Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Daya tahan badan rendah, Covid-19 ancam pesakit diabetes

SHAH ALAM, 15 NOV: Pesakit kencing manis berdepan masalah paras gula dalam darah lebih tinggi daripada biasa.

Diabetes berlaku apabila pankreas tidak menghasilkan insulin, sejenis hormon yang mengawal paras gula dalam darah. Kandungan gula ini penting untuk memberi tenaga kepada sel badan.

Penghidap kencing manis berdepan risiko lebih tinggi jika dijangkiti Covid-19. Wartawan AFIX REDZUAN menyusun maklumat kesan jangkitan virus berbahaya ini terhadap pesakit kencing manis.

Mengapa pesakit lebih berisiko?

  • daya tahan badan rendah
  • jangkitan kuman merebak cepat ke organ
  • kegemukan sukarkan pesakit bernafas
  • fungsi buah pinggang merosot
  • mudah diserang sakit jantung

Tanda jangkitan virus

  • hilang deria rasa dan bau
  • sukar bernafas
  • demam
  • batuk
  • keletihan
  • sakit kepala
  • selesema

Kesan jangkitan

  • bacaan paras gula terganggu
  • radang paru-paru
  • penghasilan jumlah darah berasid dan glukosa yang
    sangat tinggi (diabetic ketoacidosis)

Perubahan pesakit

  • tekanan atau murung
  • masa tidur kurang atau terlebih
  • kurang aktiviti fizikal
  • makan kurang atau terlebih

Langkah pencegahan

  • cuci tangan dengan sabun
  • kerap sanitasi dengan cecair basmi kuman
  • jaga jarak sekurang-kurangnya 1 meter
  • periksa bacaan gula di rumah
  • ambil insulin
  • hubungi pusat kesihatan sekiranya tidak sihat

Elakkan amalan ini

  • sentuh mata, hidung atau mulut dengan tangan
  • tempat sesak atau pengudaraan tidak lancar
  • kongsi peralatan atau bilik dengan
  • individu bergejala
  • tempat sempit yang ramai orang
  • naik pengangkutan awam

Sumber
‘Diabetes dan Covid-19: Apa Yang Perlu Anda Tahu’, Kampus Kesihatan USM, 11 Mei 2020 | ‘Tool to help manage Covid-19 patients with diabetes’, Medical News Today, 20 Ogos 2020

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Masyarakat perlu lebih sedar risiko diabetes, amal gaya hidup sihat

GEORGE TOWN, 14 NOV: Sempena Hari Diabetes Sedunia hari ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa rakyat agar sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat untuk mengurangkan risiko diabetes yang kini berada di tahap yang membimbangkan.

Presidennya Mohideen Abdul Kader berkata Malaysia berada di tangga teratas dalam Asia Tenggara yang mempunyai paling ramai penghidap diabetes dan tangga keenam di rantau Pasifik Barat.

“Di Malaysia, di sebalik pelbagai kempen mencegah kelaziman diabetes terutama diabetes jenis dua, kes diabetes telah meningkat ke tahap epidemik (wabak). Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 (NHMS 2019), seorang dalam lima orang dewasa atau sekitar 3.9 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas menderita penyakit diabetes. Kelaziman diabetes di Malaysia telah meningkat kepada 18.3 peratus, berbanding cuma satu sehingga dua peratus pada 1960.

“Menurut Buletin Perangkaan Sosial Malaysia 2019, diabetes merupakan satu daripada 10 penyebab kematian utama pada 2018. Ia adalah penyakit kronik yang boleh dicegah dan bagi mereka yang sudah menghidapinya, diabetes boleh diurus, diperlahankan atau dicegah komplikasinya dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan memilih makanan yang berkhasiat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, diabetes di Malaysia dijangka berterusan dan naik pada kadar yang tinggi disebabkan gaya hidup tidak sihat seperti tabiat makan terlalu banyak, makan makanan tidak berkhasiat, kurang bersenam, mengambil gula dan garam secara berlebihan setiap hari, pengambilan daging berlebihan dan kekurangan tidur dan rehat yang mencukupi.

