Categories
NASIONAL

Nelayan Berputih Mata,Hak Diserah Kepada LKIM

TANJUNG KARANG 28 FEB: Persatuan Nelayan dan Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan (KPSP) Kampung Sungai Yu terpaksa berputih mata apabila hak pengurusan kemudahan di jeti Kampung Sungai Yu diserahkan kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Antara kemudahan yang baru siap dibina di jeti kawasan tersebut ialah kedai makan dan chalet yang sepatutnya memberi sumber pendapatan kepada persatuan dan nelayan-nelayan di kampung terbabit.

“Persatuan dan PKSP di sini berusaha keras untuk mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Perhutanan dan membangunkan kawasan ini termasuklah membayar surat perjanjian selama lima tahun berjumlah RM5,800.

“Tetapi apabila mereka melihat potensi kawasan ini boleh dibangunkan, mereka bangunkan kawasan ini tanpa berbincang dengan persatuan.

“kononnya bila dah siap nanti persatuan yang akan dapat seperti sewa chalet dan kedai sebagai sumber pendapatan persatuan tetapi akhirnya diberi kepada LKIM,” beritahu Ketua Kampung Sungai Yu, Muhad Solihi.

Sementara itu, Ketua Biro Pembangunan KPSP, Dimyati Dualo memberitahu pihak persatuan  membuat perancangan rapi untuk membangunkan kawasan terbabit sebelum diambil alih oleh LKIM.

“Persatuan merancang untuk membangunkan kawasan ini dengan aktiviti yang dapat menjana sumber pendapatan seperti aktiviti ekonomi dan pelancongan seperti pasar malam dengan tarikan utamanya ikan bakar.

“Aktiviti pelancongan lain yang telah dirancang oleh persatuan ialah aktiviti meninjau burung helang, melihat kelip-kelip, tuntung bertelur,  pakej memancing, pakej menjaring dan makan di dalam sampan seperti yang kita lihat di Thailand.

“Bayangkan perasaan nelayan di sini yang merancang semenjak dahulu lagi, berkerja keras bangunkan kawasan ini dan usahakan permit dari Jabatan Perhutanan.

“Bila sahaja dah dapat permit dan persatuan dah pun bayar RM5,800 kepada Jabatan Hutan, tiba-tiba usaha kami nelayan di sini dipotong oleh Kerajaan Pusat di bawah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan diberi kepada LKIM,” ujar beliau lagi.