Categories
NASIONAL

DPMM Selar Astro Tapis Berita BERSIH 3.0

SHAH ALAM,3 MEI : Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa simpati terhadap media antarabangsa seperti British Broadcasting Company (BBC) dan Al Jazeera kerana liputan berita milik mereka semasa perhimpunan BERSIH 3.0 telah ditapis oleh Astro tanpa persetujuan mereka.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS,Riduan Mohd Nor berkata alasan Astro bahawa mereka mematuhi garis panduan penyiaran kebangsaanî adalah alasan remeh dan sukar untuk diterima.

“Ini kerana dengan penapisan yang dibuat oleh Astro akan menyebabkan hilangnya babak penting yang menceritakan peristiwa sebenar dalam perhimpunan tersebut. Ia pula akan menjadikan liputan ini sangat tidak adil, berat sebelah,” kata Riduan dalam kenyataan media.

Riduan berkata, DPPM merasa kecewa kerana Astro tidak merujuk dahulu media antarabangsa liputan yang mereka tapis dan paparkan kepada masyarakat.

Ini menggambarkan betapa teruknya nilai demokrasi di negara ini sehingga media disekat sedemikian rupa hatta terhadap media antarabangsa.

Beliau juga kesal kerana media di Malaysia masih terkongkong oleh pengaruh politik pemerintahan BN sedangkan media antarabangsa telah jauh mendahului dalam memberikan liputan yang adil dan bebas.

“Rakyat merasa malu jika media di Malaysia akan dibandingkan dengan media di bawah pemerintahan negara-negara rejim kuku besi.

“Bagi rakyat Malaysia pula, perkara ini tidak mengejutkan kerana ia sudah menjadi lumrah sejak dahulu lagi di mana media tidak pernah bebas dan adil dalam memberikan laporannya,” katanya.

Ujar Riduan lagi, media utama memainkan peranan penting menghentam parti politik atau pemimpin serta sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan Umno-BN.

“Tidak perlu pemimpin Pakatan Rakyat keluar negara bagi menceritakan bagaimana teruknya mereka dilayan oleh media tempatan,

“Cukup hanya melihat bagaimana tapisan terhadap pemberitaan yang dibuat oleh media antarabangsa dalam peristiwa penting yang berlaku di negara ini,” tegas beliau.

AMK Kerah Seluruh Jentera Turun Demo Anti-PTPTN

SHAH ALAM 08 APRIL : Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan memberi sokongan penuh pada demo Anti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang akan diadakan pada 14 April depan.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata AMK akan mengerakkan seluruh jenteranya sendiri bagi menyokong mahasiswa dan ?mangsa? hutang pinjaman PTPTN itu.

“Dalam perbincangan bersama aktivis mahasiswa Adam Adli Abd Halim semalam, kami membuat keputusan untuk turun padang bersama mahasiswa dan mangsa PTPTN itu sendiri sebagai rangsangan terhadap mereka,” katanya.

Demo Anti PTPTN itu akan diadakan di Dataran Merdeka bermula jam 2 petang.

Sebelum ini, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mensasarkan 5,000 mahasiswa dan ?mangsa? hutang pinjaman PTPTN akan turun berhimpun menuntut pemansuhan pinjaman itu bulan depan.

Tambah Shamsul, AMK akan mengadakan perbincangan dengan Dewan Pemuda PAS (DPP) sebelum demo itu bagi membincangkan mengenainya.

Katanya, AMK juga akan bergabung tenaga dengan DPP dalam demo itu nanti.

“Dataran itu akan dijadikan sebagai medan perhimpunan untuk memberi tekanan kepada kerajaan berhubung pemansuhan pinjaman PTPTN.

“Ia sebagai satu simbolik kepada kerajaan, bahawa mereka tidak lagi dipercayai, untuk membawa agenda pendidikan percuma dan mansuhkan PTPTN,” katanya.

Perhimpunan itu juga bagi menuntut kerajaan memberikan pendidikan percuma kepada rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama, bermula tadika sehingga PhD.