Categories
SELANGOR

Shuhaimi: Fitnah, dakwaan tak berasas

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 NOV: Dakwaan RM8 bilion yang cuba dibawa masuk ke dalam Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan DEIG) bagi tujuan politik adalah tidak berasas.

Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, Shuhaimi Shafie, berkata dakwaan terbabit berunsur fitnah yang mahu mencalarkan kredibiliti Mohamed Azmin Ali dan Kerajaan Negeri.

yb shuhaimi“Fitnah. Tuduhan ini semua tidak berasas,” katanya kepada Selangor Kini.

Shuhaimi meminta semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) supaya tidak memutar belit sesuatu perkara dan beliau kini sedang menunggu arahan Mohamed Azmin untuk tindakan lanjut.

“Semua itu tidak berasas. Jangan putar belitkan perkara ini. Saya tunggu arahan beliau untuk sebarang tindakan lanjut,” katanya.

Pada 19 November lalu, Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) mendakwa perkara itu akan digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

Dana terbabit didakwa akan dibawa masuk melalui beberapa projek yang direka khas untuk mengaburi mata rakyat.

Terdahulu, pemimpin NGO itu menyerahkan memorandum menuntut penjelasan isu itu kepada Shuhaimi.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MB: Ghairah hujah isu DEIG, ‘roadshow’ tinggal road

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 NOV: Pengurusan baharu Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) sudah mengemukakan draf awal syor penambahbaikan enakmen badan berkenaan untuk disemak susulan isu Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG).

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata draf awal sudah diserahkan kepada penasihat undang-undang negeri untuk disemak di kamar dan tindakan itu pertama kali dilakukan sejak MBI ditubuhkan pada 1994 yang gagal dilaksanakan pentadbiran terdahulu.

“Saya nak umumkan pengurusan baru MBI, terdiri daripada profesional muda yang kompetan dan berwibawa yang sudah mengemukakan draf awal penambahabaikan enakmen MBI kepada penasihat undang-undang negeri dan sedang diteliti kamar.

MB Azmin DNS“Kalau saya nak gunakan kuasa mutlak selaku Menteri Besar seperti yang dituduh beberapa individu, maka tidak perlu pinda enakmen MBI sebab kuasanya besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan usul Jawatankuasa Pilihan Mengenai Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri (JP-ABAS) berkenaan saranan penambahbaikan struktur tadbir urus korporat MBI dan Anak-anak Syarikat (GLC), di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Katanya, tindakan meminda enakmen berkenaan bagi membolehkan aset sedia ada diuruskan dengan lebih telus serta bertanggungjawab.

Mohamed Azmin (KEADILAN-Bukit Antarabangsa) selaku wakil Kerajaan Negeri menafikan pihaknya takut terhadap hujah yang dikemukakan dalam DNS, bahkan beliau sediri berdiri selama 37 minit bagi menjawab kepada jawatankuasa sama berhubung penubuhan DEIG pada sidang lalu.

“Walaupun mengikut peraturan dewan saya tidak perlu jawab terus pada jawatankuasa dan penyata yang dibentangkan.

“Kalau tidak mengikut peraturan saya boleh cakap sekadar ambil maklum dan akan beri keterangan secara bertulis dalam sesi akan datang.

“Tetapi, saya ambil tanggungjawab untuk menjawab soalan berbangkit kerana melihat ada kecenderungan untuk memutar belitkan fakta berkenaan penubuhan DEIG sehingga ia menjadi topik perbincangan hebat.

“Bahkan ada pihak cuba membuat ‘roadshow’ (jelajah) di seluruh Selangor, forum setiap malam kononnya rakyat mahu mendengar penjelasan tetapi saya lihat kerusi lebih banyak dari orang yang hadir. Sehinggakan ‘roadshow’ itu tinggal ‘road’ sahaja ‘show’ tiada,” katanya.