Dalam pada itu, CAP menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pihak-pihak yang bertanggungjawab supaya meningkatkan usaha untuk mendidik rakyat mengenai bahaya obesiti dan diabetes serta makanan yang tidak berkhasiat.

Serta menyediakan kemudahan rekreasi yang mencukupi, mewajibkan pengeluar makanan supaya melabel jumlah natrium dan kandungan lemak dalam produk, mengharamkan mesin minuman di sekolah, hospital dan lain-lain tempat awam serta mengadakan kempen untuk mendidik ibu bapa dan anak-anak mengenai bahaya obesiti dan diabetes.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Satu daripada dua pesakit tidak tahu hidap diabetes – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mendedahkan seorang daripada dua pesakit di negara ini tidak tahu mereka menghidap diabetes sehinggalah mereka menjalani saringan gula dalam darah.

Beliau juga berkata sebahagian besar kes diabetes boleh dicegah menerusi gaya hidup sihat, dan dengan saringan berkala penyakit itu dapat dikesan lebih awal.

Dr Noor Hisham berkata bersempena Hari Diabetes Sedunia hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati rakyat Malaysia agar mencegah dan mengawal diabetes menerusi pemakanan seimbang, gaya hidup aktif, tidak merokok, memupuk minda sihat dan menghindari pengambilan alkohol secara berlebihan.

Katanya pematuhan terhadap rawatan dan nasihat pakar kesihatan selain mengamalkan gaya hidup lebih sihat juga akan membantu mengawal diabetes pada tahap optimum selain mencegah komplikasi.

“Negara sedang mendepani Covid-19 yang tidak menunjukan sebarang tanda akan berakhir dalam masa terdekat. Kajian menunjukkan individu berusia, individu obes, pesakit diabetes dan hipertensi berisiko untuk mendapat jangkitan Covid-19 lebih serius dan membawa maut,” katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya Laporan National Diabetes Registry 2013-2019 menganggarkan hanya 32.4 peratus pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan kerajaan mencapai tahap kawalan diabetes yang optimum.

Dr Noor Hisham berkata Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 menganggarkan 3.9 juta (18.3 peratus) rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas menghidap diabetes, peningkatan ketara berbanding 11.2 peratus pada 2011 dan 13.4 peratus pada 2015.

Katanya diabetes bukan sahaja memberi kesan negatif kepada kualiti hidup dan kos penjagaan kesihatan, tetapi juga menambah beban ekonomi individu, keluarga serta masyarakat serta mengurangkan produktiviti negara.

Beliau berkata tema “Diabetes: Jururawat Nadi Perubahan” yang dipilih untuk sambutan tahun ini bertujuan meningkatkan tahap kesedaran masyarakat mengenai peranan penting yang dimainkan oleh jururawat dalam aktiviti pencegahan dan kawalan diabetes di Malaysia dan seluruh dunia.

“Tidak dapat dinafikan peranan jururawat dan petugas kesihatan barisan hadapan yang lain amat penting dalam pengurusan pesakit diabetes, lebih-lebih lagi dengan peningkatan jumlah pesakit setiap tahun,” katanya.

Dr Noor Hisham seterusnya menasihati orang awam agar melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala dengan memeriksa status Indeks Jisim Tubuh (BMI), tekanan darah, paras gula dan kolestrol dalam darah masing-masing.

“Jika anda menghidap diabetes, pemantauan kendiri paras gula dalam darah sangat digalakkan dan ini boleh dilakukan sendiri di rumah menggunakan glucometer,” katanya.

KKM katanya telah merangka pelbagai program dan aktiviti berkaitan pencegahan dan kawalan penyakit tidak berjangkit (NCD), termasuk memperkukuh Program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) pada peringkat komuniti bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan pengesanan awal NCD.

