Categories
AGENDA SELANGOR

Ikuti pembentangan Belanjawan #Selangor2022 pada 26 November

SHAH ALAM, 15 NOV: Belanjawan #Selangor2022 yang dijadual dibentang di Dewan Negeri Selangor pada 26 November bakal memberikan tumpuan kepada usaha bantu rakyat merancakkan semula ekonomi pasca wabak Covid-19.

Pembentangan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari boleh diikuti secara langsung melalui saluran SelangorTV (selangortv.my) dan menerusi media sosial https://www.facebook.com/MediaSelangor

Liputan berita majlis penting itu yang bermula jam 3 petang boleh diikuti melalui portal Selangorkini (selangorkini.my) dan tiga edisi lain, termasuk Mandarin (selangorkini.my/zh-hans/) serta Tamil (selangorkini.my/ta/).

Edisi Inggeris boleh dicapai melalui pautan selangorjournal.my

Maklumat pantas dan infografik berhubung isi menarik dan program utama Kerajaan Negeri akan dimuatkan di media sosial Media Selangor pada petang Jumaat tersebut.

Akhbar Selangorkini edisi Belanjawan #Selangor2022 juga diterbitkan dan mula diedar pada 27 November.

Amirudin sebelum ini berkata usaha yang bakal ditekankan dalam belanjawan kali ini antaranya menambah hasil dan bantuan kepada penduduk terjejas akibat Covid-19.

Categories
AGENSI SELANGOR

Terbaik urus Covid-19, pembangkang ucap tahniah Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 13 JULAI: Usaha Kerajaan Negeri menangani Covid-19 di Selangor mendapat pujian dari Ketua Pembangkang, Rizal Ismail.

“Kes Covid-19 di negeri ini semakin turun, jumlah keseluruhan sehingga 12 Julai ialah 2,088 dan sekarang hanya tinggal 13 kes aktif di beberapa mukim.

“Jadi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dan Kerajaan Negeri yang bertungkus lumus menangani wabak ini,” katanya ketika sesi perbahasan pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bagi mengurangkan beban ekonomi akibat penularan Covid-19.

Menerusinya, Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin fasa satu berjumlah RM127.78 juta diumumkan pada 20 Mac lalu manakala fasa kedua sebanyak RM272.5 juta dibentangkan pada 1 April dan fasa ketiga ialah RM260.14 juta diumum hari ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA

RM260.14 juta bantu rakyat tangani Covid-19

SHAH ALAM, 13 JULAI: Sebanyak RM260.14 juta dibelanja bagi pelaksanaan dua Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin yang memanfaatkan 3.5 juta rakyat di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar berkata bagi fasa pertama, bantuan kewangan diberi terus kepada rakyat dan petugas hadapan pada peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan.

“Fasa kedua pula usaha tambahan menangani isu sosial dan ekonomi seperti Pasar Agro Selangor, e-dapur dan Selangor Advance untuk mengadaptasi norma baharu kehidupan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan pakej rangsangan ekonomi fasa ketiga di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata pakej ketiga bertindak sebagai daya tahan untuk Selangor membangunkan semula ekonomi setelah mengalami kejutan mendadak susulan pandemik Covid-19.

Amirudin berkata pelan pemulihan ekonomi itu menekankan tiga tonggak utama iaitu jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan.

“Jumlah keseluruhan nilai ekonomi bagi pelan ini ialah RM55.85 bilion,” katanya lagi.

Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin fasa satu berjumlah RM127.78 juta diumumkan pada 20 Mac lalu manakala fasa kedua sebanyak RM272.5 juta dibentangkan pada 1 April lalu.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri teliti cadangan KATS, pelarasan tarif air

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 MAC: Kerajaan Negeri akan meneliti semula cadangan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) yang mencadangkan pelarasan tarif air hampir 50 peratus daripada tarif sedia ada.

Bagaimanapun, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau menyifatkan pelarasan itu agak tinggi daripada tarif sedia ada yang ditetapkan Kerajaan Negeri.

Katanya, Kerajaan Negeri masih meneliti semua faktor terbabit bagi memastikan sebarang pelarasan tarif adalah pada kadar yang lebih munasabah supaya pengguna daripada golongan berpendapatan rendah tidak terjejas.

“Pemberian air percuma yang dilaksanakan kini diberikan kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan jutawan selaras matlamat asal untuk membantu mengurangkan beban rakyat.

