Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Tiada Rumah Selangorku dijual tanpa kebenaran

SHAH ALAM, 6 DIS: Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) memaklumkan tiada unit Rumah Selangorku (RSKU) dijual pemilik kepada pihak ketiga tanpa kebenaran dan kelulusan.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata LPHS menetapkan tempoh pemilikan hartanah mesti mencukupi lima tahun pemilikan dari tarikh diterima pemilik pertama sebelum boleh dijual

“Berdasarkan rekod LPHS sehingga Oktober 2021 mendapati tiada unit Rumah Selangorku dijual pemilik kepada pihak ketiga tanpa kebenaran dan kelulusan. Semua urusan penjualan kepada pihak ketiga melalui permohonan secara sah,.

“Tujuan dasar ini dilaksana untuk memastikan hanya golongan layak sahaja memiliki hartanah harga kawalan di Selangor selain mengelakkan aktiviti spekulasi harga dan manipulasi golongan yang ingin
mengambil kesempatan,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Pandamaran Leong Tuck Chee mengenai bilangan unit Rumah Selangorku dijual pemilik kepada pihak ketiga tanpa kebenaran dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Rodziah berkata LPHS diberi tanggungjawab memastikan pengagihan dan pemilikan hartanah harga kawalan termasuk jenis kos rendah dan Rumah Selangorku hanya dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah atau sederhana.

Categories
EXCO SELANGOR

Yawas, JPN kerjasama kongsi data warga emas, elak cicir bantuan

SHAH ALAM, 6 DIS: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menyelaraskan maklumat dan data ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi, V Ganabatirau berkata kaedah itu bagi memastikan tiada golongan tercicir dan proses integrasi maklumat itu dilakukan dari semasa ke semasa.

“Yawas telah selesai melaksanakan pemurnian data-data SMUE dengan kerjasama JPN pada September 2021 dan proses ini akan dilakukan berdasarkan keperluan.

“Kemas kini pemilihan peserta untuk setiap program yang akan dijalankan berdasarkan pada setiap bulan kelahiran semasa,” katanya, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Kota Damansara Shatiri Mansor mengenai mekanisma yang diguna bagi memastikan peserta SMUE menerima baucar pada bulan kelahiran mereka pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Ganabatirau berkata setakat ini seramai 319,087 individu layak menerima baucar berkenaan dalam tempoh 2019 hingga 2021.

Katanya, jumlah itu merangkumi 35,291 penerima pada 2019, 145,359 penerima pada 2020 dan 138,437 pada tahun ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Deposit pembangunan tanah turun 50 peratus, galak syarikat melabur

SHAH ALAM, 6 DIS: Kerajaan Negeri menurunkan deposit tanah sebanyak 50 peratus kepada syarikat yang ingin melabur pada tahun hadapan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu diambil selepas kadar deposit 150 peratus yang ditetapkan sebelum ini membebankan pelabur.

“Dasar yang dikemukan sebelum ini membebankan pelabur antaranya adalah bayaran deposit, deposit mereka (pelabur) perlu dibayar 150 peratus berbanding kadar yang ditetapkan dalam kaedah tanah-tanah Selangor.

“Kali ini untuk 2022, kita letakkan deposit 100 peratus sahaja maknannya pada paras kadar penilaian yang diberikan JPPH (Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta) dan juga kaedah tanah Selangor supaya bebanan mereka dikurangkan dan segera melabur,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Sungai Panjang Dato’ Mohd Imran Tamrin mengenai Dasar Kelulusan 100 hari sama ada Kerajaan Negeri mempertimbang syarat yang lebih fleksibel pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Pada 3 Disember tahun lalu, Amirudin berkata dasar Kelulusan 100 Hari yang dilaksanakan sejak Januari berjaya menarik nilai pembangunan RM216 juta.

Beliau memaklumkan dasar berkaitan proses kebenaran merancang dan urusan pembangunan tanah yang dikurangkan kepada 100 hari berbanding 270 hari dilihat lebih mesra pelabur.

Dasar tersebut akan diteruskan serta ditambah baik untuk merancakkan pembangunan serta pemulihan sektor ekonomi pasca Covid-19.

