Categories
AGENDA NASIONAL

Dos ketiga vaksin bermula Oktober, sasar golongan berisiko tinggi

ALOR SETAR, 19 SEPT: Pemberian dos ketiga atau dos penggalak vaksin Covid-19 untuk golongan rentan dan berisiko dijangkiti Covid-19 dijangka bermula pada Oktober ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata golongan itu termasuk warga emas dengan komorbiditi seperti mempunyai masalah kesihatan kronik, petugas barisan hadapan, individu kurang daya tahan imun serta mereka yang tinggal dan bekerja di pusat jagaan jangka panjang.

“Kita akan buka kepada golongan ini dahulu kerana berdasarkan data kematian, data kategori 5 yang masuk ke ICU (unit rawatan rapi), kebanyakan daripada mereka terdiri daripada golongan tersebut, warga emas yang ada masalah jantung, kencing manis, hipertensi dan sebagainya.

“Pemberian dos ketiga atau (dos) penggalak itu juga tidak bermaksud pemberian dua dos vaksin sebelum ini tidak berkesan, sebaliknya ia adalah bagi meningkatkan sistem imun,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja beliau ke Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Beliau berkata banyak negara sudah memulakan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura bertujuan untuk meningkatkan lagi sistem imun individu terhadap wabak itu.

Bagaimanapun, Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) belum membuat keputusan sama ada dos penggalak itu akan diberikan kepada semua individu di negara ini.

“Perkara ini masih dalam perbincangan. KKM juga ketika ini sedang melakukan perbincangan dengan pakar dalam menentukan kumpulan usia individu yang akan menerima dos itu,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga telah mengarahkan semua syarikat pengeluar vaksin untuk menghantar maklumat lanjut kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi menentukan jenis vaksin yang boleh diberikan dos penggalak.

“Buat masa ini, kita sedang mendapatkan maklumat daripada pengeluar vaksin untuk didaftar di bawah NPRA, dos ketiga ini perlu dapat kebenaran NPRA, sebab NPRA hanya bagi kebenaran contohnya kepada Pfizer, AZ (AstraZeneca), Sinovac (hanya dibenarkan diberi) dua dos sahaja,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 dalam usaha meningkatkan perlindungan kepada golongan rentan daripada risiko jangkitan pandemik berkenaan.

Beliau berkata keutamaan pemberian dos ketiga itu akan tertumpu kepada kumpulan berisiko tinggi terlebih dahulu seperti anggota barisan hadapan kesihatan dan pesakit kurang daya tahan imun (terimunokompromi).

Selain itu, perdana menteri berkata turut diberikan keutamaan adalah warga emas dengan komorbiditi serta individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang dan kesemuanya akan dilaksanakan apabila liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Golongan berisiko tinggi disuntik dos ketiga vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 dalam usaha meningkatkan perlindungan kepada golongan rentan daripada risiko jangkitan pandemik berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keutamaan pemberian dos ketiga itu akan tertumpu kepada kumpulan yang berisiko tinggi terlebih dahulu seperti anggota barisan hadapan kesihatan dan pesakit kurang daya tahan imun (terimunokompromi).

Selain itu, beliau berkata turut diberikan keutamaan adalah warga tua dengan komorbiditi serta individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang dan kesemuanya akan dilaksanakan apabila liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.

“Dos ketiga ini dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan Covid-19, yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua.

“Untuk itu, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata kesemua perincian berhubung pelaksanaan pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 akan diumumkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan kaji suntikan ketiga vaksin atasi varian Delta

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Kerajaan sedang mengkaji keberkesanan vaksin terhadap kes Covid-19 yang melibatkan varian Delta dan keperluan untuk suntikan ketiga vaksin (booster).

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata negara-negara maju sedang membuat perolehan vaksin untuk tahun hadapan kerana mereka menjangkakan kemungkinan terdapat keperluan untuk memberikan suntikan booster ketiga.

“Kami ingin mendapatkan data lebih baik mengenai berapa lama perlindungan vaksin ini bertahan dan apa butiran diperlukan dalam menawarkan vaksin dos ketiga. Ini untuk jangkaan tahun hadapan,” katanya pada sidang media selepas meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) ibu mengandung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Beliau berkata kajian data diperlukan agar Malaysia dapat membuat keputusan sama ada perlu memulakan rundingan perolehan vaksin untuk tahun hadapan.

Mengambil contoh situasi terkini di United Kingdom, Khairy menjelaskan 90 peratus jangkitan baharu Covid-19 yang melanda negara itu adalah disebabkan varian Delta.

Katanya, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) pada Khamis lepas.

Sementara itu, Khairy berkata Malaysia akan kekal menggunakan kaedah vaksinasi homolog pada masa ini kerana kekurangan data ‘real-world’ dan klinikal mengenai vaksinasi heterologi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan negara akan terus menjalankan kajian sendiri mengenai vaksinasi heterologi kerana banyak negara di dunia mula menjalankan kajian kaedah menggunakan dua vaksin berlainan untuk menggalakkan keberkesanan terhadap varian berbeza.

Dilaporkan, Malaysia menimbang untuk mencampurkan dua jenis vaksin berbeza bagi meningkatkan keberkesanan terhadap varian Covid-19 yang berbeza.

-BERNAMA