Categories
AGENDA GLOBAL

Demonstrasi Hong Kong musnahkan kedai dan bank

HONG KONG, 9 DIS: Sekumpulan penunjuk perasaan yang ganas memusnahkan kedai dan sebuah bank di Teluk Causeway serta Wan Chai dalam satu demonstrasi di Hong Kong pada Ahad, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan polis.

Polis memberi amaran supaya mereka tidak melakukan tindakan menyalahi undang-undang yang mengancam ketenteraman dan keselamatan awam.

Satu perhimpunan awam diadakan di Victoria Park pada Ahad tengah hari disusuli perarakan yang dijangka tamat di Chater Road di daerah pusat.

Beberapa peserta menyimpang dari laluan yang diluluskan dan menduduki sebahagian Gloucester Road dan Des Voeux Road Central.

Polis turut meminta semua peserta supaya tidak menyimpang dari laluan yang diluluskan dan menasihati mereka bersurai selepas perhimpunan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Aktivis demokrasi Hong Kong ditahan

HONG KONG, 30 OGOS: Aktivis demokrasi Hong Kong, Joshua Wong ditahan hari ini sebelum dia sempat mengetuai satu lagi gerakan tunjuk perasaan yang dijangka berlangsung pada hujung minggu ini.

Menurut Reuters, krisis politik yang sedang melanda Hong Kong itu adalah yang terbesar selepas Beijing menyerahkan wilayah itu lebih dua dekad lalu.

Joshua yang pernah memimpin kempen mendapatkan kemerdekaan penuh dalam tunjuk perasaan pada 2014 hingga melumpuhkan sebahagian bandar itu selama 79 hari dibebaskan pada Jun 2019 selepas lima minggu dipenjara kerana menghina mahkamah.

“Wong tiba-tiba ditolak masuk ke dalam sebuah kereta persendirian,” kata jurucakap parti politik Demosisto di akaun Twitter rasmi.

“Kini dia dibawa ke ibu pejabat polis di Wan Chai,” katanya.

Polis enggan mengulas lanjut ketika cuba dihubungi media.

Pergolakan di Hong Kong semakin teruk pada pertengahan Jun lalu berpunca daripada rang undang-undang ekstradisi yang membenarkan rakyatnya dihantar ke tanah besar China untuk dibicarakan.

Khamis lalu China menghantar pasukan tentera baharu ke Hong Kong yang disifatkan sebagai rutin oleh media rasmi negara itu.

Terdahulu Polis menolak permohonan untuk mengadakan perarakan prodemokrasi esok, namun penganjur tetap membuat rayuan terhadap keputusan itu.