Categories
SELANGOR

Selangor mula pembangunan sungai Klang Mac 2014

mb himpunan ketua kampung

SHAH ALAM 8 NOV : Kerajaan negeri bakal membangunkan semula sungai Klang termasuk pembersihan dan penaiktarafan akan dimulakan, pada Mac 2014.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, usaha pertama yang perlu dipandang serius adalah kerja pembersihan sungai berkenaan dan kini sudah ada beberapa perancangan yang akan dimulakan, menjelang 2014.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri harus menunggu dan meneliti terlebih dahulu pembangunan sungai Klang kerana ramai pihak tampil untuk membantu penaiktarafan itu termasuk beberapa buah syarikat dari Korea dan China.

“Saya fikir pembangunan ini kemungkinan besar berlaku, pada Mac 2014. Kini sudah ada beberapa kertas kerja, usaha pertama kita adalah untuk membersihkan sungai Klang kerana sampah yang banyak,” katanya

Abdul Khalid berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Penghulu, Ketua Kampung Tradisi dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, semalam.

Bagaimanapun, Abdul Khalid berkata, syarat yang dikenakan syarikat berkenaan tidak dapat dipenuhi kerajaan negeri atas sebab tertentu.

“Terlalu ramai ingin menolong kita betulkan sungai Klang, termasuk dari luar negara. Tetapi, bukan betul mereka ingin bangunkan sungai Klang, tetapi mengimpikan tanah di sebelah kawasan terbabit, jadi saya tangguh dahulu.

“Kalau saya bagi keizinan, dikhuatiri kita tidak ada tanah. Mereka kata ingin cantikkan sungai Klang supaya jika ada yang ingin ke Kuala Lumpur daripada Pelabuhan Klang ke Masjid Jamek hanya menggunakan bot.

“Namun, saya untuk biayai pembangunan ini, tanah di sebelah sungai itu perlu diserahkan kepada mereka, nanti orang kampung marah pula pada saya,” katanya.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri menunggu kerja pembersihan dan penaiktarafan sungai di Kuala Lumpur selesai, sebelum memulakan usaha pembersihan sungai Klang.

“Saya tunggu Kuala Lumpur betulkan sungai di bahagian atas. Kalau kita mulakan pembersihan, kekotoran daripada bahagian itu akan sampai sini, tetapi perancangan semua sudah ada dan tahun depan sudah boleh dimulakan,” katanya.

-NFN

Categories
NASIONAL SELANGOR

Status pembinaan SJKT Ladang Castlefield akan dibincang dalam mesyuarat MTES

MB SUK grey

SHAH ALAM 28 OKT : Kontroversi berhubung status pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Castlefield, Puchong, di lokasi baru akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), selewat-lewatnya minggu depan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata perbincangan melalui MTES bertujuan untuk merekodkan sebarang keputusan dan persetujuan yang akan dilakukan bagi menyelesaikan masalah ini.

“Kami akan bincang dalam mesyuarat MTES sama ada minggu ini atau minggu depan kerana mahu Kementerian Pendidikan dan Syarikat Prasarana Negara Berhad (PRASARANA) untuk mendapat ketetapan mereka.

“Itu sebab kita adakan perjumpaan di MTES supaya ada rekod persetujuan yang kita lakukan,” katanya sebagai respon kepada pendirian Kerajaan Negeri berhubung perkara itu di Dewan Jubli Perak, pagi tadi.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, sebelum ini mendesak Abdul Khalid untuk memberi jawapan segera berhubung pendirian kerajaan negeri sama ada bersetuju atau tidak dengan pembinaan SJKT Ladang Castlefield di lokasi baru.

Difahamkan, tanah di lokasi baru itu diperuntukkan kerajaan negeri selepas timbul bantahan apabila sebahagian padang sekolah di tapak lama diambil bagi memberi laluan kepada kerja pembinaan jajaran transit aliran ringan (LRT).

Gobind berkata, perkara berkenaan perlu segera dipertimbangkan kerana akan timbul masalah lain termasuk menjejaskan kerja pembinaan LRT sekiranya persetujuan kerajaan negeri lewat diperoleh.

Kerajaan Negeri sebelum ini memutuskan memperuntukkan tanah seluas 1.6 hektar di Taman Wawasan untuk memindahkan sekolah berkenaan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Strategi Program Pembangunan Desa tumpu keperluan sebenar

kenali kampungku

SHAH ALAM, 11 SEPT : Kerajaan negeri bertekad untuk meningkatkan pendapatan dan mewujudkan konsep keempunyaan sesuatu projek di kalangan masyarakat desa supaya wilayah luar bandar bergerak seiring dengan arus kemajuan Selangor.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata strategi Program Pembangunan Desa sedia ada akan diubah menjadi konsep menyeluruh bagi memastikan pembangunan di kampung-kampung dimajukan secara bersepadu dan mampan.

