Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Lebih 170,000 individu sertai saringan percuma Selangor

SHAH ALAM, 6 DIS: Lebih 177,000 individu menerima manfaat program saringan percuma yang dilaksanakan Kerajaan Selangor bagi mengekang penularan Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya turut menyumbang 60,000 kit ujian kendiri kepada mangsa Covid-19 bertujuan memudahkan keluarga pesakit memantau tahap kesihatan diri.

“Negeri lain tunggu KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) buat saringan tapi kita buat sendiri. Kalau negeri lain tunggu vaksin (tapi) kita beli sendiri untuk pastikan rakyat cepat divaksinasi.

“Dalam tempoh hampir dua tahun ini kita berjaya tentang dengan kaedah dan cara sendiri. Ini bukan perkara kecil,” katanya.

Beliau berucap di majlis sambutan Deepavali dan Krismas Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor malam tadi. Turut hadir Naib Presiden parti Tian Chua dan Timbalan Pengerusi negeri Hee Loy Sian.

Jelas Amirudin bagi membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik pihaknya turut menyediakan lima pakej rangsangan ekonomi melibatkan kos lebih RM1.1 bilion.

Pada Mac 2020, Amirudin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin berjumlah RM127.78 juta yang memanfaatkan petugas hadapan, peniaga dan mahasiswa.

Diikuti pakej fasa kedua pada 1 April bernilai RM272 juta untuk menangani dampak wabak diikuti Pelan Pemulihan Ekonomi sebanyak RM55.8 juta pada 13 Julai.

Pada 20 Januari tahun ini, Pakej Kita Selangor berjumlah RM73.877 juta diperkenalkan bagi meringankan beban rakyat untuk mendepani PKP 2.0.

Pakej itu sekali lagi diumumkan pada 9 Jun dengan nilai RM551.6 juta bagi membantu golongan berpendapatan rendah, pelajar, usahawan kecil, petani serta penggiat pelancongan.

Categories
BUDAYA RENCANA

Nikmati manisan, hidangan wajib ketika Deepavali

Selepas negara beransur pulih daripada Covid-19, masyarakat India mula menyediakan persiapan meraikan pesta cahaya pada 4 November.

Pelbagai juadah dijual di beberapa kawasan tumpuan etnik tersebut di negara ini. Aneka kuih dan manisan yang menjadi hidangan wajib ketika perayaan itu mendapat perhatian pelanggan.

Wartawan Nadiah Zamlus dan jurufoto Ahmad Zakki Jilan meninjau suasana urus niaga menjelang Deepavali di Jalan Tengku Kelana, Klang pada 28 Oktober. Deretan kedai di situ dikenali Little India.

Laddu daripada kacang dal, gula dan minyak sapi dijual RM1 sebiji. Manisan yang menjadi lambang kemakmuran hidup itu terbahagi kepada laddu kelapa, bundi laddu yang dimasak dengan minyak sapi dan besan laddu pula dibakar
Mani Kandan menyusun balang kuih achu muruku atau dikenali kuih loyang dalam kalangan orang Melayu. Kuih itu menjadi kudapan buat tetamu yang berkunjung ke rumah semasa perayaan
Pekerja Punjabi Sweet, Mohamad Imran menunjukkan kuih athirasam yang dikatakan mampu bertahan hingga enam bulan. Mula wujud sejak abad ke-16 di Tamil Nadu, juadah itu popular sebagai hidangan untuk tetamu
Pekerja Restoran Mohana Bistro, Siva Balan menunjukkan kuih kolkutter yang diperbuat daripada tepung beras, badam dan serbuk buah pala. Ada dua jenis iaitu dalam bentuk kepalan, ada juga diisi dalam pastri berbentuk seakan-akan karipap
Mudah dibawa, manisan seperti halwa dan gula-gula kelapa diisi dalam plastik yang dijual antara RM5 hingga RM10 sebekas. Gula-gula kelapa diperbuat daripada kelapa parut, susu pekat, gula, marjerin dan pewarna sebelum dimasak serta disejukkan seterusnya dipotong dadu
Ramalingan Ratnam, penyelia kedai Sreedhanaa Banana Leaf Bistro, menunjukkan manisan jenis jalebi, adhirasam dan palkova. Dibuka sejak 1929, kedai tersebut menjadi pilihan membeli kuih-muih
Halwa berwarna oren yang mirip agar-agar dimasak menggunakan tepung jagung, minyak sapi, kacang badam dan sedikit pewarna. Terdapat dua jenis halwa iaitu gajar ka halwa berasaskan lobak dan sooji ka halwa menggunakan susu
Rava idli di Restoran Mohana Bistro ini enak dimakan bersama cutni iaitu acar manis yang dibuat dari kelapa atau kacang. Rupa dan teksturnya lembut seakan-akan apam. Bezanya, bahan masakannya diisi dengan daun kari, cili kering dan yogurt
Categories
BERITA UTAMA EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Selangor peruntuk RM2 juta bantu keluarga B40 India sambut Deepavali

