Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Syarikat bina lebuh raya didenda RM75,000 lepaskan air larian lebihi had

SHAH ALAM, 24 FEB: Sebuah syarikat pembinaan lebuh raya didenda RM75,000 kerana melepaskan air larian permukaan melebihi had diluluskan dalam Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor berkata hukuman dijatuhkan Hakim Mahkamah Seksyen Ampang Jumirah Marjuki selepas pengarah syarikat selaku orang kena saman mengaku bersalah.

“Menurut fakta kes, pada 11 September 2020 pegawai penguat kuasa JAS mendapati kandungan pepejal dalam air larian permukaan daripada tapak projek lebuh raya sebanyak 1,190 miligram per liter.

“Jumlah itu telah melebihi had yang dibenarkan dalam syarat kelulusan laporan EIA iaitu sebanyak 50 miligram per liter,” kata Nor Aziah Jaafar dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata syarikat terbabit melanggar Seksyen 34A(7) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntuk denda sehingga RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Empat warga asing didenda, penjara seleweng gas bersubsidi

SHAH ALAM, 26 JAN: Seorang daripada empat warga asing didenda RM60,000 kerana menyeleweng gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi membabitkan nilai rampasan sejumlah RM65,310.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor berkata sekiranya gagal membayar denda, pelaku dipenjara 10 bulan manakala tiga lagi individu dipenjara 10 bulan.

Menurut Muhammad Zikril Azan Abdullah suspek masing-masing mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah 8, Shah Alam ketika dibicarakan pada 13 dan 24 Januari lalu.

“Kesalahan adalah mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 (tidak mempunyai lesen atau menjual barang kawalan),” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata dalam serbuan di premis tidak berlesen di Bukit Kemuning pada November tahun lalu, pihaknya turut merampas 204 unit tong LPG seberat 14 kilogram (kg), 71 tong LPG (50 kg) dan beberapa barangan lain.

KPDNHEP turut memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat lebih bertanggungjawab menjalankan perniagaan dan tidak melakukan penyelewengan terutama membabitkan barangan bersubsidi.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung salah laku tidak beretika boleh mengemukakan aduan melalui saluran rasmi berikut:

  • Portal e-aduan.kpdnhep
  • Call Centre 1-800-886-800
  • Emel [email protected]
  • Ez ADU KPDNHEP
  • Bilik Gerakan KPDNHEP Selangor di talian 03-5514 4393/5518 1810/ 5512 5485
  • WhatsApp 019-279 4317
Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Denda lewat bayar cukai taksiran dikecualikan ringan beban rakyat

SHAH ALAM, 21 NOV: Kerajaan Negeri mengecualikan bayaran denda lewat cukai taksiran bagi penggal kedua tahun ini untuk mengurangkan beban rakyat susulan pandemik.

Keputusan yang diluluskan pada 17 November melibatkan implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM13.8 juta, kata EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han.

“Keputusan ini selaras inisiatif dan ketetapan Kerajaan Negeri untuk mengurangkan beban ekonomi rakyat dalam berhadapan penularan wabak Covid-19.

“Sehubungan itu, semua pemilik premis/ bangunan yang lewat menjelaskan cukai taksiran untuk penggal tersebut tidak akan dikenakan denda lewat bayar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga mengingatkan orang ramai untuk menyemak penyata cukai taksiran masing-masing bagi memastikan bayaran dilaksanakan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Categories
SELANGOR

Bekas polis dipenjara, denda halang tugas penguasa di KLIA

SEPANG, 9 NOV: Bekas anggota polis dijatuhi hukuman penjara tujuh hari selain didenda RM5,000 kerana menghalang tugas anggota polis yang mengeluarkan saman, terhadap kenderaan di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2 Nov lepas.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Basri Lebai Bawai, 55, yang kini seorang peniaga manakala anaknya, Muhammad Saari Basri, 22, didenda RM2,500 selepas mereka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini, menghalang Lans Koperal Ikhwan Syafiq Ismail daripada menjalankan tugasnya.

