Categories
SELANGOR

Konvokesyen UNISEL:Bapa terharu terima ijazah arwah Nadia

Zahari Mohd Tahir Unisel

BESTARI JAYA 27 OKT : Terharu dan bangga namun perasaan sedih tetap dirasai oleh Zahari Mohd Tahir, 62 sewaktu menerima Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik bagi pihak arwah anak perempuannya, Nadia Shazwani Zahari, 26, yang meninggal dunia pada 16 Ogos lalu.

Sebelum itu, Istiadat Konvokesyen Ke Lapan Universiti Selangor (Unisel) di Dewan Canselor, Kampus Bestari Jaya menjadi senyap seketika tatkala seluruh hadirin membacakan surah Al-Fatihah untuk disedekahkan kepada arwah Nadia, yang maut dalam satu kemalangan jalan raya kira-kira dua bulan lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, Nadia sedang memandu kereta Perodua Kancilnya dari Batu Tiga ke arah TTDI Jaya apabila dirempuh oleh sebuah kereta jenis Audi A4.

Zahari ketika ditemui pemberita berkata, beliau tidak dapat menahan perasaan sedih ketika hadirin mula membacakan Al-Fatihah untuk disedekahkan kepada Nadia.

“Saya bangga dan terharu, mereka baca Al-Fatihah, lepas itu saya dah tidak dapat menahan, mula-mula tak rasa sangat,” ujarnya.

Katanya, arwah bercita-cita ingin menjadi seorang jurugambar profesional suatu hari nanti dan sudah membuka syarikatnya sendiri.

Ibu mangsa, Nooraizian Omar, 58, berkata arwah sepatutnya mengadakan upacara nikahnya pada hari ini berbanding menerima segulung ijazahnya.

“Arwah sepatutnya bernikah pada hari ini, tapi kita hanya merancang..”

“Kami sekeluarga lebih menumpukan nikahnya kerana tarikh konvo masa itu belum tahu, tapi bila dah tahu, kami pernah bercadang untuk mengadakan nikah lebih awal,” ujarnya sebak.

-EZY