Categories
AGENDA NASIONAL

Umrah: Malaysia runding dengan Arab Saudi tidak diskriminasi vaksin

PUTRAJAYA, 20 OKT: Malaysia masih berunding dengan Arab Saudi supaya tidak mendiskriminasi vaksin bagi individu yang ingin menunaikan umrah, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Kita masih berunding dengan Arab Saudi supaya tiada diskriminasi vaksin sebab kita dapati semua vaksin (yang digunakan Malaysia) berkesan dan selamat,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan korporat Keluarga Malaysia di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.

Kerajaan Arab Saudi sebelum ini dilaporkan hanya menerima empat jenis vaksin iaitu keluaran Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Johnson & Johnson dan Moderna sahaja bagi individu yang mahu ke negara berkenaan.

Pada Julai lepas, negara itu mengumumkan individu yang sudah lengkap dos Sinovac dan Sinopharm diterima masuk ke negara itu dengan syarat menerima dos penggalak yang diiktiraf di Arab Saudi.

Khairy dalam pada itu berkata satu ciri baharu dalam MySejahtera akan disediakan bagi membolehkan individu memohon dos penggalak untuk memenuhi syarat negara lain termasuk bagi urusan mengerjakan umrah atau menunaikan haji.

Khairy sebelum ini memaklumkan individu yang mahu menunaikan umrah tetapi tidak menerima jenis vaksin ditetapkan Arab Saudi boleh memohon kepada KKM untuk mendapatkan suntikan penggalak menerusi aplikasi MySejahtera bermula bulan depan.

Pada majlis berkenaan, KKM menerima sumbangan sejumlah 81 unit katil elektronik bernilai RM2 juta daripada Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi Program A’fiat TH 2021 bagi menambah keperluan katil unit rawatan rapi (ICU) di beberapa hospital terpilih.

“Sumbangan ini bukan sahaja akan digunakan di unit ICU malah di unit lain yang sama penting bagi menguruskan kes bukan COVID-19 dalam fasa transisi kita keluar dari pandemik ini,” kata Khairy yang menzahirkan penghargaan kepada TH atas sumbangan berkenaan.

Menurut menteri itu, sumbangan tersebut merupakan lanjutan daripada Program A’fiat TH 2020 di mana TH menyumbang 57 mesin hemodialisis kepada 42 hospital kerajaan dengan nilai sumbangan hampir RM2 juta.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Sekatan Trump bersifat diskriminasi

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 30 JAN: Tindakan Amerika Syarikat (AS) menggantung kemasukan warga Islam dari tujuh negara majoriti Muslim dan pelarian ke negara itu tidak wajar.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Seri Dr Mustafa Ishak berkata, sekatan imegresen itu juga adalah satu bentuk diskriminasi nyata.

Katanya, ia juga dibuat secara menyeluruh tanpa mengira sama ada mereka pengganas atau tidak.

syria“Tidak masuk akal kalau seluruh penduduk dari tujuh negara itu pengganas.

“Perkara ini buat pertama kali dilakukan di AS iaitu satu tindakan dibuat presiden berasaskan kepada prinsip yang dijunjung AS selama ini iaitu tidak diskriminasi terhadap individu berdasarkan kaum, agama dan jantina,” katanya dipetik Hari Ini 8 di Astro Awani.

Pada 28 Januari lalu, Reuters melaporkan Presiden AS, Donald Trump mengeluarkan arahan membekukan kemasukan pelarian selama empat bulan terhadap warga Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman, sekurang-kurangnya 90 hari.

Kata Trump, pentadbirannya memerlukan masa mewujudkan proses penapisan lebih ketat bagi pelarian, imigran dan pelancong.

Tindakan itu bagaimanapun dikecam Parti Demokrat yang menyifatkannya sebagai bertentangan dengan nilai AS dan menjejaskan reputasi negara itu yang mengalu-alukan imigran sebelum ini.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Majikan jangan mudah tindas wanita

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 30 JUN: Pengalaman diberhentikan kerja kerana mengandung meninggalkan trauma kepada bekas Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), Noorfadilla Ahmad Saikin.

Noorfadilla, 32, yang kini mengusahakan perniagaan pastri secara atas talian berkata, cubaan mendapatkan pekerjaan selepas tragedi itu juga tidak manis.

“Saya rasa fobia, diskriminasi itu berlaku di mana-mana. Wanita sering ditanya berkenaan status perancangan untuk dapat anak dan sewaktu dengannya.

“Bukan saya sahaja, rakan wanita lain turut mengalami situasi sama, saya sudah serik,” kata ibu kepada empat anak ini kepada Selangor Kini.

IMG-20150630-WA0001Menariknya, hari ini genap enam tahun usia anak yang dikandungnya ketika diberhentikan kerja, pada 2008.

Terdahulu, Noorfadilla menghadiri perbicaraan kes rayuan Kerajaan Persekutuan untuk tidak membayar ganti rugi terhadapnya di Mahkamah Tinggi Shah Alam, di sini, pagi tadi.

Pada November 2014, mahkamah sama memutuskan Noorfadilla menang RM300,000 membabitkan pampasan daripada pihak kerajaan.

Pada Mei 2010, Noorfadilla menerusi peguamnya memfailkan saman pemula selepas pelantikannya sebagai guru sandaran tidak terlatih ditarik balik apabila beliau mengaku hamil.

Beliau pada ketika itu menamakan tiga Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Langat, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Menteri Pelajaran Malaysia dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

bn putrajayaBerdasarkan afidavit, Noorfadilla menghadiri temuduga jawatanitu pada 12 Januari 2009 sehingga berjaya mendapat tawaran melaluii khidmat pesanan ringkas (SMS).

Beliau kemudian diminta hadir untuk mendapatkan memo penempatan sekolah dan ditugaskan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang dengan gaji RM1,500 sebulan.

Bagaimanapun, memo  itu ditarik serta-merta dengan alasan wanita mengandung tidak boleh dilantik menjadi guru sandaran.

Kes itu kemudian dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam dan Hakim Zaleha Yusof pada Julai 2011 memutuskan Noorfadilla berhak mendapat jawatan itu seperti dinyatakan dalam perlembagaan.

Sehubungan itu, Noorfadilla berkata, tindakannya turun naik mahkamah demi memperjuangkan hak wanita secara hakiki.

“Selama ini dilaungkan wanita dilayan sama seperti lelaki. Hakikatnya, diskriminasi gender berlaku meluas dalam sektor pekerjaan termasuk soal pemakaian, status dan hal anak.

“Diharap wanita luar sana lebih tahu hak mereka. Begitu juga majikan, janganlah lagi menindas wanita,” katanya.

-NFN-