Dua beranak itu didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Pintu Lima dan Pintu Enam di aras lima terminal utama KLIA kira-kira 1 tengah hari pada 2 Nov lepas, mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman pemenjaraan ke atas Basri bermula dari tarikh tangkap pada 5 Nov lepas serta mereka masing-masing akan dipenjara 10 bulan dan tiga bulan, jika gagal membayar denda RM5,000 dan RM2,500 tersebut.

Mengikut fakta kes, ketika Ikhwan Syafiq yang sedang bertugas di tempat kejadian, beliau telah dimaki Basri kerana berang disaman oleh rakan pengadu atas kesalahan parkir kereta di kawasan orang kurang upaya (OKU), serta menghalang lalu lintas.

Ikhwan Syafiq kemudian menuju ke arah kereta Basri dan mengarahkan tertuduh menunjukkan kad pengenalan serta lesen memandu, namun dia enggan dan terus masuk ke dalam kereta.

Pengadu cuba menghalang Basri daripada bergerak, namun Muhammad Saari yang merupakan pemandu kereta terus memandu kenderaan tersebut dengan cara berbahaya serta seakan mahu melanggar pengadu, dan mereka berdua terus melarikan diri.

Dalam rayuan, peguam Zaflee Pakwanteh yang mewakili dua beranak itu memohon, agar mahkamah mengenakan hukuman yang ringan atas alasan kedua-dua anak guamnya, Basri merupakan peniaga yang terkesan akibat pandemik Covid-19, manakala Muhammad Saari masih belajar.

“Kesalahan tersebut timbul akibat isu salah faham kerana Basri menghantar saudaranya yang merupakan OKU ke KLIA, namun keretanya tidak mempunyai pelekat OKU,” hujah Zaflee.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada kedua-dua mereka, kerana isu kemarahan tidak patut dijadikan alasan untuk mereka melakukan kesalahan tersebut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Denda RM10 juta, penjara buat pelaku jenayah alam sekitar

SHAH ALAM, 20 OKT: Pelaku jenayah pencemaran alam sekitar bakal berdepan denda minimum tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM10 juta mulai tahun depan.

Cadangan dibuat melalui pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku pertama tahun depan, lapor Berita Harian.

Tindakan itu susulan desakan rakyat yang mahu hukuman setimpal dikenakan terhadap penjenayah terutama membabitkan pencemaran sungai, kata menteri alam sekitar dan air.

“Insya-Allah, pindaan ini akan dibentangkan pada suku pertama 2022 di Parlimen tertakluk kepada kelulusan jemaah menteri.

“Doakan agar proses pindaan ini berjalan lancar demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar,” kata Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Facebook.

Beliau berkata intipati cadangan pindaan fasa 1 membabitkan kenaikan kompaun daripada RM2,000 kepada tidak lebih 50 peratus daripada jumlah penalti maksimum yang diperuntuk bagi kesalahan.

Jelasnya, cadangan juga mengenakan hukuman mandatori penjara tidak lebih lima tahun terutama melibatkan kesalahan pencemaran air dan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Pada April, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia menggesa kerajaan meminda AKAS 1974 bagi mengenakan hukuman lebih berat kepada pihak yang gagal mengurus bahan buangan mengikut peraturan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Alih meja makan tanpa izin tuan rumah, peniaga didenda RM800

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Gara-gara mengalih satu set meja makan kayu dari rumah sewanya ke tempat yang lain tanpa keizinan pemilik, seorang peniaga didenda RM800 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Selayang hari ini.

Majistret Nik Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhamad Ferrul Azieman Mohd Rosdi, 29, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Indah Gemilang, Batu Caves pada 3 petang, 14 Mei lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15(2)(c) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada 15 Mac lepas, pengadu mendapati set meja makan di rumahnya telah hilang dan hasil daripada maklumat rakannya, lelaki itu telah pergi ke sebuah rumah di Taman Indah Gemilang, yang diduduki bekas penyewanya iaitu tertuduh dan mendapati perabot tersebut berada di situ.

Ketika rayuan, peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda minimum atas alasan itu adalah kesalahan pertama anak guamnya dan dia juga berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama serta akan lebih berhati-hati.