Beliau turut menasihatkan Adun Pakatan supaya tidak terlalu ghairah berhujah ekoran kebimbangan manipulasi fakta, sekali gus membuka ruang pertikaian pihak tidak bertanggungjawab dan menenggelamkan isu Belanjawan Selangor 2016.

-NFN-

Categories
SELANGOR

1MDB yang perlu kertas putih bukan DEIG

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri tidak perlu menyediakan kertas putih untuk menerangkan isu Darul Ehsan Investment Group (DEIG) memandangkan syarikat itu masih belum beroperasi.

Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan), berkata beliau mengalu-alukan pembangkang untuk membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika tidak berpuas hati terhadap penerangan Kerajaan Negeri.

Najib-1MDB“Yang perlukan (kertas putih) adalah 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menyebabkan hampir RM42 bilion tergadai.

“Pergi beritahu Najib, kalau tidak puas hati dengan Kerajaan Negeri buat laporan di SPRM,” kata Suee Lim.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Penyata Jawatankuasa Pilihan Mengenai Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri (JP-ABAS) di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Penyata itu adalah berkenaan saranan penambahbaikan struktur tadbir urus korporat Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan anak syarikat.

Katanya, tindakan Barisan Nasional (BN) memburukkan DEIG bertujuan mencari modal politik untuk menimbulkan keraguan.

DNS-2015-small“Pembangkang di Selangor sudah semakin ‘lesu’ dan sengaja membangkitkan isu DEIG dengan agenda tersirat,” kata Suee Lim.

Bagaimanapun, beliau yakin rakyat semakin bijak untuk tidak terpengaruh terhadap dakwaan tidak berasas daripada BN Selangor.

“Ada tujuan dan agenda tersirat untuk menimbulkan keraguan kononnya DEIG mempunyai skandal sehingga Sungai Panjang (Budiman Mohd Zohdi) membuat jelajah seluruh negeri.

“Nasihat saya hentikanlah, jangan jadi raja putar belit,” katanya.

Penubuhan DEIG bertujuan memastikan struktur dan peranan MBI lebih jelas
dan cekap, sekaligus menyumbang secara signifikan kepada Kerajaan Negeri.

EZY

Categories
SELANGOR

Lainlah jika operasi DEIG sudah lima atau 10 tahun

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 13 NOV: Penubuhan Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG) harus dipertahankan untuk menambah baik struktur tadbir urus korporat Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan anak syarikat (GLC).

Khairuddin Othman (PAS-Paya Jaras), berkata DEIG berperanan menstruktur semula GLC yang tidak membawa keuntungan, saling bersaing serta tersasar daripada matlamat asal.

“Bagaimana kita mahu menambahbaik tadbir urus DEIG jika ia belum lagi beroperasi, lainlah jika ia sudah beroperasi lima atau 10 tahun.

khairuddin othman“Saya juga kurang setuju jika dikatakan GLC yang ada seakan tidak teratur apabila kita berjaya kutip dividen daripada GLC untuk program kebajikan seperti ‘Jom Shopping’, pemberian air percuma dan bantuan universiti,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berbahas usul Penyata Jawatankuasa Pilihan Mengenai Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri (JP-ABAS) berkenaan saranan penambahbaikan struktur tadbir urus korporat MBI dan GLC.

Katanya, keyakinan juga seharusnya diletakkan terhadap enakmen Kebebasan Maklumat (FOI) di Selangor dalam tadbir urus MBI dan GLC.

“FOI ini membabitkan GLC, jabatan kerajaan, syarikat yang dikawal kerajaan atau milik kerajaan.

“Begitu juga soal ahli lembaga pengarah bebas atau tidak, bagi saya yang penting adalah sistem perjalanan SOP (Standard of Procedure), kalau dah betul saya yakin semuanya akan dapat dikawal dengan baik,” katanya.

