Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah klinik beri dos penggalak ditambah ikut keperluan

SHAH ALAM, 8 DIS: Jumlah klinik Program Vaksin Selangor (Selvax) Booster yang bermula hari ini akan ditambah mengikut keperluan semasa, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat ini dos penggalak untuk penduduk Selangor boleh diambil secara percuma di 17 Klinik Selcare.

“Kita mulakan dengan 17 klinik ini dahulu dan cuba banyakkan dengan menambah jaringan di klinik swasta lain.

“Selvax Booster dibuka kepada individu 18 tahun ke atas tetapi tumpuan diberikan kepada golongan warga emas dan komorbid yang hadir ke klinik,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Bukit Lanjan Elizabeth Wong berhubung pelaksanaan Selvax Booster.

Amirudin turut menyarankan masyarakat supaya membuat janji temu terlebih dahulu bagi mengelakkan kesesakan mendapatkan dos penggalak.

“Keprihatinan rakyat terhadap dos penggalak kini semakin tinggi dan kita percaya ini dapat meningkatkan imunisasi yang berkurangan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Semalam, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri memberi sebanyak 157,000 dos penggalak secara percuma menerusi program Selvax Booster bermula hari ini.

Individu berusia 18 tahun ke atas yang lengkap dua dos vaksin boleh mendapatkannya secara terus di Klinik Selcare berdekatan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

9,519 pelajar Tuisyen Rakyat Selangor terima data internet percuma

SHAH ALAM, 7 DIS: Seramai 9,519 pelajar terlibat dengan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) menerima bantuan data internet percuma selama 12 bulan menerusi Data Internet Selangor (DIS).

Menurut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bantuan kepada golongan pelajar dan peniaga menerusi program tersebut mula diagih sejak Ogos lalu.

“Kerajaan Negeri membantu pelajar dan peniaga menerusi pemberian data internet. Seramai 70,000 individu dijangka menerima manfaat berjumlah RM17 juta itu,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Batang Kali Harumaini Omar berhubung adakah Kerajaan Negeri akan melaksanakan Skim 1 Keluarga 1 Laptop seperti kerajaan pusat pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Amirudin berkata Selangor memperkenal Skim Pinjaman Teknologi Asas Selangor (Sepintas) dalam Belanjawan Selangor baru-baru ini untuk membantu pelajar yang tiada peranti elektronik.

“Program pemulihan unit-unit komputer atau komputer riba yang tidak mahu digunakan lagi oleh individu atau syarikat untuk diberikan kepada pelajar dengan peruntukan RM1 juta.

“Aktiviti dan kegiatan tersebut diselenggara oleh dua unit iaitu Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan SmartSel,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

55 pelajar di Selangor jadi yatim akibat Covid-19

SHAH ALAM, 7 DIS: Seramai 55 pelajar di negeri ini kehilangan ibu dan bapa akibat Covid-19 bagi tempoh Januari 2020 sehingga September lalu, kata EXCO kebajikan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata Hulu Langat, Klang dan Petaling Perdana antara daerah yang mempunyai jumlah paling ramai menjadi anak yatim dan piatu akibat Covid-19.

“Rekod Jabatan Pendidikan Negeri Selangor juga menunjukkan secara keseluruhannya seramai 1,648 pelajarnmenjadi yatim iaitu ibu atau ayah meninggal dunia ekoran wabak tersebut.

“Kerajaan Negeri amat prihatin nasib yang menimpa kanak-kanak kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 dan mengambil beberapa langkah sokongan membantu mereka,”katanya.

Siti Mariah menjawab pertanyaan wakil rakyat Kampung Tunku Lim Yi Wei mengenai jumlah anak yatim dan yatim piatu akibat Covid-19 di negeri ini pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Menurut beliau antara langkah diambil ialah mencari orang yang layak menjaga kanak-kanak itu.

Jika tiada, mereka akan ditempatkan sementara institusi perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Setakat ini, semua kes anak yatim atau yatim piatu akibat Covid-19 di Selangor dijaga oleh waris terdekat masing-masing,”katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Pengurusan Pusat Berdaya Wanita ditambah baik

SHAH ALAM, 6 DIS: Beberapa penambahbaikan dilaksana pengurusan Pusat Wanita Berdaya (PWB) selepas diambil alih Wanita Berdaya Selangor (WBS) Sdn Bhd pada Mei lalu.

EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud berkata tambah baik itu termasuk urusan pembayaran vendor, elaun, kertas kerja dan pengurusan dokumentasi.

“Kertas kerja sebelum ini dihantar secara fizikal, kini menggunakan emel. Namun, laporan program masih perlu dihantar secara fizikal atas tuntutan peraturan kewangan.

“Pembayaran vendor dilakukan melalui invois sebelum program dijalankan manakala elaun dibayar setiap bulan tanpa perlu laporan program dan prestasi kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan wakil rakyat Balakong Wong Siew Ki mengenai penambahbaikan PWB pada Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Menurut Dr Siti Mariah, PWB juga menerima peruntukan maksimum RM3,200 sebulan untuk lapan program dibawah pentadbiran WBS.

“Peruntukan ini boleh diguna untuk tujuan mencetak bahan, elaun ahli jawatankuasa dan pusingan program akan datang tanpa perlu mengemukakan resit,” katanya.

PWB pada awal penubuhannya diletakkan di bawah pentadbiran Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) dan pejabat EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga.

Pengurusan PWB kemudian diambil alih oleh WBS yang diletakkan di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI pada Mei lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan Selangor tidak akan roboh Stadium Shah Alam

SHAH ALAM, 2 DIS: Kerajaan Negeri menolak dakwaan segelintir pihak bahawa terdapat perancangan untuk merobohkan Stadium Shah Alam di Seksyen 13 di sini.

EXCO sukan Mohd Khairuddin Othman berkata sehingga kini tiada sebarang kertas cadangan dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) bagi melaksanakan perkara tersebut.

“Desas-desus ini banyak ada kata roboh, ada kata bina dulu baru roboh. Tetapi apa yang saya boleh nyatakan secara yakin kepada ketua pembangkang sehingga tarikh hari ini tidak ada satu kertas yang dimasukkan dalam MMKN berkaitan merobohkan Stadium Shah Alam,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dibangkitkan ketua pembangkang Datuk Rizam Ismail ketika menggulung perbahasan Belanjawan Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Khairuddin berkata Unit Projek Khas (UPK) telah ditubuhkan untuk membuat kajian serta membentangkannya kepada Kerajaan Negeri berkaitan cadangan terbaik membaik pulih stadium itu.

“UPK telah ditubuhkan pada 9 Jun 2021 dan dijangka membentangkan cadangan serta maklum balas dalam masa terdekat,” katanya.

Pada 21 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar berkata Stadium Shah Alam yang berusia lebih 20 tahun bakal berwajah baharu menerusi kerja naik taraf keseluruhan kompleks itu bermula tahun depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata proses itu termasuk dalam cadangan pembangunan semula kawasan sekitarnya yang diusahakan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Katanya, kos baik pulih stadium yang dibuka pada 1994 itu dijangka menelan belanja sehingga RM350 juta berdasarkan penilaian Jabatan Kerja Raya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Bunga tanjung identiti Batik Selangor

SHAH ALAM, 2 DIS: Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) sedang merancang membangunkan Batik Selangor bermotifkan bunga tanjung.

EXCO kebudayaan berkata penyediaan reka bentuk dan motif batik berkenaan sedang dalam tindakan oleh pihak Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Selangor.

“Bagi tujuan pengiktirafan, rekaan yang sedang dibangunkan ini akan dijadikan identiti atau motif batik negeri Selangor dan dicadangkan untuk diisytiharkan sebagai Batik Selangor.

“Selanjutnya PADAT akan mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Negeri bagi pemakaian batik motif bunga tanjung kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan promosi kepada masyarakat” kata Borhan Aman Shah.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan wakil rakyat, Kota Anggerik, Najwan Halimi mengenai usaha Kerajaan Negeri membantu mempromosikan batik pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Beliau berkata PADAT juga telah mengadakan perbincangan mengenai batik bunga tanjung dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) Selangor dan Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Selangor.

Katanya ia bertujuan mempromosikan batik Selangor motif bunga tanjung dan pemakaian batik oleh penjawat awam di negeri ini.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

324 projek perkilangan di Selangor dilulus pada 2020

SHAH ALAM, 2 DIS: Sebanyak 324 projek perkilangan di Selangor diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada 2020 dengan nilai pelaburan berjumlah RM18.43 bilion.