SHAH ALAM, 4 NOV: Hampir RM2 juta dibelanjakan Kerajaan Negeri bagi membantu masyarakat India berpendapatan rendah (B40) menyediakan persiapan sambutan Deepavali.

EXCO kebajikan masyarakat berkata bantuan menerusi baucar Jom Shopping Raya itu membolehkan penerima mendapatkan barang keperluan di pasar raya tertentu.

“Disebabkan pandemik kita tidak boleh anjur rumah terbuka. Jadi kita juga agihkan 3,500 bakul makanan bernilai RM55 setiap satu kepada penduduk memerlukan.

“Ini juga sebagai inisiatif meringankan beban mereka ketika keadaan ekonomi baru mula pulih. Agihan dibuat melalui ketua komuniti,” kata V Ganabatirau.

Beliau ditemui di majlis rumah terbuka Deepavali anjurannya di Kota Permai Golf & Country Club Kota Kemuning hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri Datin Seri Masdiana Muhammad, Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng dan Setiusaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim turut menghadiri majlis.

Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan menyasarkan golongan B40 sebagai inisiatif jangka panjang bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Serahan bantuan dibuat mengikut komponen utama kaum dan perayaan masing-masing.

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat Sentosa cadang anjur rumah terbuka pandu lalu

RAWANG, 4 NOV: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa bercadang meraikan sambutan Deepavali dengan menganjurkan rumah terbuka secara pandu lalu dalam masa terdekat.

Dr G Gunaraj berkata pihaknya mengambil inisiatif itu bagi meraikan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN)nya susulan tidak dapat berkumpul secara beramai-ramai.

“Biarpun sudah beralih ke fasa empat, kita perlu berjaga-jaga dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Untuk rumah terbuka secara pandu lalu, saya jangka menyediakan 1,000 bungkusan makanan kepada penduduk,” katanya ditemui sempena Majlis Rumah Terbuka Deepavali di sini hari ini.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ditemani isteri Datin Seri Masdiana Muhammad tiba kira-kira jam 11 pagi ke kediamannya dan meluangkan masa hampir satu jam beramah mesra bersama tetamu serta menikmati juadah seperti nasi beriyani dan tosai.

Turut hadir Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Juwairiya Zulkifli, ADN Rawang Chua Wei Kiat dan Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen.

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat Sentosa agih 1,500 bakul makanan sempena Deepavali

RAWANG, 4 NOV: Sebanyak 1,500 bakul makanan diagih kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa sempena sambutan Deepavali.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dr G Gunaraj berkata agihan bakul makanan berupa kelengkapan perayaan itu dilakukan sejak tiga minggu lalu.

“Selain itu kita juga melancarkan Program Jelajah Sentosa bersama beberapa kuil untuk memberi bantuan.

“Turut diadakan Ziarah Kasih iaitu melawat keluarga kurang berkemampuan seperti kehilangan suami dan mengalami masalah kesihatan,” katanya ditemui sempena Majlis Rumah Terbuka Deepavali di kediamannya di sini hari ini.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ditemani isteri Datin Seri Masdiana Muhammad tiba kira-kira jam 11 pagi ke kediaman Gunaraj dan meluangkan masa kira-kira satu jam beramah mesra bersama tetamu serta menikmati juadah seperti nasi beriyani dan tosai.