-NFN-

MB alu-alukan siasatan ke atas DEIG pada bila-bila masa

Dato’ Menteri Besar memberi jaminan kumpulan Pelaburan Darul Ehsan sedia disiasat Jawatankuasa Pemilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor.

Categories
SELANGOR

MB: Kerajaan Negeri jamin ketelusan DEIG

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 7 NOV: Kerajaan Negeri memberikan jaminan Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG) sedia disiasat mana-mana pihak bagi menjamin ketelusannya.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata tiada halangan sekiranya Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) mahu menyiasat badan pelaburan itu.

MB AzminKatanya, Kerajaan Negeri juga mahu DEIG melapor urusannya kepada Jabatan Audit Negara.

“Kita mengamalkan prinsip ketelusan dan ini adalah jaminan Kerajaan Negeri sejak awal-awal lagi,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas upacara pembukaan Persidangan Usahawan Malaysia-China Kelima, di sini hari ini.

Katanya, entiti itu masih belum beroperasi seperti mana didakwa pelbagai pihak malah ia sedang melalui proses penstrukturan tadbir urus yang baik.

“Tetapi, DEIG belum beroperasi lagi jadi apa yang hendak disiasat tetapi kalau nak siasat juga terpulanglah,” kata Mohamed Azmin.

Mohamed Azmin mengulas kenyataan Adun Pelabuhan Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mahu SELCAT dan Jabatan Audit Negara menyiasat DEIG.

Mantan Menteri Besar itu berkata siasatan perlu dijalankan dengan kadar segera terutama mengenai tawaran pinjaman bank RM500 juta kepada salah satu anak syarikat kumpulan terbabit.

Terdahulu, Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Soffan Affendi Aminudin, berkata wujud permohonan pinjaman itu tetapi ditolak lembaga pengarah.

Katanya, Kerajaan Negeri ingin menyelesaikan masalah hutang Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) berjumlah 424.728 juta melalui pelbagai kaedah
bagi memastikan keputusan tepat dan diurus dengan prinsip kebertangungjawaban.

EZY

Categories
SELANGOR

DEIG tolak tawaran pinjaman bank

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 NOV: Darul Ehsan Investment Group (DEIG) tidak menerima tawaran pinjaman daripada sebarang pihak walaupun terdapat beberapa bank terkemuka bersetuju memberinya kepada syarikat itu.

Ketua Pegawai Operasi, Soffan Affendi Aminudin, berkata tawaran pinjaman itu ditolak selepas Ahli Lembaga Pengarah DEIG menolak cadangan yang dibentangkan pihak pengurusannya.

soffan“Fungsi pihak pengurusan, menyediakan kaedah dan cadangkan kepada pihak pengarah dan untuk itu lembaga pengarah menolak cadangan terbabit.

“Kita ada terima tawaran pinjaman daripada pihak bank. Bila terima tawaran itu, kita kena bincang dengan lebih lanjut tetapi bila dibentangkan, ia tidak diluluskan. Jadi, kita tidak bentangkan dengan lebih lanjut kerana awal lagi dah ditolak lembaga pengarah,” katanya di Lobi Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Katanya, DEIG juga tidak pernah meletakkan sebarang cagaran kepada pihak bank ekoran lembaga pengarah menolak cadangan menggunakan sumber pinjaman itu.

Soffan turut menolak dakwaan Kerajaan Negeri mengarahkan DEIG menggantung operasinya kerana ketika ini syarikat belum beroperasi.

“DEIG belum beroperasi tetapi kita tengah merancang dan melihat apa yang ada dalam MBI,. Kita kena selesaikan segala permasalahan yang kaedahnya pelbagai.

“Bagaimana kita nak hentikan atau gantung operasinya kerana ia memang belum dijalankan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Kongsi perkembangan terkini DEIG di DNS

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 NOV: Perkembangan terbaru Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG) perlu dikongsi di Dewan Negeri Selangor (DNS), kata Yeo Bee Yin (DAP-Damansara).