Beliau turut memperingatkan mereka yang menyambut Deepavali agar makan secara berhemah dan meneruskan gaya hidup sihat, di samping mengamalkan norma baharu dan mematuhi prosedur operasi standard dalam aktiviti harian.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Yoga jadi ‘insulin’ baharu kawal diabetes?

Lazimnya doktor akan mengesyorkan beberapa jenis senaman kecergasan untuk membantu pesakit kencing manis.

Namun, Dr H. R. Nagendra yang merupakan perunding yoga kepada Perdana Menteri India Narendra Modi, yakin bahawa suatu amalan India kuno, adalah rawatan yang sangat berkesan untuk mencegah dan menguruskan penyakit kencing manis.

Pakar yoga yang berusia 77 tahun berasal dari Bengaluru, negeri di selatan India, Karnataka itu berkata orang dari negara seperti India, China dan Malaysia secara genetik cenderung menghidap diabetes melitus jenis 2.

Justeru, adalah penting untuk mereka mengamalkan gaya hidup sihat.

Menurut beliau pakar terkemuka dari persatuan yoga utama di India telah mengkaji bagaimana yoga dapat mengawal gejala dan komplikasi berkaitan penyakit diabetes jenis 2.

“Kajian mereka mendapati bahawa latihan yoga selama satu jam sehari dapat mencetuskan dimensi baharu berbanding berjalan selama sejam kerana ia dapat mengawal penyakit diabetes dan mengurangkan pengambilan ubat,” katanya kepada Bernama di luar Persidangan Terapi Yoga Asia Kali keempat yang berlangsung selama dua hari di Bali, Indonesia pada 7 dan 8 September lepas.

Terdapat pelbagai jenis yoga dengan salah satu yang popular ialah hatna yoga, iaitu sistem latihan fizikal dan pernafasan serta meditasi yang membolehkan para pengamalnya mencapai kesihatan fizikal dan mental yang baik.

Latihan yoga atau asanas (postur) direka untuk membuka banyak laluan tenaga halus di dalam badan – terutamanya tulang belakang yang merupakan saluran utama – supaya tenaga boleh mengalir dengan bebas.

Protokol yoga yang biasa

Mengenai kelaziman diabetis jenis 2, Dr Nagendra yang juga Canselor universiti yoga, Swami Vivekananda Yoga Anusandhana Samsthana di Bengaluru serta telah menjadi perunding Yoga Modi sejak tahun 1980-an berkata, pakar yoga telah memperkenalkan protokol yoga selama 60 minit bagi melawan penyakit itu.

Menurut guru yoga itu, manfaat protokol tersebut telah dikaji secara meluas di 60 daerah di India dan usaha penyelidikan tersebut telah diperakui oleh Persatuan Diabetes Amerika di San Francisco.

Biasanya, protokol yoga untuk diabetes jenis 2 bermula dengan doa pembuka, diikuti dengan beberapa latihan pemanasan badan bagi menyediakan badan untuk gaya yoga yang lebih sukar.

Selepas sesi pemanasan, surya namaskaram (ucap selamat kepada matahari) merupakan kombinasi yoga dan pranayama (pernafasan terkawal) dilakukan.

“12 langkah Surya namaskaram membawa fleksibiliti umum badan sebagai persediaan untuk asanas yang seterusnya.

“Ini (ucap selamat kepada matahari) biasanya dilakukan dengan menghadap matahari dan setiap langkah disertai dengan peraturan semasa bernafas,” jelas Nagendra.

Bahagian seterusnya ialah dari protokol yoga melibatkan postur baring, postur meniarap dan duduk. Untuk posisi baring, pengamal akan terlentang; postur meniarap, individu itu akan meniarap (atas perutnya) sebagai cara ‘’pemulihan’” dan biasanya untuk berehat.

“Pada penghujung latihan posisi asana ini, pernafasan perut secara relax dalam keadaan terbaring harus dilakukan,” katanya.