Turut hadir Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Juwairiya Zulkifli, ADN Rawang Chua Wei Kiat dan Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Pelbagai bangsa rai Deepavali bawa kebaikan dalam bermasyarakat

RAWANG, 4 NOV: Kehadiran Dato’ Menteri Besar hari ini ke Majlis Rumah Terbuka Deepavali Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa membuktikan keharmonian kaum di negara ini.

Dr G Gunaraj berkata kepelbagaian dimiliki menyatukan semua dan menyaksikan perayaan itu diraikan bersama serta membawa kebaikan.

“Kita seharusnya bersyukur kerana berpeluang menyambut Deepavali selepas lebih 18 bulan duduk di rumah sahaja (akibat Covid-19).

“Bagaimanapun, pastikan semua mengikut tatacara operasi piawai (SOP) seperti memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Seri Amirudin Shari atas kesudian menghadiri majlis rumah terbuka Deepavalinya di Bandar Country Homes di sini.

Amirudin ditemani isteri Datin Seri Masdiana Muhammad tiba kira-kira jam 11 pagi ke kediaman Gunaraj dan meluangkan masa hampir satu jam beramah mesra bersama tetamu serta menikmati juadah seperti nasi beriyani dan tosai.

Turut hadir Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Juwairiya Zulkifli, ADN Rawang Chua Wei Kiat dan Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen.

Categories
AGENDA NASIONAL

Deepavali disambut sederhana namun meriah

KUALA LUMPUR, 4 NOV: Perayaan Deepavali yang diraikan penganut beragama Hindu di seluruh negara, tahun ini disambut meriah berbanding tahun lepas kerana mereka berpeluang pulang ke kampung merayakan hari yang penuh bermakna dengan keluarga, saudara mara dan sahabat tersayang.

Ceria melaram busana tradisi berwarna-warni, namun mereka tetap mengamalkan norma baharu bagi mengekang penularan wabak Covid-19, dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Kuil-kuil di seluruh negara juga mengambil langkah berwaspada dengan mengamalkan SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Di NEGERI SEMBILAN, Kuil Sri Balathandayuthapani, di Jalan Kuil, Seremban menjadi tumpuan penganut Hindu di negeri itu sejak pukul 8 pagi, bagi melaksanakan upacara keagamaan.

M. Sivakumar, 28, dari Rembau berkata sambutan pesta cahaya pada tahun ini amat bermakna kepadanya, kerana berpeluang menyambut Deepavali bersama ahli keluarga walaupun diadakan secara sederhana.

Di PULAU PINANG, pengerusi Kuil Arulmigu Balathandayuthapani, Datuk R. Subramaniam berkata penganut Hindu gembira, kerana dapat meraikan sambutan Deepavali dengan mengunjungi kuil untuk upacara sembahyang serta aktiviti sambutan Deepavali secara fizikal, selepas 18 bulan tidak dapat melakukannya akibat pandemik Covid-19.

“Ramai orang mula mengunjungi kuil dari pukul 6 pagi tetapi kami hanya membenarkan 50 orang masuk pada satu-satu masa. Penganut Hindu dapat meraikan sambutan Pesta Cahaya dengan meriah tahun ini berbanding tahun lepas,” katanya.

Di PERAK, tinjauan mendapati penganut agama Hindu mula hadir seawal pukul 7 pagi bagi melakukan upacara keagamaan, dengan mengamalkan SOP sebagai langkah mengekang penularan Covid-19 yang ditetapkan Kuil Kallumalai Arulmigu Subramaniar di Gunung Cheroh, Ipoh, di sini.

Pengerusi kuil M. Vivekanda berkata sambutan perayaan kali ini lebih meriah berbanding tahun lepas, dan makanan ‘vegetarian’ serta manisan, hanya diberikan secara bungkus kepada pengunjung.

Di JOHOR, penganut agama Hindu di sekitar Johor Bahru mula mengunjungi Kuil Arulmigu Rajamariamman Devasthanam di Jalan Ungku Puan atau dikenali sebagai Little India Johor Bahru, seawal pukul 7.30 pagi dengan memakai pakaian berwarna-warni sempena perayaan Deepavali.

Bendahari Pengurusan Kuil Arulmigu Rajamariamman Devasthanam S. Murali berkata pihaknya tidak mengabaikan SOP yang ditetapkan KKM, dan pengunjung yang lengkap divaksin sahaja dibenarkan masuk.

