Categories
AGENDA NASIONAL

Orang ramai diseru derma darah, bekalan dijangka turun musim cuti

SHAH ALAM, 17 DIS: Pusat Darah Negara (PDN) meminta orang ramai tampil menderma darah yang dijangka mengalami penurunan bekalan semasa cuti sekolah dan perayaan.

Menerusi kenyataan media, orang ramai diminta menderma darah di PDN dan tabung darah seluruh negara.

Orang ramai boleh melayari Facebook PDN dan tabung darah negeri untuk maklumat lanjut

Categories
AGENDA NASIONAL

Trend derma darah meningkat, stok cukup

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Trend pendermaan darah mencatatkan peningkatan yang baik sejak akhir-akhir ini dan membantu memastikan stok simpanan dan bekalannya sentiasa mencukupi, kata Pengarah Pusat Darah Negara (PDN), Dr Noryati Abu Amin.

Beliau berkata peningkatan trend positif itu disebabkan penderma-penderma darah prihatin yang tampil secara konsisten bagi membantu pesakit yang memerlukan.

“Trend peningkatan pendermaan darah ini akan memastikan PDN dan tabung-tabung darah mempunyai stok simpanan darah yang mencukupi bagi kegunaan pesakit serta membantu bekalan darah di negeri yang mengalami peningkatan kes Covid-19.

Bekalan darah yang selamat dan mencukupi digunakan untuk merawat kes-kes kemalangan dan pendarahan, ibu-ibu yang mengalami komplikasi semasa bersalin, bayi pramatang yang kekurangan darah, pesakit talasemia, pesakit kanser, kegagalan buah pinggang, pesakit yang perlu menjalani pembedahan kritikal dan kompleks dan lain-lain lagi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi PDN hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab hantaran yang tular di aplikasi WhatsApp berkenaan bekalan darah hospital yang didakwa berkurangan dan makin kritikal baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Noryati berkata terdapat juga pesakit Covid-19 terutamanya mereka yang mempunyai latar belakang penyakit kronik turut memerlukan transfusi darah.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) turut mengeluarkan garis panduan pencegahan dan kawalan semasa aktiviti pendermaan darah bagi mengekang penularan jangkitan penyakit berjangkit Covid-19.

Beliau berkata garis panduan itu mengandungi pelbagai langkah keselamatan selepas aktiviti pendermaan darah bagi memastikan kesejahteraan serta keselamatan penderma darah, penganjur kempen derma darah, petugas kesihatan dan pesakit yang menerima transfusi darah.

“Garis panduan ini juga menetapkan tempoh penangguhan sementara bagi aktiviti pendermaan darah untuk individu selepas pengambilan vaksin Covid-19 dan ianya selari dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Tempoh penangguhan ini adalah berdasarkan prinsip berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan penderma dan pesakit yang menerima darah,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Derma darah tujuh hari selepas suntik vaksin jika tiada kesan sampingan

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Pusat Darah Negara (PDN) meminta agar orang ramai menangguhkan aktiviti menderma darah hingga tujuh hari selepas pengambilan vaksin Covid-19 jika tiada kesan sampingan.

Menurut PDN dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook semalam, individu yang menghadapi kesan sampingan ringan setelah menerima vaksin, dibolehkan menderma darah selepas tujuh hari sembuh daripada sebarang gejala.

PDN memaklumkan penangguhan aktiviti derma darah ini membabitkan individu yang menerima suntikan vaksin antaranya Pfizer-BioNtech, Sinovac dan AstraZeneca.

“PDN sangat mengalakkan penderma darah untuk mendapatkan vaksin Covid-19 bagi melindungi diri dan orang lain. Penderma darah masih boleh menderma darah dalam tempoh antara dos pertama dan kedua vaksin Covid-19,” menurut kenyataan itu.

PDN memaklumkan bahawa maklumat lanjut berkaitan tempoh penangguhan menderma darah bagi pengambilan jenis vaksin Covid-19 lain akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat Darah Negara lanjut waktu operasi sepanjang Ramadan

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Pusat Darah Negara (PDN) melanjutkan waktu operasinya sepanjang bulan Ramadan bagi memudahkan penderma darah beragama Islam untuk menderma darah selepas berbuka puasa.

Dalam tulisan dikongsikan PDN melalui Facebooknya, PDN Jalan Tun Razak akan beroperasi bermula 7.30 pagi hingga 9 malam pada Isnin hingga Jumaat, manakala Sabtu dan Ahad serta cuti umum pula dari pukul 8 pagi hingga 4 petang.

Bagi PDN Donation Suite di Midvalley Megamall, ia akan beroperasi setiap hari dari 10 pagi hingga 9 malam sepanjang Ramadan ini.

Suite Derma Darah Puspanita di Presint 10, Putrajaya pula akan beroperasi dari 8 pagi hingga 4 petang pada Sabtu hingga Rabu dan 1 tengah hari hingga 8.30 malam setiap Khamis dan Jumaat.

“Penderma darah bukan beragama Islam diseru untuk tampil menderma darah sepanjang bulan Ramadan ini bagi memastikan stok darah kekal selamat,” menurut hantaran tersebut.

Makanan berbuka disediakan di Puspanita (tertakluk kepada 15 penderma terawal) dan PDN, Jalan Tun Razak (tertakluk 30 penderma terawal).

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Darah jenis A kritikal, orang ramai diminta tampil derma

SHAH ALAM, 23 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru orang ramai terutama yang mempunyai darah kumpulan A tampil menderma bagi meningkatkan stok jenis tersebut.