“Tujuan Kerajaan Negeri membuat penjajaran semula untuk memastikan penyaluran subsidi yang lebih fokus terhadap golongan sasar khususnya kepada golongan berpendapatan rendah di seluruh Selangor dalam usaha membantu mengurangkan beban kos sara hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan dibangkitkan Ahli Dewan Negeri(ADN) Sungai Air Tawar, Rizam Ismail pada sesi penggulungan perbahasan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, penjajaran pemberian air percuma khusus kepada golongan sasar masih lagi di peringkat semakan dan penelitian Kerajaan Negeri dan pelaksanaannya harus dilihat bersama dengan program Inisiatif Peduli Rakyat lain yang disediakan Kerajaan Negeri.

“Oleh itu, bilangan keluarga yang layak masih belum dapat diputuskan dan Kerajaan Negeri tidak akan meminggirkan mana-mana penerima yang layak,” katanya.

Categories
SELANGOR

Selangor mahu lupus hutang Pusat dengan penambahbaikan sekolah

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 MAC: Hutang Kerajaan Negeri bernilai RM48 juta kepada Kerajaan Persekutuan boleh dilupuskan dengan kaedah menyalurkannya kepada projek penambahbaikan sekolah di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pada masa ini Kerajaan Negeri membayar balik kira-kira RM6 juta hingga RM7 juta setahun kepada Kerajaan Persekutuan.

“Kita sedang memohon bagi Kerajaan Negeri untuk melupuskan hutang di mana ia tak banyak, setiap tahun kita bayar sekitar RM6 juta ke RM7 juta setahun sebagaimana kebenaran diberikan kepada Kerajaan Sarawak di mana mereka dibenarkan menggunakan wang membayar hutang untuk membaiki sekolah.

“Sebenarnya kita mempunyai senarai panjang sekolah yang memerlukan penambahbaikan, pengubahsuaian atau meningkatkan keselesaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Ke Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Katanya, sekiranya permohonan itu diluluskan, Kerajaan Negeri dapat menyalurkan wang terbabit untuk membaiki atau membesarkan sekolah sama ada pada tahun ini atau selewat-lewatnya tahun hadapan.

Amirudin berkata, langkah itu mampu memberi suasana lebih selesa dan selamat kepada warga pendidik dan pelajar di Selangor.

Categories
SELANGOR

Etika pemakaian: Tiada sebarang tindakan – Suee Lim

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 MAC: Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Suee Lim, tidak berhasrat untuk mengambil sebarang tindakan susulan pertikaian etika pemakaian yang menjadi tumpuan sepanjang sesi persidangan kali ini.

Beliau berkata, menjadi satu kesalahan tidak mematuhi peraturan dewan termasuk ketidakpatuhan etika pemakaian oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer dan Sungai Panjang pada sesi sidang terdahulu.

“Bagaimanapun, saya tak ambil tindakan tegas dan beri peluang memandangkan ADN ini masih baharu dan dinasihatkan supaya tidak mengulangi kesilapan sama pada sesi sidang akan datang.

“Dan kali ini, ADN Bukit Lanjan pula tetapi saya mengambil sikap sama menasihatkan supaya patuh peraturan. Teguran ini bukan niat berdendam atau memalukan sesiapa tapi nasihat ikhlas bagi bersama memelihara kemuliaan dewan,” katanya dalam sidang media di Lobi Bangunan Annex di sini, hari ini.

Minggu lalu, Suee Lim menegur ADN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong kerana tidak mematuhi etika berpakaian pada sidang DNS.

Katanya, penetapan lebih terperinci terhadap etika pemakaian akan dibuat bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan dalam kalangan ADN untuk sesi persidangan akan datang.

Tegasnya, penetapan pemakaian baju ‘lounge suit’ berwarna hitam bagi lelaki dan pakaian kemas atau berbaju kurung dengan blazer berwarna hitam untuk wanita supaya tidak lagi timbul isu salah faham.

“Penetapan lebih terperinci ini penting bagi memastikan ADN mematuhi peraturan tetap dan jika ada yang tidak berpuas hati, boleh usulkan untuk dibahaskan dan perlukan 18 sokongan majoriti.

“Sidang DNS bukannya ‘fesyen show’ dan perlu menghormatinya. Saya juga mahu semua ahli ADN berdisiplin dan menunjukkan contoh tauladan yang baik,” katanya.

Categories
SELANGOR

DNS sebulat suara kutuk serangan di Christchurch

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 MAC: Dewan Negeri Selangor (DNS) sebulat suara meluluskan usul tergempar mengutuk serangan berdarah di dua masjid di Christchurch, New Zealand pada Jumaat lalu.

Usul tersebut dikemukakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang, Saari Sungib di bawah Peraturan Tetap 17(1) dan dibahaskan hampir satu jam oleh empat wakil kerajaan dan seorang wakil pembangkang.

