Categories
AGENDA GLOBAL

Perbicaraan Trump bermula, enam republikan berpihak kepada demokrat

WASHINGTON, 10 FEB: Beberapa anggota Republikan, termasuk defendan, kecewa dengan prestasi pasukan pembelaan pada hari pertama perbicaraan bekas Presiden Donald Trump, beberapa jam selepas Dewan Senat meluluskan untuk meneruskan prosiding itu, lapor Agensi Berita Sputnik.

Senat, dengan majoriti 56-44, menyatakan perbicaraan itu adalah mengikut perlembagaan. Enam anggota Republikan antara yang menyokong perbicaraan diteruskan.

Demokrat dan beberapa Republikan berusaha untuk menggunakan satu-satunya Perkara Pendakwaan- hasutan pemberontakan – untuk memecat Trump daripada memegang jawatan awam, termasuk mencalonkan diri sebagai presiden pada 2024.

Sebelum peristiwa 6 Janurai di Capitol AS, Trump didakwa sering kali mengeluarkan kenyataan palsu mengenai terdapat penipuan dalam pilihan raya presiden 2020.

“Pasukan Presiden Trump tidak teratur, mereka melakukan apa sahaja yang boleh tetapi apabila ditanya mengenainya, mereka berdolak dalih seolah-olah malu dengan hujah mereka,” kata Senator Bill Cassidy pada Selasa .

Cassidy seorang daripada enam Senator Republikan yang berpihak kepada Demokrat.

“Sekiranya ‘saya seorang juri yang tidak berat sebelah, dan satu pihak melakukan pekerjaan dengan hebat, manakala pihak satu lagi pula berbeza, sebagai juri yang adil, saya akan memilih pihak yang melaksanakan tugas yang baik,” kata Cassidy.

Senator Republikan John Cornyn dan Ted Cruz, turut mengkritik pasukan pembelaan Trump.

Cornyn memberitahu wartawan, hujah yang diberikan pihak pembelaan bukan yang “terbaik” pernah dilihatnya. Cruz mengatakan pasukan pembelaan Trump gagal “menjalankan tugas dengan berkesan.”

CNN melaporkan Trump sendiri sangat marah dengan hujah pembukaan pasukan pembelaannya.

Peguam Trump Bruce Castor memberitahu wartawan pasukan pembelaan “melalui hari yang baik,” sambil menambah bahawa mereka tidak akan membuat penyesuaian tanpa mengambil kira kritikan yang diterima daripada senator.

Peguam David Schoen berkata beliau menganggap rakan setugasnya Castor sudah “melakukan yang terbaik.”

Castor dan Schoen hampir tidak menyertai pasukan undang-undang Trump awal bulan ini setelah lima peguam belanya, termasuk Butch Bowers dan Deborah Barbier, meninggalkan pasukan tersebut.

Sekurang-kurangnya 17 Senator Republikan perlu berpihak kepada Demokrat untuk memperoleh majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk mendakwa Trump.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Trump, isteri positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Presiden Donald Trump hari ini berkata beliau dan isterinya, Melania Trump didapati positif Covid-19.

Dalam akaun Twitternya, Trump mengatakan beliau dan isteri akan menjalani kuarantin.

“Malam ini, @FLOTUS (Melania Trump) dan saya positif Covid-19. Kami akan segera memulakan proses pemulihan dan kuarantin. Kami akan dapat mengharunginya BERSAMA!,” tulis Trump di Twitter.

Terdahulu, Trump menerusi Twitter mengesahkan seorang daripada pembantunya Hope Hicks disahkan dijangkiti Covid-19, lapor Xinhua.

Hicks, 31, mengiringi presiden semasa dalam penerbangan untuk menghadiri kempen di Minnesota pada Rabu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka tinggi 4.3380/3450 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Ringgit meningkat semula daripada penurunan semalam untuk dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini didorong unjuran positif terhadap ekonomi global telah mengalihkan minat pelabur kepada mata wang berisiko, termasuk ringgit, kata peniaga.

Pada 9.01 pagi, ringgit diniaga pada 4.3380/3450 daripada 4.3660/3740 ketika ditutup semalam.

Peniaga berkata pelabur turut menyambut baik berita bahawa pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bersedia untuk mengambil langkah seterusnya jika diperlukan bagi menyokong ekonomi negara itu dalam tempoh penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0603/0663 daripada 3.0606/0667 ketika ditutup semalam serta meningkat berbanding yen Jepun kepada 4.0427/0486 daripada 4.0686/0768.

