Categories
PBT SELANGOR

Hulu Langat catat 861 kes denggi, kedua tertinggi di Selangor

SHAH ALAM, 26 FEB: Hulu Langat mencatatkan peningkatan kes denggi sebanyak 25.5 peratus tahun ini kepada 861 kes dalam tempoh tujuh minggu pertama tahun ini, kata yang dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Najmuddin Jemain berkata hanya 641 kes direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Secara keseluruhan Selangor mencatatkan 3,313 kes tetapi tiada kematian dilaporkan.

“Hulu Langat berada di kedudukan kedua tertinggi membabitkan 861 kes selepas Petaling dengan 1,093 kes.

“Daripada jumlah itu, kawasan di bawah pentadbiran MPKj merekodkan 672 kes,” katanya pada majlis mesyuarat bulanan MPKj semalam.

Beliau berkata kes denggi dalam kawasan pentadbirannya melibatkan 43 lokaliti dengan tiga kawasan panas dikesan, iaitu dua di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dan satu di DUN Semenyih.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan belanjawan negeri pada November lalu memaklumkan peruntukan RM5 juta bagi mencegah dan mengawal denggi.

Ia termasuk kaedah penerokaan teknologi baharu seperti dron untuk mengesan lokasi wabak selain membangunkan aplikasi.

Categories
PBT SELANGOR

Kes denggi di Petaling Jaya turun 20 peratus setakat Januari

SHAH ALAM, 2 FEB: Kes demam denggi sekitar Petaling Jaya turun 20 peratus kepada 60 kes setakat 8 Januari berbanding 75 kes pada minggu sebelum.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir dalam kenyataan menyebut tiada kes kematian baharu dilaporkan sepanjang tempoh tersebut.

Menurutnya, lima lokaliti titik panas ialah Apartment Lestari PJU 10, Kondo Armanee PJU 8, Teres SS 4A, Teres SS3 dan PPR Lembah Subang 2.

“Majlis Bandaraya Petaling Jaya sentiasa memeriksa rumah ke rumah dan persekitaran termasuk melakukan semburan bagi mengelakkan peningkatan kes demam denggi.

“Usaha ini giat dijalankan pada waktu malam dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Petaling,” katanya.

Mohamad Azhan menambah sebanyak 50 peratus pemeriksaan rumah ke rumah berjaya dicapai ketika operasi waktu malam berbanding 20 peratus pada siang.

Beliau turut meminta orang ramai untuk memeriksa dan menghapuskan tempat pembiakan jentik-jentik selain memastikan bekas bertakung air ditutup.

“Terima kasih juga kepada penduduk kerana memberi kerjasama untuk menjalankan operasi ini,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Kes denggi di Sepang turun lebih 80 peratus

SHAH ALAM, 30 SEPT: Sepang merekodkan 299 kes demam denggi setakat 26 September, turun 86.3 peratus bagi tempoh sama tahun lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Dato’ Abd Hamid Hussain berkata pada minggu epid sama tahun lalu sebanyak 2,179 kes demam denggi dilaporkan.

“Penurunan mendadak kes demam denggi berlaku apabila pada minggu epid ke-38 tahun ini mencatatkan perbezaan sebanyak 1,880 berbanding minggu sama tahun lalu,” katanya menerusi kenyataan.

Abd Hamid berkata jumlah kes demam denggi di daerah itu juga menunjukkan konsisten sepanjang minggu epid ke-34 hingga minggu epid ke-38.

Beliau menjelaskan pada minggu epid ke-34 sebanyak lima kes demam denggi didaftarkan diikuti minggu epid ke-35 (empat), minggu epid ke-36 (tujuh), minggu epid ke-37 (empat) dan meningkat 11 kes pada minggu epid ke-38.

Bagaimanapun, orang ramai dinasihat terus menjaga kebersihan dengan memastikan tiada takungan air di sekeliling kawasan kediaman.

