Categories
AGENDA NASIONAL

Seramai 4,186 doktor kontrak dilantik jawatan tetap mulai Jun

SHAH ALAM, 10 FEB: Seramai 4,186 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi yang berkhidmat secara kontrak di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  diserap jawatan tetap mulai Jun depan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata lantikan tetap itu melibatkan 3,586 pegawai perubatan, 300 pergigian dan 300 farmasi.

Selain itu, katanya kerajaan juga bersetuju melantik sekurang-kurangnya 1,500 pegawai perubatan pada setiap tahun mulai 2023 hingga 2025.

“Bagi menambah baik perkhidmatan kesihatan, kerajaan turut bersetuju supaya 800 jawatan tetap pakar perubatan dan 70 pakar pergigian diwujudkan di KKM pada setiap tahun mulai 2023,” katanya menerusi sidang media secara dalam talian hari ini.

Khairy berkata menerusi langkah tersebut, 8,686 perjawatan tetap pegawai perubatan, pergigian dan farmasi diwujudkan sepanjang tempoh 2022 hingga 2025.

Sebelum ini, Gerakan Hartal Doktor di seluruh negara mengambil tindakan drastik untuk tidak bekerja pada 26 Julai tahun lalu susulan kegagalan kerajaan menawarkan perjawatan tetap kepada doktor kontrak.

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

4,186 pegawai perubatan dilantik ke jawatan tetap tahun depan

SHAH ALAM, 9 NOV: Seramai 4,186 daripada 10,583 pegawai perubatan kontrak yang tamat perkhidmatan wajib dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilantik ke jawatan tetap tahun depan.

Menteri kesihatan berkata lantikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam membabitkan 3,586 pegawai perubatan dan masing-masing 300 pegawai pergigian serta farmasi, lapor Berita Harian.

“Perkara itu selaras keputusan Jemaah Menteri pada 14 Julai membabitkan pegawai lantikan kontrak yang sudah melengkapkan latihan khidmat wajib dua tahun.

“(Kemudian) disambung dua tahun lagi demi kesinambungan perkhidmatan dan persediaan pengajian kepakaran untuk pegawai terbabit,” kata Khairy Jamaluddin menambah ia menelan kos RM377.48 juta.

Beliau menjawab soalan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung langkah kerajaan menghadapi gelombang kedua Hartal Doktor Kontrak di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 2 November, Gerakan Hartal Doktor Kontrak berkata mogok kedua akan diadakan di seluruh negara berikutan lantikan tetap mereka dalam KKM masih belum selesai.

Rancangan tunjuk perasaan itu hadir selepas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Bajet 2022 yang tidak menyebut lantikan tetap mereka dalam kerajaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM kaji taja doktor kontrak jalani latihan persekutuan

SHAH ALAM, 15 SEPT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam penilaian menawarkan tajaan latihan persekutuan kepada doktor kontrak melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata usaha itu bagi memberi peluang kepada golongan terbabit menjadi doktor pakar yang setakat ini hanya diberikan kepada pegawai tetap.

“Berkenaan dengan masa depan mereka (doktor kontrak), saya amat prihatin kedudukan dan keadaan mereka.

“Kita bukan hanya melihat lanjutan tempoh kontrak yang dipersetujui kerajaan tetapi penyelesaian peluang mendapat tajaan latihan persekutuan supaya mereka dapat mengikuti pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Rusnah Aluai (PAKATAN-Tangga Batu) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Khairy yang juga ahli parlimen Rembau berkata sektor kesihatan negara ini kekurangan doktor pakar menyebabkan ada pesakit terpaksa menunggu dalam tempoh tertentu untuk mendapatkan rawatan susulan.

Justeru, beliau berharap Kementerian Kewangan dapat memberikan tajaan kepada doktor kontrak melanjutkan pengajian supaya mampu memenuhi keperluan pakar sedia ada.

Categories
AGENDA NASIONAL

Doktor kontrak, sijil vaksin antara fokus Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Perancangan masa depan untuk doktor-doktor kontrak, maklumat penerima vaksin yang tidak mempunyai kad pengenalan diri serta tindakan terhadap golongan yang memalsukan sijil vaksin, antara isu yang bakal dikupas dalam persidangan Parlimen hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat yang bermula 10 pagi itu, persoalan mengenai rancangan untuk menjamin masa depan doktor kontrak akan diajukan Rusnah Aluai (PH-Tangga Batu) kepada Menteri Kesihatan, dalam sesi jawab lisan.

Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) pula meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan tindakan proaktif kerajaan terhadap maklumat penerima vaksin yang tidak mempunyai kad pengenalan diri, terutamanya di Sarawak dan tindakan terhadap isu individu tanpa pengenalan diri.