Ringgit susut berbanding euro kepada 4.7367/7456 berbanding 4.7179/7283 pada penutupan semalam dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.2980/3038 daripada 5.2925/2039.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Trump sifatkan siasatan Demokrat sebagai “kudeta”

WASHINGTON, 2 OKT: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyifatkan siasatan rasmi oleh anggota Dewan Perwakilan yang dikuasai Demokrat sebagai “kudeta”, lapor agensi berita Anadolu.

“Saya merumuskan apa yang sedang berlaku bukanlah satu dakwaan sebaliknya ia adalah KUDETA,” kata Trump dalam ciapannya pada Selasa.

Beliau berkata percubaan itu bertujuan “untuk mengambil alih kuasa rakyat, UNDI mereka, kebebasan mereka dan hak-hak mereka sebagai warga Amerika Syarikat!”

Dewan itu memulakan siasatan terhadap Trump minggu lalu, berhubung isu perbualan telefon pada 25 Julai antara Presiden AS dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky.

Dalam perbualan itu, Trump berulang kali menekan Zelensky untuk menyiasat bekas Naib Presiden Joe Biden dan anaknya, Hunter, atas dakwaan rasuah yang tidak berasas.

Biden adalah calon utama Demokratik yang akan menyertai pilihan raya presiden tahun depan, merupakan pencabar politik utama Trump.

Meminta bantuan pemimpin asing untuk melemahkan Biden, disifatkan sebagai satu tindakan cuba menganggu pilihan raya, yang menjadi asas kukuh Dewan bertindak menjalankan siasatan.

Bagaimanapun, Trump menafikan beliau melakukan sebarang salah laku.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Trump: Bukan masa tepat berkunjung ke Korea Utara

WASHINGTON, 17 SEPT: Presiden Amerika Syarikat, (AS) Donald Trump berpendapat sekarang bukan masa tepat untuk berkunjung ke Pyongyang selepas sebuah akhbar melaporkan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mengundang beliau untuk menghadiri acara yang mungkin menjadi sidang kemuncak ketiga mereka, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Minggu lalu, Trump dilaporkan berkata beliau menjangkakan untuk bertemu Jong Un lagi “pada satu ketika” dalam tahun ini.

Akhbar Korea Selatan, JoongAng Ilbo, pada Isnin melaporkan bahawa Jong Un mengundang Trump ke Pyongyang dalam sepucuk surat yang dihantar pada Ogos.

“Saya tidak mahu mengulas perkara itu,” kata Trump kepada pemberita di Rumah Putih ketika disoal jika beliau menerima undangan itu.

Ditanya sama ada beliau bersedia untuk ke Korea Utara, Trump berkata: “Mungkin tidak. Saya tidak fikir beliau (Jong Un) bersedia. Saya tidak rasa kami bersedia untuk itu. Saya akan berbuat demikian pada satu ketika, mungkin pada masa akan datang.”

Trump dan Jong Un sudah bertemu sebanyak tiga kali bagi merundingkan isu pembongkaran program senjata nuklear Korea Utara sebagai pertukaran kepada konsesi ekonomi dan politik AS.

Minggu lalu, Naib Menteri Luar Pertama Korea Selatan, Choe Son Hui menawarkan untuk mengadakan rundingan pada akhir September, namun mendesak AS merangka satu cadangan baharu yang boleh diterima oleh Pyongyang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Trump tangguh beberapa tarif ke atas China sehingga Disember

WASHINGTON, 14 OGOS: Tarif 10 peratus yang didakwa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan dikenakan ke atas barangan China bernilai US$300 bilion akan ditangguh sehingga 15 Disember, umum Wakil Perdagangan AS, semalam.

Agensi berita Turki Anadolu melaporkan bahawa wakil itu bagaimanapun tidak menyatakan sebab penangguhan itu dilakukan selain memberi alasan berkaitan “komen umum dan proses pendengaran.”

Item yang akan terjejas termasuk telefon bimbit, komputer riba, konsol permainan video, mainan tertentu, monitor komputer serta beberapa jenis kasut dan pakaian.

Sementara itu, beberapa item tertentu yang tidak dinyatakan telah digugurkan terus daripada senarai tarif itu “berdasarkan faktor kesihatan, keselamatan, keselamatan negara dan lain-lain serta tidak akan dikenakan tarif tambahan sebanyak 10 peratus,” kata wakil perdagangan itu.