“Bahagian terakhir ialah senaman pernafasan dan meditasi, baik untuk pengurusan tekanan, kelonggaran mendalam dan menjaga minda “senyap”, tambahnya.

Meditasi kitaran

Nagendra, seorang jurutera mekanikal sebelum menjadi pakar terapi yoga, menjadi begitu instrumental ketika memperkenalkan “meditasi kitaran”, iaitu gabungan postur yoga dan meditasi yang berpandu.

Beliau mendakwa dengan berlatih meditasi kitaran senamam yoga ini, seseorang dapat merungkai rahsia-rahsia yang tersimpan dalam Mandukya Upanishad, teks yang paling pendek dari buku Hindu purba yang dikenali sebagai Upanishads.

Menurut Nagendra, jika diamalkan dengan kerap meditasi kitaran berpotensi meringankan tekanan kerja dan merawat penyakit seperti asma dan kanser selain gangguan psikiatri.

“Rehat yang sebenar diperoleh melalui meditasi kitaran. Hasil kajian kami mendedahkan bahawa tidur selama enam jam sebenarnya kita hanya berehat sebanyak sembilan peratus, ia diukur dengan pengurangan kadar metabolisme. Tetapi, meditasi kitaran selama 30 minit dapat menyumbang kepada 32 peratus rehat,” katanya sambil menambah bahawa perdana menteri India mengamalkan meditasi kitaran sebagai sebahagian rutin yoga hariannya.

Katanya, kesedaran orang ramai terhadap manfaat yoga semakin meningkat sejak 11 Disember 2014 apabila Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengisytiharkan Hari Yoga Antarabangsa disambut pada setiap 21 Jun. – BERNAMA

* Artikel ini bersempena sambutan Hari Diabetes Sedunia pada 14 November 2019

Categories
NASIONAL

Lebih 66% pesakit buah pinggang berpunca dari diabetes

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Lebih 66 peratus daripada 55,000 pesakit buah pinggang kronik yang menjalani rawatan dialisis berpunca daripada penyakit kencing manis, kata Ketua Jabatan Nefrologi Hospital Tuanku Jaafar, Dr Lily Mushahar.

Beliau berkata selain kencing manis, kira-kira 30 peratus disebabkan darah tinggi serta faktor lain seperti penyakit genetik, radang buah pinggang, pengambilan ubat tahan sakit serta ubat suplemen yang tidak mendapat nasihat doktor.

“Jumlah pesakit buah pinggang meningkat setiap tahun. Seramai 7,000 pesakit baharu dikesan di negara ini yang mengalami masalah buah pinggang serta perlu menjalani rawatan dialisis setiap tahun,” katanya dalam program Ruang Bicara di Bernama News Channel bertajuk Penyakit Buah Pinggang Kronik, malam tadi.

Beliau berkata pemakanan yang tidak seimbang dan suka makanan manis dan menggemukkan antara punca penyakit kencing manis dan seterusnya penyumbang kepada penyakit buah pinggang.

Sementara itu, Pakar Perunding Nefrologi, Fakulti Perubatan dan Sains kesihatan, Universiti Putra Malaysia Dr Nor Fadhlina Zakaria yang turut menjadi tetamu program itu berkata saringan kesihatan adalah penting dan perlu dilakukan setiap tahun dan saringan lebih kerap perlu dilakukan bagi pesakit diabetes serta darah tinggi.

Beliau turut berkata kadar penderma buah pinggang di negara ini masih ditahap rendah iaitu hanya 1.3 peratus daripada kira-kira 30 juta rakyat Malaysia mendaftar sebagai penderma buah pinggang.

“Kira-kira 21,000 pesakit yang sudah melalui rawatan dialisis sedang menunggu penderma buah pinggang dan ia ditahap serius kerana tiada anggota keluarga yang mahu tampil untuk menderma,” katanya.

-BERNAMA