Categories
NASIONAL SELANGOR

Program Adun Muda Selangor, peluang anak muda jadi wakil rakyat – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 29102013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Pelajar institut pengajian tinggi (IPT) berpeluang merasai prosiding sebenar di Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) sebagai ‘wakil rakyat’ melalui Program ADUN Muda Selangor 2013, pada 16 hingga 18 Disember ini.

2. Kesan pemotongan subsidi gula sebanyak RM0.34 yang diumumkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pembentangan Belanjawan Negara 2014 memberi kesan sempena sambutan perayaan Deepavali, pada 2 November ini.

3. Kerajaan Pusat dijangka akan memotong subsidi minyak kali kedua bagi menangani defisit fiskal yang dihadapi selama 15 tahun berturut-turut dan seterusnya menyebabkan harganya naik di pasaran, pada 2014.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor buka peluang pelajar IPT jadi ‘wakil rakyat’

hannahyeohSHAH ALAM 30 OKT : Pelajar institut pengajian tinggi (IPT) berpeluang merasai prosiding sebenar di Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) sebagai ‘wakil rakyat’ melalui Program ADUN Muda Selangor 2013, pada 16 hingga 18 Disember ini.

Program yang pertama kali dianjurkan itu adalah satu insiatif kerajaan negeri bagi mendidik golongan muda berkenaan peranan dan tanggungjawab sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta memberi pendedahan kepada dunia politik di peringkat awal.

Speaker DUN, Hannah Yeoh, berkata objektif program itu adalah memupuk sifat kepimpinan dan saling bekerjasama di kalangan peserta serta melahirkan bakal pemimpin yang berkaliber serta bertanggungjawab.

“Program ADUN Muda Selangor dianjurkan Pejabat Speaker dan Pejabat DUN khas untuk pelajar IPT sekitar Selangor untuk memberi peluang kepada mereka merasai prosiding sebenar sidang dewan,” katanya ketika sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Speaker DUN, Nik Nazmi Nik Ahmad; ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin; ADUN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran dan ADUN Gombak Setia, Hasbullah Mohd Ridzwan.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata, program itu dibuka kepada pelajar berumur 18 hingga 24 tahun daripada IPT awam dan swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan mahasiswa.

“Pada tahun ini, hanya 30 pelajar yang akan dipilih untuk menyertai program ini. Jika sambutan yang diterima menggalakkan, kita merancang untuk melakukan program ini sebanyak dua kali, tahun depan,” katanya.

Katanya, peserta akan diberi peluang menyuarakan pendapat dan bertanya kepada pihak kerajaan berkenaan polisi, khususnya yang memberi impak kepada golongan muda, selain turut diberi kesempatan mencadangkan usul bagi memperkenalkan undang-undang baru di Selangor.

“Peserta akan memainkan peranan sebagai ADUN pada sidang dewan itu dan akan Speaker dan saya Timbalan Speaker. Program itu turut mendapat perhatian Exco kerajaan negeri yang dijangka akan mengambil tempat di dalam persidangan itu.

Sehubungan itu, mereka yang berminat untuk menyertai program itu boleh membuat permohonan atas talian di laman sesawang www.adunmudaselangor.com, sebelum 8 November ini.

-NFN-