Namun resipi utama konsep ini nanti adalah pembangunan yang bakal dijalankan bersendikan kepada maklum-balas masyarakat desa di kawasan-kawasan terlibat.

“Pembangunan Desa merupakan perkara yang menjadi fokus utama dalam tempoh lima tahun penggal kedua pentadbiran Pakatan Rakyat menerajui Selangor.

“Dalam masa tiga empat tahun ini, Kerajaan Negeri akan memastikan pendapatan penduduk desa di seluruh Selangor dapat ditingkatkan atau ditambah pada kadar yang dapat dibanggakan oleh penduduk kampung,” jelasnya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika berucap di majlis penutup ‘Bengkel Kenali Kampungku’ di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Sekurang-kurangnya 131 Ketua kampung dan anggota Jawatakuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dari daerah Sabak Bernam dan Hulu Selangor menghadiri bengkel tersebut.

Bengkel Kenali Kampungku ini merupakan langkah pertama dalam Projek Pembangunan Desa. Tujuan bengkel ini diadakan adalah bagi memastikan Ketua-Ketua Kampung dan JKKK duduk bersama berbincang serta memberi pendapat dan maklumat bagi meningkatkan sumber ekonomi penduduk kampung.

Pada majlis penutupan bengkel tersebut, dua wakil dari setiap daerah menyerahkan dokumen perbincangan dan idea mereka kepada Abdul Khalid.

Hadir sama Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Sallehen Muhyi dan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Datuk Mohamad Roslan Sakiman.

Sejajar dengan objektif penganjuran bengkel ini, Abdul Khalid turut berharap Ketua-Ketua Kampung dan JKKK dapat menzahirkan idea-idea bernas berhubung sumber ekonomi, kemahiran penduduk dan potensi kampung yang boleh dijadikan sebagai aset menjana pendapatan tradisi dan baharu.

Abdul Khalid menambah, sistem sokongan yang kukuh dari jaringan keselamatan, penggunaan tanah dan khidmat sokongan jabatan-jabatan berkaitan diperingkat negeri dan Persekutuan sangat diperlukan bagi merealisasikan hasrat itu.

“Kita mahu agar penduduk kampung atau desa yang turut berjasa kepada negeri ini, dapat menikmati kehidupan yang bahagia suasana keselesaan daripada segi pemerolehan pendapatan perkapita di negeri yang bertaraf maju ini sebagaimana dinikmati kebanyakan penduduk di bandar atau bandar raya di negeri ini,”ujarnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tubuh unit integriti pantau salah laku penjawat awam

MB PC DUNSHAH ALAM, 27 OGOS : Dalam usaha menerapkan budaya kerja yang unggul dan etika yang mantap dalan urus tadbir, Kerajaan Negeri menubuhkan Unit Integriti (IU) bagi mencegah salah laku jenayah dan pelanggaran tata kelakuan dikalangan penjawat awam.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata unit khas ini diletakkan di bawah bidang kuasa Setiausaha Kerajaan Negeri, yang kini digalas Datuk Mohammed Khusrin Munawi, dan menempatkan sekurang-kurangnya dua pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Hubungan kita dengan SPRM adalah berterusan dan membantu kita membuat pemantauan untuk menghindar gejala rasuah dan salahguna kuasa,” tegas Khalid.

Beliau berkata demikian di satu sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Langkah ini merupakan komitmen pentadbiran Khalid Ibrahim bagi melahirkan warga kerja profesional dan pada masa yang sama meningkatkan keyakinan rakyat pada perkhidmatan Kerajaan Negeri.

Menurutnnya penubuhan unit ini dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang September atau Oktober depan.

“Saya difahamkan SPRM bersetuju untuk menempatkan pegawai mereka sebagai ahli dalam unit tersebut,” kata Khalid.

Katanya konsep integriti ini meneladani mantan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berusaha menerapkan pentadbiran bersih dalam 23 tahun pentadbiran negeri Kelantan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

179 terima pingat sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-67 DYMM Sultan Selangor

pingat

SHAH ALAM, 22 OGOS : Staf Sarjan Ikmal Hisham Mohd Jusin mengetuai 179 senarai penerima pingat negeri Selangor apabila dikurniakan Pingat Kebesaran Terbilang (P.K.T) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-67 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK.

Pingat ini dikurniakan bagi menghargai keberanian dan pengorbanan.