“Tahun ini lebih meriah sedikit tetapi tidak semeriah seperti sebelum pandemik, yang mana dahulu awal pagi kira-kira 800 hingga 1,000 pengunjung sudah hadir ke sini, namun sekarang kita dah maklumkan hanya 100 hingga 150 orang sahaja dibenarkan masuk pada satu masa,” katanya.

Di PAHANG, penganut Hindu mula hadir memenuhi Kuil Sri Sithi Vinayagar di Jalan Bukit Ubi, di sini sekitar 8 pagi dengan busana tradisi berwarna-warni kaum itu, lengkap berpelitup muka bagi mematuhi SOP ditetapkan.

P. Vijaya Kumari, 53, yang hadir ke kuil berkenaan bersama suaminya R. Ramesh, 56, berkata perayaan kali ini lebih meriah berbanding tahun lepas kerana dapat berkumpul bersama dua anaknya yang masing-masing menetap di Kuala Lumpur dan Johor.

Di SELANGOR, tinjauan di Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam Midlands, Seksyen 7, Shah Alam, mendapati para pengunjung beratur menunggu giliran dan mengimbas kehadiran di aplikasi MySejahtera serta mengambil suhu badan, sebelum memasuki kuil untuk bersembahyang.

Pengerusi Kuil tersebut R.Mohanraj, 64, berkata upacara hari ini berjalan lancar, kerana pengunjung mematuhi SOP di rumah ibadat itu yang merupakan norma yang diamalkan rakyat negara ini sejak tahun lepas.

Di SABAH, upacara sembahyang serta aktiviti sambutan Deepavali di Kuil Sri Pasupathinath Alayam di Bukit Padang, di sini berjalan lancar dan pengunjung mematuhi SOP ditetapkan.

Presiden kuil tersebut, Datuk Dr K. Mathavan berkata pihaknya amat mengutamakan pematuhan SOP termasuklah lengkap divaksinasi, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial.

Di KEDAH, tinjauan di Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam di Alor Setar mendapati keadaan di sini terkawal dengan pematuhan SOP yang baik, tiada kesesakan dan penganut Hindu kelihatan ceria menyambut Deepavali.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India Kedah, Azman Nasrudin berkata perayaan kali ini disambut dengan lebih meriah apabila majoriti rakyat negeri itu telah lengkap divaksin.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Orang ramai diminta pandu berhati-hati, manfaat cuti perayaan

SHAH ALAM, 4 NOV: Dato’ Menteri Besar mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati memandu ketika musim perayaan Deepavali bagi mengelakkan kejadian buruk.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut meminta masyarakat memanfaatkan cuti dengan melawat tempat menarik di Selangor.

“(Bagaimanapun) Kita masih berdepan pandemik. Pastikan pelitup muka sentiasa dipakai dan jaga penjarakan fizikal supaya wabak Covid-19 dapat dikawal,” katanya.

Beliau ditemui di majlis rumah terbuka EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja V Ganabatirau di Kota Permai Golf & Country Club Kota Kemuning hari ini.

Amirudin bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhammad meluangkan masa kira-kira satu jam di majlis berkenaan selain turut beramah mesra dengan beberapa pemimpin Kerajaan Selangor.

Terdahulu, pasangan berkenaan turut berkunjung ke rumah terbuka Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa Dr G Gunaraj di Bandar Country Homes, Rawang.

Sementara itu, Ganabatirau berkata beliau gembira dengan kehadiran pelbagai kaum termasuk dari luar Selangor ke majlis rumah terbukanya.

“Yang datang bukan hanya masyarakat India tetapi juga Melayu dan Cina. Ini semangat muhibbah yang kita mahu tunjuk ke dunia luar.

“Malaysia merupakan negara makmur dan penduduk bersatu padu walaupun masyarakatnya berlainan warna kulit,” katanya.

Majlis turut dihadiri Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng; Speaker Dewan Negeri Selangor Ng Suee Lim; EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud dan Setiusaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB, isteri hadir rumah terbuka Deepavali wakil rakyat Sentosa

RAWANG, 4 NOV: Dato’ Menteri Besar hadir ke Majlis Rumah Terbuka Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa Dr G Gunaraj di kediaman di Bandar Country Homes di sini hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari hadir bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhammad kira-kira jam 11 pagi.