Perang perdagangan yang sedang berlangsung antara kedua kuasa ekonomi dunia itu telah menjejaskan pasaran global.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Trump tandatangan perintah eksekutif sekat harta milik Venezuela

WASHINGTON, 6 OGOS: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani satu perintah eksekutif bagi menyekat harta milik kerajaan Venezuela yang berada dalam bidang kuasa negara itu.

Rumah Putih dalam satu kenyataan berkata, sekatan itu termasuk aset bank pusat Venezuela dan syarikat minyak PDVSA (Petroleum Venezuela), lapor agensi berita Rusia Sputnik.

“Perintah ini berkuat kuasa pukul 9 pagi (1300 GMT) pada 5 Ogos 2019,” menurut perintah eksekutif itu.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Trump tawar jumpa Jong-un di sempadan Korea

WASHINGTON, 29 JUN: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menawarkan untuk bertemu Kim Jong-un di sempadan antara Korea Selatan dan Korea Utara, tulisnya di Twitter, lapor agensi berita Yonhap.

Trump mengemukakan tawaran itu pada Sabtu (waktu Jepun), beberapa jam sebelum beliau dijadual melawat Seoul selepas menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Osaka, Jepun.

“Selepas beberapa mesyuarat penting, termasuk pertemuan dengan Presiden Xi dari China, saya akan berlepas ke Korea Selatan (dengan Presiden Moon),” tulis Trump.

“Di sana nanti, jika Kim membacanya, saya bersedia bertemu dengannya di sempadan.”

Berikutan itu timbul spekulasi mengatakan Trump mungkin akan bertemu Jong-un di Zon Bebas Tentera (DMZ) semasa melawat Seoul, pada Sabtu dan Ahad.

Terdahulu, pada Rabu di Washington Trump menafikan beliau merancang bertemu Jong-un.

Namun, pada pertemuan dengan putera mahkota Arab Saudi di Osaka, Trump mengesahkan akan ke DMZ.

“Kami akan ke sana. Jika dia (Kim) ada di sana, kami mungkin akan bertemu selama dua minit,” katanya.

Andai kedua-dua pemimpin itu bertemu, ia akan menjadi pertemuan ketiga, selepas sidang kemuncak pertama di Singapura Jun lalu dan kedua di Vietnam pada Februari.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Trump tiada rancangan jumpa Jong Un di Korea Selatan

WASHINGTON, 25 JUN: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak bercadang untuk bertemu pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un semasa lawatannya ke Korea Selatan lewat minggu ini, lapor agensi berita Yonhap.

Laporan yang memetik kenyataan seorang pegawai kanan pentadbiran AS berkata, Trump akan berkunjung ke Seoul pada Sabtu dan Ahad selepas menghadiri sidang kemuncak Kumpulan 20 di Jepun, yang mendorong spekulasi bahawa satu pertemuan antara Trump dan Kim boleh diatur di sempadan antara Korea.

“Presiden (Trump) berada di sana untuk bertemu Presiden Moon (Jae In),” kata pegawai itu kepada pemberita dalam satu perbualan telefon pada Isnin.

Mengulas lawatan Trump ke zon bebas tentera, beliau berkata butiran jadual presiden itu belum dimuktamad.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

AS tuduh Iran dalang serangan di Teluk Oman

WASHINGTON, 15 JUN: Presiden Donald Trump pada Jumaat menuduh Iran sebagai dalang di sebalik serangan ke atas dua kapal tangki minyak di Teluk Oman,lapor agensi berita Xinhua.

Dua kapal tangki minyak terbabit diserang di Teluk Oman pada Khamis pagi, satu daripadanya dikendalikan sebuah syarikat Jepun.

“Iran yang melakukannya dan anda tahu itu,” kata Trump dalam temu bual dengan Fox News, merujuk kepada video dikeluarkan Komando Pusat Amerika Syarikat (USCENTCOM).

Video itu dikeluarkan pada lewat Khamis, menunjukkan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengalihkan periuk api yang tidak meletup dari satu tangki (Kokuka Courageous) sejurus selepas serangan.

Jurucakap USCENTCOM, Bill Urban dalam satu kenyataan berkata, AS tidak mempunyai kepentingan dalam konflik terkini di Timur Tengah itu.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo berkata pada Khamis, Iran bertanggungjawab atas serangan itu, namun dinafikan Tehran.

Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif di Twitternya menulis, tuduhan AS terhadap Iran adalah taktik sabotaj terhadap diplomasi, bagi menutup tindakan negara itu yang mengenakan sekatan ekonomi terhadap Iran.

Serangan itu berlaku di tengah-tengah lawatan Perdana Menteri Shinzo Abe ke Iran, lawatan pertama oleh perdana menteri Jepun sejak Takeo Fukuda pada 1978.