EXCO Perdagangan dan Perindustrian Dato’ Teng Chang Khim berkata daripada jumlah keseluruhan projek yang diluluskan itu, sebanyak 93 peratus telah dilaksanakan.

“Sebanyak tujuh peratus masih dalam peringkat perancangan, pembangunan kilang dan juga pemasangan mesin dan alatan.

“Bagi memastikan projek yang diluluskan dapat direalisasikan, Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor sentiasa mengadakan perbincangan dan tindakan susulan terhadap pelabur bagi membantu menyelesaikan isu berbangkit,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan wakil rakyat Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail mengenai projek perkilangan yang diluluskan pada 2020 ketika penggulungan perbahasan Belanjawan #Selangor2022 pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Tambah Chang Khim, tiada garis masa yang direncanakan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan pihak pelabur tidak menarik cadangan pelaburan mereka.

“Mana-mana syarikat yang mendapat kelulusan projek perkilangan daripada pihak Mida perlu mendapatkan surat tiada halangan (No-Objection Letter) daripada Kerajaan Negeri,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor mungkin tambah kerusi Dewan Negeri

SHAH ALAM, 2 DIS: Kerajaan Negeri tidak menolak kemungkinan kerusi Dewan Negeri Selangor (DNS) bertambah susulan peningkatan pengundi berumur 18 tahun.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata pertambahan penduduk dari negeri lain ke Selangor juga antara faktor mendorong kemungkinan itu.

“Kita juga harus fokus terhadap aspek kesekataan jumlah pengundi dalam negeri antara satu kawasan dengan kawasan lain bagi mengelakkan nilai undi tidak setanding dengan kawasan lain,” katanya.

Beliau mewakili Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan wakil rakyat Kampung Tunku Lim Yi Wei berhubung cadangan persempadanan semula pada sidang DNS hari ini.

Menurut Sze Han pindaan Perkara 47 dan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan yang menurunkan had usia kelayakan daripada 21 tahun kepada 18 tahun berkait dengan kelayakan mengundi serta menjadi Ahli Dewan Rakyat.

“Secara amnya, walaupun sudah melebihi dua tahun sejak pindaan ini diluluskan, proses ini akan selesai pada 31 Disember 2021 dan berkuatkuasa mulai 2022,” katanya.

Tambah beliau, kali terakhir bilangan kerusi Dewan Negeri Selangor ditambah adalah pada 2003 membabitkan penambahan daripada 48 kerusi kepada 56 kawasan di seluruh Selangor.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Kolam takungan atasi banjir legakan penduduk Rawang

SHAH ALAM, 1 DIS: Pembinaan kolam takungan di Sungai Gong, Gombak bagi mengatasi isu banjir dan pencemaran  bakal melegakan kira-kira 100,000 penduduk sekitar Rawang sebaik projek berkenaan siap pada 2023.

Ahli Dewan Negeri Rawang Chua Wei Kiat berkata projek bermula tahun lepas giat dijalankan di tapak dan berterusan sehingga selesai menggunakan dana tambahan RM15 juta seperti dibentangkan dalam Belanjawan #Selangor2022.

“Projek membesarkan kolam takungan dan menambah fungsi (kolam) merupakan tindakan holistik bagi menyelesaikan masalah banjir serta pencemaran di Sungai Gong yang sebelum ini menjadi salah satu punca bekalan air terputus.

“Dengan peruntukan tambahan, saya percaya projek ini boleh berjalan lancar dan sempurna sekali gus memanfaatkan ratusan ribu penduduk disebabkan banjir kerap berlaku di lebuhraya serta jalan utama,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, beliau berkata walaupun projek tersebut belum siap sepenuhnya, namun perkembangan positif dapat dilihat apabila banjir tidak sekerap tahun-tahun sebelumnya.

“Rawang sememangnya sensitif dengan hujan. Jika sebelum ini hujan lebat 15 minit sahaja akan timbul isu banjir tetapi apa yang saya nampak tahun ini tiada berlaku banjir,” katanya.

Melalui Belanjawan #Selangor 2022 dibentangkan Jumaat lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM35 juta bagi dua projek kolam takungan banjir yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor.

Sebanyak RM15 juta diperuntuk bagi projek Kolam Takungan Banjir Rawang Integrated dan RM20 juta pula bagi Kolam Takungan Banjir Kampung Budiman.

