Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 25,000 pelajar sekolah di Petaling Perdana terima dos kedua

SHAH ALAM, 18 OKT: Lebih 25,000 pelajar tingkatan empat dan lima dari seluruh sekolah di Petaling Perdana menerima suntikan dos kedua vaksin.

Suntikan di bawah kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja itu dilaksanakan mulai hari ini sehingga 29 Oktober.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berharap pelajar lebih dilindungi apabila lengkap vaksin.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas mengedarkan pelitup muka serta cecair pembasmi kuman kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7, Shah Alam pada 18 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Ribuan pelajar sekolah di negeri ini bakal menerima dos kedua dan apabila selesai tempoh vaksinasi nanti kita harap pelajar dapat memulakan sesi pembelajaran seperti biasa.

“Namun, jangan dilupa pematuhan SOP (tatacara operasi piawai) menjadi keutamaan demi keselamatan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7 di sini pagi tadi.

Amirudin sempat meluangkan masa kira-kira setengah jam di luar kawasan sekolah itu untuk mengedarkan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman kepada pelajar.

Pada 23 September, pengarah Jabatan Kesihatan Selangor berkata sebanyak 399 sekolah negeri ini terlibat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata sekolah terlibat meliputi institusi kendalian Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Agama Islam Selangor dan sekolah swasta.

Pada 20 September, Kementerian Kesihatan Malaysia menyasar 80 peratus remaja di seluruh negara lengkap dos vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Janji temu dos kedua vaksin di Klinik Selcare, semak SELangkah

BANGI, 19 OGOS: Individu menerima dos pertama pelalian di pusat pemberian vaksin (PPV) bawah program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti bermula 14 Ogos lalu akan diberi janji temu dos kedua di klinik panel Selcare.

Penyelaras PPV Evo Mall berkata perpindahan lokasi dibuat atas arahan Kerajaan Negeri berikutan kewujudan banyak PPV yang mengendalikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) ketika ini sehingga menyebabkan kehadiran peserta berkurang.

“(Langkah ini) untuk mengelakkan daripada menanggung kos seperti tenaga kerja, jadi operasi di seluruh PPV dalam program Selvax Komuniti akan berakhir pada 3 September ini.

Penyelaras pusat pemberian vaksin (PPV) Evo Mall, Amiroel Zhafran. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Peserta akan dialih ke klinik panel berdekatan untuk dos kedua. Masa dan lokasi (klinik) akan dipaparkan di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) sebaik selesai tempoh menunggu di ruang pemerhatian,” kata Amiroel Zhafran Ismadi.

Beliau turut memberi jaminan tidak berlaku kesesakan di klinik terbabit memandangkan slot janji temu diberi secara berkelompok tanpa bertumpu di satu lokasi.

“Kita memiliki lebih 2,000 klinik panel dan kemungkinan terdapat beberapa kelompok dialihkan ke klinik lain. Peralihan ini juga berdasarkan kapasiti klinik itu sendiri.

“Sekiranya lokasi diberikan kepada peserta jauh dari tempat tinggal, kita akan pertimbang untuk tukar ke klinik lebih dekat dan mereka boleh tekan butang ‘helpdesk’ di SELangkah. Bagaimanapun, kita percaya peratusan bagi kes seperti ini rendah,” katanya.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 rakyat negeri ini.

Usaha itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kurang 1,000 kes pada Oktober jika 150,000 suntikan dos kedua sehari

SHAH ALAM, 15 JULAI: Kes Covid-19 di negara diunjur kurang 1,000 kes pada Oktober jika kadar suntikan vaksin dos kedua mencapai 150,000 sehari.

Pada sidang media petang ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan sebanyak lima jenis bekalan vaksin digunakan pada masa ini.

“Keberkesanan vaksinasi dianggap purata 75 peratus kerana kita menggunakan lima jenis vaksin dengan pelbagai keberkesanan.

“Jadi, ini bergantung pada vaksinasi. Amat penting untuk kita melihat bagaimana boleh pertingkat vaksinasi dalam komuniti,” katanya.

Beliau berkata angka jangkitan harian di negara ini dijangka mencecah 13,000 kes pada 14 Jun lalu sekiranya kerajaan tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

“Kita lihat PKP bukan satu penyelesaian tetapi memberi ruang masa untuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengurus pertambahan katil dan ubat-ubatan di hospital,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih sejuta individu terima dos kedua vaksin setakat semalam

KUALA LUMPUR, 31 MEI: Seramai 1,052,145 individu telah menerima dos kedua vaksin Covid-19 setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menerusi catatan di Twitternya, beliau berkata seramai 1,860,864 orang telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah pemberian vaksin Covid-19 setakat semalam ialah 2,913,009 dos.

Dr Adham berkata lima negeri tertinggi yang telah melengkapkan kedua-dua dos ialah Selangor dengan 139,427 dos diikuti Sarawak (109,934); Perak (97,558); Kuala Lumpur (94,399) dan Johor (92,231).

Menurutnya, setakat semalam, 49.9 peratus atau 12,117,091 individu telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor mencatatkan pendaftaran tertinggi sebanyak 3,223,832.

Mengikut perancangan program imunisasi itu, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April lepas melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula April hingga Ogos pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya manakala fasa ketiga yang dijadual pada Mei tahun ini hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

385,251 individu sudah lengkap dua dos suntikan vaksin

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Seramai 385,251 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata bagi tempoh sama 571,472 menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di negara kini adalah 956,723.

Dr Adham menerusi satu infografik yang dikongsikan di laman Twitter rasminya memaklumkan lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 76,612, diikuti Sarawak (59,531), Sabah (54,058), Perak (52,677) dan Kuala Lumpur (52,110).

