Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Penggiat animasi perlu lahir karya kualiti, idea baharu

SHAH ALAM, 8 SEPT: Penggiat animasi diseru bergerak lebih ke hadapan dengan karya berkualiti supaya boleh memberi manfaat kepada ekonomi negeri, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu perlu diberi penekanan agar medium seni itu tidak dilihat hanya menjadi trend dan gelombang semata-mata.

“Semua orang buat (karya) lepas itu hilang dan tidak ada pembinaan penciptaan kekayaan mahupun melatih bakat yang melahirkan idea baharu dalam dunia kreatif seperti ini.

“Sebagaimana contoh dunia fesyen, tidak ketinggalan seni halus dan seni tampak yang menjadi paksi di Selangor. Sebab itu dua, tiga tahun lalu saya selalu sebutkan, tetapi kita masih belum ada keseluruhan ekosistem itu, yang ada hanyalah inisiatif kecil seperti Rumah Seni Selangor (RUsSEL),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan rumusan Dialog Belanjawan Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau memuji siri animasi Ejen Ali terbitan WAU Animation yang berjaya menarik perhatian ramai dengan jumlah kutipan RM30 juta pada Januari lalu selepas enam minggu tayangan malah kini mendapat sambutan di 70 negara serta dialih bahasa.

Berpengkalan di Cyberjaya, WAU ditubuhkan pada 18 Mac 2013 oleh Muhammad Usamah Zaid Yasin, yang juga terlibat dalam kejayaan animasi Upin dan Ipin keluaran Les’ Copaque Production.

Categories
AGENDA EXCO NASIONAL SELANGOR

Padanan pekerja kemahiran tinggi, berilmu penuhi kehendak pasaran

SHAH ALAM, 8 SEPT: Pekerja berkemahiran tinggi dan berpengetahuan antara aspek akan diberi tumpuan bagi memenuhi kehendak semasa industri, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata usaha itu dilaksanakan menerusi kerjasama ahli akademik dan pemain industri sejajar dengan matlamat mencipta kekayaan di Selangor.

Katanya, aspek tersebut adalah tugas berat memandangkan apa berlaku sekarang contohnya jurutera dihasilkan institusi pengajian tinggi tidak bersesuaian dengan kemajuan industri.

“Di universiti swasta misalnya, mereka menawarkan sarjana muda dalam bidang teknologi maklumat dengan pengkhususan seperti keselamatan siber mahupun data analitik, namun (graduan) tiada kepakaran dan kemahiran untuk masuk ke pasaran kerja.

“Jadi, kita perlu usahakan bagaimana untuk mewujudkan silibus atau kursus tertentu yang berjalan selari dengan kursus di universiti supaya graduan memiliki kepakaran seterusnya dapat memenuhi kehendak pasaran,” katanya pada sesi rumusan Dialog Belanjawan Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini semalam.

Chang Khim turut memaklumkan Kerajaan Negeri bercadang mewujudkan sebuah pusat kecemerlangan bagi membangunkan semula perniagaan dan tenaga mahir khususnya sektor berteknologi tinggi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Sasaran negeri pintar 2025 perlu seiring pembangunan berdaya huni

SHAH ALAM, 7 SEPT: Selangor tidak berhasrat menjadi negeri pintar menjelang 2025 hanya sekadar terlukis di kertas atau kekal dengan angka pertumbuhan ekonomi besar semata-mata.

Sebaliknya Dato’ Menteri Besar berkata matlamat itu perlu dicapai dengan negeri ini kekal berdaya huni dan berdaya saing serta mampan demi kesejahteraan rakyat.

“Banyak perkara terperinci daripada industri kreatif, kesihatan, bandar yang selamat dan pertanian akan kita gariskan serta laksanakan (dalam belanjawan). Namun hala tujunya harus menjadi pertimbangan kita,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika menyampaikan rumusan Dialog Belanjawan Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Beliau berkata Selangor dibanggakan dengan penjanaan ekonomi rancak sejak 1980an menerusi perkembangan pelbagai industri dan menjadi penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bagaimanapun katanya, kerangka pembangunan negeri kini perlu memastikan kehidupan rakyat yang sama baik dengan kemajuan dicapai termasuk dalam menangani isu kesihatan seperti Covid-19.

“Dapatan lain daripada sesi dialog belanjawan seperti pertanian, pelancongan, keusahawanan dan kebajikan juga perlu diberikan perhatian supaya pembangunan dirancang dinikmati semua,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tanggungjawab, cabaran Selangor lahirkan golongan menengah berdaya saing

SHAH ALAM, 7 SEPT: Kerajaan bertanggungjawab mengurangkan jurang antara kelompok kaya dan miskin bagi mewujudkan kumpulan menengah yang stabil serta berdaya saing.