Categories
PBT SELANGOR

Kes denggi Petaling Jaya turun 71 peratus setakat September

SHAH ALAM, 29 SEPT: Kes demam denggi sekitar Petaling Jaya turun 71 peratus kepada 952 kes setakat 18 September berbanding 3,240 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Sebanyak sembilan lokaliti wabak terkawal turut dilaporkan, satu lokaliti tidak terkawal dan satu lagi titik panas, juga dalam tempoh sama, menurut Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Meskipun laporan kes demam denggi menurun, Majlis berharap penduduk Petaling Jaya tidak alpa menjaga kebersihan kediaman masing-masing,” kata Unit Komunikasi Korporatnya dalam kenyataan.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menasihatkan orang ramai meluangkan masa 10 minit membersihkan rumah dengan memusnahkan bekas yang boleh membiak Aedes.

Menurut MBPJ, kawasan takungan air seperti saluran hujan tersumbat dan lantai rata juga perlu sentiasa dibersihkan selain meletakkan ubat jentik-jentik.

“Komitmen penuh dan kerjasama semua penduduk Petaling Jaya amatlah diharapkan bagi memastikan kes denggi ini akan terus menurun.

“Lindungi diri, masyarakat serta keluarga anda dari bahaya demam denggi yang boleh membawa maut. Tiada Aedes tiada denggi,” kata PBT itu lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes demam denggi turun 20 hingga 94 peratus tahun ini

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Kes demam denggi menunjukkan penurunan antara 20 hingga 94 peratus di semua negeri di Malaysia pada tahun ini berbanding tahun lepas, menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata bermula Januari sehingga 6 Ogos 2021, jumlah kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 16,565 kes berbanding 63,988 kes bagi tempoh yang sama pada 2020 iaitu pengurangan sebanyak 47,423 kes atau 74.1 peratus.

“Purata bilangan kes mingguan demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah 534 kes seminggu berbanding 1,700 kes seminggu pada 2020 dan 2,500 kes seminggu pada 2019.

“Bilangan kematian akibat wabak itu sehingga kini pula adalah 10 kematian berbanding 106 kematian bagi tempoh sama tahun lepas, iaitu pengurangan sebanyak 96 kematian (90.6 peratus),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Adham berkata walaupun negara sedang bergelut dengan Covid-19, semua pihak tidak boleh mengabaikan usaha pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit seperti demam denggi kerana kealpaan itu boleh menyebabkan kejayaan yang telah dicapai akan terhapus dalam sekelip mata.

Beliau menjelaskan ia akan merumitkan lagi keadaan kerana negara akan berhadapan dengan ancaman kesihatan awam berganda dari demam denggi dan akan memberi tekanan tambahan kepada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut Dr Adham, penyakit demam denggi belum mempunyai vaksin yang benar-benar berkesan untuk melindungi penduduk daripada jangkitan berterusan dan usaha yang telah terbukti berkesan perlu diteruskan bagi mengekalkan kejayaan menurunkan penyakit berkenaan.

Justeru, komitmen penuh dan kerjasama daripada penduduk setempat, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), syarikat swasta, badan bukan kerajaan dan sukarelawan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) amat diperlukan untuk menangani isu kebersihan terutama di kawasan perumahan serta tempat tumpuan awam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes, kematian demam denggi tunjuk pengurangan tahun ini

PUTRAJAYA, 15 JUN: Jumlah kes serta kematian demam denggi dalam tempoh Januari hingga 12 Jun tahun ini menunjukkan pengurangan sebanyak 75 peratus dan 91 peratus, berbanding tempoh sama tahun lepas, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menurutnya, sebanyak 12,188 kes demam denggi serta lapan kematian dilaporkan dalam tempoh berkenaan tahun ini berbanding 48,584 kes dan 84 kematian bagi tempoh sama pada 2020.

“Walaupun negara kita masih bergelut dengan pandemik Covid-19, namun usaha memerangi ancaman wabak demam denggi tetap perlu diteruskan, memandangkan penyakit ini adalah endemik dan menjadi beban kesihatan awam di negara kita, sejak sekian lama,” katanya dalam kenyataan sempena Sambutan Hari Denggi Asean hari ini.

Menurut Dr Adham, Hari Denggi Asean yang disambut kali ke-11 tahun ini sejak dilancarkan pada 2011, diadakan untuk mewujudkan platform advokasi termasuk dalam kalangan masyarakat, untuk meneruskan usaha membanteras denggi secara berterusan dan bersepadu.

