Categories
AGENDA NASIONAL

Doktor swasta jual sijil vaksin palsu direman lagi

MARANG, 14 JAN: Seorang doktor klinik swasta yang sebelum ini direman bagi membantu siasatan kes menjual sijil vaksinasi Covid-19 tanpa suntikan sebenar, hari ini direman lagi di Mahkamah Majistret di sini berhubung kes penipuan.

Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membenarkan lelaki berusia 51 tahun itu direman sehingga esok bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Lelaki itu yang memakai kemeja-T berwarna kelabu dan berseluar jeans biru tiba di Mahkamah Marang di sini pukul 9.40 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu Supt M Zambri Mahmud ketika dihubungi berkata permohonan reman itu dibuat selepas doktor itu didakwa menerima bayaran untuk membekalkan sijil vaksinasi Covid-19 tanpa suntikan sebenar dengan kadar bayaran tertentu, tetapi gagal menyediakan sijil tersebut kepada pelanggannya.

“Laporan ke atas doktor itu melibatkan pengadu yang menggunakan perkhidmatannya dengan membayar sebanyak RM450 dan dijanjikan dalam masa 14 hari status di MySejahtera mereka (tertera) sebagai penerima vaksin, namun status tersebut tidak bertukar,” katanya.

Pada Sabtu lepas doktor yang mendakwa dirinya antivaksin itu ditahan selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin Covid-19 tanpa suntikan sebenar, namun dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Bagaimanapun polis menahan semula doktor tersebut pada 12 tengah hari semalam.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa sebelum ini berkata siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu berurusan dengan klinik berkenaan untuk tujuan vaksinasi, namun daripada jumlah itu pihaknya masih menyiasat jumlah sebenar individu yang mendapat sijil vaksinasi tanpa suntikan.

Doktor berkenaan dipercayai mengenakan bayaran antara RM400 hingga RM600 kepada individu yang berhasrat mendapatkan sijil vaksinasi tanpa melakukan suntikan yang sebenar.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM teliti beri kuasa kepada doktor swasta tangani pesakit Covid-19

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti kemungkinan untuk menurunkan kuasa kepada fasiliti swasta supaya pegawai pengamal perubatan di fasiliti berkenaan boleh sama menangani pesakit Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini pengamal perubatan swasta tidak diberi kuasa menangani kes Covid-19 dan kes berkenaan dirujuk ke fasiliti kerajaan.

“Dengan penurunan kuasa ini doktor akan diberi di fasiliti swasta dibenarkan untuk mengarahkan pesakit berisiko untuk menjalani kuarantin wajib di rumah (HSO) dan memakaikan gelang untuk pengawasan.

“Selepas tamat HSO, mereka boleh mengeluarkan arahan pelepasan serta memotong gelang pesakit,” katanya dalam sesi libat urus media darurat Covid-19 bersama ketua pengarah kesihatan siri 2/201 secara dalam talian hari ini.

Sesi itu turut disertai oleh Pakar Perunding Kanan Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr C Suresh Kumar, Ketua Unit Viralogi Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Dr T Ravindran, Pengarah Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan, Dr Hani Mat Hussin dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Amalan Perubatan KKM, Dr Mohamed Ahsan Mohamed Ismail.

Setakat ini terdapat hampir 100 hospital swasta seluruh negara bersedia merawat pesakit Covid-19 melalui kerjasama awam-swasta dengan kapasiti lebih 1,000 katil, 65 katil di unit rawatan rapi (ICU) dan 64 ventilator.

“Walaupun setakat ini kita belum merujuk pesakit kita ke hospital swasta, tetapi hospital-hospital ini bersedia untuk menerima pesakit Covid-19 dan setakat ini ada 86 kes sedang dirawat di hopsital swasta,” katanya.

Selain itu, KKM juga sedang mempertimbang untuk meminda Akta 586 bagi mengawal harga ujian saringan di fasiliti swasta.

“Setakat ini tiada akta khusus yang membolehkan KKM mengawal harga, namun pesakit berhak untuk dimaklumkan harga sebelum sesuatu tatacara dilakukan, bagi akta 586 sebelum ini kita gunakan untuk menetapkan harga siling pelitup muka,” katanya.

Dr Noor Hisham KKM juga sedang dalam usaha menaikkan kadar kompaun dalam Akta 342 yang ketika ini berada pada paras maksimum RM1,000.

Jumlah kompaun tersebut dilihat tidak memadai bagi syarikat perusahaan berskala besar seperti kilang yang mempunyai ratusan pekerja dan menyebabkan pandemik tersebut merebak.

– BERNAMA