Dato’ Menteri Besar berkata persoalan berkenaan menjadi cabaran Kerajaan Negeri kerana demografi Selangor masa kini berasaskan perbandaran.

“Faktanya 90 peratus lokaliti kita adalah bandar. Isu kita berkaitan bandar dan isu pentingnya adalah melibatkan satu keadaan yang ekstrim.

“Ekstrim kaya dan miskin serta bagaimana kita mewujudkan kelompok menengah berkualiti yang mampu mengimbangi kedudukan tersebut,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika menyampaikan rumusan Dialog Belanjawan Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Beliau menjelaskan adaptasi digital ingin dikembangkan, kesihatan dan pertanian juga perlu diberikan perhatian kerana ia membabitkan kepadatan penduduk.

“Saya percaya konteks Covid-19 menyedarkan kita cabaran kini ialah bagaimana memulakan gerak tindak ekonomi berdaya saing dan dalam masa sama memastikan kehidupan kita berdaya huni,” katanya.

Categories
AGENDA EXCO NASIONAL SELANGOR

PBT digesa mudahkan urusan peniaga dapat lesen

SHAH ALAM, 7 SEPT: Pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran memudahkan urusan permohonan lesen perniagaan di negeri ini terutama membabitkan penjaja kecil.

EXCO pembangunan usahawan berkata Kerajaan Negeri akan menjalankan semakan semula undang-undang kecil berhubung perkara itu bagi memastikan ia lebih cepat dan mesra.

“Memang ada usahawan susah nak dapat lesen, jadi kita akan mengemas kininya. Sebelum ini Kerajaan Negeri sudahpun menguatkuasakan warga asing tidak dibenarkan berniaga, tetapi adakah itu mencukupi?

“Oleh sebab itu, semakan semula akan dibuat untuk mudahkan rakyat berniaga,” kata Rodziah Ismail ketika sesi rumusan Dialog Belanjawan Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Pada masa sama, Rodziah turut meminta PBT menjalin hubungan baik dengan syarikat komunikasi di negara ini terutama melibatkan urusan pemasangan menara telekomunikasi.

“Sekiranya ia terjalin, syarikat ini boleh memasang capaian jalur lebar (Wi-Fi) secara percuma di tempat mempunyai kepadatan penduduk tinggi dan bakal membantu usahawan digital menjalankan perniagaan dalam talian dengan lebih baik,” katanya.

Categories
AGENDA EXCO NASIONAL SELANGOR

Cadang wujud pinjaman beli telefon pintar, bantu rakyat berniaga dalam talian

SHAH ALAM, 7 SEPT: Kerajaan Negeri digesa mewujudkan skim pinjaman belian telefon pintar dan komputer riba bagi membantu rakyat berpendapatan rendah (B40) menjalankan perniagaan dalam talian.

EXCO pembangunan usahawan berkata setakat ini dana usahawan mikro hanya memberi kemudahan kepada peniaga membuat pinjaman membeli peralatan perniagaan sahaja.

“Mungkin sekarang sudah sampai masanya kita wujudkan pinjaman untuk golongan tersebut membeli telefon bimbit atau komputer riba bagi membolehkan perniagaan secara digital dijalankan.

“Tanpa kemudahan seperti ini menyukarkan mereka menceburi bidang berkaitan,” kata Rodziah Ismail ketika sesi rumusan Dialog Belanjawan Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Belanjawan pelancongan perlu kekal, bantu ekonomi lain berkembang

SHAH ALAM, 7 SEPT: Kerajaan Negeri disaran mengekalkan belanjawan industri pelancongan susulan impak sektor itu kepada pelbagai bidang.

Presiden Persatuan Pelancongan Malaysia berkata bagaimanapun perlunya satu badan menguruskan peruntukan terbabit supaya sasaran dapat dicapai.

“Industri pelancongan ini boleh mengembangkan industri lain. Ia macam pintu besar. Apabila buka ekonomi meningkatkan, (ekonomi) sektor lain juga meningkat.

“Pelancongan tak perlu orang tengah. Jadi peniaga kecil akan mendapat manfaat secara terus dan membantu ekonomi mereka,” kata Uzaidi Udanis ketika menjadi panel Dialog Pertanian, Pelancongan dan Agropelancongan Belanjawan 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Beliau turut memuji inisiatif subsidi baucar RM2 juta dilakukan Kerajaan Negeri untuk menarik minat lebih ramai pelancong domestik.