Lawatan berkenaan bertujuan mengurangkan ketegangan antara Washington dan Tehran.

Sementara itu, pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei memberitahu Abe, sebarang perbincangan dengan Trump adalah sia-sia, memetik media Iran.

“Walaupun saya hargai PM Abe ke Iran berjumpa Ayatollah Ali Khamenei, secara peribadi saya merasakan terlalu cepat untuk membuat sebarang perjanjian, mereka tidak bersedia, dan kami juga tidak!” tulis Trump dalam Twitternya. – BERNAMA

Categories
GLOBAL

AS bakal hantar 1,500 tentera tambahan ke Timur Tengah

WASHINGTON, 25 MEI: Amerika Syarikat (AS) akan menghantar 1,500 lagi tentera tambahan ke Timur Tengah sebagai “langkah perlindungan”, ekoran ketegangan yang kian memuncak dengan Iran, kata Presiden Donald Trump, pada Jumaat.

“Kita lihat apa akan berlaku selepas ini,” kata Trump kepada wartawan di Rumah Putih, lapor agensi berita Xinhua.

Setiausaha Pertahanan AS, Patrick Shanahan berkata, Pentagon telah memaklumkan Kongres mengenai langkah terbaru itu. “Ini adalah tindak balas berhemah terhadap ancaman Iran,” tulisnya di Twitter.

Pentagon dalam satu taklimat pada Jumaat petang berkata, kira-kira 600 tentera telah tiba di rantau itu bersama dengan sebuah sistem pertahanan yang direka untuk mengesan dan memusnahkan peluru berpandu, seramai 900 lagi anggota ditugaskan mengendalikan radar pengawasan risikan dan dron.

Sementara itu, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dalam reaksi balasnya berkata Iran tidak gentar dengan tindakan AS itu.

“Tindakan dan propaganda oleh AS sekadar untuk kekal relevan dalam pandangan masyarakat awam,” kata jurucakap IRGC, Ramezan Sharif.

Pada hari sama, Setiausaha Negara AS Mike Pompeo berkata pentadbiran Trump telah menggunakan peruntukan yang jarang dibelanjakan di bawah undang-undang persekutuan untuk menyekat Kongres dan melengkapkan jualan senjata kepada Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jordan.

Washington dan Tehran dibelenggu perang mulut sejak dua minggu lalu, menyaksikan Iran berikrar untuk menentang sikap AS yang suka “membuli”.

-BERNAMA

 

Categories
GLOBAL

Trump temu Moon dalam sidang kemuncak di Korea Selatan pada Jun

WASHINGTON, 16 MEI: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan melawat Korea Selatan bulan depan untuk mengadakan sidang kemuncak dengan Presiden Moon Jae-in, antara lain untuk membincangkan mengenai isu Korea Utara dan hubungan dua hala.

Menurut agensi berita Yonhap, memetik pengumuman kerajaan Korea Selatan dan AS, kunjungan Trump itu juga bersempena lawatannya ke Jepun bagi menghadiri sidang kemuncak G20 yang dijadual pada 28 hingga 29 Jun.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kaedah untuk mewujudkan rejim damai yang kekal di Semenanjung Korea serta mengukuhkan hubungan dua hala, menurut jurucakap pejabat presiden Korea Selatan, Ko Min Jung.

Sementara itu, setiausaha akhbar Rumah Putih, Sarah Sanders dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua pemimpin akan meneruskan perbincangan mengenai usaha mewujudkan Korea yang bebas senjata nuklear.

Kali terakhir Trump ke Korea Selatan pada November 2017 di tengah-tengah ketegangan dengan Korea Utara.

Tahun lepas juga menyaksikan tiga sidang kemuncak diadakan antara Moon dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un serta pertemuan bersejarah antara Trump dan Kim.

Sidang kemuncak pertama Trump dan Kim berlangsung di Singapura pada Jun 2018, disusuli sidang kemuncak kedua di Vietnam pada Februari lalu yang berakhir tanpa sebarang kata sepakat.

Ketegangan terbaru tercetus selepas Korea Utara melancarkan satu siri projektil roket, termasuk peluru berpandu jarak dekat, ke Laut Timur pada 4 dan 9 Mei.

AS pula pada minggu lepas mengumumkan buat pertama kali, pihaknya merampas sebuah kapal kargo Korea Utara, disyaki membawa eksport arang batu dan melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikenakan ke atas rejim itu.

– BERNAMA