Categories
PBT SELANGOR

Milikan tanah balai raya, dewan orang ramai di Hulu Langat dikemas kini

SHAH ALAM, 28 OGOS: Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat (PDTHL) mengemas kini maklumat pemilikan tanah bagi tapak balai raya dan dewan orang ramai di daerah berkenaan.

EXCO pembangunan luar bandar dan kampung tradisi berkata sekiranya terdapat balai raya dan dewan orang ramai yang belum diwartakan, proses berkenaan akan dilakukan segera.

Borhan Aman Shah berkata ia bagi memastikan tiada isu penyalahgunaan balai raya serta masalah lain yang boleh mengganggu kelangsungan pengoperasian.

“PDTHL bertanggungjawab untuk melaksana kerja baik pulih dan penyelenggaraan balai raya dan dewan orang ramai yang digunakan pihak MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) berdasarkan tahap kritikal sesuatu permohonan.

“Peruntukan baik pulih dan penyelenggaraan balai raya dan dewan orang ramai kebiasaanya diperoleh daripada Unit Perancangan Ekonomi Negeri Selangor dan peruntukan projek kecil di bawah peruntukan tahunan Ahli Dewan Negeri dan Ahli Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan sidang Dewan Negeri Selangor semalam sebagai menjawab isu dibangkitkan wakil rakyat Balakong mengenai status balai raya dan dewan orang ramai seliaan PDTHL.

Borhan berkata terdapat 68 balai raya dan dewan orang ramai di bawah seliaan PDTHL dengan jumlah mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah meliputi 19 di Semenyih, Dusun Tua (20), Kajang (enam) dan Sungai Ramal (sembilan).

Selain dua di Balakong, Pandan Indah (satu), Lembah Jaya (empat), Bukit Antarabangsa (tiga) dan Teratai (empat).

Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian Wilayah sedia garis panduan berkaitan pengurusan dewan orang ramai

SHAH ALAM, 17 OGOS: Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengeluarkan garis panduan berkaitan pengurusan dewan kepada pihak komuniti yang dilantik bagi menyelia dewan orang ramai, di sekitar bandaraya Kuala Lumpur.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata langkah itu dibuat supaya dewan orang ramai itu tidak disalahgunakan selain memastikan ia diselenggara dengan baik.

“Selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil alih sementara pengurusan dewan orang ramai di bandaraya ini, kita akan serahkan semula dewan itu kepada pihak komuniti berkenaan.

“Kita akan meminta komuniti atau penduduk ini melantik pihak dari kalangan mereka yang boleh dipercayai dalam menguruskan dewan ini sebab dewan ini berada di kawasan mereka dan mereka akan menggunakan pakai garis panduan (untuk menguruskan dewan) yang kita akan sediakan nanti,“ katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis minum petang sempena meraikan sambutan 50 tahun Pusat Pengajian Perancang Bandar dan Wilayah Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, hari ini.

Turut hadir Pro Canselor UiTM Tan Sri Arshad Ayub.

Dalam pada itu, Khalid turut mengingatkan komuniti berkenaan supaya mengambil tanggungjawab menjaga dan menyelia dewan orang ramai tersebut sebaik mungkin.

Khalid dalam kenyataan sebelum ini berkata, DBKL telah mengambil alih sementara 202 dewan orang ramai di bandaraya Kuala Lumpur.

Tindakan itu dilakukan selepas DBKL mendapati, banyak dewan yang disalahgunakan bagi tujuan tertentu termasuk meraih keuntungan peribadi, tujuan politik selain wujud kelemahan pengurusan dan kerosakan kemudahan akibat gagal diselenggara dengan baik.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Penduduk mahu pengurusan dewan kembali kepada Kerajaan Negeri

OLEH LIZAWATI MADFA

SELAYANG, 5 OGOS: Barisan Nasional (BN) digesa mengembalikan semula pengurusan Dewan Orang Ramai di Kampung Lee Kim Sai kepada agensi Kerajaan Negeri.

Pegawai Perhubungan Perkampungan Daerah Gombak, Chee Chu Sang, berkata parti politik tidak berhak mentadbir dewan yang digazetkan sebagai kegunaan awam.

Katanya, agensi kerajaan seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) lebih sesuai menguruskan dewan orang ramai.

“Kita mahu MCA serah balik kepada JKKK supaya penduduk ada tempat sesuai untuk menjalankan segala aktiviti demi kebaikan penduduk.

“Kita bukan mahu menggunakannya untuk tujuan parti dan politik,” katanya kepada SelangorKini.

BN Selangor didakwa menyalahguna lapan dewan orang ramai di Rawang sebagai bangunan dan cawangan parti komponennya.

DSC_6862 kecilDewan berkenaan adalah Dewan MCA Desa Kuala Garing, Dewan MIC Kuala Garing, Dewan MCA Bukit Rawang Jaya, Dewan MCA Bandar Country Homes, Dewan MCA Taman Sri Hijau, Dewan Perpustakaan Kampung Sungai Terentang, Dewan MCA Kampung Lee Kim Sai dan Dewan Umno Bandar Country Homes.

Chu Sang berkata, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) pernah menulis surat supaya menyerahkan kunci dan mengosongkan bangunan, namun diabaikan pihak berkaitan.

“Pengerusi Cawangan MCA pernah minta kita terima hakikat pilihan raya umum, jadi kita pun mahu dia buat yang sama, terimalah yang Selangor ditadbir Pakatan.

“Serah pada kita dewan yang memang hak kita. Jika Pakatan tewas dalam pilihan raya nanti, saya pasti kunci dewan akan diserah balik kepada kerajaan yang berhak,” katanya.

-AA-