Bermula Januari 2020, Kerajaan Negeri menguat kuasa serta merta Dasar Kelulusan 100 hari bagi proses pembangunan tanah membabitkan kebenaran merancang, pelan bangunan dan pelan infrastruktur.

Pengurangan tempoh tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor mengikut Mekanisme Pembayaran Deposit Premium ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Selangor.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Dewan Negeri bertafakur atas pemergian bekas ADN Sungai Besar

SHAH ALAM, 6 DIS: Dewan Negeri Selangor (DNS) bertafakur selama satu minit bagi mengingati pemergian bekas Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Besar Dato’ Ramli Norani.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya merakamkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham yang meninggal dunia semalam akibat jangkitan Covid-19.

“Saya mohon dewan bertafakur selama satu minit mengikut kepercayaan agama masing-masing,” katanya.

Ramli, 70, merupakan ADN Sungai Besar penggal kesembilan iaitu pada 24 April 1995 sehingga 10 November 1999. Beliau juga merupakan timbalan ketua Umno Bahagian Sungai Besar.

Kini DUN berkenaan dimansuh manakala nama Sungai Besar dijadikan nama bagi kawasan parlimen mulai 2004.

Categories
EXCO SELANGOR

1,083 kertas siasatan berkaitan judi dibuka, 891 sudah didakwa

SHAH ALAM, 6 DIS: Sebanyak 1,083 kertas siasatan dibuka berkaitan kesalahan judi bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu dengan 891 daripadanya sudah didakwa di mahkamah.

EXCO pembangunan generasi muda berkata seramai 2,298 individu termasuk empat pelajar sekolah ditahan dan sejumlah RM219,930 berjaya dirampas dalam tangkapan itu.

“Walaupun kes membabitkan pelajar kecil, pihak polis tetap ambil langkah serius menanganinya,” kata Mohd Khairuddin Othman.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan wakil rakyat Sabak, Ahmad Mustain Othman mengenai perkembangan judi dalam talian membabitkan golongan muda pada Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Khairuddin berkata pihaknya juga menjalankan kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) merangka pelan jangka bagi mengatasi masalah judi.

“Kita juga bekerjasama dengan polis, pihak berkuasa tempatan, Tenaga Nasional Berhad dan Syarikat Bekalan Air Selangor mengambil tindakan menyita premis, memotong bekalan elektrik dan bekalan air serta menahan individu yang terlibat bagi tujuan siasatan,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

RM14 juta bantu 10,000 petani tangani harga baja, racun naik

SHAH ALAM, 3 DIS: Kerajaan Negeri memperuntuk RM14 juta bagi membantu petani dan pesawah terkesan akibat kenaikan harga baja serta racun pada tahun ini.

EXCO Industri Asas Tani Ir Izham Hashim berkata bantuan itu memberi manfaat kepada 10,000 individu sekali gus mengurangkan kesan kenaikan harga.

“Selain bantuan negeri, kerajaan pusat juga memperuntuk lebih RM13 juta merangkumi RM6.3 juta kepada Jabatan Pertanian Negeri Selangor dan RM7.05 juta kepada Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Barat Laut Selangor.

“Kita berharap bantuan yang telah dan sedang dilaksanakan membantu petani dan pesawah menangani isu kenaikan harga input,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Sabak Ahmad Mustain Othman mengenai langkah membantu petani dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Ir Izham berkata pihaknya mengenal pasti beberapa faktor penyumbang kenaikan harga baja dan racun sebanyak 10 peratus pada tahun ini.

“Antaranya kekurangan bahan mentah seperti unsur nitrogen, phospate dan kalium yang diimport dari luar negara serta kenaikan kos bahan mentah.

“Perubahan polisi negara pengeksport input pertanian, gangguan logistik dalam tempoh pandemik serta bekalan baja dan racun dalam pasaran yang berkurangan juga punca kenaikan ini,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lantikan berdasar prestasi, 41 peratus penjawat awam negeri wanita

SHAH ALAM, 3 DIS: Sebanyak 41 peratus penjawat awam di Selangor setakat 9 November lalu adalah wanita, kata EXCO pembangunan wanita dan keluarga.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata daripada jumlah itu, 28 peratus adalah pegawai gred 52 dan ke atas yang terlibat sebagai pembuat keputusan.

