Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Keharmonian bantu Selangor depani era digital, tarik pelabur asing

SHAH ALAM, 25 NOV: Penyebaran maklumat berhubung dasar dan inisiatif Kerajaan Negeri perlu disampaikan dalam bahasa yang mudah supaya difahami seluruh lapisan masyarakat, kata EXCO perpaduan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata elemen itu penting memandangkan masyarakat Selangor terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

“Mengekalkan keharmonian dan kerukunan hidup bersama dalam masyarakat berbilang agama merupakan cabaran besar yang dihadapi Malaysia khususnya di Selangor.

“Sebagai negeri yang memimpin kemajuan ekonomi dan politik, Kerajaan Selangor bertanggungjawab mengekalkan kesepaduan dan cara ini mampu menghadapi persaingan era digital serta menarik pelaburan asing,” katanya berucap pada Konvensyen Dialog Antara Agama Negeri Selangor 2021.

Program secara maya itu dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim.

Dr Siti Mariah berkata bagi mencapai matlamat berkenaan, Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai usaha menyeluruh dan proaktif termasuk jalinan kerjasama antara agensi kerajaan, institusi akademik, komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Antara program dijayakan adalah bengkel yang dianjur bersama Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas), sidang perpaduan bersama Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Negeri Selangor, webinar bersama Institut Darul Ehsan serta siri dialog rumah ibadat dengan komuniti.

“Saya percaya usaha ke arah memperkukuh keharmonian dan mempromosi kesepaduan perlu dilaksanakan secara kolektif dan inklusif agar boleh difahami dan dihayati oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perhebat digitaliasasi perniagaan, pacu pemulihan ekonomi

SHAH ALAM, 13 SEPT: Selangor giat menumpukan usaha pemulihan ekonomi melalui proses digitalisasi  perniagaan, kata EXCO pelaburan, perdagangan dan perindustrian.

Dato’ Teng Chang Khim berkata ia selaras perkembangan pesat perniagaan berkaitan teknologi perbankan, pertanian dan e-dagang terutama dalam tempoh pandemik Covid-19.

“Langkah ini menjadi tumpuan Selangor untuk memulihkan ekonomi melalui digitalisasi atau menumpukan penggunaan teknologi dalam operasi perniagaan.

“Menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk menyediakan platform dan inisiatif yang diperlukan untuk memacu pertumbuhan ekonomi digital,” katanya berucap pada hari demo Program Pemecut Selangor (SAP) 2021 secara maya semalam.

Hari demo terakhir menyaksikan 30 peserta SAP berpeluang membuat pembentangan kepada pelabur, syarikat korporat dan agensi kerajaan.

Mereka dinilai tujuh juri yang menyumbang 70 peratus skor penilaian manakala 30 peratus merangkumi prestasi dan kehadiran sepanjang tiga bulan latihan, bimbingan serta pembelajaran.

10 syarikat rintis terbaik adalah eMLab, GFI Fintech, NextMind AI, Boss Boleh, Farmy, Xhinobi, Umorie, i-3s, Securepay dan SnappEd.

Sementara itu, Chang Khim menaruh kepercayaan terhadap peserta SAP supaya memainkan peranan dalam membantu pemulihan ekonomi negara melalui pelbagai inisiatif disediakan Kerajaan Negeri.

“Sidec (Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor) telah berusaha keras dalam membantu Kerajaan Negeri untuk memastikan ekosistem digital dapat memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini,” katanya.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

BNM: Tambahan RM700 juta bantu tingkat automasi, digital PKS

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan peruntukan Kemudahan Automasi dan Digital (ADF) Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ditambah RM700 juta lagi sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan bagi ADF adalah RM1 bilion.

Menurut kenyataan media semalam, BNM menjelaskan ADF diperkenalkan pada Mac 2020 bertujuan menggalakkan PKS di semua sektor mengautomasikan proses serta mendigitalkan operasi bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan.

“ADF terbuka kepada semua PKS Malaysia, dengan jumlah pembiayaan maksimum RM3 juta bagi setiap PKS dan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun. Kadar pembiayaan adalah sehingga empat peratus setahun, termasuk yuran jaminan.

“Perlindungan jaminan disediakan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP). Kemudahan ini disediakan sehingga 31 Disember, 2021 atau sehingga peruntukan digunakan sepenuhnya, mana yang lebih awal,” menurut BNM.

Bank pusat turut memaklumkan PKS juga boleh memohon kemudahan pembiayaan lain di bawah Dana BNM untuk PKS.

PKS yang berminat boleh merujuk bnm.gov.my/covid19/ atau menghubungi BNM melalui bnm.my/LINK sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan berhubung kemudahan pembiayaan yang disediakan, jelasnya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agenda digitalisasi diperhebat, bantu rakyat – EXCO

SHAH ALAM, 15 NOV: Kerajaan Negeri bakal memperhebat inisiatif digitalisasi bagi membantu rakyat terkesan akibat Covid-19, kata EXCO pembangunan usahawan.