Beliau berkata, pembentangan kertas putih DEIG juga seharusnya dilakukan pada persidangan seterusnya.

yeo bee yin“Kita diberitahu kertas putih tidak dapat dibentang pada sidang kali ini tetapi saya kira pembentangannya penting dan perlu dilakukan.

“Buat masa ini, kita harap jasa baik Dato’ Menteri Besar untuk memberi sedikit perkembangan terkini DEIG dalam sesi penggulungan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan di DNS, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Bee Yin turut menggesa penjelasan Kerajaan Negeri berhubung pinjaman kepada anak syarikat Kerajaan Negeri pada 2014.

“Seperti status pinjaman kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri berjumlah ratusan juta.

“Kita juga mahu tahu langkah Kerajaan Negeri dalam memastikan bagaimana kutipan balik dapat dilakukan tanpa kelewatan,” katanya.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA

Pelaburan kurang ummph, DEIG ubat ‘penyakit’ MBI

Oleh: AFEEQA AFEERA

Belum beroperasi tapi kontroversi. Itu antara gambaran yang boleh diberikan jika disebut berkenaan Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG).

Walaupun niat penubuhannya murni, namun sering disalah ertikan hingga memberi gambaran buruk kepada syarikat itu. Jika diteliti, tiada apa yang salah berkenaan DEIG jauh sekali disorok seperti didakwa individu tertentu.

Idea penubuhan DEIG timbul apabila Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali merasakan pelaburan di Selangor kurang ‘ummph’ di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Pelancaran Darul Ehsan Investment Group di SACC MB (ASRI)Bukan kata MBI tidak bagus, cuma pemerbadanan itu ‘tempang’ dan perlu diubati sebelum kerugian lebih besar terpaksa ditanggung Kerajaan Selangor.

Nah, mana silapnya kalau Mohamed Azmin cuba betulkan lompong yang ada?

Di fikiran Dato’ Menteri Besar itu, jika MBI dibiarkan kekal di tampuk lama, maka peluang Selangor untuk menambah pendapatan bagaikan samar.

Isu penghapusan legasi kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga tidak timbul kerana MBI sudah wujud sejak sekian lama tetapi tidak di ‘touch up’ ketika itu.

Pada ketika itu, MBI adalah satu-satunya entiti yang terpaksa menguruskan dua agenda utama iaitu program kemasyarakatan atau kerakyatan dan pelaburan.

Keadaan itu menyebabkan MBI hilang identiti dan berlaku kecelaruan pentadbiran apabila terpaksa ‘bersengkang mata’ menjalankan dua tanggungjawab berat pada masa sama.

Memang diakui MBI punya sumbangan besar tetapi tidak salah jika DEIG diwujudkan untuk meringankan beban pemerbadanan itu.

DEIG akan berfungsi sebagai syarikat induk pelaburan 100 peratus milik MBI yang bakal menjalin kerjasama dengan syarikat swasta untuk mewujudkan keuntungan dua hala.

sijil-daftar-DEIGMana-mana anak syarikat yang didapati kurang memberangsangkan atau tidak menjana keuntungan perlu memikirkan pendekatan baru yang akan meningkatkan ekonomi negeri.

Hasil keuntungan itu bukan untuk poket kroni tetapi untuk dikembalikan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk seperti Rumah Selangorku, manakala MBI pula hanya memfokuskan kepada program tanggungjawab sosial seperti Hijrah, Wifi Selangorku dan Yawas.

Bila tidak timbul pertindihan tugas, maka lebih mudah untuk kedua-dua entiti itu menggalas tanggungjawab masing-masing, bahkan peranan mereka lebih jelas dan kemas bila langkah itu diambil.

Kerja secara berpasukan lebih membuahkan hasil daripada hanya bergantung kepada satu badan sahaja untuk menjalankan pentadbiran.

Ada yang nakal berkata DEIG bebas audit, maka segala aliran tunai keluar atau masuk daripada syarikat itu dilakukan secara sembunyi.

Betulkan fakta anda kerana sebarang maklumat operasi dan kewangan di peringkat DEIG akan direkod dalam MBI melalui kaedah akaun disatukan.

Ini bermakna segala aktiviti kewangan yang berlaku akan dipantau sendiri Dato’ Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Ketua Pegawai Eksekutif MBI dan Ketua Pegawai Operasi MBI.

MBI kemudian akan membentangkan akaun disatukan itu termasuk transaksi di peringkat DEIG kepada Kerajaan Negeri dan terbuka untuk diaudit Jabatan Audit Negara.

DEIG UsahasamaUntuk lebih meyakinkan rakyat, akaun DEIG akan turut diaudit oleh firma terkemuka yang dilapor terus kepada Jawatankuasa Audit dan Risiko.

DEIG juga dikehendaki mengemukakan akaun yang diaudit secara berkala dan terbuka kepada penelitian awam dan boleh dinilai agensi kerajaan atau Jawatankuasa Dewan Negeri Selangor (DNS).

Tidak cukup itu, Mohamed Azmin mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat DEIG jika benar syarikat itu terlibat dengan penyalahgunaan dana.

Sekali lagi, ‘peluru’ Barisan Nasional (BN) sebagai pembangkang Selangor tersasar apabila SPRM menyatakan tiada kesalahan rasuah membabitkan DEIG.

Apa lagi yang perlu dirunsingkan? Bertenang, biarlah DEIG bernafas dulu sebelum dikritik membabi buta.

Bukan mengharamkan kritikan atau pandangan, cuma DEIG masih ‘bertatih’ jadi berilah peluang.

Hakikatnya di DEIG, sebarang hal ehwal kewangan tidak akan dilaksanakan selagi sistem tadbir urus dan ketelusan tidak diterapkan ke dalam entiti itu. Jangan disamakan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sudah busuk dan bernanah tapi masih mahu diselindung.

DEIG punya banyak masa memperbetulkan kekurangan untuk memastikan ia benar-benar bermanfaat kepada rakyat Selangor.

Categories
SELANGOR

DEIG bukan ditubuh senyap-senyap

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 SEP: Penubuhan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) bukan secara senyap-senyap seperti dakwaan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sebaliknya dilancarkan penuh gemilang dalam majlis mendapat liputan pelbagai media tempatan.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Mengenai Agensi Badan Berkanun dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri Bagi Dewan Negeri Selangor (JP-ABAS), Rodziah Ismail berkata, ini membuktikan pemimpin Umno menerima fakta tidak tepat sekaligus mengelirukan rakyat.

Pelancaran Darul Ehsan Investment Group di SACC MB (2)“Saya rasa pihak luar ini tidak faham kerana banyak diberikan fakta tidak benar. Saya nasihatkan kepada yang nak jadi hero ini seperti Adun Sungai Panjang yang siap masuk televisyen.

“Khairy Jamaluddin sendiri, bila saya dengar balik, banyak apa dikatakannya itu salah,” katanya.

Jelas beliau, DEIG berbeza dengan 1MDB yang hanya diketahui umum selepas Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report dalam laporan masing-masing membongkar skandal melibatkan berbilion ringgit itu.

Pelancaran Darul Ehsan Investment Group di SACC MB (ASRI)Tambah Rodziah, bagaimanapun JP-ABAS akan menyemak semula prosedur penubuhan syarikat dan mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan dilakukan sekiranya perlu.

“Kami di pihak JP-ABAS sendiri bila melihat perkara ini, didapati perlu kembali kepada matlamat asas penstrukturan MBI dan MBI dah ambil langkah itu untuk mewujudkan DEIG tetapi pada masa sama kita ada pandangan supaya penambahbaikan dibuat.

“Selain daripada itu tiada isu lain dibangkitkan. Kita masih bercakap tentang akauntabiliti seperti bagaimana nak uruskan aset syarikat nanti,” kata Rodziah lagi.

