SHAH ALAM, 27 JULAI : Kerajaan Negeri diminta memperbanyakkan peluang perniagaan kepada rakyat di bandaraya ini supaya kedudukan ekonomi masyarakat terus berkembang kukuh seterusnya menyumbang kepada kemajuan Selangor.
Dalam Majlis Dailog Bajet Selangor 2013 peringkat Shah Alam di sini hari ini, warga bandaraya juga berharap kursus keusahawanan dan program bimbingan yang lain diperbanyak dan diperluaskan khususnya kepada golongan kurang mampu dan muda.
Peserta dialog tersebut juga mencadangkan agar usaha untuk menghijaukan bandaraya dapat dipertingkatkan dan kempen kitar semula bahan buangan diperluaskan.
Pengurus Perhubungan Awam SJ Properties Sdn Bhd, Nurul Wahidah Choo Abdullah, 47, berharap pemeliharaan kawasan hijau perlu diutamakan supaya alam sekitar dapat dilindungi dari dicemari.
?Kempen satu rumah satu pokok juga boleh dipraktikkan di bandaraya ini,” katanya ketika ditemui TVSelangor selepas majlis tersebut.
Majlis tersebut adalah antara yang terakhir yang dikendalikan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri bagi mengumpul pendapat awam sebelum merancang belanjawan negeri.
Pendapat sama turut dikongsi Mohamad Nizam Marzuki, 36, dari Majlis Sukan Negeri Selangor dengan menambah, Kerajaan Negeri perlu memberi penekanan terhadap pengurusan sisa pepejal supaya ia dapat diselenggarakan dengan lebih baik.
“Masalah longkang dan jalan yang tidak diselenggara dengan baik terutama di kawasan rumah kos rendah dan kampung harus diatasi segera di samping menyediakan dan menyelenggara kawasan rekreasi dengan lebih baik.
?Penggunaan teknologi hijau perlu digalakkan dengan lebih meluas dan proaktif di Selangor,” katanya.
Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail dalam ucapan perasmian majlis tersebut berkata perkembangan ekonomi negeri tidak dapat dilaksanakan kalau sekadar melibatkan pihak Kerajaan Negeri sahaja.
“Sebagai kerajaan prihatin, kita perlukan penglibatan semua pihak bagi merangka kewangan negeri ke arah kemajuan bersama. Dengan ini kita mampu bergerak seiring dan dapat melaksanakan kemajuan negeri.
“Perbincangan seperti ini adalah penting dengan penglibatan pelbagai pihak tetapi apa yang lebih penting segala apa dirangcang dan dibentangkan dapat dilaksanakan,” katanya.
Turut hadir, Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Luar Bandar, Yaakob Sapari dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan.