Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pelajar asnaf fakir, miskin bawah LZS dipelawa mohon biasiswa

SHAH ALAM, 2 NOV: Bantuan Dermasiswa Pengajian Tinggi kini dibuka secara dalam talian kepada pelajar asnaf fakir, miskin dan mualaf yang berdaftar dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Berdasarkan infografik yang dikongsi agensi berkenaan, institusi termasuk pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) selain institut latihan kemahiran awam (ILKA) dan swasta (ILKS).

Pemohon yang layak akan menerima biasiswa yuran pengajian, persediaan masuk ke IPT dan bantuan keperluan pendidikan meliputi wang saku, penginapan dan elaun buku.

Bagi institusi swasta, permohonan hanya terbuka kepada pelajar baharu Tahun 1 sesi 2021 (IPTS) sementara Tahap 1 atau 2 bagi ILKS.

Maklumat dan senarai penuh panel pusat pengajian boleh didapati dengan melayari laman web
https://pendidikan.zakatselangor.com.my.

Berikut cara permohonan secara dalam talian:

1. Daftar dan lengkapkan maklumat yang diperlukan
2. Muat naik lampiran dokumen
3. Hantar permohonan
4. Semakan permohonan bermula dari tempoh enam hari bekerja
5. Terima tawaran penajaan
6. Jika berjaya, cetak surat tawaran dermasiswa dan daftar di pusat pengajian sebagai pelajar tajaan LZS

Categories
SELANGOR

Skim Dermasiswa merakyatkan pendidikan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 APRIL: Pelaksanaan Skim Dermasiswa di Universiti Selangor (UNISEL) membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri merakyatkan pendidikan untuk semua golongan di Selangor dan Malaysia amnya.

Dekan Pusat Pengajian Asasi dan Umum UNISEL, Dr Hamdan Mohd Salleh, berkata langkah ini juga adalah sebahagian usaha pendemokrasian universiti seperti disebut Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), baru-baru ini.

IMG_9860“Skim ini usaha transformasi dilaksanakan Naib Canselor UNISEL, Profesor Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman untuk menaikkan UNISEL ke tahap lebih tinggi dan mencapai maksud Smart Selangor iaitu membina masyarakat peduli.

“Kita cuba melahirkan pelajar dalam dua bidang kritikal iaitu Sains dan Teknologi Maklumat yang pada masa ini keperluannya agak meruncing,” katanya kepada SelangorKini pada 5 April lalu.

Katanya, berdasarkan kajian UNISEL didapati pelajar dalam bidang ini agak berkurangan.

“Ini ruang untuk pelajar kurang berkemampuan melanjutkan pelajaran percuma dari segi yuran pengajiannya kerana pada asasnya cabaran utama pelajar adalah kurangnya bantuan kewangan ditawarkan,” katanya.

Selain bidang Sains dan Teknologi Maklumat yang dianggap kritikal, UNISEL juga bercadang menambah jumlah pelajar di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Ia terutamanya dalam bidang membabitkan Fakulti Bio Teknologi, Fakulti Teknologi Maklumat dan Kejureteraan bagi menampung keperluan di Selangor yang sedang menuju ke arah lebih maju dan berdaya saing.

-AA-

Categories
SELANGOR

UNISEL tanggung yuran sehingga RM8,040 seorang

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 APRIL: Universiti Selangor (UNISEL) memperuntukkan kira-kira RM3.9 juta untuk membiayai 500 pelajar pengajian tahun asas bidang Sains dan Teknologi Maklumat menerusi Skim Dermasiswa.

Dekan Pusat Pengajian Asasi dan Umum UNISEL, Dr Hamdan Mohd Salleh, berkata pelajar yang layak akan menerima pembiayaan yuran pengajian berjumlah RM7,500 hingga RM8,040 setiap pelajar.

IMG_9860“Pada peringkat tahun asas kedua bidang ini, kami menawarkan yuran percuma sepanjang pengajian selama tiga semester dengan syarat pelajar menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di UNISEL.

“Bagi Pengajian Asas Sains ini dibelanjakan sekitar RM8,040 bagi setiap pelajar dan bagi pengajian Teknologi Maklumat pula lebih kurang RM7,500,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian di Kampus Utama UNISEL di sini, semalam.

Pada masa sama, katanya, Skim Dermasiswa dibuka kepada semua warga Malaysia dengan memberi keutamaan kepada rakyat Selangor.

Katanya, UNISEL memilih bidang Sains dan Teknologi Maklumat ekoran terdapat keperluan meruncing terhadap dua bidang itu dalam pasaran pekerjaan pada masa kini.

“Smart Selangor perlu melihat kerangka lebih besar dan ini dapat membuktikan UNISEL sebagai universiti tersohor.

“Selain Skim Dermasiswa, UNISEL turut menawarkan bantuan kewangan lain seperti Skim Sara Diri,” katanya.

-AA-

Categories
SELANGOR

Dermasiswa UNISEL realisasi impian pelajar cemerlang

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 APRIL: Keluhan pelajar gagal meneruskan pengajian ke peringkat tahun asas ekoran tidak mampu menampung kos pengajian tinggi kini terjawab apabila Skim Dermasiswa diperkenalkan Kerajaan Negeri di Universiti Selangor (UNISEL).