Dengan tema ‘10 Minit Hapuskan Aedes’ sempena Sambutan Hari Denggi Asean peringkat kebangsaan Dr Adham berkata, mesej yang ingin disampaikan adalah masyarakat meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit, untuk melaksanakan aktiviti pembersihan persekitaran dan pemusnahan tempat pembiakan Aedes pada setiap minggu di premis masing-masing.

“Sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, di mana sebahagian besar waktu individu dan masyarakat diluangkan di rumah, kesempatan ini perlu diambil untuk memastikan premis kita bebas dari tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.

Dr Adham berkata, usaha pencegahan denggi turut diperkasakan melalui penglibatan pasukan sukarelawan Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku (COMBI) di seluruh negara, yang menjalankan aktiviti promosi pencegahan denggi melalui pendekatan norma baharu seperti media sosial.

Sehingga 31 Mei lepas, terdapat sebanyak 3,084 pasukan COMBI, dengan penyertaan seramai 28,381 sukarelawan.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Kes denggi sekitar Petaling Jaya turun 80 peratus

SHAH ALAM, 11 MEI: Jumlah kes demam denggi sekitar Petaling Jaya susut sehingga 80 peratus membabitkan 386 kes setakat 8 Mei.

Tahun lalu, kawasan tersebut merekodkan 1,976 kes dalam tempoh sama.

Unit Komunikasi Korporat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berkata banyak tempat berisiko pembiakan nyamuk Aedes dikesan terutama persekitaran rumah.

“Banyak bekas-bekas botol atau takungan air tidak dilupuskan atau disusun dengan teratur sehingga menyebabkan berlakunya takungan air hujan.

“Keadaan ini akan menambah risiko kepada penduduk ekoran pembiakan nyamuk Aedes yang tidak terkawal,” kata pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam kenyataan.

Sehubungan itu, MBPJ mengajak orang ramai meluangkan masa selama 10 minit untuk membersihkan kediaman masing-masing bagi mengelak pembiakan Aedes.

“Atas faktor cuaca tidak menentu, MBPJ khuatir pembiakan Aedes mudah berlaku di kediaman atau tempat kerja jika pembersihan terutama bekas takungan air tidak dilakukan,” kata PBT itu.

Berikut saranan MBPJ untuk mencegah pembiakan Aedes:

  • Memeriksa dan melupuskan bekas yang berpotensi menyebabkan pembiakan nyamuk Aedes secara teratur
  • Menggunakan ubat pembunuh jentik-jentik dalam bekas takungan air yang tidak dapat dilupuskan
  • Menggunakan penghalau nyamuk semasa menjalankan akitiviti luar ruamah terutama pada awal pagi dan lewat petang
  • Menyembur aerosol dalam rumah pada lewat senja bagi membunuh nyamuk dewasa
Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kes denggi di Selangor turun 38.5 peratus tahun lalu

SHAH ALAM, 4 JAN: Kes denggi di Selangor pada tahun lalu menurun kepada 44,635 berbanding 72,543 pada 2019, kata pengarah kesihatan negeri.

Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman berkata Petaling mencatat bilangan paling tinggi dengan 15,518 kes diikuti Hulu Langat (9,842), Klang (6,960) dan Gombak (6,642).

“Kes denggi turut dikesan di Sepang (2,400) Hulu Selangor (1,356), Kuala Selangor (925), Kuala Langat (865) dan Sabak Bernam (127).

“Selain itu sebanyak 37 kematian akibat denggi direkodkan di negeri pada tahun lalu berbanding 56 kes pada 2019,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau mengingatkan masyarakat supaya terus mengamalkan langkah pencegahan dengan membersihkan sekitar premis dan kediaman bagi mengelak pembiakan nyamuk Aedes.

“Luangkan hanya 10 minit seminggu, pastikan semua takungan air yang tidak digunakan dimusnahkan selain menutup takungan air kekal atau meletakkan ubat pembunuh jentik-jentik,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor catat kematian kedua tertinggi akibat denggi

SHAH ALAM, 31 DIS: Selangor antara tiga negeri yang mencatatkan kematian tertinggi akibat denggi, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kementerian berkata sebanyak 144 kematian akibat denggi setakat 26 Disember termasuk masing-masing satu kematian baharu di Melaka dan Johor.

“Johor merekodkan 43 kematian, diikuti Selangor (37), Sabah (16), Negeri Sembilan (10), Melaka (sembilan) dan Pahang (lapan).