Kementerian berkata situasi terkini negara menyebabkan bekalan darah semakin diperlukan bagi menampung keperluan pesakit pada setiap hari.

“Kepada penderma darah kumpulan darah A, kami tahu anda ‘awesome’, kami tahu anda ‘amazing’, kami tahu anda ‘attractive’. Kami sangat memerlukan darah adiwira anda,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Menurut KKM, penderma boleh berbuat demikian di Pusat Pendermaan Darah Statik di:

– Pusat Darah Negara, Jalan Tun Razak pada Isnin hingga Jumaat (jam 7.30 pagi hingga 8 malam) atau Sabtu, Ahad dan cuti umum (jam 8 pagi hingga 8 malam)

– Suite Derma Darah Puspanita, Presint 10, Putrajaya pada Isnin hingga Ahad (jam 10 pagi hingga 6 petang)

– Donation Suite, Midvalley, Kuala Lumpur pada Isnin hingga Ahad (jam 10 pagi hingga 9 malam)

Categories
AGENDA NASIONAL

Stok darah Kumpulan B kurang, masyarakat digesa tampil derma

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Pusat Darah Negara (PDN) menyeru orang ramai, khususnya mereka yang mempunyai darah Kumpulan B, supaya tampil menderma darah bagi meningkatkan stok darah berkenaan.

Pengarah Pusat Darah Negara (PDN) Dr Noryati Abu Amin berkata bekalan darah daripada kumpulan itu menyusut kerana kegusaran orang ramai tampil menderma darah susulan peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.

“Orang ramai digalakkan untuk terus konsisten menderma darah dan tidak menjadikan peningkatan kes Covid-19 pada masa kini, sebagai penghalang untuk berbuat demikian.

“Ini amat penting bagi menampung keperluan bekalan darah setiap hari termasuk daripada Kumpulan B dan stok sedia ada susut,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata orang ramai yang berhasrat untuk menderma darah tidak perlu khuatir kerana pihaknya sentiasa mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan bagi membendung penularan wabak itu.

Dr Noryati berkata pihaknya juga akan memastikan proses menderma darah yang dilakukan ke atas setiap individu itu selamat.

“Memang sebelum berlakunya penularan wabak ini, kita di PDN memang mempunyai SOP yang ketat sebelum membenarkan mana-mana individu menderma darah.

“Kita akan pastikan penderma sihat 100 peratus dan pendekatan itu juga kita guna sehingga kini, jadi mana-mana individu yang tidak sihat contohnya demam, memang kita tidak membenarkan mereka untuk menderma darah,” katanya.

Beliau berkata orang ramai juga tidak perlu risau kerana Covid-19 telah dikenal pasti tidak akan berjangkit melalui pemindahan darah.

Mengulas lanjut, Dr Noryati berkata sehingga hari ini PDN mempunyai kira-kira 2,000 stok beg darah dan 600 beg diagihkan untuk menampung keperluan seluruh hospital di Lembah Klang dalam sehari.

“Buat masa ini stok bekalan darah masih mencukupi namun kita bimbang sekiranya orang ramai takut dan khuatir untuk tampil menderma darah kerana peningkatan kes Covid-19, bekalan darah akan berada pada paras kritikal.

“Kita tidak mahu ini berlaku kerana kita memerlukan bekalan yang mencukupi bagi menampung kes luar jangka seperti yang membabitkan kemalangan dan pembedahan di mana pesakit memerlukan bekalan darah segera,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Bekalan kurang 40 peratus, MB gesa rakyat derma darah

SHAH ALAM, 15 JUN: Rakyat Selangor digesa menderma darah berikutan negara mengalami kekurangan bekalan pada kadar 40 peratus sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bekalan darah adalah sumber penting untuk membantu pesakit terutama mereka yang perlu menjalani pembedahan kompleks.

“Datanglah menderma di Hospital Tengku Ampuan Rahimah yang merupakan pusat kutipan darah di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) bagi Selangor atau kunjungi mana-mana program derma darah anjuran Pusat Darah Negara di negeri ini,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Beliau berkata demikian sempena Hari Derma Darah Sedunia anjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 2,000 beg darah secara puratanya didermakan rakyat Malaysia serta digunakan untuk membantu 1,000 pesakit setiap hari.

Katanya, melalui sumbangan itu, ramai nyawa insan dapat diselamatkan.

Categories
SELANGOR

Pemeriksaan darah percuma 100 peserta awal

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 24 JAN: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia bakal menganjurkan Program Pemeriksaan Darah dan Kesihatan Percuma kepada 100 peserta terawal pada 26 dan 27 Januari ini, di Dewan Serbaguna MBPJ Kg Lindungan PJS 6/1, di sini.

Lebih menarik, peserta berumur 50 tahun ke atas layak mendapatkan pemeriksaan darah percuma meliputi ujian darah secara menyeluruh, ujian fungsi hati, ujian fungsi buah pinggang, ujian gula dalam darah, ujian profil kolesterol dan ujian air kencing.

Selain itu, orang ramai turut berpeluang menjalani beberapa pemeriksaan kesihatan dan aktiviti menarik lain yang disediakan sepanjang dua hari program berlangsung.

Peserta yang melakukan pemeriksaan darah perlu hadir semula pada 27 Januari untuk menerima keputusan darah dan bertemu doktor.

Sebarang pertanyaan berhubung program terbabit, boleh hubungi Pusat Khidmat DUN Seri Setia 03-78660107/016-4402050 (Azlan)/018-5973027 (Pegawai Pusat Khidmat Rakyat) atau emel: [email protected]