“Kerajaan Negeri pada masa ini tidak memperuntukkan sebarang kuota jantina di bawah mana-mana jabatan, agensi atau portfolio untuk mengisi jawatan.

“Bagi semua kategori lantikan, pengambilan kakitangan adalah berdasarkan keperluan jabatan dan juga kompetensi mereka,” katanya hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin sama ada terdapat kuota jantina di jabatan, agensi atau portfolio di bawah Kerajaan Negeri dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Sementara itu, ditanya mengenai langkah meningkatkan prestasi kepimpinan wanita, Siti Mariah berkata pentadbiran sentiasa menilai kebolehupayaan, prestasi dan kompetensi individu bagi menjawat jawatan berkepentingan.

“Jika seseorang itu berprestasi tinggi maka pentadbiran ini akan melantik tanpa sebarang diskriminasi kepada jantina bagi menjawat jawatan ketua jabatan.

“Ini turut merangkumi pentadbiran awam negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun negeri. Berdasarkan data perjawatan semasa terdapat dua pegawai daerah wanita dan seorang yang dipertua wanita,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Peruntukan RM4.9 juta atasi masalah banjir di Dusun Tua

SHAH ALAM, 3 DIS: Kerajaan Negeri membelanjakan lebih RM4.9 juta untuk mengatasi masalah banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua dalam tempoh empat tahun.

EXCO infrastruktur Ir Izham Hashim berkata peruntukan sejak 2018 sehingga Oktober lalu membabitkan kerja penyelenggaraan, cuci gali, penyelenggaraan tebing dan pemuliharaan sungai.

“Pada 2018 sebanyak 21 projek dijalankan dengan kos RM485,694 diikuti 23 projek pada 2019 dengan kos RM1.1 juta.

“Sebanyak RM1.8 juta dibelanjakan pada 2020 membabitkan 43 projek dan RM1.5 juta pada 2021 dengan 30 projek,” katanya dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini .

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof berhubung peruntukan mengatasi banjir di DUN Dusun Tua.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Jejambat Bandar Saujana Putra dijangka siap Mei 2022

SHAH ALAM, 3 DIS: Jejambat Bandar Saujana Putra yang pembinaannya tergendala akibat pandemik Covid-19 dijangka siap pada 31 Mei tahun depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jejambat itu sepatutnya siap September lalu namun banyak kerja tergendala disebabkan keperluan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Antara kelewatan penyiapan jejambat di Bandar Saujana Putra ini disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Pemulihan (PKPP) dan PKP Bersyarat (PKPB) dilaksana kerajaan semasa pandemik.

“Kontraktor juga mengalami kesukaran menjalankan kerja-kerja di tapak kerana perlu mematuhi SOP. Antaranya mendapatkan surat notifikasi beroperasi dari Miti (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

“Kontraktor juga perlu mematuhi kapasiti pekerja dibenarkan dan memastikan pekerja lengkap dua dos vaksinasi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Banting Lau Weng San mengenai status pembangunan jejambat yang dibina pada 2019 dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau berkata kenaikan harga barang mentah serta kekurangan bekalan bahan binaan kerana kilang ditutup sepanjang PKP dan isu berkaitan pekerja perlu dikuarantin jika dijangkiti Covid-19 juga menjadi faktor kelewatan.

Malah katanya, cecuruk ‘bored pile’ yang tidak sesuai mengikut kondisi tanah dan perlu ditukar kepada cerucuk ‘spun pile’ juga menjadi punca jejambat berkenaan tidak dapat disiapkan mengikut perancangan.

“Setelah meneliti faktor-faktor kelewatan tersebut, Seribu Baiduri Sdn Bhd disyorkan oleh pihak konsultan telah meluluskan lanjutan masa (EOT) No.1 selama 243 hari.

