Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor anjur program dialog, dekati mahasiswa

KLANG, 30 NOV: Kerajaan Selangor giat memperkasa golongan mahasiswa dengan menganjurkan program dialog untuk bertukar buah fikiran, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu dilaksana bagi mewujudkan hubungan dua hala yang akrab antara Kerajaan Negeri dan pelajar termasuk melibatkan mereka ke arah pembangunan negeri.

“Banyak kali kita anjurkan program dialog sebelum ini dan ia merupakan platform terbaik kita berhimpun bersama mahasiswa bertukar pendapat dan jika ada keperluan kita akan bekerjasama dengan universiti itu untuk merangka dan saling membantu (merangka kajian).

“Sebelum ini kita ada kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Universiti Kebangsaan Malaysia iaitu membina sebuah kursi pusingan dana dan Unitar pula untuk membuat kajian kadar kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Dialog Dato’ Menteri Besar Bersama Pimpinan Mahasiswa di Institut Pengajian Tinggi Negeri Selangor dekat Hotel Wyndham Acmar di sini malam tadi.

Pada masa sama, Amirudin turut menasihatkan mahasiswa perlu berfikir luar kotak dan tidak terpengaruh dengan gangguan media sosial yang adakalanya boleh membawa ke arah negatif.

“Menerusi dialog ini juga cara untuk kita tangani simpang siur suara yang timbul dalam kalangan anak muda masa kini yang mengalami perubahan begitu pantas ditambah adanya media sosial,” katanya.

Program dialog anjuran Kerajaan Negeri itu membabitkan penyertaan 17 institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh Selangor dengan kehadiran 150 pimpinan mahasiswa.

Antara institusi terlibat adalah Universiti Putra Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Selangor dan Universiti Teknologi MARA.

Categories
AGENSI SELANGOR

Budaya dialog dijadikan norma baharu, dapat kukuh perpaduan

SHAH ALAM, 25 NOV: Budaya dialog perlu diterapkan sebagai norma baharu dalam kalangan masyarakat supaya perpaduan antara kaum dapat dikukuhkan, kata setiausaha Kerajaan Negeri.

Dato’ Haris Kasim berkata kerjasama dan perbincangan tanpa membezakan agama mampu mencegah timbul isu sosial, rasuah, alam sekitar, rumah tangga dan dadah.

“Setiap agama perlu berganding bahu membincangkan pelbagai isu dan mencari jalan penyelesaian memandangkan masalah saling berkait serta berisiko mendatangkan situasi luar jangkaan.

“Terutama pada pasca Covid-19 yang mencabar ini, usaha bersepadu melibatkan agensi kerajaan, komuniti dan individu tanpa mengira agama dan etnik penting. Jadi kita harus bersama-sama menggerakkan tenaga, kepakaran serta sumber supaya membentuk kesepaduan,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Konvensyen Dialog Antara Agama Negeri Selangor 2021 yang berlangsung secara maya hari ini.

Jelasnya, semua pihak juga perlu mematuhi dan mengamalkan prinsip perpaduan bagi melindungi keharmonian negara.

“Diharap majlis dijayakan hari ini menjadi platform untuk semua pihak mengupas semua isu lebih mendalam sekali gus menghasilkan cadangan yang praktikal untuk dimanfaatkan masyarakat,” katanya.

Categories
SELANGOR

Dialog ‘Turki Pasca Kudeta: Erdogan & Kuasa Rakyat’ 21 Julai

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 JULAI : Institut Darul Ehsan (IDE) dengan kerjasama Universiti Selangor (UNISEL) dan Media Selangor menganjurkan Siri Dialog Darul Ehsan dengan tajuk ‘Turki Pasca Kudeta: Erdogan & Kuasa Rakyat’ pada Khamis, 21 Julai ini di Auditorium Unisel, Shah Alam.

Bermula pada jam 2.45 petang, dialog itu bakal menampilkan dua panelis, Timbalan Pengerusi IDE merangkap Naib Canselor UNISEL, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman serta Timbalan Setiausaha NGO Islam Dunia (UNIW) merangkap Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Ahmad Azam AB Rahman.

test 1Manakala Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Shamsuddin bertindak selaku moderator.

Kemasukan secara percuma dan mereka yang berminat boleh menghubungi talian 013- 291 5805 atau 03- 5512 2973 untuk pendaftaran.

Pada 18 Julai lalu, tentera Turki melancarkan cubaan rampasan kuasa di negara itu dengan tentera mengawal jalan utama di Ankara dan Istanbul.

Namun, tindakan itu berjaya digagalkan dan Recep Tayyip Erdogan kekal selaku Presiden Turki apabila rakyat negara itu bangkit menentang cubaan rampasan kuasa itu.

EZY