Turut diberi pengiktirafan adalah Staf Sarjan Mohd Zaidi Abdul Hamid; Bintara Kanan TMK David A/K Sanya, Bintara Kanan PAP (PKL)(GI) Syed Mahamad Nasir Syed Ali; Sarjan Mohd Haniff Mahasan, Bintara Muda PAP (PKL) Oseli A/K Dungun dan Laskar Kanan PNK (PKL) Salimi Mahktar.pingat 2

Istiadat pengurniaan pingat disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah. Majlis hari ini adalah bagi penerima Daerah Hulu Selangor, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Sepang.

Turut dikurniakan Pingat Pekerti Terpilih (P.P.T) kepada 19 penerima yang melakukan perbuatan terbilang dan terpilih pekertinya.

Selain itu, Pingat Perkhidmatan Cemerlang Selangor (P.P.C) dikurniakan kepada 31 pegawai Kerajaan di dalam kumpulan sokongan bagi menghargai kecemerlangan mereka yang sedang atau telah berkhidmat sekurang-kurangnya tujuh tahun dengan Kerajaan Negeri.

Turut dikurniakan Pingat Perkhidmatan Selangor (P.P.S) dikurniakan kepada 17 penerima yang merupakan kakitangan Kerajaan yang sedang atau telah berkhidmat dengan kelakuan terpuji sekurang-kurangnya 20 tahun.

Manakala Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) kepada 105 penerima yang berjasa kepada negeri serta tekun dan taat menjalankan tugas.

-FZL

Pelajar INPENS Dapat Kerjaya Antarabangsa

mahasiswa konvokesyen INPENS lelaki anak muda 01

SHAH ALAM 16 MAC : Latihan yang dipelajari di Inpens International College bukan sahaja memberikan kemahiran bagi pelajarnya memulakan perniagaan sendiri, malah membolehkan mereka meraih peluang pekerjaan di peringkat antarabangsa.

Nor Suriyani Musa 21, yang berasal daripada Melaka berbangga apabila kebolehannya membuka mata sebuah pengusaha butik di Brunei untuk mengambilnya bekerja di sana.

mahasiswa konvokesyen INPENS nor suriyani 01“Tawaran diterima pada bulan Februari lalu untuk menjadi pereka fesyen di butik tersebut dan saya sudah menyatakan persetujuan dengan tawaran itu.

“Bagi saya ini peluang untuk menimba pengalaman baru sebelum saya menyambung kembali pengajian ke peringkat lebih tinggi lagi di masa akan datang,” tegas anak kelima daripada enam beradik ini.

Nor Suriyani merupakan penerima Anugerah Khas Datuk Menteri Besar di Majlis Konvokesyen Inpens International College kali ke 17 yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini pagi tadi.

Beliau sebelum ini pernah memenangi tempat pertama dalam Kategori Teknologi Fesyen dan membolot pingat emas dalam Pertandingan Kemahiran Malaysia ke 21 pada pertengahan tahun lalu.

mahasiswa konvokesyen INPENS thinesha 01Lebih manis lagi apabila beliau yang menerima latihan selama setahun dalam kursus Pembuat Pakaian Wanita Kanan di Inpens, turut dinobatkan sebagai peserta terbaik keseluruhan dan membolot Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri.

Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang, S. Thinesha 21, membuktikan bahawa sakit barah yang dialaminya sejak dua tahun lalu bukanlah penghalang untuk beliau berjaya dalam pelajaran dan bidang yang diminati.

“Bagi saya, paling penting untuk berjaya adalah fokus dalam bidang yang kita minat supaya kita dapat melakukan yang terbaik.

“Biar apapun cabaran yang datang, seandainya kita komited dan kekal fokus, kejayaan pasti akan jadi milik kita,” ujar penerima Anugerah Semangat dan Jati Diri ini.

mahasiswa konvokesyen anak muda long shot 01Menjadikan keluarga, sahabat handai dan guru-guru sebagai pembakar semangat, beliau yang tinggal di Banting kini dalam proses membuka salonnya sendiri.

“Jika tiada aral melintang, dalam masa dua bulan lagi saya dapat mulakan perniagaan saya sendiri dan ini pasti membakar semangat saya untuk terus berusaha lebih gigih,” tambah penerima sijil kemahiran kursus Pendandan Rambut ini.

Terdahulu, seramai 411 graduan Inpens daripada sembilan kursus latihan dan kemahiran menerima sijil mereka dalam konvokesyen itu yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau diiringi Presiden Inpens International College, Datuk Md Mydin Md Sheriff ketika upacara penyampaian sijil.

Hadir sama ialah Exco Kerajaan Negeri, Dr. Halimah Ali dan Dr. Xavier Jayakumar.