“Anak guam saya seorang peniaga dan rumah tersebut disewa untuk dijadikan pejabat. Apabila ingin keluar dari rumah sewa tersebut, pekerjanya telah mengalihkan set meja makan itu dan membawanya ke rumah diduduki anak guam kerana menyangka ia adalah milik majikan mereka,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni bagaimanapun memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh. Tertuduh membayar denda tersebut.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Pemilik kilang simpan minyak pelincir terpakai dipenjara, didenda

SHAH ALAM, 8 MEI: Pemilik sebuah kilang yang menjalankan aktiviti penstoran minyak pelincir terpakai di Telok Panglima Garang, Kuala Langat dipenjara sehari oleh Mahkamah Sesyen Sepang.

Hakim Noorhisham Jaafar menjatuhi hukuman ke atas pemilik berusia 37 tahun selaku orang kena saman (OKS) selain mengarahkannya membayar denda sebanyak RM85,000.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor berkata OKS mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan menjalankan aktiviti terbabit tanpa kebenaran jabatan tersebut.

“Pada 24 Oktober 2019, OKS didapati menempatkan buangan terjadual di premisnya tanpa kelulusan ketua pengarah Alam Sekeliling mengikut Seksyen 34B(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Sabit kesalahan boleh dipenjara lima tahun dan denda tidak melebihi RM500,000,” kata Nor Aziah Jaafar dalam kenyataan semalam.

Bagi pertuduhan kedua, beliau berkata pemilik didapati menjalankan aktiviti tanpa kelulusan Laporan EIA seperti kehendak mengikut Seksyen 34A(2), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Sementara pertuduhan ketiga, pemilik didapati menjalankan aktiviti berkenaan tanpa Kebenaran Bertulis daripada ketua pengarah mengikut Seksyen 19(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Bagi pertuduhan terakhir, pemilik menjalankan aktiviti tanpa lesen sebagai Premis Yang Ditetapkan daripada ketua pengarah mengikut Seksyen 18(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” kata Nor Aziah.

Beliau menegaskan JAS Selangor tidak akan berkompromi terhadap penjenayah alam sekitar dan sentiasa mengambil tindakan tegas.

Aktiviti pencemaran alam sekitar boleh dilapor melalui talian bebas tol 1-800-88-2727, e-mel [email protected] atau portal e-aduan di https://eaduan.doe.gov.my.

Categories
AGENDA GLOBAL

Individu tunai umrah tanpa permit berdepan denda RM11,000

SHAH ALAM, 9 APRIL: Individu memasuki Mekah untuk menunaikan umrah di Masjidil Haram tanpa permit sah pada bulan Ramadan berdepan denda sebanyak SR10,000 (RM11,015).

Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi berkata peraturan baharu itu dilaksanakan hingga berakhirnya pandemik dan kehidupan masyarakat kembali normal, lapor Berita Harian.

“Individu yang memasuki Mekah untuk menunaikan solat di Masjidil Haram tanpa permit perlu membayar denda SR1,000 (RM1,100),” kata kementerian itu.

Tambahnya, orang awam dan ekspatriat boleh mendapatkan permit menunaikan umrah dan solat di tempat suci itu melalui aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna.

Sebelum ini, Arab Saudi dilaporkan bersedia untuk menerima jemaah umrah yang sudah menerima suntikan vaksin sempena Ramadan.

Permit umrah akan diberikan kepada mereka yang sudah menerima dua dos vaksin Covid-19, mereka yang imun selepas 14 hari menerima dos pertama, dan mereka yang imun serta sudah pulih daripada jangkitan.

Categories
PBT SELANGOR

Dua individu didenda parkir lori tepi jalan, bela anjing tanpa lesen

SHAH ALAM, 8 APRIL: Dua individu di Kuala langat disaman RM1,500 atau sebulan penjara selepas didapati bersalah meletakkan lori di bahu jalan dan membela anjing tanpa kebenaran.

Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) berkata pesalah pertama iaitu pengusaha syarikat pengangkutan didakwa meletakkan lori melebihi 2 tan metrik di bahu jalan di kawasan Taman Sri Putra, Banting.

“Dia didakwa di bawah Undang-Undang Kecil 7(1), Undang-Undang Kecil Taman (MDKL) 2005.