Sementara itu, lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin Covid-19 tertinggi setakat ini ialah Selangor dengan 52,133 individu diikuti Perak (41,348), Sabah (41,029), Kuala Lumpur (33,603) dan Sarawak (30,639).

Bagi jumlah pendaftaran untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pula, Dr Adham memaklumkan setakat semalam seramai 8,443,581 atau 34.80 peratus telah mendaftar, dengan Selangor merekodkan angka tertinggi iaitu 2,263,133.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin bermula Februari hingga April ini melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini pula, membabitkan 9.4 juta warga emas berusia 65 tahun ke atas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya manakala fasa ketiga dijadual bermula Mei hingga Februari 2022 membabitkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

375,260 individu sudah lengkap dua dos suntikan vaksin

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Seramai 375,260 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata bagi tempoh sama 565,940 menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di negara kini adalah 941,200.

Dr Adham menerusi satu infografik yang dikongsikan di laman Twitter rasminya memaklumkan lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 76,273, diikuti Sarawak (57,682), Sabah (53,859), Perak (52,639) dan Kuala Lumpur (52,110).

Sementara itu, lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin COVID-19 tertinggi setakat ini ialah Selangor dengan 51,383 individu diikuti Sabah (40,162), Perak (37,884), Kuala Lumpur (33,603) dan Sarawak (30,014).

Bagi jumlah pendaftaran untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pula, Dr Adham memaklumkan setakat semalam seramai 8,378,754 atau 34.50 peratus telah mendaftar, dengan Selangor merekodkan angka tertinggi iaitu 2,250,428.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin bermula Februari hingga April ini melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini, membabitkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya manakala fasa ketiga dijadual bermula Mei hingga Februari 2022 membabitkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran 13.7 juta orang.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 240,000 individu lengkap dua dos suntikan vaksin

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Seramai 241,758 individu yang merupakan kumpulan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata bagi tempoh sama, 498,468 individu menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di negara kini adalah 740,226.

Menerusi satu infografik yang dikongsikan di laman Twitter rasminya hari ini, Dr Adham berkata Selangor kekal sebagai negeri tertinggi menerima suntikan dos pertama vaksin iaitu 69,852, diikuti Perak (49,996) dan Sarawak (48,079).

Sabah pula merekodkan sebanyak 46,023, Kuala Lumpur (44,702), Johor (39,624), Pahang (33,693), Pulau Pinang (33,045), Kedah (30,316), Negeri Sembilan (24,690), Terengganu (24,516), Kelantan (22,596), Melaka (13,758), Perlis (9,846), Putrajaya (5,233) dan Labuan (2,499).

Sementara itu, Selangor turut mencatat jumlah individu teramai melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin Covid-19 iaitu 28,616, diikuti Sarawak (25,287) dan Kuala Lumpur (23,899).

Seterusnya adalah Sabah (21,262), Perak (20,717), Johor (18,696), Pahang (18,507), Kelantan (15,618), Kedah (15,300), Terengganu (13,237), Pulau Pinang (11,563), Negeri Sembilan (10,620), Melaka (6,857), Perlis (5,610), Putrajaya (3,682) dan Labuan (2,287).

Sementara itu, jumlah pendaftaran untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan adalah seramai 7,625,478 atau 31.4 peratus dengan Selangor merekodkan angka tertinggi iaitu 2,085,983 pendaftaran.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April ini akan melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Program akan diteruskan bagi fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini melibatkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi, selain orang kurang upaya.

Sementara fasa ketiga yang dijadualkan bermula Mei hingga Februari 2022 adalah untuk kumpulan individu berusia 18 tahun dan ke atas dengan sasaran kira-kira 14 juta orang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dos kedua vaksin penting hasilkan antibodi optimum

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Pengambilan dos kedua vaksin Covid-19 Comirnaty (Concentrate for Dispersion for Injection) keluaran Pfizer-BioNTech penting untuk peningkatan ketara antibodi bagi membolehkan keberkesanan jangka panjang seseorang penerima.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kelewatan mendapatkan dos kedua mungkin akan melambatkan penghasilan antibodi yang optimum.

“Berdasarkan pemerhatian dalam kajian klinikal, keberkesanan vaksin Comirnaty telah ditunjukkan bermula dari hari ke-12 selepas pemberian dos pertama dan mencapai kira-kira 89 peratus keberkesanan di antara hari ke-14 dan 21, iaitu pada masa dos kedua akan diberikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pada masa ini, keberkesanan jangka panjang untuk pemberian satu dos vaksin Comirnaty tidak diketahui kerana penerima vaksin dalam kajian klinikal tersebut menerima dua dos dengan selang masa antara 19 hingga 42 hari.

Dr Noor Hisham berkata demikian bagi menjelaskan berkenaan pemberian dua dos vaksin Comirnaty tersebut.

Sementara itu, beliau berkata berdasarkan kajian klinikal fasa 3 yang melibatkan suntikan dua dos dengan selang masa 21 hari (selang masa dibenarkan adalah sehingga 42 hari), tahap keberkesanan vaksin Comirnaty ialah pada 94.6 peratus dalam mencegah jangkitan SARS CoV2 bergejala.

Bagaimanapun, Strategic Advisory Group of Experts on Immunization (SAGE) daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan agar dos kedua diberikan selepas 21-28 hari daripada dos pertama, katanya.

Beliau menambah, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa menjalankan pemantauan secara berterusan terhadap vaksin yang digunakan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin tersebut sentiasa terjamin.

– BERNAMA