“Tarikh siap terbaru (EOT No.1) adalah jangkaan pada 31 Mei 2022,” katanya.

Pada 12 April 2019 Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan kira-kira RM60 juta untuk membina jejambat baharu bagi mengatasi masalah kesesakan di kawasan tersebut.

Projek itu bakal memberi manfaat buat kira-kira 65,000 penduduk di situ serta pengguna Lebuhraya Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), dari arah Bandar Saujana Putra.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Pergiat promosi skim air percuma, galak lebih ramai daftar

SHAH ALAM, 2 DIS: Promosi Skim Air Darul Ehsan dipergiat bagi menggalakkan orang ramai mendaftar dan mendapat manfaat air percuma, kata EXCO infrastruktur.

Ia berikutan hanya 46 peratus atau 287,181 penerima menikmati skim itu setakat 31 Oktober, berbanding sasaran 620,000 orang, jelas Ir Izham Hashim.

“Sebenarnya program untuk menggalakkan pendaftaran rakyat berjalan sepanjang tahun dan dilanjutkan tahun depan…tetapi kita pelik angka pendaftaran (hanya 287,181).

“Kita akan tingkatkan lagi promosi untuk galak lebih ramai mendaftar program ini,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung jumlah penerima skim tersebut.

Skim Air Darul Ehsan merupakan program penjajaran semula pemberian air percuma kepada kumpulan sasar untuk golongan berpendapatan isi rumah RM4,000 ke bawah.

Mereka yang layak boleh mendaftar melalui pautan https://ssipr-daftar.selangor.gov.my/register.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

4,902 pengguna manfaat aplikasi kesihatan mental negeri

SHAH ALAM, 2 DIS: Seramai 4,902 rakyat negeri ini berdaftar dan menggunakan aplikasi program Selangor Mental Sihat (Sehat) sejak 1 September.

Jumlah itu termasuk mereka yang membuat saringan dan ujian literasi kesihatan mental hingga 21 November, kata EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau berkata sebanyak 18,253 tontonan turut direkodkan bagi 30 video pendidikan kesihatan mental dalam aplikasi yang dilancarkan pada 30 Ogos.

“Bilangan yang dinasihati melalui aplikasi ini seramai 89 orang. Mereka menjalankan konsultansi secara dalam talian dan melalui panggilan lisan bersama kaunselor bertauliah,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berhubung prestasi aplikasi Sehat pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dr Siti Mariah berkata julat umur pengguna aplikasi berkenaan secara purata antara 10 hingga 82 tahun dengan majoriti dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun iaitu 57.8 peratus.

Sebelum ini, beliau berkata individu yang menghadapi masalah kesihatan mental boleh bertemu pakar segera tanpa perlu menunggu lama, antara yang ditambah baik dalam belanjawan negeri.

Categories
AGENDA NASIONAL

1,898 haiwan liar ditangkap bendung kacau ganggu

SHAH ALAM, 2 DIS: Sebanyak 1,898 binatang liar ditangkap dalam operasi tangkapan haiwan terbiar di seluruh negeri antara Januari hingga Oktober lalu.

Jumlah tangakapan merangkumi 1,817 ekor anjing, 75 monyet dan enam khinzir berdasarkan aduan orang ramai, kata EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian.

“Unit Kawalan Vektor dan Haiwan Terbiar, Jabatan Kesihatan dan Persekitaran menyediakan 23 perangkap monyet bagi mengurangkan isu kacau ganggu.

“Bagi isu anjing terbiar, tangkapan dibuat setiap hari. Jika aduan di kampung, beberapa perangkap diletakkan dengan kerjasama ketua kampung,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Ijok Dr Idris Ahmad mengenai tindakan Kerajaan Selangor bagi membendung masalah haiwan liar di seluruh negeri.

Selain itu, Loy Sian berkata Jabatan Kesihatan turut mewujudkan inovasi perangkap ‘multi trapper’ di kawasan aduan bagi mengatasi isu babi hutan.

“Hasil tangkapan akan diberi dan dipanjangkan kepada Jabatan Perhilitan bagi membendung kacau ganggu haiwan tersebut,” katanya.