“Dalam masa sama usaha PBT (pihak berkuasa tempatan) yang proaktif membantu peniga kecil memberi kesan kepada pelancongan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Bantu rakyat kurang mampu tambah pendapatan berniaga secara maya

SHAH ALAM, 7 SEPT: Kerajaan Negeri disaran menggalakkan lebih ramai golongan kurang berkemampuan menyertai perniagaan dalam talian untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup.

Ketua pegawai eksekutif Akademi Usahawan Mikro berkata ia susulan had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang dinaikkan tahun ini kepada RM2,208 daripada RM980 berisiko mewujudkan lebih ramai rakyat miskin di negara ini.

“Menerusi Belanjawan Selangor 2021, Kerajaan Negeri mungkin boleh memikirkan inisiatif dengan membantu rakyat kurang mampu menambah pendapatan menerusi perniagaan dalam talian seperti Shopee, Grab dan sebagainya.

“Selain dapat mengurangkan jurang kemiskinan, pendekatan seumpama ini turut dapat mengurangkan gejala sosial di kalangan miskin bandar,” kata Abd Azharee Abdul Wahid ketika Dialog Belanjawan Selangor 2021 bagi sesi usahawan mikro, digitalisasi dan kemiskinan bandar di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Hadir sama EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail dan EXCO Kerajaan Prihatin V Ganabatirau.

Beliau berkata digitalisasi membantu usahawan mikro terselamat sepanjang tempoh Covid-19 kerana wabak tersebut memaksa mereka lebih peka dengan digital dan perlu belajar bagaimana memasarkan produk dalam talian.

“Dunia digital amat luas dan kita perlu memanfatkan landasan sedia ada seperti Grab, Shopee dan Lazada,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Galak aktiviti keusahawanan bantu rakyat pulih ekonomi

SHAH ALAM, 7 SEPT: Kerajaan Negeri disaran menggalakkan aktiviti keusahawanan sebagai salah satu kaedah untuk meningkatkan ekonomi rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

Ketua ekonomi Bank Islam Malaysia berkata kecenderungan berbelanja dalam kalangan pengguna dapat membantu pemulihannya jika produk ditawarkan bersesuai dengan pasaran.

“Malaysia mempunyai masyarakat yang suka berbelanja. Kecenderungan untuk setiap ringgit dalam perbelanjaan adalah sekitar 0.57 peratus, antara tertinggi di rantau Asia. Maksudnya RM1, perbelanjaan sekitar 57 sen dan bakinya disimpan.

“Kalau kita galakkan aktiviti keusahawanan, permintaan sentiasa ada cuma isunya apakah bentuk perniagaan, itu perlu difikirkan,” kata Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid ketika Dialog Belanjawan Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Beliau berkata kitaran ekonomi yang berlaku hampir setiap 10 tahun akan mengakibatkan ekonomi menguncup malah Malaysia sendiri menghadapinya pada kadar 1.5 peratus pada 2009, 7.4 peratus (1998) dan satu peratus (1985).

Dr Mohd Afzanizam berkata pengumuman pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan di peringkat persektuan dan negeri sedikit sebanyak akan membantu proses pemulihan akibat pandemik ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Teroka sumber baharu harungi suasana pascapandemik Covid-19

SHAH ALAM, 7 SEPT: Selangor perlu menerokai sumber baharu dan tidak bergantung kepada hasil sedia ada dalam mengharungi suasana pascawabak Covid-19.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Persaingan Malaysia berkata ekonomi berasaskan sumber bumi sahaja tidak berkekalan kerana dunia kini berbincang mengenai ekonomi guna semula membabitkan kitaran pendapatan dan penggunaan semula hasil.

“Selangor adalah sebuah negeri yang terkehadapan sekali gus menjadi cabaran bagaimana mencipta kekayaan (sumber) baharu. Saya mahu Selangor fikirkannya dengan mengaitkan kehidupan bandar berdaya huni,” kata Dr Madeline Berma pada Dialog Belanjawan Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Beliau menjelaskan negeri ini juga perlu berhati-hati merancang pelan pascapandemik kerana sentiasa menjadi tumpuan terutama dalam bidang perindustrian dan penyumbang utama ekonomi negara.

Madeline turut menyokong usaha mewujudkan subjek khusus di peringkat universiti berhubung industri kreatif terutama ketika berdepan wabak.