Pada 20 Mei lalu, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali melancarkan Agenda Makmur Selangor dan DEIG dalam majlis gemilang di hadapan kira-kira 200 hadirin dan lebih 10 wakil media tempatan.

EZY

Categories
SELANGOR

Penubuhan DEIG tepat waktunya, pacu pelaburan

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 SEP: Penubuhan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) sesuai pada masanya sebagai entiti penambah nilai dan pelaburan ke arah mengukuh serta meningkatkan hasil negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, Dr Fahmi Ngah, berkata ini kerana Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, ingin melihat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) memberi fokus lebih baik terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Dengan adanya DEIG maka MBI fokus kepada perkara itu iaitu membelanjakan hasil negeri untuk program pembangunan rakyat.

Pelancaran Darul Ehsan Investment Group di SACC MB (ASRI)“DEIG pula fokus bagi pelaburan maka dua perkara ini memerlukan dua kepakaran berbeza,” katanya kepada Selangor Kini.

Fahmi berkata, DEIG ialah entiti penyumbang seperti Khazanah Nasional Berhad (Khazanah Nasional) dan Temasek Holdings Private Limited (Temasek) diyakini bebas pengaruh politik dengan ketetapan Dato’ Menteri Besar menerusi keanggotaan tenaga profesional dalam lembaga pengarahnya.

Katanya, Mohamad Azmin turut menzahirkan komitmen agar DEIG perlu mempunyai tahap ‘the highest standard of government’.

“Contoh boleh diambil seperti Temasek dimiliki Kerajaan Singapura dipengerusikan Perdana Menteri serta dianggotai ahli lembaga pengarah bukan dari kalangan ahli politik.

“Terdapat klausa dalam struktur tata kelola Temasek menyatakan Presiden dan sebarang ahli politik bertaraf menteri yang berada dalam lembaga pengarah tidak boleh campur tangan dalam sebarang keputusan membabitkan pelaburan dan perniagaan.

“Dato’ Menteri Besar dilihat mengambil insiatif sebegitu maka tohmahan mengatakan DEIG macam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), rakyat boleh menilai sendiri,” katanya.

Beliau berkata, DEIG juga berperanan sebagai pemangkin baharu apabila anak syarikat yang ada tidak memainkan peranan sebagaimana dikehendaki.

“Kerajaan Negeri mempunyai banyak anak syarikat dan perlu distruktur semula untuk hasil pulangan lebih baik.

“Keadaan sepatutnya anak syarikat membantu negeri tetapi berlaku sebaliknya,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

MB ulangi DEIG sedia diaudit, tiada masalah

Oleh: LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 8 SEP: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali sekali lagi mengulangi pendirian Kerajaan Selangor untuk diaudit termasuk anak syarikatnya, Kumpulan Pelaburan Darul Ehsan (DEIG).

Beliau berkata, pihaknya tiada masalah untuk memberi kerjasama kepada mana-mana pihak melakukan audit.

Pelancaran Darul Ehsan Investment Group di SACC MB (ASRI)Katanya, kesediaan berkenaan sudah dinyatakan secara jelas di dalam Dewan Negeri Selangor (DNS) lalu.

“Kita sedia diaudit sama ada oleh Jabatan Audit Negara, Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) dan Jawatankuasa Pilihan.

“Kalau sekarang disambut Tan Sri Ambrin Buang, bagus dan masuklah. Tetapi kalau masuk belum operasi lagi, nak semak apa,” sindirnya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang bersedia mahu mengaudit DEIG.

Ambrin berkata, buat masa ini beliau sedang menyemak dan meneliti butiran berhubung penubuhan syarikat itu.

DEIG merupakan anak syarikat Kerajaan Negeri yang menguruskan pelaburan anak-anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Syarikat itu bagaimanapun masih dalam proses penubuhan dan hanya beroperasi pada 2016.

EZY