“Individu kedua pula didakwa di bawah Undang-Undang Kecil 3(1), Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing (MDKL) 2007 iaitu memelihara dan menyimpan anjing tanpa lesen di Taman Yayasan, Jenjarom,” menurut kenyataan di Facebook.

Kedua-dua pendakwaan dilakukan Ketua Pegawai Pendakwa MPKL Tuan Hasrizal Abdul Rahim di hadapan Majistret Mahkamah Telok Datok, Tuan Saifuddin Rafiee hari ini.

Categories
PBT SELANGOR

Tiga individu didenda langgar undang-undang PBT Kuala Langat

SHAH ALAM, 17 MAC: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mengenakan tindakan undang-undang terhadap tiga individu yang melakukan kesalahan di daerah itu semalam.

Yang Dipertua Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata individu pertama, juruteknik swasta didakwa kerana membuang bungkusan sampah daun di SP 1, Bandar Saujana Putra.

“Tertuduh dikenakan kompaun RM700 mengikut kesalahan Undang-Undang Kecil 3(a) Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran (MDKL) 2007 oleh Mahkamah Majistret Telok Datok,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, individu kedua yang mengusahakan sarang burung walit tanpa lesen didakwa di bawah Undang-Undang Kecil 3(1)(a), Undang-Undang Penternakan Burung Walit (MDKL) 2013 dan didenda RM1,200.

Amirul menambah individu ketiga pula didenda RM500 di bawah Seksyen 74, Akta 171, Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana membiarkan kediaman dalam keadaan kotor dan bersemak di Taman Sri Putra.

Categories
PBT SELANGOR

Dua individu didenda buang perabot tepi jalan, niaga tanpa lesen

SHAH ALAM, 11 MAC: Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting semalam menjatuhkan hukuman denda atau penjara terhadap dua individu yang melakukan kesalahan membuang sampah dan meniaga tanpa lesen.

Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) berkata individu pertama merupakan tukang masak hotel didenda RM600 atau penjara sehari kerana membuang perabot di kawasan Jalan SP 1, Bandar Saujana Putra.

“Tertuduh didakwa atas kesalahan Undang-Undang Kecil 3(a) Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran (MDKL) 2007,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Tambahnya, individu kedua didenda RM1,500 kerana menjalankan perniagaan rokok elektronik tanpa lesen dari pihak berkuasa tempatan itu di kawasan sama.

“Tertuduh didakwa atas kesalahan Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDKL) 2007,” katanya.

Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah di hadapan Majistret Tuan Saifuddin Rafiee.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Denda individu ingkar SOP naik RM10,000 mulai 11 Mac

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Individu yang melanggar peraturan atau tatacara operasi piawai (SOP) bagi pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19 berdepan hukuman denda maksimum RM10,000 mulai 11 Mac.

Perkara itu dinyatakan dalam Ordinan Darurat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang dimuat naik dalam Portal rasmi Jabatan Peguam Negara semalam.

Ordinan itu turut menyatakan syarikat atau perbadanan yang melakukan kesalahan berkaitan SOP boleh didenda sehingga RM50,000.

Warta itu menyebut bahawa suatu Ordinan yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menurut Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bahawasanya disebabkan oleh suatu darurat besar sedang berlaku yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan berikutan wabak penyakit berjangkit iaitu Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19), suatu Proklamasi Darurat telah dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan pada 11 Januari 2021.

Ia menyatakan yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa tindakan serta-merta adalah dikehendaki untuk meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang dinamakan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Ordinan itu turut merangkumi pindaan terhadap penalti umum mengikut Seksyen 24 dan menyatakan mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah Akta itu, yang tiada penalti diperuntukkan dengan nyata, berdepan hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda RM100,000.

Ia juga menyebut bahawa orang yang diberi kuasa boleh mengarahkan pesakit Covid-19 atau kontak rapat untuk memakai peranti pengesanan seperti gelang tangan atau apa-apa peranti lain yang diberikan pegawai yang diberi kuasa.

“Mana-Mana orang yang memusnahkan, merosakkan, menghilangkan atau mengubah peranti pengesanan itu melakukan suatu kesalahan,” menurut ordinan itu.

Selain itu, bagi syarikat yang melanggar SOP tersebut, wakilnya boleh didakwa di mahkamah.

-BERNAMA