Malah, pelajar ditawarkan skim itu lebih bernasib baik ekoran tidak perlu membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) seperti kebanyakan peminjam lain.

Pengarah Pejabat Pemasaran dan Kemasukan UNISEL, Nor Aisyah Md Idris, berkata skim terbabit dijamin mendapat sambutan terutama bagi pelajar kurang berkemampuan.

IMG_9889“Mungkin ramai pelajar yang meminati jurusan Sains dan Teknologi Maklumat terpaksa memendam hasrat kerana kurang mampu ekoran pelajar tahun asas tidak disediakan pinjaman PTPTN.

“Ibu bapa terpaksa mencari sumber kewangan membiayai pengajian anak mereka, justeru skim ini adalah jawapan kepada masalah pembiayaan pelajar tahun asas dan pasti mendapat sambutan,” katanya kepada SelangorKini di Kampus Utama UNISEL di sini, semalam.

Nor Aisyah turut yakin kuota sebanyak 500 pelajar yang disediakan bagi penerima skim itu mampu dipenuhi UNISEL.

Katanya, pelajar yang mendaftar untuk mengikuti kursus Sains dan Teknologi Maklumat pada Mei nanti boleh memohon skim terbabit.

Pada masa sama, Nor Aisyah menjangkakan UNISEL akan menerima lebih 1,400 permohonan untuk melanjutkan pengajian di universiti berkenaan.

“UNISEL ada membuka peluang untuk 1,400 pelajar baru mengikuti pengajian pelbagai bidang di UNISEL, antaranya pengajian asas, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda yang terdapat lebih 60 program.

DSC_3759“Untuk pengambilan kali ini, kita mempromosi program ini melalui iklan, menemui sasaran pelajar lepasan SPM, STPM dan lepasan Diploma.

“Pengambilan ini pada 21 Mei untuk program tahun asas dan 4 JunĀ untuk Diploma dan Ijazah Sarjana Muda,” katanya.

Nor Aisyah berkata, selain dilengkapi pelbagai kemudahan, graduan UNISEL turut mempunyai kelebihan dari segi kebolehanpasaran berbanding universiti swasta lain.

“Insha Allah UNISEL mampu memberi yang terbaik dan buktinya kami ada alumni seramai 27,000 dan mereka berjaya dalam bidang masing-masing, mempunyai gaji tertinggi dan menjadi pilihan terbaik majikan,” katanya.

-AA-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Yayasan Selangor Cemerlang Di bawah Pakatan Rakyat

Debat Yayasan Selangor Halimah ali 2

SHAH ALAM 6 MAC : Perkhidmatan Yayasan Selangor (YS) lebih cemerlang dan semakin diyakini di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) sepanjang 2008 hingga 2012 .

Keadaan ini berbanding dengan tahun sebelumnya ketika diperintah Umno-BN, kata Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Jelas Dr Halimah, dalam tempoh itu, YS menaja 3.5 kali ganda pelajar peringkat menengah berbanding pada 2007 yang hanya berjumlah 1,385 orang.

Katanya, bilangan pelajar dalam Program Rancangan Khas Pendidikan YS – RKPYS itu mula meningkat kepada 1,409 orang pada 2008, 1,554 orang pada 2009 dan melonjak kepada 3,288 orang pada 2012 dan akan ditingkatkan lagi kepada 5,000 orang pelajar pada 2013.

“Peningkatan ini menunjukkan YS berjaya memberikan perkhidmatan pendidikan kepada lebih ramai pelajar berbanding sebelum tahun 2008 dengan gandaan yang besar,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Bangunan SUK, di sini.

Menurut Dr Halimah, lebih membanggakan pencapaian peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Bagi PMR dan SPM, pelajar mendapat keputusan 5A ke atas menunjukkan peningkatan. Sebagai contoh, pada 2007 hanya 62.9 peratus dan meningkat kepada 80.8 peratus.

“Manakala SPM, pada 2007 hanya 32.8 peratus seterusnya melonjak naik kepada 66.1 peratus pada 2011,” katanya.

Dalam pada itu, YS juga menambah peruntukkan biasiswa dari tahun ke tahun bermula tahun 2008.

Pada 2007, hanya 518 pelajar mendapat Biasiswa Kecil, 159 mendapat Biasiswa Khas dan 36 pelajar mendapat Dermasiswa.

Namun pada 2012, YS menawarkan 1,783 pelajar mendapat Biasiswa Kecil, 1,140 pelajar mendapat Biasiswa Khas dan 96 pelajar mendapat Dermasiswa.

Dr Halimah menambah, kutipan bayaran balik pinjaman pelajaran YS lebih efisien kerana peningkatannya iaitu RM2.1 juta pada 2008 kepada RM2.2 juta pada 2009.

RM2.9 juta pada 2010 dan terus meningkat kepada RM3.8 juta pada tahun 2011 serta RM3.9 juta pada 2012.

“Ia membabitkan peningkatan sebanyak 186 peratus prestasi kutipan itu.

Malah, bilangan sekolah tajaannya juga meningkat daripada 27 buah pada 2007-2008 kepada 33 buah pada tahun 2009-2011 dan terus meningkat kepada 53 buah pada 2012 dan 63 buah pada tahun 2013,” katanya.