Amirudin meluangkan masa kira-kira satu jam beramah mesra bersama tetamu dan menikmati juadah disediakan seperti nasi beriyani dan tosai.

Majlis yang diadakan dalam suasana sederhana itu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.

Turut hadir Setiausaha Politik Menteri Besar Juwairiya Zulkifli, Ahli Dewan Negeri Rawang Chua Wei Kiat dan Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Deepavali kali ini beri ‘cahaya’ selepas dua tahun ‘bergelap’ akibat Covid-19

Vanakkam, En Iniya Deepavali Nal Vaalthukkal!

Saya mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada seluruh warga Selangor yang menyambut perayaan cahaya ini, khususnya komuniti Hindu dan Sikh.

Kita semua berbesar hati dan dapat menghela nafas lega kerana sambutan Deepavali kali ini dapat diraikan dengan keluarga dan kawan-kawan tersayang setelah bergelut dan berhadapan dengan ‘lockdown’ dan ‘shutdown’ selama hampir dua tahun.

Sebagai perayaan pertama yang diraikan dalam keadaan aktiviti sosial dibenarkan beroperasi secara penuh setelah pandemik Covid-19 melanda awal 2020, wajar kita menelusuri makna asal Deepavali yang saya kira hadir tepat pada waktunya.

Di selatan India, masyarakat beragama Hindu menyambut Deepavali sebagai tanda kesyukuran terhadap dewa Krishna.

Menurut mitologi di sana, Naraka – seorang raja yang kejam – menindas dan menakutkan rakyat. Setelah rakyat memohon pertolongan, dewa Krishna bertempur dengan Naraka dan mengalahkannya, sekaligus membunuh si Naraka setelah bertarung selama empat belas hari.

Itu sebabnya Deepavali juga dikenali sebagai Naraka Chathurdasi yang membawa maksud ‘hari keempat belas Naraka’.

Setelah berjaya keluar dari zaman yang dipenuhi kegelapan yang mengerikan, pengakhiran era Naraka membawa cahaya kepada kehidupan masyarakat di sana yang menjadi simbolik menerusi lilin dan lampu yang dinyalakan sewaktu perayaan Deepavali.

Di bahagian utara India pula, epik Ramayana merupakan asas kepada sambutan perayaan ini. Dewa Rama dari Ayuthya, menuntut haknya sebagai raja setelah dihalang oleh syaitan Ravana selama empat belas tahun. Setelah mengalahkan Ravana, Dewa Rama pulang dengan isterinya Sita dan adiknya Lakshmana.

Masyarakat tempatan menyambut kepulangan Dewa Rama dengan menyalakan barisan lilin serta mercun yang juga merupakan erti kata perkataan Deepavali yang berasal dari perkataan Sanskrit, iaitu ‘dipa’ yang bermaksud lampu atau lilin, manakala ‘avali’ bermaksud barisan atau siri.

Dalam erti kata lain, Deepavali disambut dengan begitu meriah kerana ia membawa maksud pengakhiran kegelapan dan permulaan masa hadapan yang cerah, serta kebaikan mengalahkan kegelapan.

Erti Deepavali boleh dikatakan sama dengan situasi yang sedang kita hadapi. Hampir dua tahun hidup dengan kegelapan yang berpunca dari penularan wabak Covid-19.

Dengan keterbukaan dan kesedaran anda untuk melindungi diri dan keluarga dengan mengambil dos vaksin yang lengkap, kini kita melihat sedikit cahaya yang mula muncul apabila aktiviti-aktiviti ekonomi serta sosial dibuka, dan rakyat boleh merentas daerah dan negeri untuk mengunjungi keluarga dan kawan-kawan.

Namun, kita harus bertanggungjawab dan tidak alpa dengan terus mengamalkan kawalan kendiri seperti memakai pelitup muka, menggunakan ‘hand sanitiser’ dan cuba sebaik mungkin untuk kekalkan penjarakan fizikal agar kita tidak kembali ke zaman ‘lockdown’ seperti sebelum ini.