“Sementara Kelantan dan Putrajaya masing-masing mencatat tujuh kematian diikuti Perak (tiga) serta Sarawak dan Pulau Pinang (dua),” menurut info grafik KKM di Twitter.

Kementerian juga menasihati orang ramai menggunakan repellan, menyembur racun serangga, mengelak berada di luar rumah pada awal pagi dan senja serta memasang penghalau nyamuk, kelambu dan jaring bagi mengelak gigitan nyamuk Aedes.

Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor melaporkan 381 kes demam denggi bagi tempoh 20 hingga 26 Disember lalu yang menunjukkan peningkatan 5.8 peratus berbanding 360 kes pada minggu sebelumnya.

Pengarahnya Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman berkata sebanyak 37 kematian dilaporkan iaitu penurunan 33.9 peratus berbanding 56 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Categories
AGENSI SELANGOR

Selangor catat 381 kes denggi, naik banding minggu lepas

SHAH ALAM, 30 DIS: Sebanyak 381 kes demam denggi dilaporkan di Selangor bagi tempoh 20 hingga 26 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor memaklumkan jumlah itu menunjukkan peningkatan 5.8 peratus berbanding 360 kes pada minggu sebelumnya.

“Bagaimanapun, sebanyak 43,322 kes demam denggi sehingga minggu ke-52 berlaku penurunan 38.9 peratus berbanding minggu sama tahun lalu mencatat 72,543.

“Lima daerah yang merekod kes denggi paling tinggi ialah Petaling dengan 15,420 kes, Hulu Langat (9,737 kes), Klang (6,930 kes), Gombak (6,588 kes) dan Sepang (2,392 kes),” kata Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman menerusi kenyataan.

Menurutnya, sebanyak 37 kematian dilaporkan iaitu penurunan 33.9 peratus berbanding 56 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Justeru, beliau sarankan masyarakat mengamal langkah pencegahan dengan membersih sekitar premis dan kediaman bagi mengelak pembiakan nyamuk Aedes.

“Luangkan hanya 10 minit seminggu, pastikan semua takungan air yang tidak digunakan dimusnahkan selain menutup takungan air kekal atau meletakkan ubat pembunuh jentik-jentik,” katanya.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Kes denggi di Selangor turun 38 peratus, terus jaga kebersihan

SHAH ALAM, 22 DIS: Kes denggi di Selangor menurun kepada 43,941 setakat minggu ke-51 tahun ini berbanding 70,869 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah kesihatan negeri berkata jumlah tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 38 peratus (26,928 kes) dengan 133 kawasan wabak dikesan.

“Lima daerah yang merekod kes denggi paling tinggi ialah Petaling dengan 15,278 kes, Hulu Langat (9,634 kes), Klang (6,896 kes), Gombak (6,532 kes) dan Sepang (2,373 kes).

“Sebanyak 37 kematian dilaporkan iaitu penurunan 32.7 peratus berbanding 55 kes dalam tempoh sama tahun lepas,” kata Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman menerusi kenyataan semalam.

Justeru, beliau sarankan masyarakat mengamal langkah pencegahan dengan membersih sekitar premis dan kediaman bagi mengelak pembiakan nyamuk Aedes.

“Luangkan hanya 10 minit seminggu, pastikan semua takungan air yang tidak digunakan dimusnahkan selain menutup takungan air kekal atau meletakkan ubat pembunuh jentik-jentik,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Kes denggi Petaling Jaya turun hampir 50 peratus

SHAH ALAM, 19 DIS: Petaling Jaya merekodkan 3,729 kes denggi setakat 12 Disember, turun hampir 50 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.

Datuk Bandarnya Dato’ Mohd Sayuhti Bakar berkata jumlah itu juga terendah berbanding dua pihak berkuasa tempatan lain dalam daerah sama.

Jelasnya dalam kenyataan, Shah Alam mencatatkan 5,120 kes manakala Subang Jaya melaporkan 6,322 kes dalam tempoh sama.

“Terdapat 13 wabak terkawal dilaporkan, satu lokaliti titik panas aktif dan satu kematian,” katanya.

Mohd Sayuthi turut menyeru pemimpin dan penduduk setempat supaya menjaga kebersihan dengan memastikan tiada takungan air di sekeliling tempat tinggal.