauan Kuala Lumpur.

“Pokok-pokok matang ini perlu dipelihara dalam memberi sumbangan kepada pemuliharaan alam sekitar, menambah nilai harta benda dan memberi imej setempat serta keselesaan kepada orang awam terutama dalam memberikan impak teduhan dan penyejukan suhu persekitaran,” jelasnya.

Pada masa sama, DBKL juga melaksanakan pemeriksaan tahap kesihatan pokok secara visual dan pemeriksaan yang lebih terperinci bagi menjamin keselamatan nyawa dan harta benda di kawasan berhampiran.

“Kami juga akan menjalankan pemerhatian terhadap kesihatan pokok ini secara berkala dan akan melaksanakan tindakan pemulihan bagi pokok yang terpilih,” katanya.

Justeru, DBKL berharap kerjasama daripada semua pihak terutama warga kota untuk bersama-sama memelihara ‘pokok berusia’ ini dalam menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya hijau yang mampan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jalan Raja Laut 1 kini dikenali Jalan Palestin

KUALA LUMPUR, 27 SEPT: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan nama Jalan Raja Laut 1 kini dikenali sebagai Jalan Palestin.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata cadangan untuk menukar nama jalan itu tercetus semasa Majlis Himpunan Hari Quds Sedunia yang diadakan di Dataran DBKL pada 26 hingga 31 Mei tahun lepas.

“Kementerian Wilayah Persekutuan memohon kepada DBKL untuk menamakan sebatang jalan di Kuala Lumpur sebagai Jalan Palestin.

“Menamakan Jalan Palestin itu sebagai simbol sokongan Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin dalam menentang penindasan dan seterusnya menubuhkan sebuah negara Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata proses untuk mengenal pasti jalan yang sesuai sebagai Jalan Palestin mengambil masa agak lama kerana perlu dibuat secara teliti dan perlu melalui prosedur ditetapkan sepertimana penamaan jalan-jalan lain.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pupuk amalan membaca, DBKL wujud 600 kios buku sempena KLWBC2020

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mewujudkan 600 kios buku di sekitar ibu negara sempena program Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 (KLWBC2020) bermula 23 April lepas sehingga 22 April 2021.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata kini terdapat lebih 60 kios buku di kawasan strategik dan lokasi tumpuan di ibu negara termasuk di KLCC, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India yang membabitkan kos keseluruhan RM750,000.

“Setiap kios ini berjumlah antara RM7,000 dan RM12,000 mengikut saiz dan reka bentuk. Oleh itu, orang awam disaran menggunakan perkhidmatan ini secara berhemah dan sematkan budaya membaca walau di mana jua berada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perkhidmatan Bas Perpustakaan Bergerak Wangsa Melawati hari ini.

Menurut Nor Hisham, penyediaan kios buku ini bertujuan membentuk masyarakat kota berilmu yang sentiasa membudayakan amalan membaca.

“KLWBC2020 bukanlah satu kemegahan, sebaliknya kita mahu semua orang membaca untuk sepanjang hayat. Itu adalah matlamat kita dan program itu bukan hanya berlangsung di Kuala Lumpur, sebaliknya di seluruh negara,” katanya yang turut mengalu-alukan kerjasama semua pihak untuk menyumbang bahan bacaan demi manfaat bersama.

Sementara itu, Nor Hisham berkata perkhidmatan bas perpustakaan bergerak atas inisiatif Perpustakaan Kuala Lumpur itu dapat memuatkan sehingga 1,500 naskah buku, kini diperluaskan ke penduduk di taman-taman perumahan sekitar ibu kota.

“Kita tidak lagi menunggu komuniti kota pergi ke perpustakaan tetapi, kita bawa buku dan perpustakaan kepada penduduk,” katanya menambah empat unit bas perpustakaan itu akan bergerak ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) sekitar Bukit Jalil, Perkasa, Raya Permai dan Sri Johor.

Selain buku, perpustakaan bas yang mula dilaksanakan pada awal 1990-an dengan tumpuan di sekolah itu turut menyediakan kemudahan buku elektronik (e-book), komputer, pangkalan data, talian wi-fi percuma, ruang aktiviti dan khidmat nasihat.

-BERNAMA