Categories
SELANGOR

DUN Batang Kali agih lebih 4,000 bantuan makanan sejak Julai

SHAH ALAM, 8 OKT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali mengagihkan lebih 4,000 bakul makanan kepada penduduk sekitar yang terkesan pandemik Covid-19.

Penyelarasnya Saifuddin Shafi Muhammad berkata bantuan secara berterusan mula diberi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Julai lalu.

“Bantuan bakul makanan ini sentiasa diagih dari semasa ke semasa dan pada masa sama memastikan penduduk menerima bantuan sama rata.

“Selain itu, kita juga menumpukan bantuan membawa penduduk yang uzur ke hospital sekiranya mereka ada janji temu menerusi program Batang Kali CAR-e,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan pada program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak DUN Batang Kali di pusat khidmatnya semalam.

Sehingga kini, sekitar 3,800 penduduk kawasan itu lengkap divaksin menerusi program Selvax anjuran Kerajaan Selangor.

Program tersebut terbuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas termasuk warga asing dengan membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri sedia van, urus jenazah kanak-kanak maut ditimpa pokok

SHAH ALAM, 28 SEPT: Kerajaan Negeri membantu menyediakan sebuah van untuk membawa jenazah kanak-kanak yang maut ditimpa pokok ketika mandi di Serendah River, Hulu Selangor untuk urusan pengebumian.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad berkata van jenazah disediakan badan bukan kerajaan (NGO), Amal Team Selayang untuk membawa jenazah mangsa berusia 10 tahun itu ke tanah perkuburan.

“Bantuan disediakan pusat khidmat rakyat penyelaras DUN Batang Kali seperti diminta Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari untuk memudahkan keluarga mangsa yang bukan berasal dari Batang Kali.

“Difahamkan, jenazah dibawa ke tanah perkuburan berhampiran rumah keluarganya di Saujana Putra, Kuala Langat selepas prosedur pengesahan kematian selesai di Hospital Kuala Kubu Bahru,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Terdahulu, Amirudin memaklumkan pengurusan jenazah kanak-kanak terbabit akan dipermudahkan melalui pejabat penyelaras DUN Batang Kali.

Petang kelmarin, seorang kanak-kanak dilaporkan maut selepas ditimpa pokok ketika mandi di Serendah River.

Mangsa dilaporkan mandi bersama abangnya berusia 11 tahun yang turut cedera dalam kejadian terbabit.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Penduduk Batang Kali hadir seawal 7 pagi untuk Vaksin Selangor

HULU SELANGOR, 8 OGOS: Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali menerima sambutan menggalakkan penduduk hari ini susulan pemberian
suntikan kepada 1,447 individu semalam.

Penyelaras DUN, Saifuddin Shafi Muhammad berkata orang ramai mula hadir ke Dewan Dato Abdul Hamid di sini seawal jam 7 pagi tadi bagi mendapatkan suntikan pelalian.

“Hari ini kita menjangkakan 1,500 individu lagi akan divaksin dan kita harapkan dapat meningkatkan lagi peratus imuniti kelompok di Hulu Selangor, difahamkan setakat ini ia sudah mencecah 60 peratus,” katanya ketika ditemui SelangorKini hari ini.

Penyelaras DUN Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad bercakap kepada SelangorKini ketika program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Batang Kali di Dewan Dato’ Abdul Hamid, Hulu Selangor pada 8 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata walaupun di Hulu Selangor mempunyai dua Pusat Pemberian Vaskin (PPV) berskala besar iaitu di Serendah dan Bukit Beruntung namun program Selvax masih mendapat sambutan luar jangkaan.

“Kita hantar lebih 2,000 nama kepada Selcare sebelum ini dan dalam tempoh itu ada antara mereka yang datang terus ke PPV lain tetapi jumlah yang hadir ke program Selvax masih ramai,” katanya.

Saifuddin berkata lebih separuh peserta menggunakan pendekatan daftar terus dan menyebabkan pihaknya menggunakan 110 petugas untuk memastikan kelancaran program.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Program itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk di Selangor yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.