 

Categories
EXCO SELANGOR

24,428 unit Rumah Selangorku berjaya siap, ditawar kepada penduduk

SHAH ALAM, 1 DIS: Sebanyak 24,428 unit Rumah Selangorku berjaya disiapkan dan ditawar kepada penduduk sejak 2018 sehingga 15 November lalu.

Rumah jenis C paling banyak siap iaitu 9,294 unit diikuti jenis D (7,822 unit), jenis B (4,122 unit) manakala jenis A (2,019) dan jenis E (1,171), maklum EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata rumah yang siap dibina tidak diserahkan kepada Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS), sebaliknya ditawarkan terus kepada orang awam untuk proses pembelian.

“Dasar Rumah Selangorku mensyaratkan pembangunan rumah mampu milik untuk dibangunkan pemaju secara subsidi bersilang yang mana kos pembinaannya ditanggung 100 peratus pemaju.

“LPHS hanya bertindak sebagai agensi yang mengagihkan unit tersedia kepada mereka yang layak ditawarkan melalui sistem pendaftaran permohonan hartanah Selangor,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau mewakili EXCO Perumahan Rodziah Ismail menjawab pertanyaan wakil rakyat Bukit Lanjan Elizabeth Wong berhubung jumlah rumah mampu milik yang siap dibina dan diserah.

Sementara itu, Sze Han berkata sebanyak 30 peratus kuota daripada jumlah keseluruhan unit dibina di setiap projek diagih kepada penjawat awam yang berkhidmat di negeri ini.

Jelasnya, kuota pengagihan itu diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 4 Disember 2013.

“Penetapan kuota ini terpakai sekiranya kakitangan yang bekerja di pusat khidmat Dewan Undangan Negeri merupakan kakitangan diiktiraf di bawah skim penjawat awam,” katanya lagi.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Lebih 200 program belia berjaya dilaksana tahun ini

SHAH ALAM, 1 DIS: Sebanyak 205 program Penggerak Belia Selangor (PeBS) berjaya dilaksanakan sepanjang tahun ini, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara mencatat jumlah tertinggi iaitu sebanyak 15 program diikuti Balakong (13) dan Bandar Utama (11).

“Secara keseluruhan, prestasi PeBS dinilai melalui semua aspek termasuk pelaksanaan program di peringkat DUN,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri berhubung prestasi PeBS di setiap DUN negeri ini.

Pada 3 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar berkata PeBS yang dijenamakan semula tahun lepas berjaya menjadi penghubung antara Kerajaan Negeri dan belia.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan PeBS menjadi tempat golongan itu menyuarakan pandangan untuk disampaikan kepada pimpinan atasan selain membantu menyampaikan agenda negeri ke peringkat akar umbi.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Tanah kubur Islam masih kosong boleh diguna untuk tujuan lain

SHAH ALAM, 1 DIS: Tanah Perkuburan Islam di negeri ini yang masih kosong dan diwartakan, boleh digunakan untuk tujuan lain dengan kelulusan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

EXCO hal ehwal agama Islam berkata aktiviti yang mahu dilaksanakan di atas tapak perlu sah dan mematuhi undang-undang seperti penternakan, pertanian dan parkir kenderaan yang bersifat sementara.

“Jika terdapat sebarang aktiviti dijalankan sebelum tapak itu diwartakan, ia adalah di bawah tanggungjawab pentadbir tanah daerah.

“Apabila ia telah diwartakan, pihak yang ingin menggunakan tapak tersebut perlu mengemukakan permohonan penggunaan tanah kepada pengarah Jais,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Taman Medan Syamsul Firdaus Mohamed Supri berhubung penggunaan tapak perkuburan Islam di Selangor bagi tujuan lain.

Mohd Zawawi menjelaskan Jais mengambil beberapa langkah bagi melindungi tapak perkuburan di Selangor daripada pencerobohan dan aktiviti lain.

Menurutnya, langkah diambil dengan memantau tapak terbabit selain bekerjasama dengan pejabat daerah dan tanah serta pihak berkuasa tempatan bagi penguatkuasaan mengikut Kanun Tanah Negara.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita beliau berkata tapak tanah bawah kelolaan Jais terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin menyewa kerana secara tidak langsung menyumbang pendapatan tambahan kepada jabatan.