Bagi masyarakat India khususnya, Kerajaan Negeri juga mengusahakan beberapa perkara bagi memelihara kelangsungan hidup dan membuka peluang pekerjaan. Antaranya, Program Pembangunan Usahawan India Selangor atau Sitham yang dilengkapi empat program kesusahawanan, iaitu latihan pembangunan usahawan, kursus kemahiran dan pembuatan, program bimbingan perniagaan dan program bantuan peralatan perniagaan ataupun geran.

Sehingga Oktober lalu, lebih 2,000 peserta telah menyertai program ini.

Tambahan kepada itu, Kerajaan Negeri menginsafi kepentingan keterhubungan komuniti dalam kalangan masyarakat India. Aspek itu mendorong Kerajaan Negeri untuk meningkatkan bilangan ketua komuniti India dari 48 kepada 62 di seluruh negeri Selangor.

Pada 26hb November 2021, saya akan membentangkan Belanjawan Selangor 2022 yang akan mengandungi beberapa usaha selaras dengan detik sektor ekonomi sudah mula dibuka.

Saya pasti peluang pekerjaan menjadi pemberi harapan serta penjamin kelangsungan hidup. Aspek ini akan menjadi antara fokus utama dalam merangka Belanjawan ini dengan harapan ia mampu memberikan ‘booster’ kepada ekonomi Selangor.

Saya mengambil peluang ini untuk sekali lagi mengucapkan Selamat Hari Deepavali bagi seluruh masyarakat Hindu dan Sikh di negara yang kita cintai, terutamanya bagi penduduk Selangor.

Saya pasti perayaan kali ini disambut dengan meriah dan penuh semangat.

En Iniya Deepavali Nal Vaalthukkal!

Perutusan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena sambutan Deepavali

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor laksana beberapa inisiatif bantu masyarakat India

SHAH ALAM, 3 NOV: Beberapa inisiatif diusahakan Kerajaan Selangor bagi memelihara kelangsungan hidup serta membuka peluang pekerjaan masyarakat India negeri ini.

Dato’ Menteri Besar berkata antaranya program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) yang menawarkan latihan pembangunan usahawan, kursus kemahiran dan pembuatan, bimbingan perniagaan serta bantuan peralatan perniagaan ataupun geran.

“Sehingga Oktober lebih 2,000 peserta menyertai program ini. Kerajaan Negeri juga turut meningkatkan bilangan Ketua Komuniti India dari 48 kepada 62 orang sebagai kepentingan hubungan komuniti dalam masyarakat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi perutusan Hari Deepavali hari ini.

Sitham dilancarkan pada September 2019 menumpukan usahawan India yang komited memajukan perniagaan dengan diberi bimbingan, geran dan peralatan perniagaan.

Program tersebut menerima peruntukan RM1 juta setiap tahun dan usahawan yang berminat boleh memohon menerusi laman sesawang Hijrah Selangor.

Kerajaan Selangor turut memperuntuk RM1.7 juta menjayakan program India Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (I-SEED) pada April bertujuan meningkatkan taraf ekonomi kaum India melalui pemberian peralatan niaga.

Amirudin mengambil peluang mengucapkan Selamat Hari Deepavali bagi seluruh masyarakat Hindu dan Sikh di negara ini terutamanya penduduk Selangor.

“Saya pasti perayaan kali ini disambut dengan meriah dan penuh semangat. En Iniya Deepavali Nal Vaalthukkal!” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan, Tengku Permaisuri harap Deepavali dirai harmoni, penuh toleransi

SHAH ALAM, 3 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor berharap Deepavali kali ini disambut dalam suasana harmoni, hormat-menghormati dan penuh toleransi dengan semangat perpaduan utuh.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj dan Tengku Permaisuri Norashikin juga mahu sambutan pesta cahaya diraikan dengan meriah tetapi mematuhi tatacara operasi piawai memandangkan Covid-19 masih menular di kalangan komuniti.

“Semoga limpahan cahaya yang menjadi simbol perayaan Deepavali mampu terus menyinari semangat perpaduan antara kaum di Malaysia dalam menghadapi cabaran dan dugaan yang mendatang. Deepavali Valthukal,” menurut kenyataan Selangor Royal Office di Facebook.

Baginda berdua juga berkenan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada semua penganut Hindu yang meraikannya.