Rodziah Ismail berkata kajian mendapati pendapatan seramai 36 peratus daripada 6.6 juta penduduk Selangor terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Malah kajian juga mendapati kira-kira 84 peratus rakyat mempunyai simpanan yang hanya mampu bertahan selama tiga bulan sahaja, perkara ini membimbangkan kita.

EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail bersama Ketua Pengarah Eksekutif MSSB, Fareed Mohd Asharee serta Ketua Degitalisasi Perbadanan Menteri Besar, Kamarul Nizam Kassim bergambar bersama di pejabat Media Selangor selepas bual bicara pendigitalan dan keusahawanan di Studio Media Selangor, Shah Alam pada 14 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Cara untuk membantu adalah mengajar mereka bagaimana perniagaan dalam talian boleh mengubah nasib kerana boleh dilakukan tanpa perlu ada kedai atau gerai secara fizikal,” katanya dalam program bual bicara Media Selangor.

Sejumlah RM369 juta diperuntuk bagi menjayakan agenda Negeri Pintar Ulung dan Agenda Digitalisasi dalam Belanjawan Selangor 2021.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha itu bagi menggerak ekonomi secara holistik melalui transformasi sistem perkhidmatan, sosial, perniagaan dan keusahawanan, penciptaan nilai serta seni kreatif.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan dasar itu juga memecahkan stigma bahawa pendigitalan tidak membunuh peluang pekerjaan, sebaliknya mewujudkan peluang pekerjaan.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Anak syarikat sumbang RM195.5 juta laksana program pendigitalan

SHAH ALAM, 5 NOV: Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) memperuntuk RM195.5 juta untuk melaksanakan program berkaitan pendigitalan tahun depan.

Dato’ Menteri Besar berkata pecahan peruntukan ialah Dana Inovasi Selangor (RM100 juta), Selangor Kerjaya (RM50 juta), Data Internet Selangor (RM17.5 juta), Selangor Freelancers (RM10 juta), Tuisyen Rakyat (RM13 juta) dan Kursi Menteri Besar (RM5 juta).

“Semua inisiatif berkait rapat antara satu sama lain contohnya pelaksanaan Data Internet Selangor seiring dengan Selangor Kerjaya dan Selangor Freelancers untuk membiasakan rakyat dengan aplikasi digital.

“Capaian internet juga membolehkan program tuisyen atau aktiviti pembelajaran dilaksanakan dengan lebih mudah serta efisien,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada ucapan penggulungan Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri komited membantu golongan belia mendapatkan pekerjaan apabila menyediakan RM76 juta menerusi Belanjawan Selangor 2021.

“Perkhidmatan dalam talian yang menjana pendapatan perlu di titik beratkan dan pelantikan 1,000 Rakan Digital Selangor antara usaha ke arah tersebut,” katanya.

Categories
AGENDA

Selangor azam ke arah pembangunan digitalisasi – MB

SHAH ALAM, 15 JULAI: Kesan penularan Covid-19 membuka peluang Kerajaan Negeri untuk lebih komited membangunkan sistem pangkalan data digital selaras dengan hasrat menjadi Negeri Pintar menjelang 2025.

Dato’ Menteri Besar berkata Selangor sudah mengorak langkah ke arah digitalisasi seperti pembangunan pangkalan data lesen peniagaan yang berjaya mengumpulkan maklumat 80,000 penjaja di seluruh negeri.

“Digitalisasi adalah pendekatan menyeluruh bukan hanya kerajaan tetapi swasta. Sebagai contoh jaringan petani, pesawah atau pekedai itu lebih lengkap di akar umbi berbanding data rasmi. Sebab itu kita yakin dengan iltizam yang jelas.

“Dalam ucapan saya sebelum ini sering saya ingatkan jika kita tidak bersama dengan arus perubahan maka kita akan ketinggalan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika diwawancara dalam program Agenda Awani.

Beliau berkata iltizam politik memainkan peranan untuk merealisasikan hasrat berkenaan seperti dilakukan Estonia yang berjaya membangunkan sistem digital hingga membolehkan rakyatnya mengundi secara dalam talian walaupun berada di lapangan terbang.

Amirudin menjelaskan beberapa inisiatif perniagaan secara dalam talian diwujudkan Kerajaan Negeri seperti e-Bazar Ramadan, e-Bazar Raya bersama Shopee dan Pasar Agro Selangor turut mencatatkan nilai jualan melangkaui sasaran sekali gus memberikan petanda masyarakat bersedia ke arah digitalisasi.