Antara ADN yang mengambil bahagian bagi membahaskan usul tersebut adalah Syamsul Firdaus Mohamed Supri (Taman Medan), Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang), Lim Yi Wei (Kampung Tunku), Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (Meru) dan Law Weng San (Banting).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dalam penggulungannya berkata, tindakan kejam dan melanggar batasan kemanusiaan itu sememangnya satu perlakuan ekstrim serta diluar pemikiran manusia.

“Semua pihak perlu sepakat untuk bersama-sama menolak dan tidak membenarkan unsur-unsur sedemikian berlaku di negeri ini.

“Saya minta agar semua pihak tidak terpengaruh dengan anasir-anasir tersebut yang memberi kesan buruk buat masyarakat,” katanya.

Setakat ini, 50 orang dilaporkan terkorban dalam kejadian tembakan yang berlaku di Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand.

Dalam pada itu, Speaker DNS, Ng Suee Lim menggesa Kerajaan Negeri untuk mengukuhkan dasar dan program keharmonian sesama budaya di negeri ini bagi meningkatkan sikap saling menghormati antara satu sama lain.

Katanya, Kerajaan Negeri juga perlu menguruskan fungsi atau peranan institusi surau, masjid dan institusi agama lain di Selangor sebagai medium menyebarkan mesej keamanan serta menghilangkan prejudis terhadap agama dan bangsa lain.

Categories
SELANGOR

Usik mengusik ceriakan sesi petang DNS

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 1 APRIL: Sesi sebelah petang persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini ceria apabila Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali beberapa kali mengusik dan menyindir Ahli Dewan Negeri (ADN) Barisan Nasional (BN).

Mohamed Azmin ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah ucapan DYMM Sultan Selangor mengusik ADN Dengkil, Shahrum Mohd Sharif dengan menyifatkan beliau sebagai layak menduduki jawatan Ketua Pembangkang DNS.

mb-jumaat sidang dewan 4Selain Shahrum, Mohamed Azmin juga sempat mengusik ADN Permatang, Sulaiman Abdul Razak supaya mengambil alih kedudukan Datuk Seri Noh Omar sebagai Ahli Parlimen Tanjung Karang.

“Permatang dan Dengkil tak perlu ikut melompat sama dengan Tanjung Karang,” katanya dipercayai merujuk kepada tindakan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar yang menyerang Kerajaan Negeri tanpa asas.

Shahrum dan Sulaiman yang turut ketawa mendengar usikan Mohamed Azmin itu kemudiannya secara bergilir mencelah penggulungan perbahasan menjunjung titah berkenaan.

Antara isu ditimbulkan termasuklah membabitkan bayaran premium berjumlah RM4 juta yang dikenakan Kerajaan Negeri terhadap Kerajaan Persekutuan.

Namun, percubaan membela Kerajaan Persekutuan ditempelak Mohamed Azmin dengan membandingkan sikap boros dan gemar kemewahan yang selama ini menjadi amalan pemimpinnya.

“Baru sahaja semalam berbelanja berjuta ringit boleh pula, takkanlah RM4 juta pun berkira,” katanya.

-AA-

Rakaman : Hari Ke 4 (Sesi Petang) | Persidangan Penggal Ke 4, D.N. Selangor Ke 13 (2016)

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Ke-13 Tahun 2016
Tarikh : 28 Mac – 8 April 2016 (kecuali Sabtu & Ahad)
Masa : 10.00 pagi (Isnin – Khamis) 9.30 pagi (Jumaat)

Rakaman : Hari Ke 3 (Sesi Petang) | Persidangan Penggal Ke 4, D.N. Selangor Ke 13 (2016)

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Ke-13 Tahun 2016
Tarikh : 28 Mac – 8 April 2016 (kecuali Sabtu & Ahad)
Masa : 10.00 pagi (Isnin – Khamis) 9.30 pagi (Jumaat)

Rakaman : Hari Ke 3 (Sesi Pagi) | Persidangan Penggal Ke 4, D.N. Selangor Ke 13 (2016)

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Ke-13 Tahun 2016
Tarikh : 28 Mac – 8 April 2016 (kecuali Sabtu & Ahad)
Masa : 10.00 pagi (Isnin – Khamis) 9.30 pagi (Jumaat)

Rakaman : Hari Ke 2 (Sesi Pagi) | Persidangan Penggal Ke 4, D.N. Selangor Ke 13 (2016)

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Ke-13 Tahun 2016
Tarikh : 28 Mac – 8 April 2016 (kecuali Sabtu & Ahad)
Masa : 10.00 pagi (Isnin – Khamis) 9.30 pagi (Jumaat)