Turut bertanya kepada kementerian yang sama, Shaharizukirnain Abd. Kadir (PAS-Setiu) mengenai tindakan yang akan dikenakan ke atas golongan yang memalsukan sijil suntikan vaksin.

Selain itu, antara isu lain yang bakal diketengahkan adalah langkah dilakukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi memastikan masyarakat Orang Asli tidak tercicir daripada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), sebelum menyambung semula perbahasan Titah Diraja.

Turut dijadual dibentangkan bagi bacaan kali kedua ialah Rang Undang-Undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020, Rang Undang-Undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020, Rang Undang-Undang Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2020, Rang Undang-Undang Lembaga Angkasa Malaysia 2020 dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 pada Rabu adalah mesyuarat hari kedua di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 17 hari sehingga 12 Okt.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Doktor kontrak sertai protes tidak dikenakan tindakan – Menteri

SHAH ALAM, 27 JULAI: Kerajaan tidak akan mengenakan tindakan disiplin terhadap pegawai perubatan kontrak susulan protes Hartal Kontrak semalam.

Menteri kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba memberi jaminan berkenaan susulan desakan ramai ahli parlimen termasuk bekas menteri kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada hari kedua Mesyuarat Khas Parlimen hari ini.

“Tiada tindakan akan dikenakan ke atas mereka walaupun mereka keluar untuk demonstrasi.

“Kita tidak akan ambil tindakan, mereka berhak menyertai perhimpunan berkenaan,” katanya ketika menggulung sesi penerangan pada sidang khas berkenaan.

Semalam, pegawai perubatan kontrak di hospital di beberapa negeri terbabit dalam Hartal Doktor Kontrak atau mogok umum dengan keluar beramai-ramai dari premis kesihatan tempat mereka bekerja tepat pukul 11 pagi.

Mereka bertegas dengan tuntutan, iaitu jaminan pelantikan tetap bagi doktor kontrak dan baharu, hak gaji serta kebajikan sama rata dengan doktor tetap, termasuk cuti dan faedah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Dzulkefly: Jangan layan doktor kontrak seperti PPE, buang selepas guna

SHAH ALAM, 27 JULAI:  Ahli parlimen Kuala Selangor berharap pegawai perubatan kontrak tidak dikenakan tindakan disiplin susulan protes Hartal Kontrak semalam.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kumpulan itu hanya mahu penyelesaian munasabah iaitu pelantikan mereka melalui proses telus, peluang melanjut pengajian selain layanan adil.

Bekas menteri kesihatan berkata protes berkenaan hanya langkah terakhir dalam rayuan supaya kebajikan mereka dilindungi tanpa dihukum tindakan disiplin oleh kerajaan.

“Jangan jadikan mereka dalam pandemik ini seumpama sut pelindung diri (PPE), dibuang selepas diguna pakai.

“Saya ingatkan perkara ini kerana ini satu nota penting untuk saya bangkitkan kerana kita konsisten perjuangkan kebajikan mereka,” katanya ketika berbahas pada hari kedua sidang khas Parlimen hari ini.

Dr Dzulkefly berkata memperkasa perkhidmatan termasuk perjawatan antara keutamaannya ketika menjadi menteri kesihatan dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN) dengan menubuhkan majlis penasihat diketuai bekas Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Prof Emeritus Abu Bakar Sulaiman.

“Jangan lagi kata PAKATAN pandang sepi perkara ini, malah di tahap awal kami beri satu kedudukan baik dari gred UD41 kepada UD43.

“Ketika perdana menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) waktu itu mahu mengecilkan saiz perkhidmatan awam, Kementerian Kesihatan mampu mendapat 10,867 perjawatan antara lain doktor,” katanya.

Semalam, pegawai perubatan kontrak di hospital di beberapa negeri terbabit dalam Hartal Doktor Kontrak atau mogok umum dengan keluar beramai-ramai dari premis kesihatan tempat mereka bekerja tepat pukul 11 pagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu doktor kontrak dibangkit di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Isu petugas kesihatan lantikan kontrak mendapat perhatian beberapa ahli parlimen pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) semasa sesi perbahasan menggesa kerajaan supaya tidak memandang ringan soal itu kerana doktor kontrak turut melaksanakan tugas secara bersungguh-sungguh sama seperti doktor berstatus lantikan tetap.

“Orang tu kerja, kerja setengah mati dan banyak terkorban. Saya gesa janganlah sampai doktor kena buat hartal dan mogok, kemudian kena buat tindakan undang-undang.

“Macam doktor ni, kalau terpaksa mogok memang dah kecewa betul tiada harapan,” katanya.

Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) pula berkata isu kemampuan sistem kesihatan dan kesiapsiagaan petugas barisan hadapan dalam menghadapi pandemik ini perlu diselesaikan segera.

Beliau mencadangkan kerajaan memberi keutamaan untuk menyelesaikan isu ini memandangkan petugas kesihatan termasuk petugas berstatus kontrak terpaksa memikul beban yang berat susulan peningkatan kes Covid-19 dalam negara pada masa ini.

Sementara itu, Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) meminta kerajaan menggunakan protes Hartal Doktor Kontrak itu sebagai ruang menyelesaikan isu berkenaan termasuk melaksanakan serta-merta perancangan untuk mereformasi sistem kesihatan.

“Saya harap kerajaan tidak ambil apa-apa tindakan kepada doktor yang menyertai protes, selesaikanlah dengan baik,” katanya.

Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh) mencadangkan kerajaan perlu menawarkan kontrak perkhidmatan empat tahun kepada golongan itu, berbanding kontrak dua tahun sahaja.

Menurutnya dengan lantikan kontrak empat tahun itu, kerajaan boleh merangka pelan lebih baik untuk menaikkan perjawatan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi.

“Saya merasai perasaan doktor yang menyertai hartal pagi tadi, walaupun kita tak sokong tindakan itu, tetapi kita perlu merasai perasaan mereka,” katanya.

Kerajaan sebelum ini bersetuju agar pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan kontrak perkhidmatan untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib, bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.

Ia merupakan antara beberapa langkah penyelesaian segera yang dipersetujui Kabinet selepas kertas cadangan berhubung penambahbaikan kumpulan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak itu dibentangkan Kementerian Kesihatan (KKM) pada Mesyuarat Kabinet pada 14 Julai lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Doktor kontrak diminta bertenang, kerajaan sedang bincang

PUTRAJAYA, 30 JUN: Isu pegawai perubatan kontrak yang belum diserap ke jawatan tetap akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata sehingga 31 Mei lepas terdapat 35,216 lantikan secara kontrak bagi tiga skim utama iaitu Pegawai Perubatan UD41 seramai 23, 077 orang, Pegawai Pergigian UG41 (5,000 orang) dan Pegawai Farmasi UF41 seramai 7,139 individu.

“Saya mohon doktor-doktor yang sedia ada dalam skim kontrak supaya bersabar dan bertenang.

Kertas kerja telah disiapkan dan kita akan lihat keputusan jemaah menteri nanti,” katanya ketika ditanya pemberita  mengenai perkara  itu  pada sidang media perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di sini hari ini.

Sebelum ini  Dr Adham berkata KKM telah melaksanakan penambahbaikan skim pegawai perubatan kontrak iaitu menaikkan gaji dari UD41 kepada UD43 hampir menyamai gaji pegawai perubatan tetap.

Media melaporkan kira-kira 23,000 doktor berjawatan kontrak akan melakukan Tindakan Hartal Doktor Kontrak atau mogok di seluruh negara yang dijadualkan pada 26 Julai ini.

Ia berikutan setelah pelbagai cara dilakukan kumpulan berkenaan bagi memastikan mereka diserap ke dalam perkhidmatan tetap, masih gagal.

Sementara itu, Dr Adham berkata sejak akhir 2020 hingga kini seramai 200 pegawai psikologi dilantik dan akan disambung perkhidmatan mereka pada 2022 untuk meneruskan penyampaian kesihatan mental kepada barisan hadapan dan masyarakat.

Katanya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,  senario kesihatan mental di negara ini menunjukkan peningkatan impak terhadap permasalahan kesihatan mental.

“Sebanyak 91.2 peratus daripada panggilan talian bantuan yang kami terima, memerlukan sokongan emosi dan kaunseling.

Antara lainnya kerana faktor seperti stres keterlaluan, murung, hilang harapan untuk meneruskan kehidupan, hilang sumber pendapatan, perselisihan dengan pasangan serta keluarga dan stigma terhadap jangkitan,”katanya.

Katanya KKM dan pelbagai kementerian serta jabatan sentiasa bersepadu dalam mengambil inisiatif dari pelbagai aspek bagi menangani masalah kesihatan mental.

Beliau berkata  ia termasuk mempertingkatkan Latihan Bantuan Asas Psikologi kepada barisan hadapan dan anggota agensi lain, pelaksanaan konsep “task shifting” iaitu pemerkasaaan masyarakat dengan memberi latihan dan kemahiran kepada individu di luar KKM untuk menyampaikan advokasi dan sokongan serta intervensi psikososial kepada masyarakat.

— BERNAMA